Categories
PENDAPAT RENCANA

Belia bangga julang nama Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri atau Dr Amalina dan naib juara Asia’s Got Talent, Yaashwin Sarawanan atau lebih dikenali sebagai ‘Manusia Kalkulator’ mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi.

Mereka adalah antara nama yang membuatkan seluruh rakyat Malaysia berkongsi satu perasaan yang sama iaitu ‘bangga’.

Boleh dikatakan, seluruh negara lebih-lebih lagi golongan belia tanpa mengira batasan kaum dan agama, menzahirkan sokongan dan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka atas kejayaan serta kecemerlangan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Lihat sahaja di media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, rata-rata rakyat Malaysia terutamanya golongan belia bersatu hati memberi semangat, dorongan serta turut sama meraikan kejayaan ketiga-tiganya.

Walaupun masing-masing dalam lapangan yang berbeza namun masih menjulang jenama yang satu iaitu Malaysia!

Nilai kebersamaan

“Dalam sedar atau tidak, nilai kebersamaan antara belia di Malaysia hakikatnya wujud sejak sekian lama dan ia menjadi penyumbang kepada kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Belia bukan sahaja saling menyokong dan mempunyai jati diri Malaysia dalam diri masing-masing, bahkan berganding bahu menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping sedia menghulur bantuan kepada yang memerlukan,” demikian menurut Dr Mohd Mahadee Ismail, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut beliau berkata, belia termasuk golongan pelajar serta mahasiswa hakikatnya banyak ‘berkongsi’ perkara dan matlamat yang sama meskipun diterjemah melalui pelbagai cara yang berbeza.

“Tanpa mengira bangsa dan agama, mereka bergabung dalam satu pasukan, prihatin dengan isu masyarakat dan berlumba-lumba menghulur bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Mahasiswa UPM sendiri sebagai contoh bekerjasama dengan beberapa NGO dalam mengagihkan bungkusan makanan kepada golongan gelandangan di ibu negara.

“Adakalanya mereka ‘turun padang’ mendapatkan sumbangan. Walaupun tidak mampu menyelesaikan masalah, tetapi melalui inisiatif sebegitu mereka sekurang-kurangnya membantu meringankan beban masyarakat serta membawa suara mereka ke pihak yang berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Toleransi tinggi

Mohd Mahadee seterusnya berkongsi kajian beliau berkaitan sosialisasi politik, etos nasional dan pembinaan negara bangsa dalam kalangan belia yang mendapati, 70 peratus belia di negara ini menunjukkan tahap toleransi yang tinggi dalam hubungan antara kaum.

Dalam hal yang mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak, sebagai contoh, pelajar bukan dari etnik Melayu dan Islam turut sama berdiam apabila pensyarah berhenti mengajar seketika tatkala mendengar azan dilaungkan.

Mereka juga antara lain menyatakan kesediaan untuk menziarahi rakan dari kumpulan etnik berbeza yang ditimpa musibah atau jatuh sakit.

“Kajian itu turut mendapati lebih 80 peratus belia daripada kumpulan kaum dan etnik berbeza menyatakan mereka bersedia memberi komitmen demi memenuhi keperluan dan kepentingan negara manakala lebih 85 peratus menyatakan mereka berkongsi masa depan yang sama dengan kumpulan belia berlainan kaum dan etnik.

“Melihat kepada perkara itu, saya boleh katakan bahawa ‘etos nasional’ telah terbina dalam diri belia hari ini khususnya dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Telah lahir ‘rasa kekitaan bersama’ dalam diri setiap mereka,” katanya.

Meskipun ada yang mempertikaikan tindakan belia yang sering kali dilihat selesa berkawan dan bergaul dengan rakan daripada kaum dan etnik yang sama, Mohd Mahadee berkata masih ramai yang bersikap lebih terbuka untuk berkawan dengan kumpulan yang berbeza.

“Itu lumrah. Perkara itu tidak bermakna mereka tidak boleh berkawan mahupun bekerjasama. Apabila pensyarah memberi tugasan yang perlu diselesaikan melalui gabungan pelajar daripada kumpulan pelbagai etnik, mereka boleh bekerjasama bahkan mampu menghasillkan sesuatu yang lebih baik daripada jangkaan.

“Begitu juga di tempat kerja. Rata-rata golongan belia tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan rakan dari kumpulan berbeza bangsa dan etnik. Jika ada pun (masalah) ia hanyalah isu terpencil,” katanya.

Selain terbuka menerima kepelbagaian yang wujud serta berkongsi ‘jenama Anak Malaysia’, golongan belia turut memahami konsep ‘penerimaan dan pengiktirafan’ (acceptance and recognition) sekaligus menjadikan perpaduan etnik sebagai kunci utama kemakmuran negara.

Tiga isu utama

Tidak menolak masih terdapat beberapa perkara yang adakalanya menggugat perpaduan belia ditambah dengan pengaruh jahat yang berniat memecahbelahkan masyarakat, beliau berkata trend politik perkauman, pengaruh media sosial serta sistem pendidikan asas negara antara tiga perkara pokok yang perlu diberi perhatian.

“Mutakhir ini kita lihat politik perkauman terus dimainkan oleh pihak tertentu bagi mencapai kepentingan politik mereka. Isu-isu sensitif yang menyentuh soal kepentingan dan hak kumpulan etnik ‘dipanaskan’ di samping wujud pelbagai bentuk provokasi mendakwa sensitiviti sesetengah etnik tidak dijaga dan dihormati.

“Perkara kecil diperbesarkan. Ini bukan sahaja boleh memecahbelahkan perpaduan yang wujud selama ini bahkan menimbulkan kebencian kaum, “ tegas Mohd Mahadee.

Menurut beliau, politik perkauman boleh menjadi barah yang sukar dikawal dan dijadikan ‘senjata sulit’ dalam meraih simpati rakyat khususnya kumpulan etnik tertentu.

Justeru katanya, semua pihak perlu sedar dan mengambil inisiatif bagi mengurangkan politik polarisasi kaum.

Turut menyifatkan media sosial sebagai trend semasa yang sukar dikawal, beliau berkata ia bukan sahaja boleh menularkan perkara yang tidak pasti kesahihannya, bahkan ada yang menyalahgunakannya untuk menyebar mesej kebencian, fitnah dan mengundang suasana tegang dalam masyarakat.

“Ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi dalam usaha negara mengekalkan keharmonian kaum. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu mengambil tindakan yang lebih pantas dalam menangani situasi ini di samping ibu bapa, guru, pensyarah, rakan sebaya dan seluruh masyarakat perlu memainkan peranan mereka.

“Sistem pendidikan asas negara yang masih terpisah dan terasing turut mempunyai implikasi. Pendidikan asas negara sepatutnya disatukan lebih awal sebagai medium utama untuk memupuk perpaduan dan integrasi antara kumpulan etnik. Ibarat pesanan orang tua, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’,” katanya.

Kongsi pentas

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, lebih banyak ruang dan peluang boleh disediakan untuk golongan belia bertemu, berinteraksi dan menjalin kerjasama.

Menurut beliau, acara sukan, kebudayaan, dialog antara agama dan peradaban serta pertandingan debat dan pidato yang dijalankan di peringkat sekolah dan IPT sebagai contoh membolehkan belia berkongsi pentas yang sama walaupun daripada latar belakang berbeza.

“Penganjuran program melibatkan belia pelbagai kaum seperti yang dianjurkan MBM dan Friendship Group For Interfaith Services (FGIS) amat digalakkan. Antara program yang dijalankan termasuklah khidmat sosial bagi membantu mangsa banjir yang digerakkan oleh ketua pelbagai agama.

“Belia juga boleh berkongsi mesej kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pelbagai platform yang ada bahawa mereka mahukan perpaduan dan kestabilan, “ katanya.

Beliau memberi contoh, MBM baru-baru ini melancarkan satu logo khas ‘Youth For Unity’ (Belia Untuk Perpaduan) bagi tujuan memupuk perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum di Malaysia.

Logo itu antara lain membawa maksud anak muda sebagai medium perpaduan semua kaum di Malaysia.

Turut berpendapat belia sebagai penentu masa depan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas pindaan had umur mengundi 18 tahun, beliau berkata kestabilan negara amat bergantung kepada hubungan belia yang utuh.

“Usah dilayan elemen yang ingin memecahbelahkan kerana jika belia berpecah negara akan lemah dan mengakibatkan kestabilan dan nilai kemakmuran hilang,” katanya sambil menambah belia perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan bersatu menjayakan agenda perpaduan.

Asimilasi budaya

Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri yang turut berkongsi pandangan berkata, golongan belia perlu lebih terbuka untuk belajar mengasimilasi budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

Melalui kaedah itu, katanya, setiap rakyat akan lebih mengenali, menghormati sekaligus menghargai keunikan yang ada pada Malaysia.

“Belia perlu menolak titik perbezaan dan bersatu atas satu titik persamaan. Belia juga perlu bersifat tidak mementingkan diri jauh sekali ‘etnosentrisme’.

“Setiap perbezaan harus ditangani dengan cara penuh berhikmah demi keamanan, kedamaian dan kesejahteraan negara. Belia pada masa sama wajar mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan,” katanya sambil menambah perpecahan hanya akan memberi kemudaratan kepada generasi akan datang.

Pihak terlibat perlu mengambil langkah sewajarnya bagi terus meningkatkan perpaduan belia berbilang kaum di negara ini.

Tegas beliau, sekiranya konsep perpaduan tidak dihayati, kemajuan dan pembangunan negara pada masa hadapan akan menjadi sukar untuk dilaksanakan.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Bahasa Melayu bahasa penyatu

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Sejak sekian lama bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara kaum di Malaysia.

Bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam pertuturan serta tulisan kerana difahami oleh pelbagai kaum di negara ini.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu mencerminkan jalinan hubungan rakyat Malaysia yang harmoni kerana kemampuan pelbagai etnik secara bersama untuk menuturkan bahasa tersebut.

Menurut beliau, daripada sebelum kemerdekaan negara sehinggalah ke hari ini, hanya bahasa Melayu sahaja yang dapat merentas sempadan ilmu, budaya dan bahasa etnik yang berbeza di negara ini, justeru melayakkan bahasa itu diangkat sebagai bahasa perpaduan.

“Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perdagangan, pendidikan, pentadbiran, undang-undang dan bahasa ketatanegaraan sejak zaman kegemilangan tamadun Melayu di Melaka lagi.

“Para pedagang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datang ke alam Melayu untuk berdagang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Lingua Franca) dalam aktiviti perdagangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bahasa Kebangsaan milik semua

Beliau menegaskan, pada masa kini terdapat keperluan untuk mengubah persepsi rakyat terhadap bahasa tersebut dan hal ini perlulah diberi perhatian oleh kerajaan.

“Ubah persepsi masyarakat terhadap bahasa Melayu. Jangan anggap bahasa Melayu sebagai milik orang Melayu sahaja

“Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi kaum lain terhadap bahasa Melayu yang mempunyai nilai dalam pelbagai bidang ilmu,” kata Zurinah yang juga penulis wanita pertama menerima Anugerah Sastera Negara pada 2015, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah itu juga pernah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013.

Jelas beliau, Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi ini supaya masyarakat berbilang kaum khususnya pelajar sekolah dan generasi muda celik sejarah dan memahami mengapa bahasa Melayu layak dijadikan bahasa perpaduan di negara ini.

Selain itu, beliau turut menggesa pemimpin negara untuk menjadi teladan kepada rakyat dalam mengangkat bahasa kebangsaan.

“Pemimpin mestilah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi samada dalam ucapan, ceramah atau temubual. Jangan menunjuk sikap mengagungkan bahasa Inggeris.

“Sepatutnya ucapan diperindah dengan pantun, sajak dan sebagainya,” kata Zurinah.

Bahasa Kebangsaan lambang keperibadian bangsa

Penyair dan penterjemah, Dr Raja Rajeswari Seetha Rama berkata, penggunaan bahasa kebangsaan perlu diperkasa dalam kalangan rakyat.

“Malaysia telah lama merdeka tetapi masih ada rakyat yang tidak tahu berbahasa kebangsaan.

“Tugas mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab setiap insan yang lahir di negara ini,” kata penyair kelahiran Kuala Kurau, Perak itu.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan bukan sekadar bahasa tetapi juga lambang keperibadian dan identiti rakyat Malaysia.

“Ke mana-mana kita pergi kita membawa identiti nasional iaitu bahasa kebangsaan kita, dan kita lebih dihormati dan disanjung di pentas antarabangsa apabila kita membawa identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya yang juga seorang penterjemah bertauliah.

Menurut Raja Rajeswari, beliau menerima banyak permintaan pihak luar, seperti dari Sepanyol, India dan Brazil yang mahu mempelajari bahasa Melayu, sekaligus menunjukkan bahawa pihak luar menghayati dan menghargai bahasa tersebut.

“Kadang-kadang saya rasa hairan, bahasa kebangsaan kita mendapat penghargaan yang begitu tinggi di luar negara, tetapi mengapa sikap kita di negara ini sebaliknya,” katanya.

Cinta bahasa

Penyair yang banyak menghasilkan sajak dalam bahasa Melayu itu berkata cintanya pada bahasa kebangsaan bermula pada zaman kanak-kanak lagi dan ibu bapanya juga menggalakkan beliau membaca bahan dalam bahasa Melayu.

Memandangkan kedua-dua ibu bapanya adalah guru, mereka tinggal di kuarters guru dan di situ beliau banyak bergaul dengan pelbagai kaum khususnya orang Melayu.

“Ayah saya seorang juga penyair tetapi beliau banyak berkarya dalam bahasa Tamil. Mungkin saya terpengaruh daripada beliau untuk turut menulis puisi tetapi saya menulis dalam bahasa Melayu kerana saya lebih selesa dengan bahasa ini yang selalu saya gunakan,” katanya yang menghasilkan buku kumpulan puisi persendirian bertajuk Mekar Bunga, Antologi Puisi Bahasa Yang Sama.

Selain itu, puisinya diterbitkan dalam 80 antologi puisi bersama penulis lain.

Antara pengikhtirafan yang diterima Rajeswari termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007, Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI 2018, Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka 2016, Anugerah Ekologi Amerika Tengah 2018, Anugerah Mewadev Laurel Amlor Banda 2018 dan Anugerah Srikandi Numera (Nusantara Melayu Raya) 2018.

Naskhah terjemahan beliau meliputi koleksi puisi penyair tersohor antarabangsa seperti penyair Bangladesh Aminur Rahman, penyair Russia Viacheslav Kupriyanov, penyair Portugal Mario Do Sameiro Barroso dan Penyair India Swapna Behera, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Beliau yang juga pemegang ijazah Doktor Falsafah Universiti Melayu dalam bidang Kesusasteraan Melayu itu aktif menterjemahkan puisi untuk majalah Point Editions di Sepanyol dan blog Poetry Bridges di Poland.

Padam syak wasangka dengan bahasa

Sementara itu, penyair Lim Swee Tin berkata, rakyat Malaysia akan mampu menyelesaikan banyak salah faham dan keraguan seandainya penguasaan bahasa Melayu diperkukuh dan dipraktikkan dalam segala jurus kehidupan.

“Ia (bahasa Melayu) mudah untuk kita jadikan bahasa perhubungan. Melalui bahasa Melayu kita dapat satukan hati dan perasaan kerana ia memadamkan syak wasangka, curiga-mencurigai dan jurang yang ada antara kaum dan bangsa.

“Sekarang banyak salah faham berlaku. Takkanlah setelah merdeka 62 tahun, untuk memahami pertuturan, pendapat dan ucapan kita masih menggunakan khidmat penterjemah,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Lim berkata, mungkin ada pihak yang mempersoalkan apa kaitan cinta kepada negara dengan bahasa, namun beliau yakin dengan menghormati dan kemudian menggunakan dengan meluas bahasa Melayu prasangka sesama kaum dapat dielakkan.

“Perasaan kekitaan mudah dipupuk. Rasa pemilikan pada bahasa ini pula memudahkan kita tambah memperkasakan penggunaannya,” ujar pensyarah Universiti Putra Malaysia itu.

Beliau memberi contoh isu pengenalan tulisan Jawi dan khat yang diperbesar oleh sesetengah pihak yang tidak memahami kedudukan bahasa Melayu dengan jelas.

“Malaysia (secara umumnya) tiada masalah. Yang bermasalah adalah sekerat dua ahli politik yang celupar. Jawi itu ilmu,” katanya.

Menurut Lim, beliau sudah mengenali tulisan Jawi sejak tahun 1959 iaitu semasa di sekolah rendah lagi.

“Saya sedih, teramat sedih. Saya berduka. Hanya kerana mengajar khat sudah dianggap proses Islamisasi,” katanya.

Kaji cara pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah

Lim turut berpendapat terdapat keperluan untuk mengkaji semula cara pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang disifatkan beliau terlalu idealistik.

Jelas beliau, pembelajaran bahasa Melayu pada masa kini membolehkan seseorang pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi gagal mempraktikkan bahasa itu dalam kehidupan harian.

“Pada tahap awal persekolahan tekankan aspek komunikasi. Tidak perlukan disogokkan ilmu tatabahasa yang berat-berat.

“Utamakan bagaimana anak-anak kita dapat berkomunikasi dengan berkesan melalui bahasa Melayu dan bagaimana mereka boleh memberi pendapat dan pandangan, boleh bercakap tentang perihal kenegaraan, kehidupan, kerjaya dan kemasyarakatan dengan baik,” cadang beliau yang juga merupakan bekas guru.

Katanya, penekanan pada aspek yang lebih berat seperti tatabahasa dan semantik boleh dilakukan pada peringkat yang lebih tinggi.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Penternakan lebah kelulut tingkat pendapatan B40

GEORGE TOWN, 10 SEPT: Universiti Sains Malaysia (USM) setakat ini melatih 3,000 orang warga luar bandar sebagai penternak lebah kelulut di seluruh negara untuk memastikan madu yang dihasilkan benar-benar berkualiti.

Sebahagian besarnya terdiri daripada suri rumah dan golongan B40 yang diharap dapat meningkatkan pendapatan isi rumah.

Di samping itu, masyarakat Orang Asli turut dilatih untuk menternak kelulut secara lestari kerana kepentingan kelulut sebagai agen pendebungaan pokok di hutan.

“Setakat ini, seramai 25 Orang Asli Kg Semelor, Pulau Banding, Perak dilatih sebagai penternak kelulut.

“Langkah ini diambil supaya kesedaran pemuliharaan spesies kelulut hutan dimulakan dari sekarang bagi mengelakkan ia pupus seperti pokok gaharu hutan dan menjejaskan pendapatan Orang Asli, ” demikian menurut Dr Mohd Zulkifli Mustafa, Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.

Dr Mohd Zulkifli pada asasnya adalah penyelidik sains otak dan mencari bahan untuk meningkatkan memori kanak-kanak serta menjadi pencegahan bagi penyakit otak seperti strok, parkinson, dementia dan alzheimer.

