Categories
SELANGOR

Peruntukan pembangunan 2014 lebih besar

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Peruntukan perbelanjaan pembangunan Selangor 2014 adalah tertinggi berbanding 2013, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, jumlah itu diperoleh apabila kerajaan negeri dalam belanjawan 2014 turut mengumumkan bakal mengguna wang rizab sebanyak RM430 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

azmin ali dun 2“Kali ini, kita lihat ada pengurangan daripada segi pembangunan tetapi pada masa sama kita lihat Belanjawan Selangor 2014 secara menyeluruh apabila kali pertama rizab kerajaan negeri diguna secara telus dan berhemah.

“Sebelum ini, Selangor ketika di bawah Barisan Nasional (BN) juga banyak rizab selepas menyerahkan Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi umum tidak tahu di mana mereka menggunakan rizab itu.

“Ini membabitkan rizab yang bukan sedikit daripada hasil bayaran dibuat kerajaan pusat tetapi kini Menteri Besar secara telus mahu RM430 juta itu digunakan untuk pembangunan sahaja,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan rancangan penggunaan Rizab Negeri berjumlah RM430 juta itu bagi membiayai pembangunan enam inisiatif.

Enam inisiatif terbabit adalah RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, RM100 juta (rumah mampu milik), RM50 juta (bangunan sekolah), RM50 juta (usahawan dan pemerkasaan belia), RM50 juta (pembangunan desa) dan RM30 juta (pemberdayaan wanita).

Kerajaan negeri turut membelanjakan RM1.055 bilion bagi tujuan pembangunan atau 46.3 peratus daripada jumlah keseluruhan yang akan dibelanjakan untuk 2014 dan RM1.225 bilion atau 53.7 peratus lagi untuk perbelanjaan mengurus menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM2.28 bilion.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.