Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri Sembilan dicadang naik taraf Terminal One

SEREMBAN, 13 JUN: Kerajaan Negeri Sembilan dicadangkan untuk menaik taraf terminal bas sedia ada dengan terminal baharu yang lebih moden dan canggih seperti yang terdapat di negeri lain bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang dalam rangka lawatan kerja ke Terminal One Seremban berkata bangunan yang berusia lebih 20 tahun itu sewajarnya dinaik taraf bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih cekap dapat ditawarkan kepada pengguna.

“Sejak saya sekolah menengah lagi terminal ini sudah ada iaitu lebih 20 tahun dan memang keadaan di terminal ini tidak memuaskan kerana terminal ini sudah lama dan ia tidak dinaik taraf selama ini. Sudah sampai masanya kita perlu melihat bagaimana untuk menaik taraf terminal ini kepada sebuah terminal yang canggih dan moden seiring dengan perubahan masa.

“Ini adalah terminal untuk ibu negeri, Negeri Sembilan…kebanyakan negeri lain telah ada terminal bas yang moden dan baharu kecuali di Seremban belum ada. Jadi Terminal One ini dari segi lokasinya amat strategik dan saya tidak akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memindahkan terminal ini. Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Seremban untuk melihat bagaimana boleh kita naik taraf terminal ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan beberapa Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Loke berkata kerajaan menggalakkan kerja menaik taraf terminal berkenaan dilakukan dengan penglibatan pihak swasta dan tidak melibatkan dana pembangunan kerajaan.

“Di kebanyakan tempat lain, terminal-terminal yang moden dikendalikan oleh pihak swasta. Mereka perlu melabur untuk menaikkan infrastruktur dan kemudahan dan kita ada satu ‘framework’ (di mana mereka boleh mengutip bayaran daripada parkir bas dan kereta serta menjana pendapatan melalui penjualan tiket secara online.

“Ada pelbagai cara untuk mereka mendapat pendapatan, jadi ini merupakan satu galakan kepada pihak swasta untuk melabur dalam pembinaan dan menaik taraf terminal. Jadi saya rasa Terminal One Seremban ini perlu dinaik taraf memandangkan keadaan yang tidak memuaskan,” katanya.

Kementerian, kata Loke menerusi APAD akan memberikan kerjasama penuh untuk menambah baik dan menaik taraf terminal berkenaan.

“Ia adalah hasrat daripada Kementerian Pengangkutan nak melihat setiap terminal bas di setiap ibu negeri menjadi satu hab pengangkutan awam untuk memudahkan rakyat untuk berulang-alik. Bayangkan Terminal One ini dinaik taraf dan dia sudah ada ‘shopping mall’ (pusat beli-belah) berdekatan dan tengah pusat bandar dan ini boleh dijadikan satu pusat di mana ada lebih banyak aktiviti ekonomi boleh dijalankan terutama kepada peniaga kecil,” katanya.

Loke berkata terminal berkenaan bagaimanapun masih lagi boleh beroperasi namun terdapat permintaan tinggi daripada pengguna supaya ia dinaik taraf.

SEREMBAN, 13 Jun — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) melihat carta komputer Pusat Arahan Kawalan MyBas Seremban, pada lawatan kerjanya ke perhentian bas Terminal One Seremban, hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Loke berkata operator bas ekspres di Terminal One Seremban turut disyaratkan oleh APAD untuk melakukan trip perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur sebanyak empat perjalanan khas untuk penumpang wanita pada waktu puncak dari pukul 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang, hari bekerja.

“Dia bukan sepanjang hari tapi pada waktu puncak sahaja. Ini untuk mudahkan penumpang wanita kerana ada yang tidak selesa jika ada penumpang lelaki. Jadi kita penuhi permintaan kepada penumpang wanita dan operator bas mesti menjalankan operasi untuk wanita sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut memberi amaran kepada operator bas ekspres supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan kadar tambang yang telah ditetapkan untuk laluan Seremban-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Seremban iaitu sebanyak RM6.50 sehala.

