Categories
SELANGOR

RM4 bilion untuk enam juta rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerajaan Selangor membelanjakan RM4 bilion sejak tahun 2008 bagi membiayai pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk dinikmati rakyat negeri termaju itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan besar bagi program terbabit, namun masih mampu meningkatkan rizab Selangor.

“Sejak 2014 hingga 2018, Kerajaan Negeri belanja RM1.3 bilion. Daripada 2008 hingga 2014, Kerajaan Negeri dah belanja RM2.6 bilion, campur RM1.3 bilion bermakna kita dah belanja hampir RM4 bilion untuk rakyat Selangor.

“Walaupun kita dah belanja RM4 bilion untuk dinikmati enam juta rakyat Selangor tetapi rizab masih tinggi dan masih sumbang 23 peratus atau RM270 bilion kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, jumlah itu tidak termasuk pelbagai pembangunan yang dijalankan Kerajaan Negeri sejak mengambil alih pentadbiran, pada 2008.

Katanya, sebagai Dato’ Menteri Besar yang baru dilantik, beliau juga akan memastikan kebajikan rakyat negeri itu diutamakan khasnya bagi masyarakat Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Kerjasama dengan Umno bukti PAS redha khianati amanah rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Tindak tanduk PAS menjalin kerjasama dengan Umno membuktikan parti itu merelakan pelbagai pengkhianatan Umno terhadap rakyat dan negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, parti seperti itu wajar ditolak rakyat khasnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia.

“Walaupun dulu kawan kita tetapi sekarang dia dah kawan dengan Umno-Barisan Nasional (BN). Sekarang, ceramah pun dia dengan Umno-BN.

“Kalaulah dah berkawan dengan Umno-BN maknanya kerosakan yang dibuat selama ini, pencurian dibuat Najib Razak, rosaknya asas ekonomi negara yang dibuat Umno-BN selama ini diredhai oleh seorang lagi calon yang kononnya nak bawa suara rakyat,” katannya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PAKATAN) PRK DUN Seri Setia, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, pengundi di Selangor jangan terpedaya dengan janji PAS kononnya mahu melaksanakan proses semak dan imbang antara pembangkang serta kerajaan.

Katanya, persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung baru-baru ini membuktikan proses imbang dan semak di dewan itu sedang berjalan dengan baik.

Beliau berkata, pada persidangan DNS lalu, seramai 35 wakil rakyat termasuk tiga daripada lima pembangkang memainkan peranan berkesan dengan tampil memberi teguran kepada Kerajaan Negeri berhubung dasar.

Categories
SELANGOR

MB: Kekal PAKATAN di Balakong, rakyat nikmati hasil negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pengundi diminta terus mengekalkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi menikmati perkhidmatan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri ingin meneruskan kebaikan pentadbiran dan perkhidmatan dilaksanakan PAKATAN dinikmati penduduk Balakong serta Selangor, sejak 2008.

“Sejak 2008, orang Balakong dan Selangor berani membuat keputusan dengan menukar pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAKATAN.

“BN tinggalkan rezab negeri hanya lebih kurang RM400 juta. Kita laksanakan program air percuma bernilai RM70 juta dan BN kata wang akan habis, memang habis kalau ikut cara BN yang sana sini curi,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Pada tahun lalu, beliau berkata, Kerajaan Negeri ditadbir penuh berintegriti itu berjaya mencatat pencapaian kewangan sebanyak RM2.8 bilion.

Katanya, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan program bagi menjaga kebajikan rakyat seperti Inisiatif Peduli Rakyat melalui hasil negeri yang berjaya ditingkatkan dengan pentadbiran yang telus.

“Hasil negeri kita pulang kepada rakyat. Contoh hasil pasir di Selangor sebelumnya antara RM3 hingga RM4 juta tetapi di bawah PAKATAN kita uruskan kembali industri itu dan berjaya mendapat RM80 juta setahun.

“Dahulu memang ada hasilnya tetapi ia masuk poket orang lain diam-diam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat khususnya pengundi DUN Balakong perlu mengekalkan calon PAKATAN, Wong Siew Ki, di DUN berkenaan untuk terus mendapat manfaat daripada Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Selangor kekalkan dasar hubungan baik dengan Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri mengekalkan dasar menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, layanan diberikan Kerajaan Persekutuan di era pentadbiran terdahulu dilihat seolah-olah memperkecilkan peranan besar Kerajaan Negeri sebagai penyumbang besar ekonomi negara.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Persekutuan yang dahulu sering melayan kita secara tidak normal misalnya isu pelantikan Ketua Kampung.

