Categories
AGENDA NASIONAL

Set tren LRT terbiar di Ulu Yam bukan milik Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengesahkan set tren transit aliran ringan (LRT) yang didakwa terbiar di Ulu Yam, Selangor dan menjadi tular menerusi video di YouTube baru-baru ini, bukan lagi milik pihaknya.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan hak milik set tren itu dipindahkan kepada CRRC Zhuzhou (sebelum ini CSR Zhuzhou) pada 2014 sebagai sebahagian daripada program beli-semula untuk pembelian 50 set tren baharu yang kini digunakan untuk perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling.

“CSR-Zhuzhou juga mengesahkan bahawa set tren itu telah dilupuskan dan dijual pada 2016 kepada pihak ketiga yang kemudiannya diletakkan di kawasan persendirian di Ulu Yam.

“Oleh kerana tren-tren lama ini bukan lagi aset dan tanggungjawab kami, adalah tidak wajar untuk kami mengulas lanjut mengenai perkara ini,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa siasatan nahas LRT tidak sorok maklumat, hasil siasatan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jawatankuasa MOT yang menyiasat mengenai insiden perlanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lepas, tidak pernah menyatakan tiada pihak yang boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian itu berlaku.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung siasatan insiden berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Jawatankuasa Siasatan ini adalah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman. Oleh itu, jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan yang terlibat dalam insiden ini, hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat yang telah diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani oleh mereka dengan pihak Prasarana masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya.

Beliau menjelaskan ungkapan “Tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak” yang menurutnya bukan bermaksud tiada yang bersalah.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata masalah teknikal dan kegagalan komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan pemandu (hostler), adalah antara punca berlakunya pelanggaran tren LRT laluan Kelana Jaya, 24 Mei lepas.

Dalam kejadian 24 Mei lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Wee berkata, dalam menentukan suatu dapatan salah dan tanggungan, proses perundangan sewajarnya perlu dilaksanakan, demi memastikan bahawa prinsip keadilan sejagat turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT terbabit.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan bukannya ditubuhkan untuk menjatuhkan hukuman, dan MOT tiada kuasa untuk menghakimi apa jua kes.

“Ketika saya mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci pelanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya. Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Wee berkata peranan jawatankuasa itu adalah untuk menentukan faktor dan sebab berlakunya kejadian berkenaan, yang merupakan fungsi utama penubuhan Jawatankuasa Siasatan untuk dilaksanakan dan menyelesaikannya dalam tempoh yang ditentukan.

Siasatan dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data yang diperoleh dan, atau diberikan kepada jawatankuasa berkenaan secara profesional dengan keutamaannya adalah memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya juga secara peribadi telah mengunjungi dan menghubungi mangsa-mangsa yang cedera. Kami memandang serius terhadap apa yang menimpa mereka.

“Seperti yang telah saya maklumkan dalam sidang media pada 10 Jun, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet adalah untuk membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad, dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang dikemukakan,” katanya.

Pada 10 Jun, Wee dilaporkan berkata cadangan penambahbaikan disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan itu melibatkan lima cadangan yang perlu dilakukan dalam masa tiga bulan, 11 cadangan dalam masa antara tiga dan enam bulan, dan tujuh penambahbaikan dalam masa lebih dari enam bulan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Khidmat tren, bas Prasarana beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perkhidmatan tren dan bas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan kekerapan bas pada waktu puncak pagi dan petang adalah kekal iaitu antara pukul 6.00 hingga 10 pagi dan antara pukul 4.00 petang hingga 8.00 malam manakala kekerapan untuk waktu bukan puncak dikurangkan kepada 50 peratus, namun akan berubah berdasarkan permintaan.

“Operasi bagi perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan diselaraskan dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak pagi dan petang pada hari biasa dan 30 minit pada hari minggu dan cuti umum namun ia akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Prasarana dalam pada itu turut menyarankan pengguna Rapid KL memuat turun aplikasi PULSE untuk memeriksa jadual terkini perjalanan bas serta rel, dan bagi penumpang bas Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting, mereka disaran menggunakan platform media sosial syarikat berkenaan untuk mendapatkan jadual terkini perjalanan.

Sekatan pergerakan penuh atau fasa pertama di seluruh negara akan berkuat kuasa selama 14 hari bermula tengah malam ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor gesa kongsi laporan penuh insiden tren bertembung

SHAH ALAM, 25 MEI: Kerajaan Negeri menggesa hasil siasatan insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dikongsi kepada semua pemegang taruh termasuk Selangor yang memiliki jaringan perkhidmatan tu.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata hasil siasatan perlu dibincangkan bersama termasuk penilaian semula prosedur dan penyelenggaraan tren serta landasan LRT.

“Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga wajar memastikan kekerapan latihan kecemasan yang mencukupi untuk menghadapi insiden seumpama ini.

“Insiden ini menjejaskan usaha meningkatkan kepercayaan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam yang bukan sahaja selesa dan cepat tetapi selamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri menyasarkan penggunaan 60 peratus pengangkutan awam menjelang 2030 seiring pertambahan penduduk di Lembah Klang.

Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk mengenal pasti punca dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC semalam.

