Categories
ADN SELANGOR

Waspada fenomena air pasang besar, elak aktiviti di pantai

SHAH ALAM, 8 OKT: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang berlaku mulai hari ini sehingga Ahad, kata wakil rakyat Morib.

Hasnul Baharuddin berkata individu yang berkunjung ke pantai pada hari minggu disaran tidak melakukan sebarang aktiviti air, riadah atau rekreasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada kediaman penduduk terjejas…tetapi kita menasihatkan masyarakat berhati-hati dan dinasihatkan tidak berkelah atau bermandian di pantai pada hujung minggu nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya bersedia menghantar bantuan sekiranya ada penduduk di Morib terjejas ekoran air pasang besar tersebut.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di kawasan Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Categories
ADN SELANGOR

85 peratus individu dewasa di Kuala Langat telah divaksin

SHAH ALAM, 24 OGOS: Sebanyak 85 peratus individu dewasa di Kuala Langat telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata biarpun angka direkodkan itu tinggi namun pihaknya akan berusaha untuk menjejaki baki 15 peratus yang belum berbuat demikian.

“Kita akan cuba mengesan dan melihat kenapa mereka tidak disuntik, mungkin segelintirnya terlantar sakit dan sukar untuk ke pusat pemberian vaksin.

“Malah, ada juga mungkin anti-vaksin. Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menjejakinya bagi memastikan 100 peratus individu mendapat suntikan,” kata Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Pada masa sama, Hasnul berkata Kementerian Kesihatan Malaysia juga perlu menyegerakan pemberian vaksin kepada individu berusia 18 tahun ke bawah.

“Suntikan kepada pelajar ini harus disegerakan supaya ia akan memberi perlindungan dan kurangkan risiko dijangkiti apabila sekolah dibuka kelak,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib agih 1,600 bakul makanan, ringan beban penduduk

BANTING, 22 OGOS: Sebanyak 1,600 bakul makanan diagih kepada penduduk terjejas di Morib sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata wakil rakyatnya.

Hasnul Baharuddin berkata rata-rata penduduk terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sebahagiannya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.

“Antara golongan terkesan yang menerima bantuan adalah peniaga, penjaja, pekerja kilang, pemandu lori dan teksi serta pemandu bas dan van sekolah.

“Kita tidak hanya memfokuskan bantuan bakul makanan tetapi turut membantu individu yang mengalami masalah kesihatan seperti rawatan dialisis dan sumbangan kerusi roda,” katanya selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Morib di PPV Dewan MPKL Banting Baru hari ini.

Terdahulu Hasnul menyerahkan beg berisi makanan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan di PPV tersebut dengan diiringi Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Morib Johaini Ab Jalal.

Sementara itu, Johaini berkata pihaknya mengagihkan sebanyak 120 beg kepada petugas barisan hadapan di dua PPV iaitu Dewan MPKL Banting Baru dan Kompleks Sukan dan Belia MPKL Banting.

“Pemberian beg ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan masa diluangkan petugas barisan hadapan sepanjang proses vaksinasi dijalankan,” katanya.

PWB adalah pusat penggerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN di bawah Kerajaan Negeri dan bertujuan menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib serah katil mudah laras untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Wakil rakyat Morib semalam menyerahkan dua unit katil mudah laras untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Banting.

Hasnul Baharuddin berkata katil tiga fungsi berharga RM2,200 seunit hasil sumbangan Persatuan Keluarga Haji Salleh Mualim 1909 (PKHSM).

“Saya difahamkan persatuan terbabit menggerakkan inisiatif ini selepas menyedari ketidaktentuan bilangan pesakit Covid-19 di Kuala Langat sejak kebelakangan ini.

“Justeru, usaha murni dijalankan persatuan ini dengan mengutip dana daripada ahli mereka wajar dipuji,” katanya yang menyerahkan bantuan itu kepada pengarah hospital Dr Fakhruddin Amran.

Sementara itu, timbalan pengerusi PKHSM dalam kenyataan memaklumkan dana tersebut dikutip sejak Ramadan lalu melalui Tabung Infaq yang dilancar biro kebajikannya.

