Categories
AGENDA NASIONAL

Jajaran baharu ECRL jimat kos, lindungi permatang kuarza Selangor

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jajaran baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diputuskan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini bukan sahaja menjimatkan kos malah mampu menyelamatkan Permatang Kuarza Genting Klang di Gombak, Selangor.

Anthony Loke Siew Fook berkata pengurangan kos sehingga RM21.5 bilion dapat dilakukan setelah PAKATAN memutuskan untuk tidak membina terowong sepanjang 18 kilometer di Banjaran Titiwangsa merentasi Genting Highlands ke Gombak.

“Keputusan itu sekali gus menyelamatkan Permatang Kuartza Genting Klang yang bakal musnah sekiranya terowong dibina. Kawasan tersebut merupakan khazanah semula jadi negara yang akan diiktiraf UNESCO,” kata bekas menteri pengangkutan dalam kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Seremban turut menyeru lebih banyak pihak menyatakan pendirian supaya ia dapat diteruskan kerana turut memberi tempias pembangunan kepada daerah kurang membangun.

“Jajaran baharu yang melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor boleh memberikan kesan pembangunan kepada kawasan berkaitan dan ia juga dijangka terus sampai ke Pelabuhan Westport juga melalui kawasan Pulau Carey.

“Dengan adanya laluan keretapi di sana, ia bakal menyumbang kepada pembangunan strategik di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita perniagaan yang menyebut Putrajaya sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran projek ECRL sama seperti dirancang kerajaan Barisan Nasional.

Categories
SELANGOR

Permatang Kuarza Genting Klang Dijadikan Tapak Warisan Dunia

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja peringkat negeri untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia.

Menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini Kerajaan Selangor telah meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri pada 14 Disember 2011.

“Jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia,” demikian menurut kenyataan media

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu turut membabitkan pelbagai agensi-agensi kerajaan.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pejabat Tanah Gombak dan Jabatan Perhutanan Selangor.

“Agensi lain yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Lembaga Urus Air Selangor, Perhilitan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan lain-lain,” menurutnya.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Pada mesyuarat pada 15 Disember 2011, jawatankuasa tersebut telah bersetuju supaya pencalonan PKGK sebagai Tapak Warisan Dunia perlu dimulakan dengan saintifik bagi mengenalpasti fakta-fakta saintifik atau ‘Outstanding Universal Value” di kawasan PKGK.

Selain itu menurut kenyataan itu lagi, beberapa agensi kerajaan lain juga didapati telah mewartakan kawasan PKGK di dalam bidang kuasa masing-masing.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Terdapat juga pelbagai warta lain di PKGK dan kawasan sekelilingnya termasuk warta di bawah Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perhilitan,” menurut kenyataan itu lagi.