“Beberapa hari lepas saya dapat aduan daripada orang ramai yang bertanya kepada saya mengapa tambang dari Seremban ke Kuala Lumpur naik dari RM6 ke RM7 bermula 1 Jun lepas. Saya telah membuat pengesahan dengan pihak APAD bahawa tambang yang kita luluskan iaitu tambang siling maksimum RM6.50. Jadi peningkatan sehingga RM7 itu tidak sah.

“Jadi kita telah arahkan semua syarikat pengendali bas untuk menyelaraskan semula tambang mereka dan saya telah periksa dengan penumpang dan semalam mereka (operator bas) telah turunkan balik tambang kepada RM6.50. Kita akan sentiasa pantau dan ‘check’ (periksa) dan mana-mana syarikat yang tak patuhi peraturan kadar tambang itu, tindakan tegas akan diambil termasuk gantung lesen.”

Beliau turut menasihatkan penumpang yang mempunyai maklumat mengenai kenaikan kadar tambang melebihi kadar yang ditetapkan untuk membuat aduan kepada APAD.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KL Monorail: Tiga tren empat gerabak beroperasi Ogos

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Tiga set tren empat gerabak KL Monorail akan beroperasi pada Ogos ini dan dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan kapasiti penumpang monorel yang dihadapi pengguna ketika ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, terdapat enam set tren dua gerabak sahaja yang sedang beroperasi setakat ini dan hanya mampu menampung 214 penumpang bagi setiap perkhidmatan.

“Sekarang ada enam set dua gerabak sahaja memang tak cukup, ada banyak aduan kita dengar (terima) tren sering sesak pada waktu puncak, keadaan tak selesa dan tak begitu baik kepada pengguna.

“Jadi dua set sedang dibaiki tapi kita perlukan minimum tiga set. Kalau dua set kita tidak ada tren tambahan, pengguna akan buat aduan, sebab itu kita janji bahawa isu monorel akan ditangani dan harap dapat beroperasi semula 16 Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di depot monorel, di sini hari ini.

Loke berkata tambahan dua set tren lagi dijangka beroperasi pada November ini bagi memastikan kapasiti untuk monorel dapat dipertingkatkan dan mengembalikan jumlah penumpang monorel daripada sekadar 31,000 orang kepada 70,000 orang setiap hari.

Pada April lepas, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP) memeterai perjanjian peroleh dan baik pulih tren monorel di bawah perkhidmatan KL Monorail.

Menerusi perjanjian itu, STP akan membaik pulih lima set tren empat gerabak yang dihentikan perkhidmatan sejak Januari 2018 bagi tujuan pembaikan selain membekalkan tujuh lagi set tren yang baharu dalam tempoh 20 bulan.

Sejak 2015, operasi monorel menggunakan lima set tren empat gerabak dan enam set tren dua gerabak. Namun selepas perkhidmatan lima set empat gerabak dihentikan, ia kini beroperasi dengan enam tren dua gerabak sahaja.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syarikat penerbangan diminta tambah jumlah penerbangan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Pengangkutan meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah bilangan penerbangan domestik khususnya pada musim perayaan ini, bagi membolehkan penumpang membuat pilihan harga.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, apabila tawaran tiket penerbangan itu lebih banyak maka harga purata sesebuah penerbangan juga akan sedikit menurun.

“Harga yang sangat tinggi ini biasanya berlaku jika tinggal beberapa tempat (kerusi) dalam setiap penerbangan. Bukan setiap tempat duduk dalam penerbangan akan dapat harga yang tinggi.

“Ia (harga tiket) meningkat apabila ada permintaan lebih tinggi dan tinggal beberapa kerusi sahaja (dalam satu penerbangan), jadi ia (harga) akan meningkat,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan berhubung harga tiket penerbangan domestik yang tinggi menjelang Aidilfitri awal Jun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Ekspres Musafir di Terminal Bas Bersepadu, di sini hari ini, yang turut dihadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak.