“Selain digunakan untuk membeli kemudahan itu, sumbangan juga diagih kepada pesakit kronik, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), asnaf, fakir miskin dan anak yatim,” kata Norhisham Othman.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Warga emas terharu wakil rakyat mahu baiki rumah usang

SHAH ALAM, 1 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membantu membaik pulih rumah seorang warga emas yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kanchong Darat, Banting dekat sini.

Hasnul Baharuddin berkata perkara itu diputuskan selepas mengesan situasi dihadapi Safuan Tanut, 76, ketika hadir menghulurkan sumbangan Covid-19 di situ semalam.

“Kami sempat singgah di pondok usang yang dibina dari kutipan kayu buruk. Pandangan yang cukup hiba untuk tahun ini dan sangat tidak diduga bagaimana ada penduduk boleh hidup dalam keadaan begitu.

“Justeru kami umumkan untuk baik pulih rumahnya dalam masa terdekat. Beliau menangis riang dengan berita gembira itu,” katanya di Facebook.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata paling menyedihkan apabila Safuan hanya bergantung kepada pendapatan RM300 dengan melakukan kerja kampung.

Katanya, atas faktor kesempitan hidup beliau sekadar mampu memakan nasi berlauk sayur ditanam di tepi rumah dan jauh sekali menikmati juadah ayam mahu pun daging.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

60 isi rumah Seri Jugra terima bantuan makanan

BANTING, 2 JAN: Seramai 60 ketua isi rumah di bawah pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini terpilih menerima bantuan bakul makanan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Morib berkata sumbangan makanan kering bernilai RM100 bagi meringankan beban golongan sasar yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Hasnul Baharuddin memaklumkan agihan itu dilaksana sejak pandemik Covid-19 tahun lalu melalui peruntukan pihaknya dan MPKK terbabit.

“Bantuan ini sebagai bukti komitmen kami yang sentiasa turun padang untuk membantu rakyat terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga daif,” katanya pada program penyerahan sumbangan itu.

Noraini Zakdin, 53, bercakap kepada media selepas Program Agihan Bakul Makanan di Kampung Sungai Raba, Banting pada 2 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sumbangan disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan merangkap wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah di Balai Raya MPKK Seri Jugra di sini.

Sementara itu, penerima Nor Rambah Junet, 63, terharu atas keprihatinan pihak berkaitan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan.

“Bantuan ini sememangnya diperlukan kerana mampu mengurangkan kos perbelanjaan, apatah lagi sumber pencarian kami sekeluarga terputus pada waktu ini akibat wabak,” kata ibu kepada dua anak.

Perasaan sama dikongsikan Noraini Zakdin, 53, yang berharap lebih banyak bantuan seperti itu disalurkan kepada individu memerlukan pada masa akan datang.

“Syukur Alhamdulillah dengan rezeki diberikan. Semoga pihak yang memberi bakul makanan ini dilimpahkan rezeki dan dikurnia kesihatan berterusan,” katanya yang menetap di Kampung Cantik.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Morib santuni anak yatim, hulur keperluan asas

SHAH ALAM, 23 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib meluangkan masa menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Kesayangan Maha di Taman Desa Jarom, Jenjarom, semalam.

Dalam kunjungan pertama kali itu, Hasnul Baharuddin turut menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada pengelola pusat jagaan yang menempatkan kira-kira 15 orang anak-anak yatim, fakir miskin lelaki berusia antara 1 hingga 12 tahun.

“Pusat jagaan ini dibuka awal Mac lalu dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Ia dikelola tiga penjaga dan kebiasaannya mereka akan masak terutama tengah hari.

“Ini merupakan pusat jagaan bukan Islam kedua di Kuala Langat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya akan membantu operasi pusat jagaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ini dalam urusan sewa bangunan dan utiliti bulanan selepas ini.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Persiapan rapi hadapi gelombang kedua air pasang besar

SHAH ALAM, 25 SEPT: Persiapan rapi dibuat bagi menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang yang dijangka berlaku pertengahan Oktober ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib.

Hasnul Baharuddin berkata langkah awal yang diambil adalah memastikan kelengkapan di pusat pemindahan mencukupi selain meningkatkan kerjasama bersama agensi keselamatan.