“Begitu juga dengan rundingan penstrukturan air yang begitu sukar diselesaikan sebelum ini tetapi apabila Kerajaan Persekutuan bertukar barulah rundingan menjadi lebih lancar dan berjaya diselesaikan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, dasar mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri amalkan konsep ‘buta warna’ untuk semua kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan Negeri komited untuk terus konsisten dalam melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan pemberdayaan setiap golongan dengan mengambil kira konsep ‘buta warna’.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, konsep itu diterapkan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya setiap kaum merasai peruntukan tanpa pilih kasih.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri menjanjikan suasana yang baik, keadilan untuk rakyat dan pentadbiran jujur serta amanah.

“Kekayaan negeri bukan milik pimpinan tetapi untuk rakyat Selangor, sebab kita kita memastikan rakyat berada dalam keadaan baik menerusi pelbagai insiatif yang dilaksanakan.

“Kemerdekaan 61 tahun ini mengajar kita erti perpaduan. Sudah sampai masanya kita meninggal perbezaan kaum. Memisahkan antara kaum adalah perbuatan penjajah berpuluh tahun dahulu.

“Kita kini hidup bebas dalam tanah air dalam sebuah negara Malaysia. Sudah sampai masanya kita buang sikap prejudis perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Selangor.

Pada masa sama, Amirudin mahu setiap ibu bapa di negeri ini menjadi pelopor dan bersatu padu untuk menekankan semangat perpaduan.

“Peranan pendidikan tidak seharusnya diletakkan kepada guru seratus peratus tetapi juga memerlukan kerjasama daripada ibu-bapa, keluarga, jiran tetangga, pimpinan masyarakat dan juga pihak berkuasa yang rapat dengan masyarakat.

“Untuk membebaskan kejahilan adalah usaha penting yang perlu kita lakukan, kerana kejahilan akan melahirkan masyarakat yang lemah dan tidak mampu menyumbang kepada pembentukan bangsa,” katanya.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Amirudin lancar Projek Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, melancarkan Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’, di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, di sini, semalam.

Projek pembudayaan ilmu itu antara aspirasi Kerajaan Negeri ke arah mengangkat karya besar dunia seperti falsafah, islamik, sastera dan biografi.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, Kerajaan Negeri mendukung sepenuhnya pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan sebagai satu usaha merancakkan aktiviti penterjemahan karya antarabangsa juga tempatan.

“Dua organisasi di bawah siri pencerahan ini termasuk IBDE Ilham yang berperanan menerbit dan menterjemahkan karya besar dunia, manakala Nusantara Audiobook menterjemahkan buku cetak ke dalam bentuk digital audio.

“Ia difikirkan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan, khususnya kepada generasi muda dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, lebih 1,000 naskhah buku dalam bentuk penterjemahan sudah dicetak dan diterbitkan, setakat ini.

“Setiap satu keluaran akan diterjemahkan dan seterusnya diedarkan di perpustakaan termasuk semua sekolah serta agensi kerajaan di Selangor sebagai galakan kepada mereka untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan.

“Untuk semua 22 buku itu, ia diterjemahkan dalam tempoh dua tahun, manakala kadar terjemahan yang dimiliki juga banyak seperti karya arab (Imam Al-Ghazali) dan bahasa Inggeris (Nekad: Potret Kehidupan Sir Onn Jaafar).

“Selepas ini, kita akan memperbanyakkan lagi terjemahan disusuli dengan perbincangan terhadap buku terbabit kepada umum supaya minat membaca semakin bercambah,” katanya.

Terdahulu, program itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Hadir sama, pengarang buku ‘Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tareqat’ Prof Martin van Bruinessan serta Pengarang buku ‘Nekad’, Pamela Ong Siew Im.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bank Negara perlu bezakan hutang peribadi dan perumahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri merayu Kerajaan Persekutuan supaya Bank Negara dapat membezakan hutang yang berpunca daripada penggunaan ‘retail consumption’ seperti kad kredit, pinjaman peribadi, pelajaran dan kenderaan dengan hutang untuk pemilikan rumah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sedia maklum bahawa Bank Negara memperketatkan dasar pinjaman perumahan selepas mengambil kira statistik ‘household debt’ yang sudah mencapai tahap kritikal.

“Hutang yang berpunca daripada kad kredit contohnya untuk tujuan ‘retail consumption’ tidak akan menghasilkan sebarang pemilikan aset yang bernilai.