Mengenai saranan harga siling untuk tiket penerbangan, Loke berkata jika kerajaan melaksanakan kadar harga siling pada musim perayaan, ia akan memberi kesan kepada harga purata di hari biasa.

“Saya tahu ada pelbagai saranan untuk kami letakkan harga siling. Kami dah bincang perkara ini dan saya sudah nyatakan berkali-kali kepada media di mana kalau kami mengambil langkah itu, syarikat penerbangan ini akan menaikkan harga mereka pada hari biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata pihaknya masih menunggu laporan audit lengkap daripada MIROS, APAD dan polis mengenai kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti Mybas, dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, semalam.

Kemalangan pada pukul 3.45 petang itu menyebabkan seorang pelajar maut manakala 37 lagi cedera termasuk empat dirawat di zon merah. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cermin sisi dan belakang kenderaan dibenar gelap sepenuhnya

PUTRAJAYA, 7 MEI: Mulai esok (8 Mei), cermin sisi dan cermin belakang bahagian penumpang kenderaan pensedirian dibenarkan gelap sepenuhnya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Peraturan semasa cermin gelap bagi cermin bahagian itu ditetapkan pada kadar 30 peratus.

Loke bagaimanapun berkata, peraturan sedia ada bagi cermin hadapan dan cermin sisi bahagian pemandu kekal iaitu pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.

“Dengan ini, cermin sisi dan belakang untuk penumpang boleh hitam semua dengan syarat kenderaan itu dilengkapi dengan cermin pemantul kanan dan kiri (side mirrors). Tiada lagi sekatan.

“Ramai yang minta kita longgarkan (peraturan) untuk berikan (cermin) lebih gelap supaya tahan haba dan kita ambil pertimbangaan itu. Tetapi kita tidak boleh kompromi dengan cermin hadapan dan sisi bahagian pemandu, kita kekalkan peraturan sedia,” katanya selepas mesyuarat bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini hari ini.

Loke menegaskan penggunaan lapisan filem atau cermin yang lebih gelap di bahagian pemandu akan mengganggu kebolehan pemandu untuk melihat dan mengawal kenderaan dengan selamat.

“Ini meningkatkan risiko berlakunya kemalangan terutamanya dalam keadaan waktu kurang cahaya sama ada disebabkan oleh hujan atau pemanduan di waktu malam,” katanya.

Loke berkata pemilik kenderaan boleh memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap untuk bahagian pemandu atas sebab yang khusus seperti faktor keselamatan dan kesihatan, dengan dikenakan fi perkhidmatan untuk setiap permohonan.

“Bagi setiap permohonan yang dikemukakan atas faktor keselamatan akan dikenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50. Setiap permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh selama dua tahun,” katanya.

Loke berkata individu yang telah diluluskan penggunaan cermin yang gelap perlu memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan dikenakan fi yang sama bagi setiap permohonan.

Kenaan fi itu dijangka memberi kira-kira RM6 juta setahun kepada pendapatan kerajaan, katanya.

“Permohonan pengecualian di atas faktor kesihatan hendaklah mendapat pengecualian bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang kenaan fi,” kata Loke.

 

Menurut Loke, kerajaan terdahulu meluluskan sebanyak 5,469 permohonan untuk cermin gelap daripada tahun 2011 hingga 2018 tanpa kenaan fi.

“Saya tengok balik profil orang yang mendapat kelulusan, kebanyakannya adalah orang yang berkemampuan atas alasan faktor keselamatan. Jadi saya rasa golongan ini adalah golongan yang mampu, dan kalau dikenakan fi, ia mampu memberi pendapatan kepada kerajaan,” katanya.

“Sekarang sesiapa yang ingin memohon atas faktor tertentu, dia boleh mohon dari JPJ,” katanya, sambil menambah satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid akan ditubuhkan dan bermesyuarat setiap bulan untuk memproses permohonan cermin gelap.

