Categories
AGENSI SELANGOR

Paip pecah, dua kawasan Petaling alami gangguan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dua kawasan di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di KM6.6 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Kolam Air Pantai Kompleks, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, insiden itu berpunca daripada kerja dilakukan pihak ketiga.

“Penutupan bekalan air sementara dan tidak berjadual bagi pelaksanaan kerja pembaikan iaitu Seksyen 11 dan 16 serta Jalan Pantai Baharu juga Lingkaran Syed Putra Wilayah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Raof berkata, pihaknya sudah memulakan proses kerja pembaikan dan mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja baik pulih paip yang pecah.

“Air Selangor juga sudah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa dan berkaitan,” katanya.

Pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau Appstore untuk maklumat dan status terkini kerja pembaikan serta jangka masa siap.

Categories
AGENSI SELANGOR

Cawangan LZS UTC Shah Alam mula beroperasi

SHAH ALAM, 1 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memulakan operasi cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seksyen 14, di sini hari ini berikutan penutupan operasi cawangan Kompleks PKNS, pada 8 Julai lalu.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, cawangan baharu itu akan beroperasi mengikut waktu ditetapkan pengurusan UTC, iaitu pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula 1 petang hingga 10 malam, sementara Sabtu dan Ahad bermula 8 pagi hingga 5 petang.

“Bagaimanapun, waktu operasi ini khusus di cawangan UTC sahaja, manakala waktu operasi di 26 cawangan LZS adalah seperti biasa.

“Pembukaan cawangan ini adalah inisiatif kami bagi memudahkan masyarakat terutama di kawasan sekitar untuk berurusan dengan LZS di luar jangkauan waktu pejabat dan hari cuti,” katanya.

Antara perkhidmatan disediakan temasuk urusan taksiran zakat dan bayaran zakat, khidmat rundingan berkaitan agihan zakat, fidyah, wakaf, sedekah serta wang tidak patuh syariah.

LZS cawangan baharu berkenaan turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik dan debit.

Categories
AGENSI SELANGOR

Johan Setia catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kualiti udara di Johan Setia di Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat, iaitu pada bacaan 106 setakat 10.30 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMs), sehingga waktu itu dipaparkan, sebanyak 64 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara 51 hingga 100, manakala tiga stesyen lagi mencatatkan bacaan baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara bakal berdepan pencemaran udara atau jerebu, bermula hari ini.

Ia berkemungkinan berlaku ekoran kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Tiupan angin itu juga dipengaruhi faktor tekanan angin rendah di Laut China Selatan.

IPU yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang APIMs akan mengambil kira kepekatan partikel halus (Particle Matter) yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5), mulai semalam.

Penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah sejajar dengan kebanyakan negara maju dan ia akan mempertingkatkan lagi usaha kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar.

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM terima Anugerah Inisiatif Hijau 2019

SHAH ALAM, 1 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) terus menempa nama apabila dipilih menerima Anugerah Inisiatif Hijau 2019 oleh Waste Management Association of Malaysia (WMAM).

Anugerah berkenaan disampaikan pada Malam Gala Tahunan kelima WMAM 2019 di Grand Ballroom, Hotel The Royale Chulan Damansara, malam tadi.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada KDEBWM atas usaha inisiatif hijau yang dijalankan syarikat berkenaan.

“Ini adalah penyertaan julung kali KDEBWM dan berjaya mendapat pengiktirafan oleh WMAM.

“KDEBWM selaku syarikat yang menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor sentiasa menyokong inisiatif hijau yang dijalankan,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, pelbagai inisiatif hijau dijalankan KDEBWM melalui aktiviti kitar semula, iaitu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kempen kesedaran dengan kolaborasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan, penduduk serta penggunaan produk mesra alam.

Katanya, dalam aktiviti kitar semula, KDEBWM bermula sejak Disember 2018 dengan menubuhkan Pusat Pemerolehan Semula Sisa Pepejal dan mampu memproses bahan kitar semula sebanyak 12 tan sehari.

“Manakala melalui aktiviti CSR, KDEBWM menyumbang tong kitar semula serta menyertai program inisiatif hijau bersama Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan penduduk dan masyarakat.

