Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Naikkan elaun Cola penjawat awam gred 41 ke atas

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presidennya Adnan Mat berkata tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan Cola bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan Cola itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas, kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di sini.

Kenaikan Cola sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Sementara itu, Adnan meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini, antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Katanya kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” tegasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naikkan elaun rumah, ringankan kos sara hidup – KPN

KUALA LUMPUR 18 JULAI: Polis memohon kerajaan menaikkan elaun perumahan anggota pasukan keselamatan itu untuk membantu meringankan beban yang dipikul mereka susulan peningkatan kos sara hidup.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana golongan itu dilihat lebih banyak berdepan kesukaran.

Beliau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggota pasukan keselamatan itu yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi terutama mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun yang diberikan ketika ini tidak mencukupi.

“Saya selalu meperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji akan tetapi elaun rumah terutama bagi anggota polis yang berpangkat rendah.

“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid berkata beliau memperjuangkan isu kenaikan elaun perumahan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2018.

Katanya disebabkan pemberian elaun perumahan yang rendah itu juga, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik polis kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan kononnya mahu membangunkan kawasan tersebut.

Beliau berkata tanah milik polis harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri dan bukannya pihak lain.

“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga polis di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya.

-BERNAMA