Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

AirAsia X distruktur, pastikan terus operasi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: AirAsia X Bhd tampil dengan pelan penstrukturan semula yang membolehkan syarikat penerbangan itu beroperasi kembali di tengah-tengah sekatan perjalanan global berpunca daripada pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata AirAsia X dan banyak syarikat penerbangan lain sedang bergelut dalam tempoh pandemik ini.

“Ini merupakan satu tempoh yang amat sukar bagi mana-mana syarikat penerbangan sehingga kami membatalkan kesemua jadual penerbangan, melaksanakan pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja buat kali pertama dalam sejarah.

“Bagaimanapun, kami tetap komited kepada tetamu kami, Allstars, rakan niaga dan pemegang berkepentingan bagi memastikan kami dapat membina syarikat penerbangan jarak jauh yang berdaya maju serta mampan. Demi kelangsungan hidup syarikat penerbangan ini, pelan penstrukturan semula yang dicadangkan adalah satu-satunya pilihan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Langkah yang sama mungkin dikekalkan semasa proses penstrukturan semula, tetapi tumpuan sebenar adalah untuk mengekalkan seberapa banyak pekerjaan.

“Kami mempunyai asas kos yang rendah, kami berada di bahagian pasaran yang bersesuaian dan banyak pasaran utama kami berada di zon hijau yang berkemungkinan akan dibuka semula terlebih dahulu.

“Kami mempunyai strategi pemulihan yang mantap, dan dengan sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan kami, kami akan mengatasi semua cabaran dan menjadi lebih kukuh,” kata Benyamin.

Syarikat penerbangan tambang rendah untuk jarak jauh itu, yang merupakan syarikat sekutu kepada AirAsia Group Bhd, berkata langkah penstrukturan semula itu akan merangkumi pelantikan Datuk Lim Kian Onn sebagai Timbalan Pengerusi bagi mengetuai inisiatif penstrukturan semula dan memudahkan suntikan ekuiti yang baharu.

Lim, seorang akauntan bertauliah, merupakan seorang jurubank pelaburan sebelum beliau menjadi ahli Lembaga Pengarah AirAsia X pada 2012.

AirAsia X, yang menanggung kerugian bersih sebanyak RM650.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, mencatatkan kerugian belum diaudit berjumlah RM854.94 juta pada separuh pertama tahun ini.

Ia menghadapi kekangan mudah tunai yang agak teruk dan keingkaran terhadap beberapa komitmen kontrak berpotensi untuk pembubaran syarikat penerbangan itu.

“Penstrukturan semula hutang dan rundingan semula obligasi kewangannya adalah prasyarat bagi sebarang penjanaan ekuiti baharu yang diperlukan untuk memulakan semula syarikat penerbangan itu,” katanya.

Cadangan pelan penstrukturan semula, jika diluluskan, akan menjamin kelangsungan AirAsia X.

“Pelan penstrukturan semula yang dicadangkan termasuk pengwujudan kontrak baharu, perjanjian dan/atau pengaturan baharu bertujuan untuk menyesuaikan saiz operasi dan obligasi kewangan kumpulan, yang amat penting kepada kewujudan berterusan kumpulan dalam landskap penerbangan,” katanya.

Ia mengadakan perbincangan dengan semua pemiutang utama sejak dua bulan lepas dan mereka memberikan sokongan padu untuk kesinambungan perniagaan syarikat penerbangan tersebut.

Selama 13 tahun, AirAsia X menyampaikan perjalanan penerbangan yang berpatutan dan mewujudkan pekerjaan dalam sektor penerbangan, pelancongan serta industri yang berkaitan, dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tangguh penyelesaian air, Persekutuan ada masalah kewangan?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Negeri membidas Barisan Nasional yang cuba bermain politik apabila mengaitkan kerja penyelenggaraan, di Loji Rawatan Air SSP3 dengan pelan penstrukturan semula industri air Selangor, sedangkan Kabinet sendiri menangguhkan penyelesaiannya ke hujung 2018.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, penangguhan itu menimbulkan persoalan sama ada ingin membuat pengguna menderita dan memalukan Kerajaan Negeri menjelang pilihan raya umum atau petanda Kerajaan Persekutuan mempunyai masalah kewangan.

“Laporan terbaru The Straits Times, pada 16 Februari lalu mendedahkan jumlah faedah hutang yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan mencecah RM31 bilion, menyamai kutipan cukai pendapatan atau dua pertiga kutipan GST.

“Lebih dua kali ganda jumlah berkenaan sudah dibayar, pada 2009 dan Kerajaan Persekutuan kini mengambil alih hutang 1MDB kira-kira RM42 bilion.

“Adakah Putrajaya tidak cukup wang bagi melaksanakan dasar air kebangsaan dan menyelesaikan penstrukturan air? Putrajaya perlu menjawabnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mempunyai dua penilaian bebas dan hanya perlu memilih salah satu harga serta membayar kos pengambilalihan aset air berkenaan kerana ia tanggungjawab yang tidak boleh dielakkan sama sekali.

Shao Loong berkata, jika Kerajaan Persekutuan membantu Selangor, mereka juga akan membantu Wilayah Persekutuan kerana sejak dahulu, Selangor membekalkan air untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, Kerajaan Negeri bertindak atas kepercayaan rakyat berpandukan dasar hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Drama terbaru Kerajaan Persekutuan berhubung isu air ialah cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mahu mengalirkan air dari Putrajaya ke Kuala Lumpur untuk pembekalan, atas alasan tidak boleh bergantung harap dengan Selangor.

“Jika Kerajaan Persekutuan menyokong cadangan Tengku Adnan yang bermotifkan politik, maka jelas penangguhan pembiayaan penstrukturan air Selangor adalah sebab politik dan mahu menganaktirikan Selangor dan pengguna.

“Jika Persekutuan tidak membiayai penstrukturan air Selangor atau cadangan Tengku Adnan, maka ia bermakna Persekutuan berhadapan masalah kewangan meruncing. Kerajaan Persekutuan perlu telus berhubung penangguhan penyelesaian penstrukturan semula,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Bakal Selesai Dua Bulan Lagi

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01

SHAH ALAM 2 JUL : Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan surat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung perundingan tersebut.

“Ianya disediakan berdasarkan tawaran-tawaran yang perlu diterima selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kita juga optimis dengan perkara ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk proses penyusunan semula pengurusan air di Selangor,” kata Abdul Khalid di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman berhubung perkembangan pengurusan air Selangor.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebagai persediaan rapi, Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu pasukan pengurusan professional yang berkemampuan mengendalikan pengurusan air di Selangor sekiranya proses ambil alih berjaya.

“Pasukan pengurusan ini terdiri daripada eksekutif dari luar negara yang berkelayakan.?

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Tujuan penstrukuturan semula adalah supaya rakyat mendapat bekalan air terawat yang efisen dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.