Categories
EKONOMI

AirAsia giat laksana portfolio digital

KUALA LUMPUR 12 MAC: AirAsia Bhd akan membangunkan portfolio digitalnya sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes.

“AirAsia akan membuat satu lagi penjualan seperti yang dijanjikan. Akan ada penjualan dan pembelian balik satu aset untuk membangunkan portfolio digital kami.”

“Laksanakan semua yang kami katakan. Kini tumpu kepada kumpulan dan struktur digital kami,” katanya dalam catatan di laman twitter beliau hari ini.

Awal bulan ini, Fernandes mengesahkan kumpulan itu akan menjual aset bukan terasnya dan menumpukan kepada operasi teras.

Beliau dilaporkan sebagai berkata keuntungan kumpulan itu dijana daripada penjualan tiket penerbangan dan daripada pendapatan sampingan.

“Perniagaan pajakan bukan satu yang dinilai oleh penganalisis. Itulah sebabnya mengapa kami menjualnya,” kata Fernandes.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengesahkan ia akan menjual pegangannya dalam laman tempahan pelancongan, Expedia, dan penjualan itu dijangka selesai pada akhir tahun.

Kumpulan itu juga merancang menjual segmen makanannya “Santan” dan operasi logistik dan kargo.

Fernandes dalam laman Instagram beliau berkata syarikat itu akan melabur dalam teknologi kewangan seperti “bigpay”, perkhidmatan e-dompet dan kad pra-bayar.

Pada 11.55 pagi hari ini, saham AirAsia meningkat tiga sen kepada RM4.03 dengan 2.05 juta saham diurusniagakan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

AirAsia tawar tambang serendah RM9 sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR 3 FEB: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, menawarkan tambang sehala sehingga serendah RM9 dan RM199 masing-masing bagi destinasi domestik dan antarabangsa sempena perayaan Tahun Baru Cina.

AirAsia, dalam satu kenyataan berkata, tambang berharga RM9 itu merangkumi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu atau dengan tambang sehala bermula RM99 dari Kuala Lumpur ke Lombok, Bali, Davao, Chiang Mai, Ho Chi Minh City dan banyak lagi.

Syarikat penerbangan itu berkata, promosi itu juga diperluaskan ke destinasi jarak jauh dengan tambang sehala sehingga serendah RM199 dari Kuala Lumpur ke Macau, Kunming, Shantou, Shanghai, Hangzhou, Sapporo dan Taipei.

Ketua Komersialnya, Spencer Lee, berkata syarikat penerbangan itu telah mencapai kejayaan besar bagi memastikan perjalanan yang mampu milik kepada setiap orang sejak 2001.

“Kami juga memajukan rangkaian kami dengan lebih meluas, meningkatkan hubungan domestik serta antarabangsa. Justeru, kami berharap setiap orang akan merebut peluang keemasan ini untuk menempah percutian mereka dengan kami,” katanya.

AirAsia berkata, promosi itu sah dengan tempahan bermula sekarang sehingga 4 Februari 2018, bagi perjalanan untuk tempoh antara 1 Ogos 2018 hingga 31 Januari 2019.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

AirAsia tempatkan kru kabin lelaki penerbangan ke Aceh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: AirAsia hanya akan menempatkan kru kabin lelaki untuk penerbangan ke dan dari Aceh selepas pihak berkuasa wilayah Indonesia itu mengeluarkan arahan bahawa semua kru kabin wanita Muslim harus memakai hijab ketika tiba di wilayah tersebut.

Syarikat penerbangan tambang murah, dalam kenyataannya berkata pihaknya akur kepada peraturan dikenakan pihak berkuasa wilayah Aceh.

“Kami komited memastikan kru operasi kami mematuhinya. Buat masa ini, semua penerbangan AirAsia dari dan ke Aceh dikendalikan anak-anak kapal lelaki,” katanya memetik laporan Mstar Online.

Pihak berkuasa Aceh sebelum ini mengemukakan surat kepada syarikat penerbangan Indonesia, Garuda Indonesia dan syarikat tambang murah lain seperti AirAsia dan Firefly, mengarahkan kru kabin wanita Muslim memakai tudung semasa ketibaan atau berdepan hukuman oleh pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, syarikat penerbangan itu mungkin hanya akan menempatkan kru lelaki atau bukan Islam dalam penerbangannya ke Acheh.