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong menjangkakan laporan penuh insiden itu diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Kejadian pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak sedang dipandu uji. Seramai 65 mangsa masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan positif Covid-19, Rapid Rail jamin perkhidmatan selamat diguna

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Rapid Rail Sdn Bhd memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat meskipun seorang pegawai stesen transit aliran ringan (LRT) di Stesen Bandaraya didapati positif Covid-19.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

Selain itu, katanya kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren juga sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan para penumpang.

Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. Foto Sumber: Facebook Rapid KL

“Staf berkenaan disahkan positif Covid-19 dua hari lepas dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Staf berkenaan bertugas kali terakhir pada 19 Disember lepas dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tidak mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya melaksanakan kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan pada hari pegawai itu disahkan positif berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pegawai stesen itu turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah SOP KKM.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas, telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kekerapan tren, bas di Lembah Klang dikurangkan – Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kekerapan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan mulai esok sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana) Datin Norlia Noah berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Norlia memaklumkan kekerapan bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini, termasuk pada waktu puncak.

-BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tren: Isu keselamatan, masa perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Elemen keselamatan dan masa adalah antara aspek yang perlu ditingkatkan bagi menjadikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan tren dan rel sebagai pilihan utama dalam kalangan orang ramai, terutama penduduk di Lembah Klang.

Walaupun pelbagai perkhidmatan tren dan rel disediakan seperti komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad, Transit Aliran Ringan, monorel, Transit Aliran Massa dan Perkhidmatan Tren Elektrik , dan ramai yang mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan itu tetapi perlu dilihat juga kenapa masih ramai yang enggan menggunakan perkhidmatan itu.

Koordinator Program Research For Social Advancement, Fakhrurrazi Rashid berkata,
6 dua faktor itu menjadi perkara asas paling utama yang dititik beratkan oleh penumpang mana-mana sistem pengangkutan tren dan rel.

Katanya, sebagai pengguna pengangkutan awam sejak di bangku sekolah, beliau melihat perkhidmatan seperti sistem LRT masih di tahap penerimaan sama seperti dahulu walaupun pembaharuan dibuat dari semasa ke semasa.

“Keselamatan di stesen masih membimbangkan, walaupun jumlah polis bantuan yang bertugas ramai iaitu kira-kira 2,000 orang di stesen LRT dan MRT, namun kekerapan anggota itu tidak mencukupi menyebabkan ia masih lagi menjadi sasaran penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka.

“Selain itu, waktu operasi rel juga perlu dipanjangkan sehingga pukul 2 pagi bagi memberi peluang kepada pekerja bertugas malam untuk menaiki tren.

“(Sebagai contoh) kawalan pemanduan LRT menggunakan teknologi komputer seperti laluan Kelana Jaya – Gombak mampu berbuat demikian dengan penambahan perjalanan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan bagi mengatasi gangguan teknikal kerana isu seperti itu masih berlarutan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan kerja ke Jepun pada November tahun lalu dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapatkan kerjasama syarikat negara itu, JR Kyushu Railway Company bagi meneliti masalah pengangkutan tren di Malaysia.

Katanya, ia bagi memastikan peranan dan manfaat perkhidmatan itu dipertingkatkan.

Dr Mahathir berkata, walaupun keseluruhan perkhidmatan tren dan rel di Malaysia hampir siap sepenuhnya, tetapi penggunaannya hanya 30 peratus sahaja dan terdapat 70 peratus ruang yang tidak digunakan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara, Dr Siti Nurbaya Ab Karim berkata, sistem pengangkutan awam yang efektif terutama di ibu kota boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas dan secara tidak langsung melahirkan warga kota yang lebih produktif.

Katanya, mengambil contoh perkhidmatan komuter, kajian mendapati faktor utama penumpang menaiki komuter adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, masalah parkir, tidak mahu memandu dan tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Selain itu, harga tambang yang berpatutan, faktor cuaca dan kemudahan selesa turut menjadi sebab utama mereka memilih menaiki komuter,” katanya.

Katanya bagaimanapun, aspek ketepatan masa dan kapasiti pengangkutan sedia ada harus difokus oleh pihak berkaitan bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat saban hari.

“Perkhidmatan boleh ditingkatkan dengan penambahan kecekapan tren dari segi kekerapan perkhidmatan bagi mengurangkan masa perjalanan, mengukur masa perjalanan, kos perjalanan, masa menunggu, masa di dalam kenderaan, penumpang yang beratur dan kesesakan tren.

“Selain itu mengurangkan tempoh masa tren berhenti di setiap stesen dengan memperbaiki masa menaiki dan turun dengan menyediakan kemudahan lebih selesa seperti pintu yang lebih luas atau lebih banyak disamping kawsan menunggu yang selesa,” kata beliau.

Bagi Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia, Dr Siti Zaharah Ishak, beliau mencadangkan supaya disediakan kemudahan wifi percuma dalam tren dan bas serta di terminal bas atau stesen tren bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, selain dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Katanya, selain itu, terminal pengangkutan awam utama juga boleh menyediakan konsep pembangunan berorientasikan transit bagi menambah jumlah penumpang dengan memudahkan penumpang berpindah dari satu pengangkutan awam ke pengangkutan awam yang lain.

-BERNAMA