“Persiapan dibuat di beberapa kawasan pemindahan seperti di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang selain pemantauan bersama agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan fenomena pertama yang berlaku pertengahan bulan ini hanya merosakkan beberapa tembok penahan ombak seperti di Pantai Morib dengan kerosakan dibawah 10 meter.

Fenomena air pasang besar kedua dijangka berlaku pada 17 hingga 19 Oktober dengan ketinggian aras air sekitar 5.7 hingga 5.8 meter.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1)Sepang (03-8706 4613)
Pusat pemindahan: Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2)Kuala Langat (03-3182 2565)
Pusat pemindahan: Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang

3)Klang (03-3371 6700)
Pusat pemindahan: Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang, SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4)Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Pusat pemindahan: Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Dewan SRJK(C) Pasir Penambang, SMK Seri Tanjong, SK Pasangan, SK Asam Jawa, Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong, Dewan Orang Ramai Jeram, Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang, Dewan Orang Ramai Sungai Buloh dan SK Tambak Jawa

5)Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Pusat pemindahan: Dewan Sri Sekinchan, Dewan Sri Bernam, Dewan Parit Baru dan Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar

6)Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Salur RM2.3 juta sejak 2017, tambah baik prasarana Morib

SHAH ALAM, 6 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib giat menambah baik pelbagai prasarana pelancongan membabitkan peruntukan RM2.3 juta di kawasan itu sejak 2017.

Sebanyak RM564,066 dibelanjakan bagi menaik taraf dan pembaikan perpaipan tandas awam dan kemudahan tempat makan (RM180,000) di pantai Morib manakala membaik pulih tandas awam di pantai Kelanang (RM33,518) dan menaik taraf sistem pencahayaannya (RM417,309).

Hasnul Baharuddin, wakil rakyat penggal kedua sejak 2013, juga meningkatkan prasarana di Bukit Jugra yang pengunjungnya mencecah 1,000 orang pada hujung minggu berbanding hanya 100 sebelum ini.

“Usaha meningkatkan kemudahan itu dibuat kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib berpotensi menjadi destinasi pelancongan terkemuka yang tempiasnya bakal dirasai penduduk menerusi pertambahan peluang ekonomi.

“Sebab itu, saya bangkitkan ketiadaan tempat makan selesa di pantai Morib dan Kerajaan Negeri kemudian meluluskan peruntukan RM180,000. Begitu juga pencahayaan di pantai itu dan dataran di Pantai Kelanang yang kurang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul menjelaskan DUN itu juga mempunyai tarikan lain seperti Istana Bandar, Muzium Insitu Jugra dan Masjid Sultan Alaeddin yang terkenal dengan sejarahnya.

“Ia harus dipelihara pihak berwajib dan kemudahannya juga boleh dipertingkatkan selain promosi serta pengisian sejarahnya diperkemaskan lagi untuk tatapan pengujung,” katanya.

Beliau juga tidak lupa untuk membantu industri pembuatan kerepek di Kanchong Darat yang turut menggamit selera pengunjung lantaran keunikannya.

Prasarana pendidikan

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor juga menambah baik prasarana sekolah membabitkan peruntukan RM200,000 antaranya penurapan dataran di Sekolah Rendah Agama Sungai Buaya dan pembinaan dewan serta kemudahan lain di Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis.

Beliau juga meningkatkan kemudahan beberapa sekolah termasuk membina pagar di tingkat dua dan tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lanang untuk keselamatan murid berikutan keadaan kaki lima luar kelas agak rendah.

Selain itu, Hasnul turut memberi perhatian terhadap kemudahan jalan raya, masjid, surau dan balai raya untuk kegunaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau ada yang tidak boleh mendapat dana daripada agensi kerajaan, kita guna peruntukan ADN demi manfaat orang ramai,” katanya lagi.

Hasnul juga tidak lokek untuk membelanjakan peruntukan untuk penduduk terjejas ketika wabak Covid-19 melanda negara melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa satu hingga tiga.

Beliau juga menjelaskan kira-kira 5,000 penduduk mendapat manfaat langsung melalui Inisiatif Peduli Rakyat yang ditawarkan Kerajaan Selangor antaranya:-

– 1,700 orang menerima kad Peduli Sihat
– 380 orang mendapat kad Kasih Ibu Smart Selangor
– 600 waris menerima khairat kematian melalui Skim Mesra Usia Emas
– 3,000 warga emas menerima baucar Jom Shopping pada musim perayaan
– Mahasiwa menerima manfaat program hadiah IPT
– 100 usahawan mendapat bantuan perniagaan dan pembiayaan Hijrah Selangor.