Bebola yang dihasilkan oleh lebah kelulut yang mengandungi madu di ladang kelulut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Beliau yang menerajui usaha itu berkata, industri madu tradisional tersekat untuk pengkomersialan berikutan sumber yang terhad di hutan selain pemburuan madu secara berterusan yang mengancam kelestarian lebah.

“Malah, pengendalian di hutan menyebabkan sukar bagi prosedur pengendalian standard dijalankan bagi menyeragamkan kaedah pengeluaran yang akhirnya madu tempatan sama ada tualang atau kelulut sekadar dijual secara tradisional di tepi jalan dan di atas jalan raya di pasar malam.

“Untuk itu pada tahun 2012, saya mula merencanakan projek ‘Reinventing Honey Quality’ bagi mewujudkan rantaian madu kelulut yang premium. Hasilnya beberapa inovasi melibatkan sistem rumah kelulut lestari iaitu MUSTAFA-Hive, buku modul asas penternakan kelulut dan HILDA-System iaitu satu sistem untuk pengendalian dan pengeringan madu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, projek transformasi penternakan kelulut itu bukanlah semata-mata usaha beliau. Ia turut melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Pertanian, Felcra, Felda, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Pahang dan Politeknik.

Beliau turut menjelaskan, perlaksanaan “model quadruple-helix” di mana USM menyediakan kepakaran penternakan kelulut, agensi kerajaan menyediakan sarang dan rakan industri membantu dalam pemasaran.

“Dalam modul pengajaran kelulut, USM memberi penekanan kepada pengenalan kelulut, kaedah penternakan kelulut lestari, tuaian dan pengendalian madu yang bersih, kaedah mendapatkan pensijilan halal serta penghasilan produk hiliran,” katanya.

Dr Mohd Zulkifli berkata, projek transformasi penternakan kelulut yang dibangunkan itu melibatkan penyertaan komuniti.

Menurutnya, pada peringkat awal pembangunan industri kelulut itu pihaknya menyasarkan golongan B40 yang tinggal di luar bandar sebagai penternak.

Bagaimanapun, beliau berkata, sesiapa sahaja boleh menceburkan diri sekiranya mempunyai minat, kawasan yang sesuai dan ingin mencari pendapatan tambahan.

Beliau berkata, penglibatan komuniti dalam penternakan lebah kelulut menjadi medium holistik bagi perubahan sosioekonomi komuniti dan kelestarian ekologi.

“Lebah adalah makhluk unik yang bukan hanya menghasilkan madu, tetapi turut memainkan peranan mendebungakan tanaman yang menghasilkan buah-buahan yang menjadi makanan. Apabila komuniti terlibat menternak kelulut, secara automatik kelulut itu akan mendebungakan tumbuhan sekitar rumah komuniti dan meningkatkan hasil pertanian kita.

“Malah untuk meningkatkan hasil madu, komuniti akan menanam pokok bunga sebagai sumber nektar yang secara tidak langsung mencantikkan rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama komuniti dapat mempelajari tatakerja pengendalian hasil madu yang bersih serta mendorong mereka untuk menjadi usahawan yang menjual madu berkualiti dan terjamin kebersihannya.

“Di USM, pihak kami menekankan kebolehpasaran madu yang dihasilkan oleh komuniti. Semua pengusaha madu bimbingan USM digalakkan untuk mengurangkan air di dalam madu bagi merencatkan penapaian yang akhirnya menghasilkan madu yang tidak berbuih dan sedap ditelan,” katanya.

Dr Mohd Zulkifli berkata, bebanan pengurusan penternakan kelulut tidak tinggi kerana tidak memerlukan kos yang banyak malah lebah kelulut tidak berbisa dan tidak berbahaya untuk diceburi oleh kaum ibu serta mereka boleh menjalankan aktiviti menyelia hidupan itu pada hujung minggu sahaja.

Beliau berkata, untuk memulakan penternakan kelulut, komuniti perlu memilih kawasan yang bersesuaian meliputi teduhan dan mempunyai sumber yang cukup bagi nektar serta getah dari pokok sekeliling rumah.

“Seterusnya komuniti boleh membuat pembacaan awal tentang kelulut dan mencari pembekal induk kelulut di internet. Mulakan penternakan dengan tiga koloni dengan modal awal sekitar RM1,500 dan mahirkan diri dengan penternakan.

“Selepas itu bolehlah kembangkan jumlah koloni mengikut kemampuan. Uniknya kelulut ini adalah makhluk yang mencari sumber makanannya sendiri sekali gus modal pusingan adalah amat minimum,” katanya.

Beliau berkata, produk mentah yang dikeluarkan dari sarang kelulut adalah madu, propolis dan roti lebah (debunga yang melalui proses penapaian).

Menurut beliau, daripada bahan mentah itu kira-kira 1,000 produk hiliran dapat dihasilkan sama ada untuk tambahan (supplement) kesihatan, bahan kosmetik, penjagaan kulit dan bahan untuk industri makanan.

Beliau berkata, komuniti yang menternak lebah mampu memproleh pendapatan tambahan antara RM1,000 hingga RM1,800 sebulan malah ada komuniti yang menghasilkan produk hiliran seperti sabun madu, balm propolis dan produk lain mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Selain melahirkan ramai usahawan baharu, Dr Mohd Zulkifli kini sedang berusaha untuk memperjuangkan penggunaan madu bagi rawatan klinikal secara rasmi.

Beliau juga sedang bekerjasama dengan beberapa rakan industri seperti Corak Rentak Sdn Bhd, Honeygold Enterprise (M) Sdn Bhd dan Dr AnneSkinCare yang membuat pelaburan membuka kilang GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik) untuk membolehkan madu yang dihasilkan para penternak memenuhi kriteria bagi memasuki pasaran China dan antarabangsa.

Dr Mohd Zulkifli berkata, madu kelulut mempunyai ciri unik seperti sedikit masam dan cair berbanding madu biasa yang lain.

Sebagai penyelidik beliau banyak mengkaji kebaikan madu kelulut secara saintifik dan dapatan kajian jelas menunjukkan madu kelulut boleh meningkatkan memori serta memberi kesan seperti ubat antistress.

Beliau berkata, kajian lain pihaknya pula menunjukkan madu kelulut bertindak secara molekular untuk menurunkan kolesterol dan mengekalkan keremajaan kulit.

“Kajian penyelidik lain pula menunjukkan madu kelulut bertindak dengan baik sebagai bahan antikuman dan antidiebetik. Keseluruhannya, madu kelulut merupakan bahan pencegahan penyakit kronik yang sangat berpotensi.

“Hari ini, melalui latihan berterusan dan inovasi yang terhasil, madu kelulut mempunyai kelebihan berbanding madu lain berdasarkan tatakerja pengeluaran yang bersistematik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tren: Isu keselamatan, masa perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Elemen keselamatan dan masa adalah antara aspek yang perlu ditingkatkan bagi menjadikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan tren dan rel sebagai pilihan utama dalam kalangan orang ramai, terutama penduduk di Lembah Klang.

Walaupun pelbagai perkhidmatan tren dan rel disediakan seperti komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad, Transit Aliran Ringan, monorel, Transit Aliran Massa dan Perkhidmatan Tren Elektrik , dan ramai yang mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan itu tetapi perlu dilihat juga kenapa masih ramai yang enggan menggunakan perkhidmatan itu.

Koordinator Program Research For Social Advancement, Fakhrurrazi Rashid berkata,
6 dua faktor itu menjadi perkara asas paling utama yang dititik beratkan oleh penumpang mana-mana sistem pengangkutan tren dan rel.

Katanya, sebagai pengguna pengangkutan awam sejak di bangku sekolah, beliau melihat perkhidmatan seperti sistem LRT masih di tahap penerimaan sama seperti dahulu walaupun pembaharuan dibuat dari semasa ke semasa.

“Keselamatan di stesen masih membimbangkan, walaupun jumlah polis bantuan yang bertugas ramai iaitu kira-kira 2,000 orang di stesen LRT dan MRT, namun kekerapan anggota itu tidak mencukupi menyebabkan ia masih lagi menjadi sasaran penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka.

“Selain itu, waktu operasi rel juga perlu dipanjangkan sehingga pukul 2 pagi bagi memberi peluang kepada pekerja bertugas malam untuk menaiki tren.

“(Sebagai contoh) kawalan pemanduan LRT menggunakan teknologi komputer seperti laluan Kelana Jaya – Gombak mampu berbuat demikian dengan penambahan perjalanan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan bagi mengatasi gangguan teknikal kerana isu seperti itu masih berlarutan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan kerja ke Jepun pada November tahun lalu dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapatkan kerjasama syarikat negara itu, JR Kyushu Railway Company bagi meneliti masalah pengangkutan tren di Malaysia.

Katanya, ia bagi memastikan peranan dan manfaat perkhidmatan itu dipertingkatkan.

Dr Mahathir berkata, walaupun keseluruhan perkhidmatan tren dan rel di Malaysia hampir siap sepenuhnya, tetapi penggunaannya hanya 30 peratus sahaja dan terdapat 70 peratus ruang yang tidak digunakan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara, Dr Siti Nurbaya Ab Karim berkata, sistem pengangkutan awam yang efektif terutama di ibu kota boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas dan secara tidak langsung melahirkan warga kota yang lebih produktif.

Katanya, mengambil contoh perkhidmatan komuter, kajian mendapati faktor utama penumpang menaiki komuter adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, masalah parkir, tidak mahu memandu dan tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Selain itu, harga tambang yang berpatutan, faktor cuaca dan kemudahan selesa turut menjadi sebab utama mereka memilih menaiki komuter,” katanya.

