Categories
NASIONAL

Tiada sebab ganti MB Selangor, Azmin temui Khalid esok

azmin-pc-DNS-01KUALA LUMPUR 28 OKT : Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada sebab Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor mahu menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari meneruskan jawatannya bagi penggal kedua.

Dipetik Malaysia Kini, beliau yang juga Pengerusi BBC tidak faham mengapa isu itu dibangkitkan semula seperti yang dilaporkan media akhir-akhir ini.

“Tiada sebab bagi kami (BBC) nak tukar Tan Sri Khalid. Saya tahu kamu mahu mendengar jawapan ini… Tidak ada sebab (nak tukar beliau),” katanya sambil ketawa kecil kepada pemberita di parlimen.

Beliau berkata, tugas BBC negeri iaalah memberi idea baru berhubung langkah memajukan negeri itu dan membantu Khalid mengenal pasti serta menguruskan projek dan pembangunan.

“Kenapa isu ini dibangkitkan, kenapa kami tidak boleh beri pandangan? Dan bila dapat memo (BBC) dianggap sebagai kuasa pendesak? Kami bukan kumpulan pendesak, itu bukan tugas kami.

“Tugas kami untuk memberi idea dan membantu kerajaan dan menteri besar, untuk mengimplimentasi projek di bawah. Itu yang kita cadangkan. Dalam memorandum tidak ada (berkaitan) perkara peribadi, semua isu pembangunan,” katanya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa juga akan bertemu dengan Abdul Khalid petang esok, bagi membincangkan ‘perkara-perkara berbangkit dan juga tidak semestinya berkaitan memorandum BBC’ itu.

Semalam, Khalid dilapor menolak desas-desus bahawa jawatan yang disandangnya sejak 2008 bakal diambil alih oleh Azmin dan beliau menyifatkan desas-desus itu sebagai ‘asam garam dalam dunia politik’.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.