Ong juga berkata syarikat penerbangan bajet itu sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pakaian seragam sesuai untuk kru kabin wanita Muslim.

“Kami masih menilai keadaan. Tiada keputusan kukuh telah dibuat,” katanya.

AirAsia dan Firefly adalah syarikat penerbangan utama yang mengendalikan penerbangan ke Bandar Aceh.

Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang menerapkan hukum syariah.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Warga New Zealand tegur skirt pendek pramugari AirAsia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Ekoran terlalu seksi dan mengghairahkan, warga New Zealand; Dr June Robertson ‘menegur’ cara pemakaian pramugari syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia.

Menerusi catatan Dr June yanag dimuat naik semula pengguna Twitter, Ammah Taha, beliau mendedahkan pengalaman pelancong itu ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia ke negara ini.

“Saya seorang wanita di usia pertengahan yang sering melawat Malaysia sepanjang tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Kami amat mencintai negara ini. Saya turut memilih destinasi Kuala Lumpur sebagai perhentian saya untuk ke Eropah dan memilih Hotel Sama Sama untuk menginap.

“Namun, saya cukup tersinggung dengan pakaian pramugari AirAsia yang memakai skirt pendek berbanding syarikat penerbangan lain seperti NZ, Australian atau American Airlines,” tulisnya.

Namun kata Dr June, pengalaman penerbangan ke Auckland dari Kuala Lumpur ketika menggunakan perkhidmatan AirAsia, pada Oktober lalu benar-benar tidak dapat dilupakannya.

“Pada penerbangan kelas ekonomi itu, seorang pramugari AirAsia dengan pakaiannya yang menampakkan sedikit permukaan atas bahagian dadanya.

“Saya menegurnya dan menyuruh pramugari itu menutup bahagian yang terdedah itu tetapi saya tertanya bagaimana sebuah negara yang dihormati seperti Malaysia boleh membenarkan keadaan seperti itu berlaku,” tulisnya.

Bagaimanapun, lebih mengejutkan kata Dr Jun, beliau juga pernah terlihat pakaian dalam seorang pramugari AirAsia ketika sedang berbelanja di sebuah pasar raya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, sebelum ini.

“Secara jujurnya, syarikat ini hanya akan merendahkan reputasi mereka apabila ramai penumpang yang melawat KLIA 2 dan melihat terlalu banyak skirt merah dengan gaya yang terlalu seksi,” tulisnya pada catatan itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan catatan berkenaan dibuat Dr Jun untuk diadukan kepada pengurusan AirAsia atau sebaliknya.

Namun, dalam catatan berkenaan, beliau masih memuji etika pemakaian pramugara lelaki AirAsia yang mengekalkan profesionalisma kerjaya itu.

Sementara itu, sehingga berita ini dilaporkan, catatan Twitter terbabit mendapat lebih 21,000 perkongsian semula (retweet) dan 9,000 suka (like).

Categories
EKONOMI

Tony Fernandes dilantik semula Pengarah Eksekutif, CEO Kumpulan Bersama AirAsia X

KUALA LUMPUR 30 DIS: Pengarah Bukan Eksekutif AirAsia X Bhd, Tan Sri Tony Fernandes telah dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bersama syarikat perniagaan itu, berkuat kuasa 1 Jan, 2018.

Susulan lantikan itu, beliau akan menyertai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Kamarudin Meranun untuk bersama-sama menerajui syarikat tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia X berkata Fernandes juga merupakan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd.

“Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan sepanjang kerjaya beliau dan ini termasuklah Honour of the Commander of the Order of the British Empire, yang dianugerahkan oleh Baginda Ratu Elizabeth II pada 2011, dan Commander of the Legion d’Honneur, yang dianugerahkan oleh Kerajaan Perancis,” kata syarikat itu.

Baru-baru ini, AirAsia juga mengumumkan perubahan pucuk pimpinannya yang merupakan sebahagian daripada penyusunan semula dalaman syarikat itu.