Katanya bagaimanapun, aspek ketepatan masa dan kapasiti pengangkutan sedia ada harus difokus oleh pihak berkaitan bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat saban hari.

“Perkhidmatan boleh ditingkatkan dengan penambahan kecekapan tren dari segi kekerapan perkhidmatan bagi mengurangkan masa perjalanan, mengukur masa perjalanan, kos perjalanan, masa menunggu, masa di dalam kenderaan, penumpang yang beratur dan kesesakan tren.

“Selain itu mengurangkan tempoh masa tren berhenti di setiap stesen dengan memperbaiki masa menaiki dan turun dengan menyediakan kemudahan lebih selesa seperti pintu yang lebih luas atau lebih banyak disamping kawsan menunggu yang selesa,” kata beliau.

Bagi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia, Dr Siti Zaharah Ishak, beliau mencadangkan supaya disediakan kemudahan wifi percuma dalam tren dan bas serta di terminal bas atau stesen tren bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, selain dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Katanya, selain itu, terminal pengangkutan awam utama juga boleh menyediakan konsep pembangunan berorientasikan transit bagi menambah jumlah penumpang dengan memudahkan penumpang berpindah dari satu pengangkutan awam ke pengangkutan awam yang lain.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Etnik minoriti juga perlu nikmati kemakmuran

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Tidak ada resipi paling utuh dalam mempertahankan kemerdekaan negara yang kini menjangkau usia 62 tahun melainkan semangat penyatuan, persefahaman, toleransi serta kerjasama dalam kepelbagaian yang ada.

Dari Perlis hingga ke Johor dan merentasi sehingga ke Sabah dan Sarawak terdapat lebih 100 kumpulan etnik dan subetnik yang berbeza keturunan, kepercayaan, amalan, adat dan resam serta agama yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang cukup unik di dunia.

Selain masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, kumpulan minoriti seperti Sikh, Cina Peranakan Kelantan, komuniti Baba dan Nyonya, Chetti, etnik Siam dan Portugis menjadi pelengkap kepelbagaian kaum di Malaysia yang kurang diketahui dan disedari oleh kebanyakan kita.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill, kumpulan berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan negara sebelum dan selepas kemerdekaan negara dan perlu mendapat layanan yang baik dan adil.

“Kemakmuran bersama seperti yang dimaksudkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dinikmati oleh kaum minoriti di negara ini untuk bersama-sama menikmati kekayaan hasil pembangunan serta limpahan ekonomi supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.

PENGLIBATAN ETNIK MINORITI DALAM CAPAI KEMERDEKAAN

Menyingkap sejarah kemerdekaan negara, Sarjit berkata, etnik minoriti juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga. Contoh ialah orang Sikh yang terlibat dalam pasukan keselamatan sebagai pegawai penjara dan polis di bawah pentadbiran kolonial British dan pasca kolonial sehingga kini.

Begitu juga masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pasukan Senoi Praaq-Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Renjer Sarawak yang dianggotai anak tempatan terutama suku Iban untuk menentang komunis.

Menurut beliau, selain itu etnik minoriti juga banyak terlibat dalam sukan yang menjadi pengukuhan perpaduan di antara kaum di Malaysia.

Nama seperti Pandelela Rinong, untuk acara sukan terjun, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Sarbegeth Singh dan bekas pemain hoki negara, Sarjit Singh meniti dibibir rakyat Malaysia pada hari ini dan satu ketika dahulu.

“Sebab itu tema Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih sangat penting untuk kebersamaan kita seluruh rakyat Malaysia, berganding bahu agar kemakmuran bersama ini diraikan,” katanya.

Ini yang turut ditekankan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman di dalam bukunya, “13 Mei, Sebelum dan Selepas” yang membincangkan peranan setiap masyarakat untuk mengekalkan perpaduan agar masing-masing mengenali antara satu sama lain bergandingan dengan etnik majoriti agar kemakmuran diraikan bersama.

“Penglibatan etnik minoriti pada hari kebesaran seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sangat penting bagi meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita dan pada masa yang sama mereka rasa dihargai kerana kemerdekaan negara melibatkan semua bangsa Malaysia,” katanya.

CABARAN MENGURUSKAN ETNIK MINIORITI

Menjelaskan ungkapan “minoriti” di negara ini , Sarjit berkata ia terbahagi kepada dua, iaitu minoriti dari segi kumpulan dan minoriti etnik.

Golongan belia, ibu tunggal, warga tua adalah antara minoriti kumpulan yang ada di negara kita, manakala etnik minoriti pula adalah seperti masyarakat Orang Asli dan lebih 50 etnik pribumi di Sabah dan Sarawak, yang semuanya memerlukan perhatian.

“Tumpuan yang orang ramai lihat sekarang banyak diberikan kepada etnik minoriti arus perdana seperti kaum India sedangkan etnik minoriti lain seperti Baba dan Nyonya, Chetti, Portugis, Siam juga tidak boleh diabaikan.

“Di Malaysia isu kesaksamaan biasanya akan menjadi isu sensitif, seolah-olah kesaksamaan itu tidak baik, keadilan itu tidak baik. Tetapi di dalam semua agama kita membincangkan soal kesaksamaan, keadilan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Sarjit, cabaran hari ini adalah memastikan kemerdekaan ini terus diraikan dalam kesaksamaan penuh perpaduan.

Jelas beliau lagi, kerana itu amat penting menguruskan etnik minoriti agar peluang diberikan kepada mereka untuk menerima limpahan pembangunan agar dapat menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

Banyak kelemahan yang boleh diperbaiki antaranya mewujudkan pangkalan data setiap etnik minoriti yang ada di negara ini.

“Pada masa ini hanya masyarakat Orang Asli sahaja etnik yang mempunyai pangkalan datanya sendiri yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Keadaan ini menyukarkan kerajaan dan pemegang taruh lain untuk mengenalpasti keperluan setiap minoriti dan bantuan-bantuan yang boleh diagihkan kepada mereka, ” tambahnya.

WUJUDKAN KEMENTERIAN KHUSUS ETNIK MINORITI

Bagi menguruskan masyarakat minoriti secara serius terutama dalam memperkasakan kumpulan ini, Sarjit berpandangan perlu diwujudkan sebuah kementerian yang khusus.

Ini kerana mengurus etnik minoriti bukan mudah kerana masing-masing mempunyai isu yang berbeza.

JAKOA, kata beliau boleh diletakkan di bawah kementeriannya ini, begitu juya semua etnik minoriti agar semua suara boleh didengari.

“Selain itu kita belum lagi mempunyai satu dasar yang khusus tentang etnik minoriti untuk membangunkan mereka. Jika ini dapat diwujudkan baharulah ada pembelaan dan kemakmuran bersama.

“Jika tidak ada langkah proaktif, lagi 20 tahun kita akan terus mendengar dan membincangkan etnik minoriti terus terpinggir, ” katanya.

Sarjit turut menegaskan bahawa setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, pembangunan negara seharusnya tidak lagi berdasarkan etnik sebaliknya perlu berasaskan kepada keperluan masyarakat.

Menurut beliau, kerana itu apabila masuk ke kawasan pedalaman seperti di Sabah, banyak kawasan yang masih terpinggir daripada pembangunan antaranya etnik Rungus, Murut dan Lundayeh.

Sarjit yang pernah terlibat sebagai pakar rujuk Dasar Belia Malaysia menegaskan bahawa belia etnik minoriti juga merupakan kelompok sasaran Dasar Belia Malaysia.

Persoalannya ialah sejauhmana pemantauan berkala dilakukan bagi melihat kejayaan pelaksanaan dasar tersebut.

“Dasar diwujudkan bagi menyelesaikan isu masyarakat, namun jika dasar itu tidak dilaksanakan pada golongan sasaran maka ia hanya akan tinggal dasar sahaja,” katanya yang berharap kerajaan Pakatan Harapan akan terus mendekati isu masyarakat minoriti di negara ini untuk bersama-sama memacu pembangunan sosial dan negara.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Komentar: Huru-hara di KLIA, jangan berulang

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Situasi di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) yang mengalami kegagalan pelbagai sistem dan aplikasi, kini semakin pulih apabila Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) menggantikan peralatan rangkaiannya.

Namun, masalah itu belum selesai sepenuhnya memandangkan peralatan itu masih diuji dan dipantau bagi memastikan kestabilannya, dan bagi sistem bersepadu seperti Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Menyeluruh (TAMS), ia akan mengambil masa yang lama untuk dikaliberasikan dan kembali beroperasi secara normal.

Gangguan TAMS hampir menghentikan operasi di gerbang utama negara itu, kegagalan utama pertama sejak ia dibuka pada Jun 1998.

Kerosakan itu berlaku di kedua-dua KLIA dan klia2 bermula pada 21 Ogos, 2019, dan berterusan sehingga semalam, menjejaskan kaunter pemeriksaan masuk, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS) serta pengendalian bagasi, menyebabkan kelewatan penerangan serta pembatalan beberapa penerbangan.

Ia turut menjejaskan sistem kad kredit di premis makanan dan minuman serta runcit dan mencetuskan situasi huru-hara dalam kalangan penumpang dan petugas.

Walaupun tindakan pantas MAHB menugaskan 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang serta sikap bertanggungjawab dan akauntabiliti yang ditunjukkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Raja Azmi Raja Nazuddin dipuji, namun situasi itu tidak sepatutnya berlaku.

Ada banyak sebab berlakunya kegagalan sistem dan aplikasi, namun dalam apa sahaja senario, kerosakan atau impak kegagalan itu boleh dikurangkan menerusi pelan kesinambungan perniagaan yang dirancang dengan baik, selain proses pemulihan bencana.

Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang masih terkawal walaupun mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Selain itu, adakah MAHB mempunyai persediaan perancangan kapasiti untuk menampung permintaan yang semakin meningkat ke atas sistem pengkomputerannya, serta persoalan sama ada rangka kerja rangkaiannya sudah mengambil kira operasi berterusan seandainya kegagalan peralatan berlaku?

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Nungsari Ahmad Radhi ketika dihubungi berkata badan itu bekerjasama rapat dengan MAHB untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Pasukan (MAVCOM) bersama-sama mereka (MAHB) sejak isu itu bermula, dan pada masa ini operasi diurus secara manual,” katanya.

Nungsari bagaimanapun, tidak memberi respons ketika ditanya mengenai impak situasi di lapangan terbang Malaysia itu dan langkah-langkah penyelesaiannya.

Mei lalu, Nungsari memberitahu Bernama bahawa industri penerbangan Malaysia boleh maju seperti Singapura atau Dubai, namun ia terjejas oleh sistem pengendali lapangan terbang tunggal yang menjadikannya tidak menarik untuk mendapatkan lebih banyak syarikat penerbangan terbang ke KLIA.

“Sistem pengendali tunggal pada masa ini iaitu tiada persaingan, menjadikan sektor ini suram dan tidak menarik.

“Lapangan terbang Malaysia, terutama hab gerbang utama negara, tidak beroperasi 24 jam sehari, yang mungkin mencerminkan hakikat bahawa syarikat penerbangan tidak mendapatinya menarik. Ini seterusnya memperlihatkan bahawa persaingan mungkin menjadi isu.”

MAHB menerima kelulusan lanjutan tempoh operasi selama 35 tahun sehingga 11 Februari 2069.

Lanjutan ini bermakna menggantikan dua perjanjian operator lapangan terbang itu yang ditandatangani pada 12 Februari 2009, dengan empat perjanjian baharu untuk KLIA, lapangan terbang Sarawak, lapangan terbang Sabah, dan lapangan terbang tertentu di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan ialah pemilik aset bagi hampir kesemua lapangan terbang komersil di negara ini, dan pemilik geran tanah, dan susulan penyambungan perjanjian operasi, MAHB akan terus berperanan sebagai pengendali 39 lapangan terbang di seluruh negara sehingga 2069.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. Foto AFP

Pada hari pertama kekalutan di lapangan terbang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam akaun media sosialnya merungut mengatakan kakitangan AirAsia akan digunakan untuk menguruskan keadaan itu, walaupun beliau menyatakan ia bukanlah tanggungjawab syarikat penebangan tambang rendah itu.

The Edge pada 23 Ogos lalu memetiknya sebagai berkata: “Walaupun jelas saya bukan peminat MAHB, ini (isu) bukan sesuatu yang kita mahu manfaatkan. Semua syarikat mempunyai masalah, termasuk AirAsia, dan kami perlu bekerjasama untuk memastikan penumpang tidak terjejas teruk.”

Fernandes juga berkata, sejajar dengan peningkatan pelancongan, kita perlu menambah baik infrastruktur lapangan terbang negara.

Tepat sekali tuan !!!

Kita semua mempunyai perbezaan, namun kita berdiri bersama-sama untuk manfaat negara dan memberikan layanan baik Malaysia, terutama menjelang Tahhun Melawat Malaysia 2020.

Lapangan terbang adalah tanggapan pertama pelancong ke atas sesebuah negara, dan kita wajar memberikan yang terbaik. Bagi mereka yang terjejas oleh situasi huru-hara ini, kami kesal atas kesulitan yang berlaku.

MAHB mesti memastikan situasi huru-hara ini – TIDAK BERULANG LAGI.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pesta durian penyatu jiwa pelbagai kaum

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Sedang penulis menghirup teh o panas sambil menikmati pisang goreng pada satu petang di sebuah gerai di Wangsa Maju, mata terpandang poster pesta makan durian yang ditampal kemas pada sebatang pokok.

“Jom Makan Durian! Bayar RM50 sahaja dan boleh makan durian sampai pengsan”, antara ayat pada poster berkenaan yang pastinya akan menarik perhatian penggemar durian termasuklah rakan penulis, Adila Abdul, seorang penjawat awam.

Sebagai pencinta durian atau sinonim dengan panggilan raja segala buah itu, Adila, 33, memang ‘pantang’ betul melihat mana-mana iklan jualan durian atau longgokan buah berkenaan khususnya variasi kampung yang sekarang ini begitu banyak dijual termasuk di tepi jalan.

Sambil menyuarakan keterujaan untuk pergi ke pesta durian itu, rakan penulis itu berkata, trend menikmati keenakan isi buah di sebalik kulit berduri itu sudah jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Sambil mengimbas kembali nostalgia tahun 90-an, Adila berkata, pilihan pencinta durian untuk menikmati buah tersebut pada masa itu sama ada yang dibeli di tepi jalan, pasar malam adalah terhad iaitu di rumah atau pun dalam suasana dusun kampung milik keluarga, sanak saudara dan juga rakan.

Ini kerana baunya yang kuat dan tidak disenangi sesetengah orang khususnya di tempat tertutup, menyebabkan acara makan durian biasanya tidak diadakan di tempat terbuka apatah lagi sekitar perkarangan pejabat mahupun hotel.

Namun, sejak kebelakangan ini trend makan durian nampaknya sudah semakin mendapat tempat dalam kalangan sektor korporat, pejabat kerajaan mahupun hotel bertaraf lima bintang.

“Trend pesta makan durian sampai pengsan dengan sekali bayar ini sebenarnya sangat berbaloi bagi ‘hantu’ durian macam Dila untuk menikmati buah itu sepuas-puasnya berbanding beli di tepi jalan. Yalah, kadang-kala beli dua biji durian tepi jalan atau pasar sudah mencecah RM70 dan itu pun belum tentu semua isinya berkualiti.

“Tetapi, yang menariknya tentang pesta atau bufet durian ini, orang ramai diberi peluang untuk merasai durian mahal harganya seperti Musang King, Udang Merah, IOI dan pelbagai lagi jenis durian kahwin. Harga Musang King di luar boleh mencecah RM45 hingga RM90 sekilo (bergantung kepada gred).

“Macam program Duriotourism yang diadakan di MARDI Kuala Kangsar yang membolehkan peminat fanatik durian berpeluang menikmati pelbagai jenis varieti durian berkualiti hasil kajian institusi itu dengan hanya RM50,” katanya.

Bagi Adila, pakej yang ditawarkan pada kebanyakan pesta durian sangat berbaloi apatah lagi ia turut menyajikan hidangan lain berasaskan durian seperti aiskrim, serawa durian serta buah-buahan tempatan lain seperti rambutan dan manggis.

Pada masa yang sama trend sedemikian juga dilihat sangat positif ke arah memperkasakan martabat raja buah itu yang sebelum ini dianggap tidak ada nilai eksklusif atau dilabelkan sebagai buah kampung disebabkan baunya yang sangat kuat serta menusuk hidung.

Mendengar celoteh Adila, saya tidak menafikan harga durian pada masa ini khususnya yang dikacukkan dengan pelbagai varieti memang mahal sehingga ada yang melabelkan varieti raja buah yang mahal itu hanya hidangan orang kaya.

Masakan tidaknya! Ambil contoh harga durian Duri Hitam (kod D200) atau Black Thorn yang boleh mencecah RM110 sekilogram bagi pasaran tempatan dan lebih RM300 bagi pasaran antarabangsa. Sudah tentunya hanya mereka yang berduit sahaja boleh menikmati varieti berkenaan.

Rasa ingin tahu tentang durian yang mahal ini lalu membuatkan saya bertanya kepada pegawai Mardi yang saya kenal untuk mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai durian Duri Hitam ini. Dengan isi berwarna kuning jingga dan rasa lemak manis dengan sederhana rasa pahit, durian ini durian klon yang diklonkan dari durian kampung terpilih.

Durian ini bagaimanapun banyak di sebelah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Apa pun spesies durian, saya melihat trend pesta atau bufet durian ini sebenarnya mempunyai matlamat sangat besar penganjurannya di mana ia bukan hanya memberi peluang pada pencinta durian untuk menikmati buah tersebut sepuas-puasnya tetapi lebih daripada itu.

Seperti kita sedia maklum, pencinta raja buah ini melangkaui pelbagai kaum. Justeru, program sebegini sebenarnya dilihat sebagai medan terbaik untuk menyemarakkan kembali semangat perpaduan masyarakat negara ini apabila mereka berkumpul beramai-ramai dan menikmati raja buah itu di bawah satu bumbung.

Dengan hanya kadar bayaran minimum ditetapkan untuk seorang individu, suasananya cukup meriah, cukup mesra tanpa mengira agama, kaum, budaya mahupun perbezaan politik dan saya sebagai antara seorang yang pernah beberapa kali menyertainya tidak menafikan trend ini sangat menarik.

Malah, di tempat saya bekerja iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru-baru ini juga dianjurkan pesta makan durian. Dengan hanya membayar RM10 untuk sekeping kupon, bolehlah makan sepuas-puasnya raja buah itu.

Bagi saya nilai RM10 itu membawa erti sangat besar apabila ia berjaya mengumpulkan pekerja daripada pelbagai jabatan dan kaum untuk turut serta yang mana sebelum ini mungkin kebanyakannya sibuk dengan tugas harian. Bukan sahaja durian, pelbagai jenis juadah turut dihidangkan termasuk serawa durian, kuih-muih dan buah-buahan tempatan.

