Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada bahaya elektrik ketika banjir, ambil langkah awal

PUTRAJAYA, 25 NOV: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko banjir supaya mengambil langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca daripada elektrik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata sebelum banjir, orang ramai perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.

“Pastikan semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik serta simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” katanya.

Semasa banjir pula, orang ramai perlu mengelak daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas.

Selain itu, ST berkata orang ramai juga perlu menjauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.

Selepas banjir, katanya orang ramai diminta berhati-hati kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya kerana ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitaran dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Orang ramai perlu memastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan semula dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya, katanya.

Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pindaan Enakmen LUAS berkuat kuasa dalam tempoh sebulan

GOMBAK, 24 NOV: Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 yang mengenakan hukuman lebih berat berkuat kuasa dalam tempoh sebulan selepas diluluskan pada 9 November.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa proses perlu dilakukan untuk mewartakan pindaan undang-undang antaranya memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Apabila tuanku berkenan untuk menurunkan tandatangan, pindaan ini akan jadi undang-undang sah dalam tempoh sebulan.

“Selepas ini pesalah yang mencemarkan sungai akan berdepan hukuman lebih berat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Operasi Roboh Binaan Haram di Lembangan Sungai Selangor di Menara Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Pindaan Enakmen LUAS dilulus di Dewan Negeri Selangor pada 9 November setelah gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

Selain itu LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tindakan pantas halang cemar air, elak gangguan bekalan

SHAH ALAM, 28 OKT: Tindakan pantas agensi Kerajaan Negeri berjaya menghalang empat potensi pencemaran daripada mengalir ke sumber air utama dalam tempoh enam hari.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha berkenaan hasil siasatan dilakukan bersama oleh pegawai Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Paling baharu semalam kita kenal pasti ada tumpahan minyak hitam. Pegawai Jas, Luas, Span dan Air Selangor telah meranjau keseluruhan sungai dan mendapati tiada kesan (punca pencemaran) daripada kilang atau bengkel persekitaran. Tiga hari lepas di Sungai Kundang, (ada) tumpuhan bewarna hitam dipercayai minyak.

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Jabatan Penjara, Basikal Elektrik dan Jet Ski kepada Polis Diraja Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya bimbang ia adalah tindakan disengajakan, namun saya tiada bukti untuk mengatakan begitu, cuma Alhamdulillah dalam tempoh tiga atau empat hari ini kita berjaya menghalang potensi cubaan untuk mencemarkan sungai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Semalam Luas mengesan pencemaran minyak hitam di alur air Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan selepas menerima aduan orang awam pada jam 6 petang.

Luas telah meletakkan oil pad dan oil boom di lokasi pembuangan minyak bagi menghalang ia mengalir ke alur seterusnya ke Sungai Balak.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri sudah menambah jumlah pegawai untuk meningkatkan pemantauan di semua kawasan sungai dan sumber air di samping penggunaan dron bermula 1 November ini.

Amirudin menyeru semua pihak untuk tidak melakukan pencemaran di sungai kerana ia menjejaskan ratusan ribu pemilik akaun serta mengakibatkan gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Luas pastikan air bersih, selamat diguna

SHAH ALAM, 21 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) melaksanakan tiga langkah bagi merawat pencemaran bau Sungai Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Langkah tersebut katanya bagi memastikan air yang disalur semula ke premis perniagaan dan rumah benar-benar selamat digunakan.

“Luas melaksanakan operasi pengepaman air kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 336 juta liter sehari dan melepaskan air empangan sungai tinggi serta Sungai Selangor sehingga 1200 JLH selain menaikkan satu pagar sungai (river gate) di Baraj Bestari Jaya.

“Agensi berkenaan turut melaksanakan proses nyahbau di kolam tebatan banjir JPS Sungai Gong,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor awal pagi semalam.

Susulan itu 1.2 juta akaun pengguna meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagaimanapun setakat jam 6 pagi ini 1,077 atau 83 peratus dari 1,292 kawasan terjejas menerima bekalan air sepenuhnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kerjasama Persekutuan, Selangor jamin bekalan air selamat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerjasama erat semua agensi terutama Kerajaan Persekutuan serta Negeri penting bagi menjamin keselamatan bekalan air.

Sehubungan itu Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan memperinci dan mengemaskini laporan insiden pencemaran sungai termasuk kes terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kerajaan Negeri harap tindakan tegas dilakukan segera bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai. Kita juga mengucapkan terima kasih atas maklum balas segera Jabatan Peguam Negara semalam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pagi tadi beliau menemui Penasihat Undang-undang Negeri; Dato’ Salim Soib, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Dato’ Ir Hashim Osman serta Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Nor Aziah Jaafar bagi membincangkan perkara itu.