“Sementara, hutang pinjaman kenderaan pula hanya menghasilkan pemilikan kereta yang nilainya akan susut, dari semasa ke semasa.

“Sebaliknya, pinjaman bagi pembiayaan perumahan akan menghasilkan pemilikan aset yang lebih bernilai dan meningkat dari semasa ke semasa melalui apresiasi modal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, di Holiday Inn, Glenmarie, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang tidak mempunyai kemampuan memiliki rumah atas kesukaran mendapatkan pinjaman.

Oleh itu, katanya, Skim Smart Sewa diperkenalkan tahun lalu dengan peruntukan RM100 juta dan ditambah lagi RM50 juta untuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) membeli unit Rumah SelangorKu di pasaran, tahun ini.

“Ia bermatlamat membantu rakyat berpendapatan sederhana dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyewa rumah yang dibeli, bagi tempoh dua hingga lima tahun.

“Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan ini akan dipulangkan semula sebagai insentif dalam membantu mereka menyediakan deposit pembelian Rumah SelangorKu kelak,” katanya.

Amirudin berkata, inisiatif itu dilaksanakan ekoran kemelut pembeli yang berdepan dengan masalah ‘end financing’ iaitu kadar penolakan oleh bank tempatan atas permohonan bagi mendapatkan pinjaman perumahan semakin meningkat mencecah sehingga 60 peratus.

“Sehingga kini, sebanyak 842 Rumah SelangorKu sudah dan akan dibeli oleh LPHS untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa. Terkini, sebanyak 352 rumah sudah sedia untuk disewakan dengan kadar sewaan, bermula RM450 hingga RM650 sebulan.

“Manakala, pada akhir tahun ini, sebanyak 150 unit lagi dijangka akan disiapkan dan sedia untuk disewakan, manakala bakinya sebanyak 340 dijangka dapat disiapkan untuk disewakan, mulai tahun 2019 hingga 2020,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Tiga PRK berturut-turut, 100 hari pentadbiran penuh cabaran

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan menjelang 100 hari pentadbiran beliau di Selangor dilalui dengan penuh cabaran apabila terpaksa menghadapi tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, ia cabaran besar buat Selangor khususnya menyambung perjuangan dan khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) yang telah meninggal dunia kepada rakyat.

“100 hari pertama saya (sebagai Dato’ Menteri Besar) berhadapan tiga PRK untuk kita sama-sama bekerja selepas kehilangan rakan-rakan kita.

“Keadaan sudah ditentukan, maka sampai masanya untuk kita datang ke DUN Seri Setia semula memohon daan meminta jasa baik pengundi berikan sokongan seperti sebelum ini sejak 2008,” katanya Majlis Pengumuman Calon PRK N.32 DUN Seri Setia di Padang Permainan Blok 4,!5 dan 6 Desa Mentari.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16 pada 19 Jun lalu menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, suasana 2008 menyaksikan PAKATAN datang dengan membawa harapan supaya rakyat menyokong mereka tetapi kini kehadiran sempena PRK bersama rekod kepimpinan yang baik.

“Kita datang dengan rekod yang baik dan telah dibuktikan melalui pentadbiran kerajaan baru pada 2008 hingga membawa hasil pada 9 Mei 2018, apabila buat pertama kalinya pentadbiran negara berubah daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAKATAN,” katanya.

Mengikut rekod, PAKATAN berjaya menawan DUN Seri Setia menerusi Nik Nazmi Nik Ahmad selama dua penggal bermula 2008 sebelum Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin mengekalkan penguasaan pada PRU-14 lalu.

Allahyarham Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Categories
SELANGOR

Calon Exco ganti Allahyarham Dr Shaharudin selepas PRK DUN Seri Setia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Calon bagi Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan akan diputuskan selepas tamat Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Seri Setia yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, setakat ini calon bagi mengisi kekosongan jawatan itu belum dibincangkan di peringkat pimpinan.

“Buat masa ini, saya memangku portfolio itu. Jika tugas berat ia akan diagih-agihkan kepada exco yang difikirkan sesuai memikul portfolio berkenaan.

“Saya perlu mengambil masa dan berbincang calon yang sesuai seterusnya membolehkan angkat sumpah exco yang dipilih itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Sementara itu, Amirudin turut memberitahu calon bagi kerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia berkemungkinan akan diputuskan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

Katanya, ia selepas pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menetapkan tarikh PRK bagi DUN berkenaan.

“Kita menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk menilai dan membuat keputusan. Buat masa ini, majlis pimpinan negeri ada meminta cadangan nama yang sesuai,” katanya.