“Permohonan tersebut mesti ada beberapa syarat iaitu ada alasan yang diberikan, dan seterusnya permohonan akan dihantar kepada pihak polis untuk proses vetting. Kalau ada kes jenayah, ia akan terus ditolak, dan juga semua tunggakan saman mesti dibayar dahulu,” kata Loke.

 

Ditanya tentang kenderaan yang telah dipasang cermin gelap, Loke berkata semua kenderaan yang bercermin gelap adalah haram dan mereka perlu membuat permohonan balik.

“Terdapat kira-kira 20,000 yang diluluskan untuk tiga tahun sejak 2011 dan kebanyakannya telah melepasi tempoh. Oleh itu semua permit perlu dibaharui, jika tidak mereka akan disaman RM300 jika cermin gelap tidak lulus standard ditetapkan,” katanya.

Loke berkata pindaan ke atas peraturan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap digariskan dalam kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 dan ia juga selari dengan peraturan UN Regulation No 43: Uniform Provisions Concerning the Approval of Safety Glazing Materials and Their Installation on Vehicles.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Peraturan e-hailing dipinda untuk OKU dapat lesen PSV

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Peraturan e-hailing akan dipinda untuk membolehkan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan lesen pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata, kementeriannya mengadakan perbincangan dengan syarikat e-hailing dan akan mempertimbangkan perkara itu.

“Mesej saya kepada komuniti kelainan upaya ialah mereka usah bimbang … kami sokong hak mereka untuk menjadi pemandu e-hailing agar mereka boleh mengusahakan mata pencarian sendiri.

“Tidak timbul isu tidak membenarkan mereka tetapi peraturan sedia ada perlu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Kad Diskaun Xtra20 Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter’ hari ini.

Beliau diminta mengulas kekeliruan sesetengah syarikat perkhidmatan e-hailing berkenaan pendaftaran lesen PSV untuk OKU.

Sementara itu, Loke berkata mulai esok, penumpang KTM Komuter warga Malaysia akan menikmati diskaun tambang 20 peratus di lima jajaran iaitu Padang Rengas-Butterworth; Butterworth-Padang Besar; Port Klang-Tanjung Malim; Seremban-Batu Caves; dan Sungai Gadut-Tampin.

“Insentif terbaharu yang dikenali sebagai Xtra20 itu dijangka mampu merangsang peningkatan penumpang KTM Komuter pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

“Kementerian mensasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus pada tahun ini iaitu lebih kurang 90,000 penumpang sehari kepada 108,000 penumpang dan seterusnya tambahan 20 peratus pada tahun hadapan bagi mencapai sasaran 130,000 penumpang sehari dengan konsisten.

“Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan sistem transaksi tanpa wang di stesen-stesen komuter, mereka sudahpun menikmati diskaun 20 peratus dan akan mendapat tambahan 20 peratus mulai esok, jadi mereka mendapat diskaun sehingga 40 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata mulai Mei atau Jun depan, waktu ketibaan tren KTM Komuter akan dipaparkan secara langsung melalui platform digital data terbuka dan aplikasi telefon bimbit KTMB yang hampir siap dibina. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengenalan kurikulum baharu keselamatan jalan raya tepat

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya adalah keputusan tepat dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu disemai di peringkat sekolah.

Beliau percaya sekiranya kanak-kanak dididik sejak kecil untuk berpegang pada nilai murni, mereka tidak akan tergamak melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

“Langkah Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum terbabit sebagai sebahagian sukatan pelajaran amat dialu-alukan dan perlu disokong semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian sukatan pelajaran, akan dilancarkan Februari ini bertujuan memupuk pemikiran rakyat membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Mengulas lanjut, Lee berkata, usaha memupuk kesedaran keselamatan jalan raya amat penting kerana kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan bagi tempoh sembilan tahun daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Terdapat juga kes pemandu memandu di bawah pengaruh dadah yang adalah antara faktor utama kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penurunan sebanyak 456 kes kematian pada tahun lalu berbanding 6,740 kematian bagi tahun sebelumnya.

