Categories
AGENDA NASIONAL

Akta 655 dipinda bendung pencemaran sumber air

PUTRAJAYA, 28 JAN: Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dipinda bagi mempertingkatkan penguatkuasaan dalam membendung insiden pencemaran sumber air, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air dalam mesyuarat pertamanya di sini hari ini bersetuju Akta 655 itu dipinda bagi memantapkan aspek penguatkuasaan antaranya berkaitan kuasa menahan orang dan merampas kenderaan yang disyaki mencemarkan lurang kumbahan.

“Jawatankuasa juga mahu denda lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan pembuangan kumbahan dan sebagainya ke lurang kumbahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, yang ditubuhkan susulan insiden pencemaran sumber air melibatkan Sungai Selangor pada Julai tahun lepas.

Ia dianggotai wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Polis Diraja Malaysia; Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta wakil beberapa negeri.

Jawatankuasa itu berperanan menyelaras kerjasama antara agensi yang terlibat dalam melaksanakan penguatkuasaan selaras dengan bidang kuasa masing-masing secara bersepadu.

Xavier berkata pindaan itu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian itu sedang menggiatkan usaha mengumpul data syarikat industri bagi mengekang insiden pencemaran sumber air di Selangor.

Bagi tujuan itu, katanya Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) diarahkan mengumpul data berkaitan jenis perusahaan dan sisa buangan dari perusahaan bagi tindakan segera dapat diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya berlaku pencemaran di loji IWK.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia berhak semak semula harga air ke Singapura

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Malaysia masih mempunyai hak untuk menyemak semula harga air yang dibekal ke Singapura walaupun negara jiran berkenaan mendakwa negara ini kehilangan hak berbuat demikian setelah gagal melakukan perkara itu pada 1987 sehingga 2012.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata Jabatan Peguam Negara mengesahkan perkara itu berdasarkan klausa 14 Perjanjian 1962, yang menyebut semakan harga air masih boleh dilakukan setiap tahun selepas perjanjian itu ditandatangani.

Katanya pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Singapura berhubung isu itu.

“Jadi kita harap Singapura boleh terima cadangan daripada kerajaan Malaysia untuk kita adakan perbincangan isu ini.

“Kita perlu lakukan sesuatu kerana kadar (tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air) ini tidak munasabah dan terlalu murah jika dibandingkan dengan kadar penjualan air mentah di negara lain,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramandu (PAKATAN-Segamat) yang bertanyakan tentang isu penjualan air mentah kepada Singapura dan langkah kementerian untuk memastikan kemampanan bekalan air dalam jangka panjang.

Contohnya, Xavier berkata China menjual air ke Hong Kong pada kadar RM14.50 untuk 1,000 gelen, dan China-Taiwan (RM5.80), malah penjualan air mentah dalam negara seperti di Pahang-Selangor juga tinggi iaitu (46 sen), dan Johor-Melaka (50 sen).

Sehubungan itu, beliau berkata tidak wajar untuk Malaysia terus menjual air kepada Singapura dengan kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Katanya walaupun kementerian menghormati obligasi Malaysia seperti yang termaktub dalam perjanjian itu, Malaysia telah berkorban sumber air untuk kepentingan pihak lain dengan mempertaruhkan kepentingan seluruh rakyat Johor.

Menurutnya, banyak perbelanjaan juga perlu dikeluarkan bagi memastikan Singapura dapat mengkestrak 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor, malah kementerian sendiri membelanjakan hampir RM100 juta bagi membina baraj Sungai Johor untuk mengelak kemasukan air masin ke sungai itu.

Sehubungan itu beliau sekali lagi menegaskan pelaburan besar kerajaan itu tidak setimpal dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual dan berharap kerajaan Singapura dapat bersikap terbuka dalam soal tersebut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerja selenggara selesai, bekalan air pulih cepat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 APRIL: Bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pulih lebih cepat berbanding yang dijadualkan sebelumnya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, terdapat beberapa kawasan mula menerima kembali bekalan air seawal 5 pagi tadi.

“Alhamdullilah semua berjalan lancar. Kerja baik pulih dan menyelenggara selesai awal di mana ada sebahagian kawasan pada 5 pagi sudah menerima bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi pembentangan cadangan Projek Peremajaan Bandar Klang 2019 di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, di sini hari ini.

Amirudin turut meluahkan keyakinan bekalan air akan pulih sepenuhnya kurang 86 jam seperti dijadualkan sebelumnya.

