Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Sultan, Permaisuri zahir dukacita pemergian Ahmad Sarji

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri menzahirkan dukacita atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pagi tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mengutus salam takziah kepada balu Allahyarham Toh Puan Sagiyah Salikin.

Mengikut Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Ahmad Sarji mempunyai hubungan rapat khususnya semasa Allahyarham berkhidmat sebagai KSN.

Suktan Selangor turut mengurniakan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Allahyarham pada 1992

“Baginda menganggap Allahyarham seorang yang komited dan banyak menyumbang pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berusia 82 tahun hari ini disahkan meninggal dunia di sebuah hospital pada jam 1.40 pagi.

Memulakan kerjaya sebagai timbalan penolong pegawai daerah Klang pada 1961, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN antara 1990 hingga 1996.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Tun Ahmad Sarji

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Dilahirkan pada 16 Sept 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam negara yang amat disegani dan dihormati.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB rakam takziah Tun Ahmad Sarji meninggal dunia, negara hilang tokoh terbilang

SHAH ALAM, 28 OGOS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah di atas kematian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata negara kehilangan tokoh yang terbilang yang menabur bakti di pelbagai sektor selain berkhidmat selama tiga dekad dalam perkhidmatan awam.

“Menerima perkhabaran dukacita Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, KSN kesembilan telah meninggal dunia pagi ini. Almarhum berusia 82 tahun.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.

Hari ini, ahli keluarga Ahmad Sarji memaklumkan tokoh berkenaan meninggal dunia di sebuah hospital pada jam 1.40 pagi.

Allahyarham merupakan pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan bekas KSN dari 1990 hingga 1996.

Beliau juga memulakan kerjaya sebagai timbalan penolong pegawai daerah Klang pada 1961.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas KSN Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga Ahmad Sarji dalam satu kenyataan hari ini.

“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham merupakan pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan bekas KSN dari 1990 hingga 1996.

-BERNAMA