Semalam, Amirudin berkata hukuman berat terhadap pesalah pencemaran air perlu dibincangkan antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan.

Kuasa Kerajaan Negeri terhad sekadar menguatkuasakan Enakmen Luas 1999, berbeza Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa luas di bawah beberapa akta termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling dan kuasa Jabatan Peguam Negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

811 kawasan terima bekalan air, baki dalam proses pulih

SHAH ALAM, 6 SEPT: Sebanyak 62.7 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang tadi, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya berkata sebanyak 811 kawasan menerima bekalan air manakala baki dalam proses pemulihan.

“Wilayah Petaling pulih 66.1 peratus, Klang/Shah Alam (24.2 peratus), Gombak (66.4 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus), Hulu Selangor (94.1 peratus), Kuala Langat (50 peratus) sementara Kuala Selangor (99.2 peratus),” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menafikan mesej tular melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial berhubung penutupan semula dan catuan bekalan air serta isu kualiti air tidak selamat di premis yang perlu dibiarkan sehari sebelum boleh digunakan semula.

“Air Selangor memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan.

“Kami memohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih tersebut bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya.

Sementara itu, Elina menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar serta mengikut jadual pelan pemulihan.

Status terkini gangguan bekalan air boleh dirujuk melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sejak 3 September lalu susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isteri MB mahu bantu agih air kepada wanita, warga emas

SHAH ALAM, 6 SEPT: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar berterima kasih kepada barisan hadapan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) yang bertungkus-lumus bekerja sejak beberapa hari lepas.

Malah, Datin Seri Masdiana Muhamad menyuarakan hasrat untuk bersama-sama petugas Air Selangor membantu mengedar bekalan air kepada penduduk terjejas.

“Saya akan turun membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air terutamanya golongan ibu dan warga emas,” katanya menerusi Instragram hari ini.

Selain itu, Masdiana juga menjelaskan beliau bukan bermegah apabila memuat naik foto lori tangki menghantar bekalan air ke kediaman rasmi menerusi Instagram.

“Justeru saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya menerusi media sosial itu.

Mengakui terkhilaf dan meminta maaf jika tindakan itu menimbulkan banyak tafsiran atau mengguris perasaan mana-mana pihak, beliau menegaskan lori itu bukan untuk memenuhkan kolam renang.

Baru-baru ini, segelintir pengguna media sosial membuat pelbagai tafsiran, sebahagiannya berbentuk negatif, berdasarkan foto lori Air Selangor di kediaman rasmi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB hargai kerja keras agensi pastikan cemar bau sifar TON

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Dato’ Menteri Besar menghargai peranan agensi terlibat yang bekerja keras demi memastikan tahap pencemaran Sungai Gong, Rawang mencapai sifar TON (Nombor Bau Nilai Ambang) sekali gus mempercepat proses pemulihan bekalan air ke kawasan terjejas.

Agensi tersebut adalah Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak terbabit mengambil tindakan pantas sebaik pencemaran sumber air mentah dikesan berlaku di Sungai Selangor awal pagi kelmarin.

“Dalam tempoh 39 jam bermula 7.30 pagi (kelmarin) sehingga 10.30 malam semalam mereka cuba untuk pastikan kadar bau pencemaran mencapai 0 TON tiga kali berturut-turut.

“Itu (pastikan bacaan 0 TON) yang dilakukan di peringkat pertama sebab kalau tidak selesaikan masalah ini, kita akan terima henti tugas (loji rawatan air) dan gangguan bekalan lebih panjang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak polis kerana berjaya menahan suspek yang disyaki terbabit dalam insiden pencemaran itu selepas dua laporan dibuat oleh Air Selangor dan Luas.

“Sampel diambil dari kilang, kolam takungan dan muka sauk LRA dalam proses serta kita yakin dengan bukti yang cukup untuk mengenakan pendakwaan terhadap pihak terbabit,” katanya.

Ekoran pencemaran minyak itu, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enakmen Luas dipinda, denda pencemar air naik kepada RM1 juta

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 untuk menaikkan denda maksimum RM1 juta daripada RM500,000 terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pencemaran air.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan enakmen akan dibuat dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Oktober hingga November ini.

“Enakmen ini perlu ditambah baik (kerana) jika sebelum ini denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan alam sekitar tetapi kita rancang meningkatkannya kepada RM1 juta.

“Namun, enakmen ini perlu dibawa ke Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada Oktober hingga November dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 untuk kita segera mengubah (enakmen) dengan menambah denda,” kata Dato’ Menteri Besar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di sini hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata pindaan enakmen tersebut turut dibuat dengan mengambil kira beberapa kriteria selepas melakukan kajian daripada pelbagai aspek bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

“Sebenarnya kita mengkaji pelbagai aspek hampir setahun atau dua tahun lepas dan berharap pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dapat segera mengubah akta alam sekitar dengan melibatkan denda lebih tinggi terhadap pesalah.