Terdahulu, bekalan air terjejas ekoran kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), pada 24 April.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Paras enam empangan 100 peratus, mampu tampung keperluan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kapasiti tujuh empangan di Selangor mampu menampung kegunaan melebihi tiga bulan sekiranya berlaku kemarau panjang.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sehingga 14 November, enam empangan mencapai paras kapasiti takungan 100 peratus kecuali Empangan Batu, 96.9 peratus.

“Keadaan ini sangat baik dan enam daripadanya mencapai kapasiti 100 peratus. Peningkatan intensiti hujan pada perubahan monsun menyumbang kepada pertambahan kapasiti air di empangan.

“Kapasiti yang ada mampu menampung kegunaan lebih tiga bulan jika berlaku monsun barat daya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mengulas mengenai pelepasan air bagi mengelakkan limpahan yang akan menjejaskan pengguna, Izham berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan membuat kawalan pelepasan air berjadual dan pengurusannya dibuat secara optimum.

 

Categories
SELANGOR

SPAH bakal jadi syarat wajib Kebenaran Merancang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 NOV: Selangor akan menguat kuasakan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai syarat wajib Kebenaran Merancang dalam semua projek pembangunan baru, di negeri itu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan air bersih mencukupi untuk generasi akan datang.

“Suatu hari nanti perlu dilaksanakan bila kita sudah bersedia kerana kita tahu air sangat penting termasuk penjimatannya untuk generasi akan datang.

“Pihak saya akan adakan kajian bersama Jabatan Perancang Bandar dan Desa untuk menentukan bila boleh dikuat kuasakan tetapi saya percaya lambat laun kita tidak boleh elak,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, pada masa ini Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor menggalakkan semua projek pembangunan baru perlu mematuhi Indeks Bangunan Hijau yang menekankan kelestarian penggunaan sumber tenaga dan air.

Katanya, trend penguat kuasaan sistem SPAH sudah dilaksanakan di kebanyakan negara maju.

Terdahulu, pada Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Selangor, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi amaran generasi akan datang bakal berdepan isu ketidakcukupan air jika mentaliti masyarakat hari ini masih di takuk lama tanpa persediaan rapi.

Katanya, permintaan air dijangka terus meningkat sehingga mencapai 8,697 Juta Liter/Hari (JLH), pada 2065 berbanding 5,127 JLH yang dicatatkan hari ini.

Categories
SELANGOR

RM4 bilion dibelanjakan tapi kualiti air sungai hanya naik satu tahap

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 24 OKT: Walaupun kira-kira RM4 bilion dibelanjakan untuk meningkatkan kualiti air sungai namun bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) di beberapa Sungai seperti Sungai Tua, Sungai Gombak dan Sungai Batu hanya dapat ditingkatkan daripada kelas tiga kepada kelas dua.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana sikap tidak bertanggungjawab masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar menyulitkan usaha memulihara sumber bekalan air itu.

“Kebetulan dua minggu lepas bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melawat sungai-sungai terlibat dengan program ‘River of Life’ (ROL) sekitar Sungai Tua, Sungai Gombak dan Sungai Batu.

“Perbelanjaan sekitar RM4 bilion selama empat tahun lalu peningkatannya sangatlah sikit di mana air sungai meningkat daripada kelas tiga kepada kelas dua, itu pun bukan di semua bahagian menyebabkan kos yang tinggi kita terpaksa belanjakan tetapi hasilnya amat sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada program Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, semalam.

Izham berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan mentaliti di takuk lama masyarakat hari ini akan menyebabkan generasi akan datang berhadapan dengan isu ketidakcukupan bekalan air.

Katanya, air yang boleh digunakan manusia sangatlah terhad memandangkan 97 peratus daripada air yang ada di bumi merupakan air laut yang tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Hanya kira-kira 0.6 peratus air di bumi ini untuk keperluan hidup manusia dan pada masa sama, ia dikongsi bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan,” katanya.

Katanya lagi, pengurangan sumber bekalan air yang disebabkan pencemaran sungai ini bertentangan dengan pertambahan populasi manusia yang mendorong peningkatan penggunaan air setiap masa.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melahirkan rasa kecewa dengan sikap pengguna yang masih ramai menggunakan air bersih secara tidak cekap, berhemah dan berjimat di mana salah satu penyumbang kepada masalah ketidakcukupan air.

