Categories
AGENDA NASIONAL

Kebajikan pekerja perlu terus dipelihara susulan Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahu kebajikan pekerja terus dipelihara dan ditambah baik ekoran impak pandemik Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dalam kenyataannya sempena sambutan Hari Pekerja 2021 menyambut baik usaha kerajaan dalam menyemak semula gaji minimum, bersesuaian dengan situasi semasa kos sara hidup dan ekonomi negara.

Beliau turut menekankan keperluan sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam dilaksanakan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia yang telah diguna pakai sejak 2002 lagi.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie Mammal menerusi kenyataannya menyenaraikan 10 perkara bagi perhatian kerajaan dan majikan sebagai usaha memelihara kepentingan pekerja serta rakyat.

Antaranya, kesatuan itu mencadangkan keperluan kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama pemimpin kesatuan sekerja dan merangka pelan atau model ekonomi baharu, mengambil kira kesan wabak Covid-19.

“Pelan atau ekonomi harus menyediakan kerangka upah yang lebih mesra pekerja dan peluang-peluang pekerjaan baharu di sebalik Covid-19 dan kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Perkara seterusnya, kerajaan perlu ada satu usaha menyeluruh untuk menangani isu integriti dan rasuah yang melibatkan sektor awam dan swasta di semua peringkat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata majikan dan kerajaan perlu berhenti menawarkan gaji atau upah yang terlalu rendah serta menggesa kerajaan menguatkuasakan mekanisme kawalan harga yang lebih efektif bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Terserah kerajaan tentukan bonus penjawat awam

KUCHING, 25 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menetapkan jumlah pemberian bonus kepada 1.62 juta penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata CUEPACS yang secara tradisinya menuntut pemberian bonus telah memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan berhubung perkara berkenaan, semalam.

“Ini (berapa bulan gaji sebagai bonus dituntut) susah kami hendak sebut, asal sebut dapat RM500, kita sebut tiga bulan (gaji sebagai bonus) dapat RM500. Jadi, kali ini kita serah kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan petugas barisan hadapan COVID-19 di sini.

Beliau berkata CUEPACS telah menyatakan keperluan pemberian bonus selepas penjawat awam menjalankan tugas mereka dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan memerintah.

“Kami adalah tunjang kepada kerajaan yang menyampaikan setiap dasar diputuskan dan melaksanakan semua dasar-dasar ini, sebab itu negara kita ini tidak mempunyai apa-apa masalah besar dan rakyat masih boleh menjalankan aktiviti, bekalan makanan masih cukup dan tiada huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata CUEPACS juga memohon kerajaan menetapkan gaji minimum baharu serta pengisian jawatan seperti pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran dibuat secepat mungkin.

“Gaji minimum yang baharu ini hendaklah diseragamkan menerusi hasil kajian Bank Negara iaitu RM2,700, kajian dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM2,480 dan CUEPACS sendiri telah membuat kajian minimum gaji iaitu RM2,620,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuepacs minta kerajaan segera laksana lima tuntutan

KUANTAN, 16 OGOS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan agar segera menunaikan lima tuntutan yang belum dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata ini kerana penjawat awam telah membuktikan taat setia dan bekerjasama dengan tetap melaksanakan tugas dengan baik dan berdedikasi walaupun berlaku perubahan kerajaan.

“Lima perkara ini sudah dimuktamadkan setelah kajian terperinci dilakukan tetapi mengapa ia masih tidak dilaksanakan? Apabila pertukaran kerajaan berlaku, kakitangan kerajaan menjadi mangsa keadaan yang mana ada permintaan kita telah diabaikan.

“Sedangkan mereka telah menjalankan tugas dengan baik tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan sekali gus memastikan kerja pentadbiran pejabat kerajaan berjalan seperti biasa,” katanya.

Adnan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian (MoA) antara Widad University College (WUC) dengan USAINS Holding Sdn Bhd serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara WUC dengan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Semenanjung Malaysia (Kesateria) di sini.

Lima tuntutan itu ialah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat ‘time based’ kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018, selain pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56.

Ia juga melibatkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun dan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga diperluas kepada penjawat awam Sabah dan Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Naikkan elaun Cola penjawat awam gred 41 ke atas

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presidennya Adnan Mat berkata tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan Cola bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan Cola itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas, kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di sini.

Kenaikan Cola sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Sementara itu, Adnan meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini, antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Katanya kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” tegasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuepacs gesa kerajaan segera laksana ganti cuti rehat

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, tahun lepas.

Presidennya, Adnan Mat berkata pengumuman tersebut melibatkan penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan pelaksanaan itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Jan 2020.

Beliau berkata kerajaan perlu menyegerakan pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.

“Cuepacs sebelum ini juga menyuarakan mengenai isu ini, bagaimanapun sehingga tempoh enam bulan pertama tahun ini keputusan mengenainya masih tiada khabar berita.

Cuepacs memahami kekangan dialami kerajaan disebabkan penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun ketika ini hampir 70 hingga 80 peratus penjawat awam di pelbagai jabatan dan kementerian diarahkan bertugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berharap perkara tersebut diselesaikan segera pada tahun ini dan tidak dibawa kepada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada belanjawan baharu.

“Setiap janji atau perancangan yang telah dibuat dalam belanjawan sewajarnya diberi perhatian yang sepatutnya,” katanya.

– BERNAMA