 

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN cadang langkah agresif bangunkan semula Pantai Morib, Kelanang

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang lebih agresif membangunkan semula Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Banting dalam usaha menjadikannya sebagai pusat peranginan tumpuan pelancong.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin berkata pembangunan itu bagaimanapun perlu melalui kajian dan penelitian secara mendalam supaya tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

“Tepi Pantai Morib misalnya terdapat banyak hutan paya bakau, jadi kita harus peliharanya sebaik mungkin tetapi pada masa sama memikirkan kaedah tebus guna supaya pelancong boleh mandi-manda di situ.

“Cadangan pihak swasta wajar diambil kira kerana tanah di sepanjang Pantai Morib kebanyakan dimiliki individu namun sekiranya kita dapat laksanakan sesuatu projek, kita (berhasrat) membina pantai buatan seperti di Pantai Klebang, Melaka,” katanya mengulas usaha menarik kemasukan pelancong ke Morib.

Beliau berkata kemudahan awam di kedua-dua pantai tersebut juga perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Kita akui tiada kemudahan hotel bertaraf lima bintang di sekitar Morib jika dibandingkan dengan tempat lain dan hanya terdapat beberapa hotel tiga bintang, namun Pantai Morib sendiri mempunyai tempat riadah dan rehat yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga.

“Justeru, saya lihat usaha untuk menarik ramai pelancong ke Morib mampu direalisasikan jika kemudahan awam dinaik taraf dengan baik, tambahan pula terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang secara tidak langsung memudahkan pelancong dari luar negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Isu muflis, ADN Morib ambil tindakan undang-undang

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan memfitnahnya dalam isu muflis, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu sedang dibincangkan bersama peguamnya untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menafikan terdapat salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam seperti yang dilemparkan bagi menjelaskan hutang itu.

“Sebagai seorang manusia, saya juga berurusan dengan institusi kewangan. Pihak bank berkenaan sudah membatalkan notis itu.

“Namun, ada tohmahan mengatakan saya menggunakan dana awam sebanyak RM800,000 dan menyelesaikan hutang itu dalam masa dua hari, itu tidak benar,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menjatuhkan reputasinya dan kredilibiti sebagai wakil rakyat serta menerima pelbagai tohmahan.

“Saya tidak bayar apa-apa untuk menyelesaikan hutang itu. Premis yang dibeli pada 1999 itu sudah dibayar sebanyak RM280,000.

“Saya terpaksa melepaskan premis perniagaan itu kepada pihak bank kerana ia tidak mendatangkan keuntungan, jika teruskan saya akan rugi,” katanya.

Pada 22 Februari lalu, nama Hasnul tertera di notis Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan sebuah bank, namun notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Notis dikeluarkan kerana pihak bank masih belum terima bayaran daripada pembida. Tiba-tiba notis keluar di akhbar tanpa menghubungi saya terlebih dahulu,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN Morib nafi diri muflis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin, menafikan dirinya muflis seperti yang tular di Whatsapp dan ruangan iklan sebuah akhbar.

Beliau mengesahkannya kepada Selangorkini ketika diminta mengulas perkara demikian.

Katanya, nama yang tertera dalam notis Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Februari lalu oleh sebuah bank itu adalah dirinya.

Namun, notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Perkara itu masih dalam proses penyelesaian dan aset yang dimaksudkan adalah sebuah kedai strata dilelongkan.

“Pihak bank dan peguam khilaf sehingga keluar notis mahkamah. Pihak bank berkenaan berjanji akan membatalkan notis itu,” katanya ketika dihubungi.

Hasnul berkata, aset terbabit dibeli pada 1999 tidak mendatangkan hasil dan pihaknya sudah menjelaskan bayaran pokok.

“Bagaimanapun, ia cuma keuntungan kepada pihak bank belum habis,” katanya.

Katanya, kekeliruan itu boleh menjejaskan kedudukannya sebagai ADN.