“Selain itu, KDEBWM juga mempromosikan produk hijau dengan produk cenderamata syarikat dihasilkan menggunakan bahan mesra alam dan penghapusan penggunaan plastik juga menjadi salah satu agenda utama pihak syarikat dalam meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar,” katanya.

KDEBW adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai Project Management Company atau PMC dan diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam di Selangor secara berperingkat.

Terdahulu, KDEBWM menempa sejarah tersendiri apabila memenangi Anugerah Amalan Baik Asia Fasifik Frost & Sullivan 2019 bagi kategori ‘Smart Waste Company of the Year’.

Anugerah itu diterima KDEBWM buat kali kedua berturut-turut.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kualiti udara di Selangor pada tahap sederhana

SHAH ALAM, 31 JULAI: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri berada pada tahap sederhana sehingga jam 5 petang tadi.

Berdasarkan laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU paling tinggi dicatatkan di kawasan Johan Setia Klang dengan bacaan 79.

Sementara itu, di Klang mencatatkan bacaan pada tahap 78 manakala Shah Alam dan Petaling Jaya mencatatkan bacaan sama, iaitu 76.

Bacaan di Banting pula berada pada tahap 75 dan Kuala Selangor 64.

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut berhubung bacaan IPU terkini di seluruh negara, orang ramai boleh layari apims.doe.gov.my

Categories
AGENSI SELANGOR

SMK Sultan Abdul Aziz Shah juara Bicara Berirama Selangor

SHAH ALAM, 31 JULAI: Persembahan bertenaga dan penuh harmoni melayakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang muncul juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Selangor 2019.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu turut menyaksikan SMK Rawang mengungguli tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi SMK Pulau Indah, Klang.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menganjurkan program berunsur pendidikan di pusat-membeli belah milik syarikat terbabit iaitu SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

“Program pendidikan seperti ini penting kerana ia adalah salah satu cabang dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC.

“Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat dan meningkatkan kecemerlangan murid, baik yang bersekolah di bandar mahupun luar bandar dalam bidang kokurikulum serta akademi, di samping memperkukuh konsep pembelajaran bahasa Melayu yang sudah dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Selangor 2019 di SACC Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Penyelia Kokurikulum JPN Selangor, Yang Mulia Tunku Saidatul Bariah Tunku Nizam berkata, pertandingan itu mampu menarik minat pelajar untuk terbabit dalam persembahan bahasa puisi berkumpulan.

Katanya, ia membantu membentuk satu paduan suara tematik untuk diperdengarkan kepada penonton, sekali gus membentuk disiplin tinggi dalam kerja berpasukan.

“JPN Selangor berharap untuk meneruskan lagi sinergi ini pada masa hadapan bersama PREC yang dilihat sangat berkesan terutama dalam memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah.

“Ia juga dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk menonjolkan bakat mereka di khalayak ramai,” katanya.

Sebanyak 10 buah sekolah terdiri daripada 300 pelajar dan 100 guru pembimbing dari Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling Utama dan Petaling Perdana berentap bagi mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jangan bakar, guna kompos lebih mesra alam

SHAH ALAM, 30 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyarankan pengusaha pertanian supaya melakukan kompos daripada sisa pertanian yang lebih mesra alam berbanding pembakaran.

Pengarahnya, Shafe’ee Yasin berkata, hal itu bagi mengelakkan kebakaran tanah gambut yang sering berlaku pada setiap kali musim panas dan kering khususnya di Kampung Johan Setia.

Malah, katanya, sifat tanah gambut yang mempunyai bahan organik tinggi menjadikan kawasan berkenaan mengalami kebakaran berpanjangan dan sukar dipadam.

Beliau berkata, aktiviti pembakaran tidak terkawal yang dilakukan segelintir pengusaha pertanian turut menyumbang kepada masalah pencemaran udara di kawasan berkenaan.

“Johan Setia adalah kawasan tanah gambut yang mana secara semula jadinya mempunyai kandungan kelembapan tinggi.

“Penerokaan kawasan tanah gambut bagi tujuan pembangunan guna tanah seperti perumahan dan sebagainya menyebabkan kehilangan kandungan air dari kawasan gambut.

“Walaupun pembakaran sisa tuaian adalah amalan pertanian, namun bagi kawasan tanah gambut ia adalah tidak sesuai kerana sifat tanah gambut itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Bersama Petani dan Komuniti Sempena Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di sini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Shafe’ee berkata, kejadian jerebu yang berlaku akan menjejaskan kualiti udara dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.