Pada masa inilah, dapat bertukar cerita dan bertanya khabar sambil menikmati keenakan buah kesukaan ramai ini sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain. Malah, tidak mustahil individu yang tidak kita bertegur sapa sebelum ini akhirnya menjadi rakan menerusi penyertaan pesta durian.

Selain itu, apa yang menarik lagi mengenai pesta durian adalah ia bukan hanya menjadi tumpuan masyarakat tempatan bahkan pelancong antarabangsa juga tidak ketinggalan begitu menyukai acara sedemikian dan isi buah tersebut.

Pastinya ia merupakan satu promosi terbaik buat Malaysia apabila pelancong luar ini bertindak sebagai duta sekembalinya mereka ke negara asal dengan menceritakan kepada keluarga, rakan mengenai keharmonian masyarakat negara ini tatkala menikmati durian. Saya ada terjumpa satu video penggemar durian dari Jepun yang jatuh cinta dengan raja buah ini ketika melancong ke Malaysia. Punyalah suka durian sehingga wanita ini mencari buah ini ketika melancong di Hong Kong dan membeli sebiji durian Musang King dengan harga AS$13. Sayang sekali rasa durian tidak sesedap yang dimakannya di Malaysia.

Sememangnya, inilah keunikan durian yang mempunyai nilai dan aura sangat eksklusif bukan hanya kerana keenakannya tetapi paling penting peranannya dalam penyatuan masyarakat. Kerana itulah, ia memang wajar digelar raja segala buah.

Memasuki bulan Ogos ini, suasana pesta durian yang masih lagi giat dianjurkan ini dilihat sangat bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sepanjang 1 Ogos hingga 16 September ini. Musim durian pula dikatakan akan berterusan sehingga penghung tahun.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Didik anak adab, hormat yang lebih tua

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ramai yang marah dan geram apabila tersebarnya video di laman sosial sekumpulan anak muda membuli seorang warga emas pada Ramadan lalu.

Video tular itu menunjukkan warga emas yang dikatakan berusia 59 tahun dibuli apabila kopiahnya diambil selain motosikalnya dijatuhkan oleh sekumpulan remaja dalam kejadian dipercayai berlaku di Sijangkang, Selangor.

Seorang daripada remaja itu turut bertindak membaling cebisan kotak dan cuba meletakkan sesuatu di atas kepala mangsa.

Bukan sahaja mempersenda, mentertawa dan mengejek, kata-kata kesat turut dihamburkan gara-gara mangsa dikatakan cuba menegur perbuatan kumpulan remaja berkenaan yang melepak di bulan Ramadan, dan mengajak menunaikan solat Asar.

Melampau dan biadap!

Itu mungkin antara perkataan yang keluar dari mulut majoriti kita saat menonton video berkenaan.

Anak muda dalam usia belasan tahun yang sepatutnya menebal rasa hormat dan melayan orang yang lebih tua dengan baik, malangnya bersikap sebaliknya.

Sehubungan kejadian itu, penduduk setempat bertindak mencari dan berkumpul di rumah remaja berkenaan bagi menuntut ‘keadilan’.

Pada masa sama, laman sosial Instagram remaja itu juga teruk ‘diserang’ netizen yang berang dengan perbuatan mereka.

Setelah ‘diadili’ oleh orang kampung, kesemua remaja itu yang pada awalnya ‘berlagak hero’ akhirnya memohon maaf kepada warga emas berkenaan.

Mereka bernasib baik apabila mangsa tidak mahu memanjangkan cerita, tidak menyimpan dendam dan memaafkan atas alasan mengenali ibu bapa masing-masing.

Apabila berlaku perkara sebegini, siapa yang harus dipersalahkan?

Anak-anak mungkin malu sekejap kerana menerima kecaman netizen, tetapi ibu bapalah insan yang akan paling terkesan.

“Anak siapa”?

“Tak pandai jaga anak”!

“Mak bapak tak ajar”!

Kata-kata itu biasanya menjadi tohmahan orang ramai yang menghakimi ibu bapa atas perbuatan anak-anak mereka.

Kasihan si ibu dan bapa. Tak semena-mena menerima tempias akibat perbuatan buruk anak mereka.

Penat membanting tulang mencari rezeki menghantar anak ke sekolah dan diberi pendidikan sewajarnya agar menjadi orang baik-baik, alih-alih begitu pula perilaku si anak.

Anak yang diharap dapat membanggakan sebaliknya ‘menconteng arang’ ke muka ibu bapa atas tindakan tidak rasional yang sepatutnya boleh dikawal dengan fikiran yang waras.

Ada juga segelintir anak-anak yang apabila di depan ibu bapa ‘pijak semut pun tak mati’ tetapi apabila di belakang, dialah ‘hero’.

Dalam hal ini, saya percaya didikan awal ibu bapa di rumah adalah yang paling utama. Bukankah ibu bapa guru pertama anak-anak?

Ibarat kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tidak hanya membiar dan memberi kebebasan 100 peratus terhadap apa sahaja yang ingin dilakukan mereka. Kenali diri dan jiwa anak-anak.

Ramai pakar motivasi yang berpendapat anak-anak harus dilayan sebagai kawan tetapi pada masa sama perlu tahu batas mereka.

Pendekatan sebegitu akan menjadikan anak-anak rapat dan selesa berkongsi banyak perkara dengan ibu bapa.

Anak-anak perlu dididik dengan nilai kehidupan yang sebenar.

Hari ini ramai ibu bapa yang berlumba-lumba mahu melahirkan cerdik pandai dalam bidang akademik dan pakar bidang tertentu tetapi sayang, lupa menerapkan nilai murni hidup bermasyarakat yang seharusnya menjadi panduan setiap daripada kita.

Sijil, pencapaian dan pangkat diagung-agungkan sedangkan hakikatnya adab dan budaya hilang entah ke mana.

Amalan hormat-menghormati, saling membantu, tahu batas pergaulan dengan yang lebih tua, adab bercakap, sopan santun bukan lagi perkara utama.

Jika berkunjung ke rumah saudara mara pada hari ini, bukan yang muda menghulur tangan untuk bersalam sebaliknya yang tua pula rasa bersalah jika tidak bersalaman.

Ia mungkin nampak remeh, tetapi perkara sebegitulah yang akan membawa kepada perkara berikutnya yang lebih besar dalam adat dan budaya kita.

Apabila ibu bapa mengabaikan perkara sebegini dalam sesebuah institusi keluarga, tidak mustahil anak-anak juga akan terikut-ikut dengan apa yang mereka lihat.

Ketika berkunjung ke rumah saudara-mara contohnya pada musim perayaan Aidiladha baru-baru ini, ibu bapa wajar mengambil peluang untuk menitipkan pesanan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati golongan yang lebih tua.

Mungkin sebelum keluar dari kereta boleh diingatkan kepada mereka agar bersalaman dengan datuk, nenek, pak cik, mak cik dan seumpamanya.

Ingatkan juga, agar mereka mengucapkan terima kasih sekiranya diberi ‘ang pau’. Penting, tidak membuka sampul (duit raya) itu di depan orang yang memberikannya.

Jangan ‘lepas laku’ di rumah orang. Hendaklah sentiasa sopan sama ada ketika duduk mahupun sewaktu dihidangkan makanan.

Berapa ramaikah antara kita yang sentiasa mengingatkan anak-anak tentang kesemua perkara itu?

Terdapat segelintir ibu bapa yang hanya senyum dan membiarkan anak mereka ‘membuas’ di rumah orang, panjat sana sini sehingga menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan 2019 baru-baru ini berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, kata beliau, sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Saya percaya bukan sahaja anak-anak kita akan menjadi orang yang civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” kata Dr Mahathir.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.

Dr Mahathir juga berkata tugas mendidik nilai sivik perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara memandangkan tanggungjawab itu tidak lagi boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata.

“Sekarang ini ibu bapa berkerja dan tidak ada masa untuk ajar anak berkenaan sivik, tanggungjawab, nilai hidup dan sebagainya, maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem pendidikan,” katanya.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Categories
PENDAPAT RENCANA

Belinjau punyai pelbagai khasiat alami

OLEH DR YUSMILAYATI YUNOS

Emping belinjau atau dipanggil emping belinjo amat popular dalam kalangan masyarakat Jawa. Bijinya boleh dibuat emping atau keropok, manakala daunnya yang dikenali sebagai daun so boleh dimasak menjadi air minuman atau dimasak lemak.

Dalam tempoh 35 hingga 40 tahun lalu, arwah embah bersama cucu-cucunya asyik sibuk mengemas pondok kecilnya untuk memulakan proses membuat emping belinjo.

Pondok kecil embah itu sebenarnya tempat meletakkan mesin getah lama.

Proses membuat emping belinjau atau ada juga yang menyebutnya dengan panggilan emping melinjau lazimnya bermula pada awal pagi. Ia bemula dengan embah dan beberapa cucunya akan mengutip buah belinjau berwarna merah yang jatuh bertaburan di bawah pokok.

Buah belinjau yang cukup ranum itu kemudian dibuang kulitnya sebelum ia dijemur.

Selepas kering, buah belinjo itu dimasukkan ke dalam kecuali tanpa minyak untuk digoreng. Menggoreng buah belinjau tidak sesukar mana kerana ia sekadar perlu dikacau agar tidak hangus sebelum menjadi garing.

Gamit zaman kanak-kanak

Pada zaman itu, setiap hari Sabtu, Ahad dan musim cuti sekolah menjadi hari yang sangat ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh embah tetapi juga anak cucunya.

Pagi-pagi lagi, cucu-cucu embah akan berlari ke rumah warga emas itu untuk membuat emping, di samping sesi bercerita dan meluah perasaan.