Ia termasuklah pelantikan Riad Asmat sebagai CEO berkuat kuasa 10 Jan, 2018, manakala CEO sekarang Aireen Omar dilantik sebagai Timbalan CEO Kumpulan bagi membantu mentransformasikan AirAsia menjadi sebuah syarikat global yang berlandaskan produk dan platform awan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Air Asia sedia bas percuma di Petaling Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 DIS: Kumpulan Air Asia Berhad bakal menyediakan kemudahan perkhidmatan bas percuma kepada warga Petaling Jaya, bermula tahun hadapan.

Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes berkata, keperluan itu dilaksanakan sebagai rangka promosi pasukan PJ Rangers melalui penjenamaan baru kelab bola sepak itu.

Beliau berkata, ia juga dilaksanakan atas prinsip tanggungjawab sosial syarikat penerbangan tambang murah berkenaan.

“Kita meneruskan inisiatif baru dengan menawarkan perkhidmatan bas percuma dari Petaling Jaya ke KLIA 2 (Kuala Lumpur International Airport) kepada warga bandar ini.

“Ini dilaksanakan juga bagi memastikan warga Petaling Jaya dapat menggunakan akses perkhidmatan pengangkutan terbaik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, semalam.

Kerjasama bagi tempoh lima tahun itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Selain itu, MoU turut mefokuskan kepada kerja-kerja pembaikan dan fasiliti Stadium MBPJ di Kelana Jaya yang diiktiraf sebagai ‘Home Ground’ pasukan bola sepak berkenaan.

Categories
SELANGOR

MBPJ-AirAsia meterai MoU, tingkat pembangunan bola sepak

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Air Asia Berhad bagi projek penjenamaan baru, Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pemeteraian itu bakal menyerlahkan bandar raya itu sebagai pusat tumpuan pembangunan sukan bola sepak terulung negeri.

“Usahasama ini diharap dapat digerakkan secara menyeluruh menerusi pembabitan komuniti di bandaraya MBPJ untuk mengangkat kembali perkembangan industri bola sepak MBPJ.

“Sebagaimana kita maklum, MBPJ sebelum ini pernah memiliki pasukan bola sepak terbaik yang pernah menyinar dalam sukan ini suatu ketika dulu.

“Justeru kita mengharapkan kerjasama ini membolehkan, kelab bola sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) berperanan menyambung legasi pencapaian terbaik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perjanjian Persefahaman bersama Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, pagi ini.

Terdahulu, MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes dan MBPJ, diwakili Mohd Azizi.

Kerjasama itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses pembaikan fasiliti stadium, penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Sementara itu, Tony Fernandes berkata, pemilihan MBPJ dibuat selaras keperluan tanggungjawab sosial syarikat itu untuk mengangkat martabat sukan di negara ini.

“Pembangunan sukan bermula di peringkat komuniti dan sekiranya keperluan itu dilaksanakan, kami percaya teras pembangunan sukan ini dapat dikembangkan,” katanya.

Categories
EKONOMI

Tony: Tidak perlu tua untuk jadi pengarah

KUALA LUMPUR 9 DIS: “Tidak perlu tua untuk menjadi seorang pengarah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika mengulas pelantikan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd, yang diumumkan pada Jumaat.

“Pengarah baharu kami, @neelofa adalah seorang yang muda, bijak, usahawan dan suka menaruh impian seperti kami juga.

“@airasia sekali lagi menerajui aspek kepelbagaian dan kali ini, bukan setakat wanita tetapi juga dari segi usia. Tidak perlu tua untuk bergelar seorang pengarah,” katanya dalam catatan terbaharu di Instagram yang turut disertakan dengan paparan gambar beliau bersama Neelofa.

Fernandes turut berkongsi kata-kata semangat: “Beranikan diri untuk bermimpi dan usahakan impian anda. Teruskan menaruh impian, lebihkan usaha, terokai dunia dan terbang lebih tinggi bersama-sama AirAsia.”

Sementara itu, Neelofa yang merupakan satu nama besar dan dikenali ramai, juga berkongsi kegembiraannya bersama 5.3 juta pengikut setia di Instagram.