Categories
SELANGOR

Beberapa kawasan dinaiki air di Klang

SHAH ALAM, 9 OKT: Beberapa kawasan di Klang dekat sini dinaiki air sehingga kira-kira 0.5 meter berikutan hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang berlaku petang tadi.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor berkata kawasan yang dinaiki air adalah di Kampung Delek Kiri, Taman Bukit Kemuning dan Taman Melawis.

“Di Kampung Delek Kiri air naik kira-kira sehingga paras lutut berikutan hujan lebat sejak petang tadi, ia ditambah dengan kunci air di Kampung Sungai Sireh yang tidak dapat dibuka menyebabkan air melimpah ke jalan raya dan kediaman penduduk.

“Di Taman Bukit Kemuning pula air naik sehingga 0.2 meter selain fenomena air pasang besar yang menyebabkan paras air di Sungai Rasau meningkat dengan mendadak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tambah jurucakap berkenaan, Taman Melawis pula dinaiki air mulai pukul empat petang berikutan hujan lebat dan peningkatan paras air Sungai Klang akibat fenomena berkenaan.

Bagaimanapum menurut jurucakap itu, tiada mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara dan pihak bertanggungjawab akan sentiasa memantau keadaan, arahan untuk berpindah akan dikeluarkan jika perlu.

Berdasarkan jadual pasang surut air bagi kawasan Pelabuhan Klang, paras air diramalkan akan berada pada paras tertinggi mulai pagi tadi sehingga Khamis ini dengan ketinggian mencecah 5.6 meter.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Henti tugas LRA Semenyih: Kerja penyelenggaraan siap 70%

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 9 OKT: Kerja penyelenggaran Loji Rawatan Air  (LRA) Semenyih dan kerja henti tugas sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang bermula jam 9 pagi tadi, dilaporkan sudah 70 peratus

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, pihaknya menjangkakan sambungan bekalan air akan mula disambung secara berperingkat mulai jam 9 pagi esok.

“Kita mensasarkan paling awal ada beberapa kawasan akan mula menerima air jam 9 pagi esok manakala, kawasan yang mempunyai tekanan rendah paling lewat pada hari esok.

“Namun, secara keseluruhan ia dijangka pulih dan penduduk akan mula menerima air sepenuhnya pada hari esok jam 3 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Turun Padang di Pusat Khidmat Setempat Air Selangor, Taman Rekreasi Persiaran Wawasan, di sini, hari ini.

Izham turut membuat tinjauan dengan menghantar bekalan air di Pangsapuri Sri Penaga, di sini.

Sementara itu, mengulas samada kerja henti tugas itu boleh menjamin gangguan bekalan air tidak akan berlaku lagi, Izham berkata, pihaknya tidak dapat menjamin perkara itu, namun gangguan kemungkinan dalam kadar yang terhad.

“Kerja penyelenggaraan ini dilakukan setiap tahun cuma kali ini adalah ‘major work’ yang menyebabkan kita terpaksa hentikan sementara bekalan air di beberapa kawasan,” katanya.

Katanya, atas sebab kerja henti tugas itu, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut menyediakan kemudahan demi membantu penduduk yang mengalami masalah tersebut.

“Air Selangor turut menyediakan 80 tangki statik, 32 lori tanker untuk kemudahan penduduk mengalami masalah terputus bekalan air,” katanya.

Terdahulu, SelangorKini melaporkan, pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan menghadapi gangguan bekalan air.

Air Selangor memaklumkan, ia berikutan hentitugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi pelaksanaan kerja-kerja berjadual penggantian peralatan bermula jam 9 pagi hari ini.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, untuk makluman yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Categories
SELANGOR

Penduduk siap sedia awal hadapi gangguan bekalan air

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 9 OKT: Penduduk di sekitar Taman Perindustrian Puchong telahpun membuat persediaan awal bagi menghadapi ketiadaan bekalan air akibat dari kerja hentitugas loji rawatan Air Semenyih yang bermula hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hasil tinjauan di sekitar perumahan tersebut mendapati penduduk tidak terkejut dengan ketiadaan bekalan air bermula jam 9 pagi tadi.

“Daripada maklumat yang diterima, hanya kawasan Puteri 6 sahaja yang sudah tidak mempunyai bekalan air sepenuhnya, namun di tempat-tempat lain, bekalan air masih ada, namun tekanannya agak rendah.

