Categories
NASIONAL

Bekas CEO TNB dedah ‘Black out’ 1992 rancangan kerajaan wujud IPP

KUALA LUMPUR 22 MEI: Insiden ‘Black Out’ yang berlaku di seluruh negara pada 1992 adalah perancangan yang bertujuan mewujudkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di negara ini.

Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Ani Arope mendedahkan perkara itu dalam buku beliau ‘Memoir Tan Sri Ani Arope’ setebal 143 surat.

Buku itu menceritakan permulaan IPP, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang dikuasai Dr Mahathir Mohamad ketika itu memaksa TNB menyerahkan tanah di Paka, Terengganu dan Pasir Gudang, Johor kepada pihak ketiga bagi pembinaan loji janakuasa.

ani arope“TNB mempunyai rancangan untuk menghasilkan lebih banyak tenaga dengan membina loji di Pasir Gudang dan Paka. Pembiayaannya tidak ada masalah dan kredit kami adalah sangat tinggi. Kami mempunyai tanah dan bersedia untuk membina loji.

“Tetapi, kami diberitahu oleh EPU bahawa ia mempunyai rancangan sendiri. Kami diberi amaran oleh EPU bahawa jika loji itu, yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan tidak dibina, Malaysia akan mengalami satu lagi ‘black out’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temuramah oleh Starbiz baru-baru ini berkenaan apa yang berlaku pada tahun 1992 dipetik Keadilan Daily.

blackout-GettyKatanya, TNB pada masa itu memiliki 250 jurutera dan adalah mustahil mengatakan kejadian black out disebabkan perancangan lemah syarikat tanaga berkenaan.

Ani berkata, TNB menghasilkan elektrik pada 8 sen seunit (kwh) dan membekalkannya pada 17 sen seunit, selepas peristiwa itu,

Namun, IPP menghasilkan elektrik pada 23 sen seunit menyebabkan TNB perlu mengenakan caj dengan kadar tidak kurang daripada 30 sen seunit.

Katanya, tiada rundingan dilakukan dan perjanjian itu menyebabkan 20 juta pengguna pada tahun-tahun tersebut tiada pilihan dan terpaksa membayar kenaikan tarif elektrik.

ani“Selepas itu, pasukan saya kecewa. EPU hanya memberikan kami terma dan meminta kami bersetuju. Saya kata tidak mungkin,” katanya yang terpaksa meletak jawatan sejurus selepas kejadian itu.

Beliau berpendapat perjanjian itu adalah salah dari segi moral dan berat sebelah.

Berdasarkan laporan tahunan Petronas pada 2008, IPP mendapat subsidi gas berjumlah RM8.1 billion, manakala TNB pula memperoleh sebanyak RM5.7 billion.

PPA menyebabkan saham TNB jatuh menjunam daripada 20 sen pada tahun 1993 berkurangan kepada 10 sen pada tahun 1994.

TNB terpaksa menaikkan tarif elektrik untuk mengekalkan keuntungan syarikat.

 

Categories
NASIONAL

Korporat Perlu Bantu Perkukuh Institusi Pendidikan

SHAH ALAM, 12 APR: Sektor korporat di negara ini disaran mengambil tanggungjawab sosial untuk memperkukuhkan institusi pendidikan di negara ini.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan dalam majlis pidato yang bertajuk ‘Wacana Politik: Pendidikan Percuma, Apakah Sekadar Mimpi? di Dewan Kiambang, Seksyen 7 di sini.

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh sektor korporat di negara ini adalah dengan membina universiti-universiti seperti yang dilakukan oleh Petronas, Tenaga Nasional Bhd(TNB) dan Telekom Malaysia Bhd.

“Maknanya ini bukan pasal penswastaan, tetapi memaksa syarikat-syarikat yang kaya- raya yang diswastakan mewujudkan universiti untuk berikan pendidikan yang bermutu, maka universiti akan bertambah.

“Ini, ada syarikat yang untungnya berbilion-bilion, tetapi bila dekat nak pilihanraya, beri pada Umno, selesai tanggungjawab.

“Apa tanggungjawab sosial korporat, CSR syarikat-syarikat ini terhadap masyarakat negara ini? soal beliau.

Anwar turut memberitahu, beliau amat menekankan isu pendidikan sepanjang memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Apabila kita perintah, universiti akan kita bina dengan lebih banyak seperti.. tanya Petronas, siapa yang tekankan supaya Petronas bina universiti,” katanya.

Terangnya, waktu itu beliau menekankan supaya Petronas membina universiti, manakala Dr Mahathir waktu itu hanya bercakap tentang pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang ada Philharmonic Orchestra.

“TNB pula masa mula-mula diswastakan dapat untung berlipat kali ganda, saya tanya Tan Sri Ani Arope bagaimana dengan perumahan pekerja dan bagaimana dengan pendidikan anak-anak mereka? Dia terkejut.

“Selepas itulah TNB bina Uniten dan sama juga dengan Telekom mereka letakkan asas untuk bina universiti di Taiping,” katanya lagi.

Dalam majlis dialog yang dihadiri kira-kira seribu orang itu turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan beberapa pemimpin gerakan mahasiswa.