“Betapa menariknya pengakhiran tahun 2017! Saya amat bersyukur dan terharu dengan pelantikan ini dan berterima kasih kepada semua di atas ucapan yang diberikan,” kata Neelofa.

Sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai antara detik penting dalam hidupnya, ikon usahawan muda itu turut berkongsi keterujaannya untuk menggalas cabaran baharu itu.

Selain bergelar selebriti, Neelofa memulakan langkah sebagai usahawan dan membina empayar perniagaannya menerusi jenama tudung terkemuka, Naelofar Hijab.

Malah, jenama itu dilaporkan bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun ini dan dipasarkan di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Brunei.

“Pencapaian ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua wanita di luar sana,” katanya.

Neelofa juga mempunyai reputasi sebagai ahli perniagaan wanita terkemuka di Malaysia dan antara segelintir kecil rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai usahawan muda pengubah ‘30 Under 30′ (Kelompok 30 di bawah usia 30 tahun).

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Neelofa dilantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia

SHAH ALAM 9 DIS: AirAsia Bhd melantik aktres dan pengacara televisyen, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa), sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya.

AirAsia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli lembaga pengarahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, berkata Neelofa merupakan penambahan yang baik kepada lembaga pengarah memandang pengalaman beliau sebagai usahawan, pencipta jenama dan inovator industri.

Beliau berkata Neelofa akan dapat menyuntik pandangan baharu kepada perniagaan AirAsia ketika syarikat itu melangkah ke arah penerbangan digital.

“Neelofa bijak, muda dan berdikari sendiri – ciri-ciri yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus kekal dihadapan ketika kami bergerak ke arah menjadi satu daripada syarikat yang mencatatkan prestasi terbaik, paling diyakini dan dihormati di dunia.

“Reputasi beliau sebagai ahli perniagaaan wanita utama di Malaysia, salah seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai ‘30 Under 30′ majalah itu dan rekod prestasi baik beliau memperjuangkan wanita dalam perniagaan adalah satu inspirasi kepada kami. Saya berharap dapat bekerjaa bersama-sama dengan Neelofa,” kata Fernandes.

Sementara itu Neelofa berkata pelantikan tersebut bukan sahaja satu pencapaian bagi beliau tetapi juga bagi semua wanita.

“Sejak tujuh tahun lepas, saya telah menceburi industri hiburan dan perniagaan yang menyediakan banyak peluang kepada saya untuk berkembang dan melakukan perubahan. Saya teruja untuk menggalas peranan baharu ini, mencabar diri saya sendiri untuk meningkatkan lagi prestasi diri dan pergi lebih jauh lagi.

“Saya juga teruja untuk mewakili Generasi Y dan menyuarakan pandangan kami bagi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia mengumumkan peletakan jawatan Aireen Omar dan Tharumalingam Kanagalingam daripada lembaga bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengarah bebas untuk meningkatkan tadbir urus korporat dan pematuhan.

Syarikat itu berkata langkah tersebut juga akan membolehkan Aireen dan Tharumalingam menumpukan kepada pelan transformasi dan pertumbuhan AirAsia.

SUMBER: MSTAR ONLINE

Categories
NASIONAL

Air Asia batal penerbangan ke Bali dan Lombok

KUALA LUMPUR 27 NOV: Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia, telah membatalkan 32 penerbangan dan menjadualkan semula dua yang lain melibatkan penerbangan dari serta ke Bali dan Lombok berikutan letusan Gugung Agung di Bali.

AirAsia, dalam satu kenyatan pada Ahad berkata, penumpang yang terjejas akan dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka dan pilihan yang disediakan melalui e-mel yang didaftar mereka.

Katanya, penumpang yang penerbangan mereka dibatal, boleh menukar masa perjalanan baru ke laluan yang sama dalam tempoh 30 hari dari masa penerbangan asal tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Jika mereka memilih untuk tidak berbuat demikian, katanya, penumpang boleh mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kredit untuk perjalanan masa depan dengan AirAsia.

“Akaun kredit dalam talian boleh ditebus dalam tempoh 90 hari daripada tarikh dikeluarkan,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, pelanggan dinasihatkan untuk melayari www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia untuk pengumuman lanjut dan juga untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi ciri “Mengurus Tempahan Saya” di laman web AirAsia.