Minggu lalu, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin yang juga Exco berkenaan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin dari KEADILAN memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Categories
NASIONAL

Tanding MPP kerana hormati pimpinan senior, mahu fokus pentadbiran Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memutuskan untuk bertanding bagi kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Amirudin berkata, antaranya beliau menghormati pimpinan senior yang bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada Pemilihan KEADILAN 2018 kali ini.

“Sudah terlalu ramai pimpinan senior bertanding Naib Presiden, jadi atas dasar menghormati pimpinan senior ini saya memutuskan akan bertanding merebut kerusi MPP kali ini.

“Berdasarkan peluang dan pengalaman sejak 2009 saya diberi kepercayaan sebagai ahli MPP lantikan saya yakin dapat menyumbang sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghantar borang pencalonannya kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana Merchant Square di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pencalonan beliau dicadang dan disokong oleh calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Afif Bahardin dan calon Timbalan Ketua AMK, Mohd Hilman Idham.

Katanya, selain menghormati pimpinan lebih senior, fokus kepada tanggungjawab sebagai Menteri Besar turut mendorong beliau untuk tidak bertanding merebut jawatan lebih tinggi.

Dalam sidang media itu, Amirudin turut memperkenalkan seorang lagi calon MPP, Radzlan Jalalludin.

Katanya, Radzlan sebelum ini merupakan Naib Ketua AMK.

Categories
SELANGOR

Saya sedia ditegur rakyat – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 OGOS : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menafikan sebuah poster yang kini menjadi tular di laman sosial twitter dikeluarkan oleh pihaknya.

Katanya, ia adalah kenyataan fitnah yang tidak berasas serta berniat jahat.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Saya sentiasa mendengar luahan dan pandangan rakyat demi kemajuan negeri Selangor,” tulisnya menerusi laman twitter peribadinya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas poster yang tertera dengan kata-kata, “Kami Kerajaan Selangor belum perlukan teguran rakyat kerana kerajaan negeri kini diurus oleh team terbaik.”

Dalam poster yang sama, wajah Amirudin turut digunakan pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit.

 

Categories
SELANGOR

Amirudin terima wawacara khas dengan Selangor FM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Isu Air, perumahan dan juga kebajikan rakyat diantara perkara disentuh ketika Program Wawancara Khas Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama radio Selangor FM.

Amirudin ditemubual hampir satu jam oleh penyampai Selangor FM yang dikenali sebagai Dassky bermula jam 12 tengah hari semalam.

Melalui wanwancara khas itu, Amirudin menekankan Selangor komited menyediakan kemudahan perumahan buat penduduk di negeri ini.

Katanya, Kuala Lumpur yang menjadi ‘jiran’ Selangor pesat dengan kegiatan ekonomi sekaligus membuatkan kebanjiran pekerja.

“Kesemua pekerja ini memerlukan rumah, dan rata-ratanya memilih untuk tinggal di Selangor termasuk Kajang, Ampang, Petaling Jaya dan Gombak.

“Disebabkan itu, kita sedang dalam pembinaan 20,000 unit rumah yang berharga daripada sekitar RM42,000 hingga RM250,000, ia sudahpun dalam pembinaan, dan diharapkan supaya ia dapat menampung jumlah permintaan perumahan oleh kumpulan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama isu air turut menjadi fokus bual bicara berkenaan, Amirudin dalam nada tenang memberitahu isu itu sudahpun hampir selesai.

“Ia bukan lagi berada di tahap membimbangkan, namun kita tetap memandang serius kerana jika Kerajaan Negeri gagal menyediakan bekalan air yang cukup, maka ia sudah tentu menggangu pembangunan yang sedia ada.

“Tidak guna hanya ada pembangunan rancak tetapi masalah air membelenggu rakyat, kita mahu isu air ini ditangani dengan baik dan mensasarkan Selangor mempunyai bekalan air mencukupi tidak lama lagi dan memberi bekalan yang selamat kepada rakyatnya,” katanya.

Pada penghujung temubual, Amirudin turut ditanya mengenai medium media sosial yang menjadi penghubungnya dengan rakyat Selangor.

“Media sosial termasuk facebook, instagram dan twitter sudah menjadi medium kepada rakyat Selangor untuk membuat aduan kepada saya secara terus.

“Malah ia adalah ruang berkomunikasi dengan rakyat sekaligus mengurangkan protokol, dan adalah menjadi harapan saya supaya tiada rakyat Selangor tersisih dalam menikmati kemajuan di negeri ini,” katanya.