Sehubungan itu, katanya, bagi menangani dan mencegah aktiviti pembakaran terbuka itu, JAS dan Unit Pantas Majlis Perbandaran Klang sentiasa menjalankan rondaan di sekitar kawasan Johan Setia.

“Rondaan ini dilakukan khususnya di kawasan pertanian bagi memastikan tiada pembakaran terbuka oleh mana-mana pihak bagi sebarang tujuan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar & guru luar negara bakal sertai FAM Trip

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seramai 80 guru dari Arab Saudi dan 15 pelajar dari Thailand bakal menyertai program Familiarization Trip (FAM Trip) anjuran Tourism Selangor, pada 31 Julai ini.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, mereka akan dibawa ke pelbagai tempat pelancongan menarik di Shah Alam antaranya Pustaka Raja Tun Uda, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sunway Lagoon dan I-City.

Katanya, inisiatif menggunakan aspek pelancongan pendidikan itu salah satu usaha Tourism Selangor meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan jumlah kedatangan pelancong yang akan berkunjung ke Selangor adalah seramai 7.7 juta orang.

“Oleh itu, kita optimis pelajar dan guru ini dapat menguar-uarkan informasi berkenaan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan Selangor kepada ahli keluarga serta rakan mereka apabila pulang ke tanah air nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor sempena Festival Antarabangsa #MySchoolGoals 2019, di Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, di sini hari ini.

Khuzaimah berkata, pihaknya turut memperkenalkan FAM Trip melalui media sosial supaya ia dapat membuka mata pelancong global untuk berkunjung ke negeri ini, pada masa akan datang.

“Kita berharap usaha Tourism Selangor mempromosikan produk pelancongan sehingga ke peringkat global dapat meningkatkan jumlah pelancong dari seluruh negara ke negeri ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Squad Kembara Sekolah dekati pelajar, promosi pelancongan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Tourism Selangor mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Jelajah Squad Kembara Sekolah untuk mempromosi produk pelancongan di negeri ini kepada pelajar dan guru.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, siri jelajah kali kedua itu memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya sebagai tuan rumah selepas siri pertama diadakan di SMK Darul Ehsan, Batu Caves, pada April lalu.

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor dan menerima penyertaan beberapa produk pelancongan utama negeri antaranya Sunway Lagoon, Kidzania, Farm in The City, Palace of the Golden Horses, Persatuan Sekinchan, Bangi Wonderland serta Jumpstreet.

“Pelbagai aktiviti menarik kita aturkan dengan memberi fokus terhadap jaringan informasi dan taklimat pelancongan komprehensif untuk mendedahkan pelajar serta guru SMK TTDI Jaya berkenaan pilihan produk pelancongan di negeri ini.

“Program ini turut menjadi landasan bagi penyaluran dan perkongsian informasi berkenaan industri pelancongan serta kebudayaan, sekali gus memperkenalkan Selangor sebagai negeri kaya dengan produk menarik selain berpotensi dijadikan sebagai antara destinasi pilihan pelancong.

“Malah, program ini juga dianjurkan bagi memperkenalkan pelajar dan guru kerana ada segelintir antara mereka tidak tahu kewujudan tempat menarik di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor bersempena Festival Antarabangsa #MySchoolGoals 2019, di SMK TTDI Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, operator produk pelancongan Selangor juga turut menyediakan pelbagai hadiah berupa baucar dan tiket percuma kepada pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan kuiz dan aktiviti interaktif secara ilmiah.

Khuzaimah berkata, penganjuran kali ini juga menampilkan persembahan istimewa dari suku kaum Orang Asal MahMeri yang turut mengetengahkan pengisian berbentuk persembahan kebudayaan yang menjadi tunjang industri pelancongan Kerajaan Negeri.

“Program Jelajah Squad Kembara Sekolah ini dijangka akan diteruskan pada setiap tahun dan kita merancang untuk memperluas skop program itu ke sekolah swasta dan antarabangsa,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS-MAIWP kerjasama bantu keluarga derita penglihatan

SHAH ALAM, 28 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited bekerjasama membantu keluarga menghidap masalah penglihatan.

LZS menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan, bantuan seperti perubatan dan keperluan asas akan diberikan kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban mereka.