Pada hari-hari berkenaan, rumah embah pasti dikunjungi cucu-cucu. Embah kemudian memberi tugas kepada setiap cucunya untuk memulakan proses menyiapkan belinjau.

Tugas yang diagih bermula daripada membentang tikar, menghidupkan dapur kayu, menggoreng biji belinjau, menumbuk bijinya dan seterusnya membuang kulit menggunakan lesung batu.

Menyiapkan emping belinjau tidak semudah mana apabila cucu-cucu embah juga kemudian diminta meleperkan biji belinjau menggunakan tukul besi, menyusun emping ke dalam dulang dan kemudian menjemur emping sehingga kering.

Sepanjang prose menyiapkan emping belinjau, embah tidak membisu sebaliknya dia juga akan menggunakan kesempatan itu bertanya perkembangan pelajaran setiap cucunya di sekolah. Pertanyaan yang lazim diaju embah termasuk bab belajar mengaji surah-surah al-Quran.

Selain menjadi tempat membuat belinjau, pondok tidak seberapa gah itu turut menjadi saksi, embah dan cucu-cucunya menangis jika mereka menyentuh berhubung peristiwa
sedih. Namun begitu, ada harinya embah dan cucu-cucunya bergelak ketawa jika ada peristiwa lucu.

Belinjau saksi kasih sayang embah

Walaupun embah tidak bersekolah tetapi warga emas itu amat mengalakkan cucu-cucunya belajar hingga ke peringkat tinggi supaya mereka dapat membantu keluarga kelak.

Selepas biji belinjau siap diproses menjadi emping, embah menjadi orang penting dalam tugas menyimpan dan mengagihkan hasil titik peluh bersama.

Ironinya, sepanjang proses membuat kudapan itu, embah dan cucu-cucua sebenarnya dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka.

Sepanjang proses membuat emping juga, embah menerapkan pelbagai ilmu kepada cucu-cucunya seperti menghormati saudara yang lebih tua, menepati masa dan menjadi orang berdisiplin.

Aspek lain pula, emping belinjau sebenarnya mempunyai rasa yang unik seperti berlemak, sedikit pahit dan ragut. Tidak semua orang menggemari kudapan ini tetapi tidak kurang juga ramai yang menggilai rasa unik emping belinjau berkenaan.

Daripada aspek kesihatan, belinjau dapat mengatasi masalah tekanan darah tinggi kerana bahan antioksidan yang terdapat di dalam bijinya.

Bagi daun belinjau pula, jika ia ditumbuk dan dicampur dengan bawang putih ia dapat mengubati luka dan mempercepatkan proses pengeringan luka.

Kini proses pembuatan emping daripada belinjau sudah tidak seperti dahulu. Dahulu pembuatan emping belinjau menggunakan dapur kayu atau dapur minyak tetapi kini selari dengan peredaran masa, pembuatan emping itu kini menggunakan mesin yang semakin popular.

Emping belinjau juga sudah dipelbagaikan cara olahannya seperti disira cili dan gula. Namun, rasa emping belinjau asli dan pembuatan secara tradisional tetap menjadi pilihan kepada peminat kudapan ini.

*Dr Yusmilayati Yunos adalah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia

Categories
PENDAPAT RENCANA

Waspada guna aplikasi media sosial

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Baru-baru ini, netizen di Malaysia ‘galak’ menggunakan aplikasi yang merubah wajah menjadi tua.

Bukan sahaja dewasa malahan kanak-kanak dan bayi turut dijadikan ‘tua sebelum usia’ oleh ibu bapa mereka.

Itulah penangan aplikasi ‘FaceApp’ yang menjadi ikutan majoriti netizen di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ramai yang berkongsi wajah tua masing-masing di laman sosial Facebook (FB) dan Instagram mungkin sekadar suka-suka atau bimbang dikatakan tidak ‘up-to-date’ dengan trend semasa jika tidak berbuat demikian.

Selamatkah ‘FaceApp’?

Di sebalik keghairahan berkongsi wajah tua masing-masing, beberapa pihak menegur serta menasihatkan netizen supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan sebarang aplikasi di media sosial.

Ini kerana tindakan berkongsi butiran peribadi termasuk wajah dikhuatiri berisiko mendedahkan pengguna atau pemilik laman sosial kepada perkara yang tidak diingini termasuk menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

Mengulas senario itu, Dr Mohd Khairie Ahmad , Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia berkata aplikasi FaceApp bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia diperkenalkan pada awal 2017 oleh sebuah syarikat dari Rusia, Wireless Lab.

Bagaimanapun, FaceApp menjadi trend di seluruh dunia apabila versi baharu pada 2019 secara tiba-tiba menjadi ‘kegilaan’ mainan netizen yang memuat naik foto wajah mereka yang disunting oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Dilaporkan lebih 80 juta pengguna di seluruh dunia telah memuat naik aplikasi berkenaan dalam peranti mereka. Sejak fenomena itu melanda, timbul kegusaran khususnya dalam kalangan pemimpin serta pakar teknologi maklumat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berhubung ancaman FaceApp ini.

“Mereka mendakwa dengan menggunakan aplikasi itu, maklumat pengguna berpotensi disalah guna kerana ia disimpan di Rusia dan ini dianggap sebagai satu usaha risikan. Saya melihat perkara ini normal memandangkan AS dan Eropah pernah mempunyai hubungan tegang dengan Rusia sejak era Perang Dingin dahulu,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan insiden FaceApp sebenarnya hampir sama dengan apa berlaku kepada syarikat teknologi Huawei sebelum ini apabila Presiden AS Donald Trump mendakwa peranti keluaran syarikat itu berkemungkinan digunakan oleh China untuk tujuan risikan dam membawa kepada tindakan AS menghentikan talian perniagaan dengan syarikat itu.

Lanjutan daripada fenomena itu, pihak FaceApp menafikan dakwaan data dan maklumat pengguna disimpan di pangkalan data di Rusia sebaliknya foto dan data berkaitan diproses di penstoran awanan selain aplikasi itu turut menggunakan Google Cloud dan Amazon Web Services yang kedua-duanya berpangkalan di AS bagi tujuan pemproses dan penghasilan imej.

Risiko komunikasi digital

Mohd Khairie berkata pakar keselamatan siber masih berpendapat jawapan itu tidak bermakna FaceApp boleh dianggap selamat memandangkan terma dan syarat penggunaannya didapati kurang mengikut piawaian General Data Protection Regulation (GDPR).

Selain itu, perkara yang tercatat dalam terma penggunaan aplikasi ini disifatkan agak longgar dan berpotensi disalah guna.

Justeru, apa peranan pengguna dalam berhadapan situasi berisiko seperti ini?

Menganggap kesedaran netizen di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia masih rendah, beliau berkata pengetahuan mengenai sesebuah produk digital atau dalam talian yang berbayar atau percuma adalah amat penting.

“Produk era digital terutamanya aplikasi yang dipasang pada peranti sebahagian besarnya percuma namun ia bukanlah ‘100 peratus percuma’ kerana masih ada kos tidak langsung yang dikenakan.

“Ini merujuk kepada data atau maklumat pengguna sebagai ganti kepada wang. Apabila pengguna tidak memahami dan tidak arif tentang terma penggunaan itu, mereka sebenarnya dalam keadaan berisiko,” katanya.

Sikap masyarakat yang selalu ambil mudah dalam mengendalikan media sosial serta aplikasi tertentu bukan sahaja berpotensi ‘mencuri’ maklumat malah boleh dimanipulasi bagi tujuan tidak sihat lain.

“Apabila kita masuk sahaja ke alam digital, setiap komunikasi akan dirakam (direkodkan). Setiap komunikasi ini pula boleh dikesan dengan pelbagai sistem forensik komunikasi digital.

“Untuk menganggap kita selamat dalam apa sahaja bentuk sistem digital, sebenarnya, ia kurang tepat. Sejarah dunia membuktikan bahawa rekod dan amalan komunikasi merupakan maklumat yang berharga dan pada masa yang sama boleh menjadi ancaman terhadap individu, organisasi mahupun negara,” katanya.

Justeru itu, Mohd Khairie mengingatkan netizen supaya memberi fokus kepada mengurangkan risiko akibat corak komunikasi digital.

Menurutnya berdasarkan statistik Cyber Security Malaysia (www.mycert.org.my), fenomena ancaman keselamatan siber menunjukkan situasi yang agak membimbangkan.

Sehingga Julai 2019, sejumlah 1,050 insiden berkaitan dilaporkan kepada agensi tersebut berbanding tempoh sama pada 2018 yang mencatatkan 766 kes dan 648 kes pada 2017.

“Statistik ancaman dilaporkan bertambah sebanyak 62 peratus pada 2019 berbanding 2017,” katanya.

Beliau berpendapat masyarakat mempunyai pilihan dalam mengendalikan ‘dunia’ digital masing-masing namun setiap netizen haruslah didedah, dididik dan dibudayakan dengan kecelikan digital.

Ungkapan ‘jadilah pengguna bijak’ adalah prinsip penting yang perlu sentiasa diamalkan setiap masyarakat khususnya di era ekonomi digital.

“Harus diingat, data atau maklumat merupakan komoditi penting dan berharga dalam ekonomi masa kini,” katanya.

Gores dan menang moden

Sementara itu, Dr Masitah Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan berkata lambakan aplikasi dan permainan dalam media sosial dikhuatiri mengundang lebih banyak keburukan jika gagal dikendalikan dengan sebaik-baiknya.

Strategi aplikasi dan permainan dalam talian yang mengkehendaki pengguna memberikan maklumat serta data peribadi mereka, katanya, adalah seperti peraduan ‘gores dan menang’.