“Terima kasih kepeda Air Selangor kerana sudah membuat persiapan awal dengan menyalurkan pelbagai maklumat bagi membolehkan penduduk sedar dengan masalah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke Jalan Taman Perindustrian Puchong, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Sze Han berharap supaya penduduk tidak bimbang dengan ketiadaan bekalan berkenaan memandangkan pihaknya turut menggesa kerja hentitugas itu dapat dilakukan segera.

“Kemungkinan esok bekalan air akan pulih seperti biasa, dan sekiranya penduduk di sekitar Puchong hendak mendapatkan bekalan air, mereka boleh ke Pusat Khidmat ADN Kinrara, Taman Permai Satu ataupun Jalan Bandar 1 Taman Wawasan,” katanya.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan menghadapi gangguan bekalan air.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia berikutan hentitugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi pelaksanaan kerja-kerja berjadual penggantian peralatan bermula jam 9 pagi hari ini.

Air Selangor menjangkakan kerja-kerja berkenaan dijangka mengambil masa selama 12 jam.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, untuk makluman yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Categories
NASIONAL

Sistem baharu bekal air bersih ke Kelantan, Sabah dan Sarawak

PUTRAJAYA, 25 SEPT: Kerajaan sedang mengenal pasti sistem baharu bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan pedalaman di Kelantan, Sarawak dan Sabah dalam tempoh lima tahun.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asl,i Dr Xavier Jayakumar berkata, sistem itu akan dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta dan kerajaan negeri untuk menguruskan sumber serta penyaluran air.

“Sumber air bersih di Kelantan, Sabah dan Sarawak berada pada tahap kritikal. Jadi, kita perlukan sistem mampan dan menjimatkan kos untuk mengatasi masalah ini.

“Penduduk Kelantan datang jumpa saya berhubung isu sumber air dan meminta kerajaan persekutuan sediakan air bersih kepada mereka. Mereka mahu membayar,” katanya selepas merasmikan Forum Pengurusan Air Malaysia ke-4, di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini, 97 peratus penduduk di negara ini menerima bekalan air bersih terawat dengan bakinya adalah mereka yang mendiami kawasan terpencil di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Jayakumar berkata antara kaedah lain yang dikenal pasti ialah penuaian air hujan dan bekalan air dari bawah tanah.

Sementara itu, beliau berkata pendidikan dan kesedaran mengenai penjimatan dan penggunaan air dalam kalangan golongan pelajar perlu dipertingkatkan lagi.

“Kerajaan akan terus mendidik masyarakat dalam menggunakan air secara berhemah dan mengoptimumkan sumber air,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Gangguan bekalan air sementara di Pulau Ketam

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli Kumpulan Air Selangor, ingin memaklumkan insiden paip dasar laut di jajaran Terusan Bagan yang menyalurkan bekalan air ke Pulau Ketam, Bagan Teo Chew dan Sungai Lima telah pecah.

Tindakan perlu sedang diambil bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan. Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak kami juga akan menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada penduduk yang terjejas.

Tempoh masa pembaikan dan pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini dan penduduk akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Untuk maklumat dan status terkini, sila rujuk www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit pintar “Air Selangor” atau hubungi kami di talian 15300 untuk bantuan.

Categories
SELANGOR

Selesai penstrukturan air Selangor bukti kerjasama erat Kerajaan Negeri, Persekutuan – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 SEPT: Penyelesaian penstrukturan semula bekalan air  Selangor membuktikan kerjasama erat yang berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kejayaan itu sekaligus dapat menyelesaikan masalah air di negeri ini dan memberi perkhidmatan yang lebih efisien.

“Masalah ini dapat diselesaikan atas usaha Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sekarang, beliau meneruskan legasi Kerajaan Negeri dengan semangat jiwa muda yang amat komited.

“Saya berasa amat bangga dengan khidmat prestasi beliau untuk menjamin legasi yang telus, dan ia dilakukan dalam tempoh singkat iaitu kurang darpada 100 hari pentadbirannya.

“Semua ini dilakukan demi menjamin kepentingan rakyat dan pengguna,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan usul pada hari kedua Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini.

Mohamed Azmin turut menjunjung kasih terhadap titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, beliau yakin kesemua ADN akan terus setia kepada perjuangan sekaligus membangunkan Selangor.

“Pendirian yang saya pegang selama ini adalah kerajasama erat, ia adalah faktor yang penting untuk menjamin sistem pencapaian yang baik bagi sesebuah negeri.

“Saya juga yakin bahawa pentadbiran pada hari ini akan terus berpegang kepada landasan dalam Al-Quran,” katanya.