“Mungkin dengan denda dibangkitkan ini akan memberi peringatan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pencemaran air,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Periksa kolam takungan banjir Jalan Rawang-Bestari Jaya, disyaki tercemar

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta segera melihat kolam takungan banjir di Jalan Rawang-Bestari Jaya (B27) kerana dikhuatiri menjadi tempat peningkatan TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu perlu dilakukan meskipun punca utama pencemaran bau dikesan dari sebuah kilang menyelenggara jentera berat yang berada sekitar Sungai Gong, Rawang.

“Kita menganggarkan di situ (kolam takungan banjir Jalan B27, Rawang) tempat yang menyebabkan peningkatan TON bau atau pencemaran bau.

“Kolam takungan itu bukan hanya menjadi kolam takungan air tetapi (takungan) kepada bahan tercemar yang mungkin boleh menyebabkan pencemaran pada masa hadapan,” kata Dato’ Menteri Besar pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JAS Selangor turut mengenal pasti sebanyak 53 premis sekitar Sungai Gong, Rawang untuk diperiksa supaya tiada insiden pencemaran lain yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Pusat Kawalan Air Selangor selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya walaupun suspek utama sudah diambil tindakan undang-undang, Kerajaan Negeri mahu memastikan kawasan di Rawang Integrated Industrial Park tidak berlaku sebarang punca pencemaran yang boleh menyebabkan loji rawatan air (LRA) ditutup dan dihenti tugas.

“Pada masa sama, Luas turut menasihatkan supaya Jas memperluas lagi (pemeriksaan) di sekitar Sungai Sembah iaitu kawasan yang dikenal pasti terdapat bau atau kesan pencemaran daripada aliran air.

“Selepas kita membuat penjejakan secara manual dari LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang sehingga kawasan terakhir iaitu kilang pembersihan jentera berat yang dikesan sebagai suspek utama,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tambah tangki air di hospital, kurangkan dampak gangguan bekalan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Bilangan tangki air akan ditambah di beberapa lokaliti strategik seperti hospital dan pusat dialisis bagi meminimumkan gangguan bekalan air ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media hari ini turut menjangka proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mengambil masa lebih 48 jam.

“Justeru, kita memerlukan bantuan daripada pihak bomba dan Angkatan Tentera Malaysia di samping menerima sokongan beberapa tangki dari Johor, Negeri Sembilan serta Terengganu.

“Dari semasa ke semasa, kita jangka perkara ini (gangguan bekalan air) bertambah pulih kerana kita mempunyai tangki dan lori yang mampu memenuhi keperluan lokaliti terbabit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) di sini.

Amirudin berkata Air Selangor menjangka 50 peratus bekalan air pulih sehingga tengah malam esok, selain berharap masyarakat tidak menyediakan simpanan air yang banyak kerana dibimbangi melambatkan pemulihan ke kawasan lain.

“Kalau tekanan air dapat dipulihkan segera, kita nasihatkan penduduk bukan masanya untuk menadah atau menyediakan logistik air yang besar.

“Jadi, gunakan air seperti biasa untuk pelan pemulihan lebih pantas memandangkan ia (bekalan air) bergantung pada kolam keseimbangan. Kolam itu dapat menyalurkan sepenuhnya apabila penuh 100 peratus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air Gombak pulih 6 petang ini, bantuan disalur

SHAH ALAM, 27 JULAI: Bekalan air di 16 kawasan di Gombak dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang hari ini, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Elina Baseri berkata pada masa ini, bekalan air ke kawasan terjejas sudah disalurkan secara berperingkat setelah kerja baik pulih sistem rumah pam Taman Melawati siap pada jam 1 pagi tadi.

“Segala usaha sedang diambil oleh Air Selangor bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan.

“Bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan ke kawasan yang masih belum mendapat bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai boleh menghubungi talian 15300 dan Whatsapp ke talian 0192800919 atau 0192816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan.

Semalam, dilaporkan sebanyak 16 lokasi di Gombak mengalami gangguan bekalan air akibat kejadian paip pecah di Rumah Pam Melawati, dekat sini.

Senarai kawasan yang terjejas adalah :

1. Taman Melawati
2. Kemensah Residensi
3. Saujana Melawati
4. Sunway Kayangan
5. Sunway Melawati
6. Tiara Kemensah
7. Tropika Kemensah
8. Twin Palm Kemensah
9. Ukay Prima
10. Bukit Melawati
11. Nadayu Melawati
12. Amber Hill
13. Kampung Klang Gate
14. 203 Melawati
15. Zoo Negara
16. Kemensah Heights