“Peraduan ‘gores dan menang’ adalah contoh paling relevan malah ramai yang menjadi mangsa. Dahulu, kita dikehendaki mengisi borang dengan maklumat peribadi bagi tujuan menyertai peraduan tertentu dan hari ini, matlamatnya tetap sama iaitu syarikat terlibat atau penganjur masih meraih keuntungan cuma kaedahnya berbeza menggunakan teknologi maklumat khususnya platform media sosial.

“Pengguna janganlah terlalu taksub dalam mengguna pakai sebarang aplikasi kerana tanpa disedari, kita membuka ruang kepada kejadian jenayah yang mungkin tidak dijangka sama sekali,” katanya.

Pada masa sama, Masitah berkata tindakan menjawab soalan-soalan tertentu seperti tarikh lahir, tempat tinggal, nama keluarga dan jumlah anak dalam permainan dalam talian juga boleh mengundang kepada jenayah siber.

Keterujaan netizen berkongsi butiran peribadi kepada umum termasuk aktiviti harian, lokasi keberadaan serta alamat tempat tinggal juga boleh memudaratkan, katanya.

Mengakui pentingnya pendidikan media atau literasi media, beliau berkata semua lapisan masyarakat termasuk di bandar dan luar bandar wajar mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

“Dengan ledakan teknologi serta maklumat tanpa sempadan masa kini, literasi media wajar dijadikan antara silibus dalam pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

“Sebahagian masyarakat mungkin mempunyai pengetahuan asas mengenai pendidikan media namun selagi ia tidak diterjemah menjadi satu bentuk pendidikan yang wajib, maka ia tetap mempunyai kekurangan dan sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA PENDAPAT RENCANA

Kemelut tulisan seni khat uji perpaduan kaum

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Isu khat sekarang ini betul-betul membuktikan bahawa mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang.

Contohnya, isu kaligrafi atau tulisan yang dirancang diperkenal sebagai satu daripada penyumbang kecil kepada perpaduan kaum, ia bagaimanapun berjaya dimanipulasi oleh pelbagai pihak dan akhirnya berubah secara drastik kepada isu perkauman hangat.

Sebagai negara berbilang kaum yang pada tahun ini menyambut 62 tahun kemerdekaan, ke arah mana rakyat Malaysia sebenarnya mahu bersatu padu dan membangunkan negara bersama?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr P. Sivamurugan berkata, perbezaan antara kaum harus diraikan dan bukan dijadikan titik menzahirkan ketidaksefahaman.

Ikon Patriotik Hari Kebangsaan 2016 itu berkata, perbezaan itu harus dianggap sebagai aset, bukannya liabiliti dan dalam isu seperti ini perlu ada faktor korban dan kompromi tanpa perlu mengira siapa yang perlu berkorban dan berkompromi.

“Saya fikir jika rakyat Malaysia kesemuanya mampu tingkatkan tiga nilai – faham, hormat dan saling terima – saya percaya isu seperti Dong Zong, khat, insiden jalan raya di Bangi Sabtu lalu yang dijadikan isu perkauman dan sebagainya tidak akan wujud.

“Kita harus boleh bezakan nilai kemanusiaan dan nilai politik kerana jika semua isu dipolitikkan maka penghujungnya adalah ketegangan sesama kaum yang kita harus hadapi,” kata Sivamurugan.

Sebelum ini, Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim dilapor berkata, bahawa badan pertubuhan pendidikan Cina itu akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan sebagai membantah pembelajaran khat di sekolah vernakular selain bertegas langkah kerajaan memperkenalkan tulisan itu di sekolah sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

Sebagai respons, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’ kerana tidak pernah bersetuju dengan apa-apa keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama.

Sebagai tindak balas kepada tindakan Dong Zong, antara lain Pemuda (Armada) Bersatu dan Gerakan Pengundi Sedar melancarkan petisyen atas talian menggesa pengharaman Dong Zong yang masing-masing sehingga 3 petang semalam mendapat lebih 30,000 dan 87,000 sokongan.

Isu khat menjadi kontroversi dan mendapat pelbagai reaksi terutama di media sosial yang jelas menunjukkan syak wasangka antara kaum masih wujud di negara ini.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malek sebelum ini dilapor menafikan kerajaan cuba memperkenalkan pendekatan Islamisasi dan menyifatkan pembelajaran Jawi sebagai usaha menghargai warisan tulisan lama bahasa Melayu.

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong tidak menafikan setiap episod yang berlaku berkaitan isu khat ini adalah tidak baik kepada perpaduan negara yang sekarang ini pun tidak berada dalam keadaan utuh.

Isu khat ini, kata beliau, sepatutnya sudah selesai selepas keputusan kerajaan memendekkan pendidikan khat daripada enam kepada tiga halaman, selain memberi pilihan waktu pembelajarannya namun Dong Zong tetap mahu meneruskan bantahannya melalui petisyen yang sedang diusahakannya.

“Sekolah vernakular di negara ini perlu ikut mendukung elemen negara dalam kadar yang munasabah iaitu dengan turut menjayakan aspirasi negara untuk mengangkat simbol Melayu sebagai lambang negara yang sama-sama dipersetujui dalam Perjanjian Kemerdekaan pada 1957,” katanya.

Langkah petisyen itu juga bersifat subversif kerana ia semacam serangan terhadap sistem sosiobudaya Melayu, yakni amalan Melayu yang telah dipersetujui bersama semasa Perjanjian Kemerdekaan antara Melayu dan bukan Melayu bahawa proses sosiobudaya Melayu menjadi identiti negara.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Analisis: Aidiladha disambut meriah di Selangor

Kemeriahan Aidiladha dapat dirasai apabila program ibadah korban dapat disaksikan di merata tempat seluruh Selangor.

Di Masjid Negeri pada 11 Ogos lepas, ibadah korban dimulakan apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan lembu untuk dikorbankan kepada Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya.

Sebelum itu, baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat.

Sungai Tua

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Dato’ Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan terbabit, Amirudin Shari meluangkan masa untuk melaksanakan ibadah korban bersama masyarakat setempat.

Antara lokasi yang sempat dikunjungi, Surau Nurul Falah, Putri Laksamana; Surau Al Ehsan, Apartment Laksamana Jaya B, Surau Nurul Muttaqi, Apartment Cempaka; Surau Sururul Muttaqin, Kampung Boyan dan Surau Al-Hijrah Kampung Sungai Tua.

Paya Jaras

Manakala di DUN Paya Jaras, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman juga meluangkan masa untuk bersama masyarakat tempatan melaksanakan ibadah korban.

“Selain korban persendirian, Kerajaan Negeri menyumbang sembilan ekor lembu dan di Paya Jaras kami fokus kepada rumah-rumah kos rendah, surau-surau dan Orang Kelainan Upaya melalui Pusat Pendidikan Dalam Komuniti.

“Terima kasih Dato’ Menteri Besar atas sumbangan ini dan hari ini Insya Allah program korban akan diteruskan lagi di beberapa tempat,” kata beliau yang juga ADN DUN terbabit kepada SelangorKini.

Taman Templer

Di DUN Taman Templer pula lembu korban diagihkan kepada masjid dan surau yang mengadakan Solat Jumaat.

Selain sumbangan Kerajaan Negeri, ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan menyumbang dua ekor lagi untuk dikorbankan.

“Korban dilaksanakan secara bergotong royong yang mewujudkan suasana muafakat dan perpaduan kuat dalam masyarakat.

“Tambahan enam ekor lembu diberikan kepada persatuan penduduk dan surau-surau tetapi sayangnya saya sempat pergi ke tujuh lokasi sahaja kerana terpaksa berkejar ke Hospital Sungai Buloh kerana suami kakitangan terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Lembu-lembu itu diagihkan kepada Surau Istiqamah, Pangsapuri Camar; Surau Al Mukmin, Selayang Sejati; Surau Al Falah, Taman Selayang Bahagia; Surau An Nur Taman Setia, Rawang; Surau Ar Rahim, Taman Selayang Mutiara dan Pangsapuri Nuri, Bukit Idaman.

Sijangkang

Sementara itu di DUN Sijangkang, ADN DUN terbabit, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi hadir bagi menyempurnakan ibadah korban di Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang bersama masyarakat setempat.

Lebih menarik lagi, beliau sendiri turut serta menyembelih lembu pada majlis itu.

“Tahniah Pengawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang bekerja keras menyempurnakan ibadah korban dengan jalinan ukhuwah penyatuan ummah antara penduduk, syabas,” katanya.

SelangorKini dimaklumkan program korban masih diteruskan pada hari kedua raya haji lalu di beberapa tempat DUN terbabit.

Hari kedua bermula di Kediaman Rasmi MB

Kemeriahan Aidiladha pada hari kedua pula dimulakan dengan Majlis Sambutan Hari Raya Korban di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar.

Walaupun majlis diadakan ini tidak sebesar Rumah Terbuka Aidilfitri namun ianya tetap meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan para pemimpin negeri.

Majlis itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad.

Batu Tiga

Amirudin Shari beramah mesra bersama jemaah Surau Al-Hidayah ketika Program Sumbangan Lembu, Ziarah Korban, pada Majlis Kenduri Rakyat Hari Raya Aidiladha 2019 di sekitar Surau DUN Sungai Tua. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Di Dewan Pusat Wanita Berdaya, Seksyen 24 Shah Alam pula, Program Korban Perdana DUN Batu Tiga turut diadakan.

Sebanyak sembilan ekor lembu ditumbangkan pada program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu.

Selain EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi yang juga ADN DUN terbabit, Rodziah Ismail, turut hadir memeriahkan suasana, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.