AirAsia berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan menjalankan penilaian risiko secara berteusan bagi menjamin keselamatan operasinya.

“AirAsia akan terus memberi maklumat mengenai perkembangan terkini,” katanya dan menasihati pelanggan yang inginkan maklumat lanjut dan bantuan supaya menghubungi pasukan sokongan pelanggan syarikat tersebut di https://support.airasia.com.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

AirAsia QZ535 hadapi ‘masalah teknikal’ turun 20,000 kaki

SYDNEY 16 OKT: Penerbangan AirAsia QZ535 dari Australia ke Indonesia terpaksa berpatah balik ke Perth selepas kabin hilang tekanan pesawat, dan para penumpang menceritakan detik cemas apabila topeng oksigen terkeluar dari siling pesawat.

AirAsia berkata pesawat mengalami “masalah teknikal” dan media Australia melaporkan pesawat terpaksa turun dari 32,000 kaki (9,753 m) ke 10,000 kaki selepas 25 minit berlepas, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Video yang tersebar di internet memaparkan penumpang memakai topeng oksigen semasa penggera berbunyi, sementara kakitangan AirAsia mengarahkan penumpang mengambil kedudukan untuk menerima impak.

“Saya mengambil telefon dan menghantar pesanan teks kepada keluarga dengan harapan mereka akan menerimanya,” kata seorang penumpang, Leah, kepada televisyen Channel 9. “Ia sangat dahsyat.”

Seorang lagi pelancong berkata lebih menakutkan apabila penumpang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana semua rakaman suara dalam pesawat itu bercakap dalam semua bahasa kecuali bahasa Inggeris,” katanya.

AirAsia memohon maaf atas insiden itu dan menyalahkan “masalah teknikal” tanpa menghuraikan punca kejadian.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal keutamaan kami,” kata syarikat penerbangan murah tersebut dalam satu kenyataan.

“AirAsia meminta maaf kepada penumpang atas sebarang kesulitan.”

Sebelum ini dilaporkan beberapa penerbangan terpaksa berpatah balik ke Australia, termasuk penerbangan AirAsia Gold Coast ke Kuala Lumpur pada Julai yang dikatakan disebabkan serangan burung.

Penerbangan Qantas dalam perjalanan ke Dallas berpatah balik ke Sydney pada September selepas kepak sayap tidak dapat ditarik balik, sementara pesawat Johannesburg berpatah balik ke Sydney pada minggu yang sama apabila keretakan di cermin ditemui.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN

AirAsia tawar tambang promosi akhir tahun serendah RM39

KUALA LUMPUR 2 OKT: Syarikat tambang murah, AirAsia menawarkan tambang promosi akhir tahun serendah RM39 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sihanoukville, Luang Prabang, Pattaya, Shantou, Kalibo (Boracay) dan Visakhapatnam.

AirAsia berkata, penumpang dari Kuching ke Langkawi dan Pontianak juga berpeluang menikmati tambang murah bermula dari RM79, dan dari serendah RM169 bagi penerbangan dari Johor Bahru ke Macao dan Kolkata.

“Penumpang penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei, Shanghai dan 120 lagi destinasi di Asia, New Zealand, Timur Tengah dan Amerika Syarikat juga boleh menikmati tambang hebat bermula dari RM279,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut syarikat penerbangan itu, promosi berkenaan termasuk tempat duduk bagi AirAsia X Premium Flatbed, dengan tambang bermula dari RM699 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei dan beberapa destinasi lain.

Promosi hebat akhir tahun itu bermula hari ini sehingga 15 Oktober bagi perjalanan sehingga 31 Mac, 2018, yang boleh didapati di www.airasia.comserta aplikasi mudah alih AirAsia.

Pelanggan juga boleh memilih untuk ‘Value Pack’, yang menawarkan peruntukan bagasi daftar masuk 20 kilogram, sajian makanan, pilihan tempat duduk standard serta perlindungan insurans, termasuk perlindungan kelewatan bagasi.

=EZY=