Categories
SELANGOR

Futsal Piala Iskandar tawar hadiah keseluruhan RM50,000

Oleh: SYASYA SUFIAN

BATU CAVES, 20 OKT: Pertandingan Futsal Piala Iskandar anjuran Pusat Khidmat DUN Cempaka dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Selangor menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Adun Cempaka, Datuk Iskandar Samad, berkata pertandingan dijadualkan berlangsung di seluruh Selangor melibatkan enam zon melibatkan Bangi, Shah Alam, Subang Jaya, Ampang dan Gombak bermula 8 November hingga Januari 2016.

ISKANDAR“Badan Bukan Kerajaan (NGO), kelab sukan serta syarikat yang berminat menyertai adalah digalakkan.

“Lebih 180 pasukan dijangka mengambil bahagian dimana setiap zon akan diwakili 32 pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Pertandingan Futsal Piala Iskandar di sini, hari ini.

Futsal Piala Iskandar mempertandingkan tiga kategori iaitu kategori lelaki terbuka, kategori lelaki bawah 17 dan 15 tahun.

Iskandar berkata, juara kategori terbuka akan membawa pulang wang tunai RM8,000 manakala juara kategori lelaki bawah 17 dan 15 tahun bakal membawa pulang RM5,000.

“Program ini diharap dapat mencungkil bakat baru serta memberi peluang kepada anak muda menunjukkan bakat mereka dalam sukan futsal,”katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 014-890 5560 (Izzad) dan 018-395 8148 (Wan).

-nR-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Perkenal Dasar Baru Tambah Rumah Mampu Milik

rumah mampu milik sept 2012 01

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dasar baru bagi mempelbagaikan jenis Rumah Mampu Milik (RMM) yang wajib dibina pemaju pada bulan September ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata, polisi yang bakal dilaksanakan ini menyediakan lebih banyak RMM kepada semua rakyat di negeri ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri berhasrat mempastikan stok perumahan ini mencukupi kepada semua golongan, rendah dan sederhana.

“Polisi baru ini ada lebih banyak jenis (rumah) bagi memenuhi kehendak rakyat yang berpendapatan rendah sehingga yang berpendapatan isi rumah RM 8,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menurut Iskandar, polisi baru ini menggantikan polisi yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada tahun 2010 lalu.

“Untuk polisi baru, kita belum lagi menghapuskan rumah kos rendah, tetapi dalam polisi baru, kita memberi fokus kepada mereka yang berpendapatan sederhana,” ujar Adun Cempaka itu.

Sehingga kini, seramai 15,105 orang pemohon ditawarkan untuk memiliki rumah kos rendah dari tempoh 2008 hingga 2013.

Manakala seramai 1,568 pemohon ditawarkan oleh Kerajaan Negeri untuk memiliki Rumah Mampu Milik sejak ia diperkenalkan dari tahun 2011 sehingga 30 Mei 2013.