Katanya, suami kepada keluarga berkenaan dipercayai menghidap masalah penglihatan dan hanya sebelah mata sahaja berfungsi pada kadar 20 peratus manakala, sebelah lagi rosak keseluruhan.

“Manakala isteri seorang saudara baru (muallaf) juga menghidap masalah sama iaitu rosak penglihatan (retina).

“Namun, selepas setahun mendirikan rumah tangga pasangan ini diuji lagi apabila anak yang baru sahaja dilahirkan menghidap masalah kanser mata iaitu jenis (Retinoblastoma),” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan, anak pasangan berkenaan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah dua kali menjalani sesi kemoterapi

Katanya, pasangan itu cuma menerima RM400 bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan suami hanya bekerja sebagai tukang urut manakala, isteri tidak bekerja kerana perlu menjaga anak di hospital.

“Sejurus menerima aduan, Skuad Saidina Umar LZS turun segera menemui keluarga ini di Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak HKL.

“LZS akan bekerjasama dengan Baitulmal MAIWP untuk membantu keluarga ini supaya keperluan mereka terjamin dan terbela khususnya soal perubatan dan keperluan asas.

“Bersamalah kita mendoakan semoga pasangan ini dan anaknya dikurniakan kesihatan dan kesembuhan serta dipermudahkan Allah sentiasa,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

1,000 kg sampah dikutip dalam tempoh 3 jam

KLANG, 28 JUL: Sekurang-kurangnya 1,000 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh tiga jam ketika program ‘River Guardian For a Better Tomorrow’ di Taman Awam Pengkalan Batu, di sini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, program julung kali dianjurkan dengan pembabitan komuniti itu diadakan melalui Projek Selangor Maritime Gateway (MSG).

“Saya berasa begitu aman melihat persekitaran di Taman Awam Pengkalan Batu ini yang sesuai untuk aktiviti beriadah, jadi adalah penting untuk kita menjaga persekitaran ini agar kekal ceria dan bersih.

“Saya berharap penganjuran program jalinan masyarakat ini dapat memupuk semangat kerjasama dan cintakan sungai dalam kalangan penduduk juga pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gotong Royong Taman Awam Pengkalan Batu ‘River Guardian For a Better Tomorrow’, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Syaiful berkata, sehingga kini sebanyak 50,000 tan metrik sampah telah berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang dalam operasi pembersihan bermula sejak 2016.

“Secara tidak langsung, visi untuk menghidupkan kembali Sungai Klang mula menampakkan hasil yang positif.

“Malah taraf kualiti air yang sebelum ini berada di kelas lima telah meningkat ke kelas tiga iaitu daripada status kotor kini semakin pulih,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai pantau aktiviti haram

KLANG, 28 JUL: Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai akan ditubuhkan melalui Selangor Martime Gateway (SMG) untuk memantau dan mengesan aktiviti haram yang boleh membahayakan kualiti air di negeri ini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, unit rondaan itu akan mula beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, sebelum itu pihaknya terlebih dahulu akan membuat penyediaan laluan yang sesuai di sepanjang tebing sungai di Selangor.

“Ia adalah komponen baharu dalam siri program pembabitan komuniti di bawah SMG dan akan menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada bagi memantau dan mengawasi sungai dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kepada penunggang motosikal yang berminat, kami mengalu-alukan pembabitan anda, jadi sila hubungi kami.

“Sasaran meningkatkan kualiti air tidak mampu direalisasikan tanpa penyertaan orang awam. Kita harus sedar, kebersihan adalah cerminan tahap peradaban sesebuah masyarakat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gotong Royong Taman Awam Pengkalan Batu ‘River Guardian For a Better Tomorrow’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Pada program itu, sebanyak 1,000 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh tiga jam.

Program anjuran LLSB melalui projek SMG itu turut mendapat kerjasama MPK serta sukarelawan dari badan bukan kerajaan, universiti dan komuniti setempat.

“Saya berharap usaha kami ini akan dilihat positif kerana mahu menyemarakkan semangat bantu-membantu dalam komuniti dan sedikit sebanyak akan mewujudkan rasa kekitaan yang tulen.

“Kita harus mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun di mana masyarakatnya memiliki disiplin serta mempunyai budaya cintakan kebersihan yang tinggi.

“LLSB sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkaitan dalam menjayakan program kali ini,” katanya.