Categories
NASIONAL

Tiga syarikat tambah penerbangan tambang rendah sempena Tahun Baharu Cina

SEPANG, 1 FEB: Tiga syarikat penerbangan tempatan menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara 30 Januari dan 12 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat penerbangan terbabit, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air turut berikrar menambah kapasiti 64,382 tempat duduk membabitkan 14 laluan khusus ​​​​​bagi memenuhi permintaan destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

“Tahun lalu, kerajaan telah meminta Suruhanhaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melakukan kajian terhadap tambang penerbangan yang mahal (dikenakan syarikat penerbangan) ketika tempoh puncak perjalanan di negara ini dan mencari pilihan bagi tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini, malam tadi, lapor BERNAMA.

Mengulas selanjutnya, Loke berkata, semua tambang bagi penerbangan tambahan lewat malam itu berkurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagi laluan AirAsia Kuala Lumpur-Sibu misalnya, tambang tahun lalu kira-kira RM1,000 tetapi tahun ini, kerajaan telah bersetuju dengan tambang rendah RM149 untuk semua tempat duduk.

“Ini adalah inisiatif kami bagi meringkan kos sara hidup,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tiada tawaran diskaun kompaun JPJ

SEPANG, 29 JAN: Dasar tiada tawaran diskaun terhadap mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas dikekalkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan tidak mahu pengguna jalan raya yang mendapat saman mengamalkan sikap menunggu tawaran diskaun sebelum membayar saman.

“Kita tidak mahu pengguna jalan raya ambil ringan saman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 sempena Tahun Baru Cina di kawasan rehat dan rawat Dengkil arah selatan di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

“Hendak marah Menteri Pengangkutan pun marahlah. Tugas saya ialah untuk kurangkan kemalangan jalan raya. Ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya,” katanya.

Antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan dan memandu di lorong kecemasan.

Mengenai Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang bermula hari ini sehingga 12 Februari depan, Loke berkata ia mebabitkan 10,000 pegawai dan anggota penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 merangkumi empat program utama iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tambah peruntukan JPA, tetapi biasiswa berkurangan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook mempersoalkan tambahan RM160 juta bagi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbanding peruntukan RM1.65 bilion.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said itu bercanggah dengan apa dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Januari lalu.

“Perdana Menteri mengumumkan ekoran pendapatan negara berkurangan akibat dari kejatuhan harga minyak, maka biasiswa JPA untuk pelajar cemerlang dikurangkan.

ANTHONY LOKE“Kalau mengikut jawapan Azalina bukan dikurangkan, tetapi ditingkatkan kepada 10 peratus iaitu RM160 juta lagi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, biarpun biasiswa itu ditambah, namun didakwa bantuan kepada pelajar dikurangkan daripada jumlah sebelumnya.

Beliau berkata, seramai 747 pelajar cemerlang yang sepatutnya melanjutkan pelajaran ke luar negara kini diarahkan meneruskan pengajian di universiti tempatan.

“Kita tidak faham kenapa peruntukan ditambah tetapi biasiswa dikurangkan seperti sebelumnya RM10,050 menjadi RM8,000 untuk pelajar menuntut dalam negara.

“Lebih mendukacitakan 747 pelajar mendapat maklumat daripada JPA bahawa biasiswa mereka bertukar menjadi pinjaman boleh ubah,” katanya.

Siew Fook berkata, ia adalah perubahan dasar ketara yang tidak sewajarnya dilakukan kerajaan bagi membantu rakyat.

Beliau menyarankan seharusnya perkara itu tidak berlaku kerana ia menimbulkan persoalan terhadap penekanan dasar menjadi amalan selama ini.

“Perubahan biasiswa kepada pinjaman boleh ubah bermakna selepas menamatkan pengajian, seseorang pelajar jika tidak mahu membayar pinjaman mesti bekerja dengan sektor awam atau membayar separuh daripada pinjaman dengan berkhidmat kepada anak syarikat kerajaan.

“Manakala bayaran penuh mesti dibuat sekiranya berkhidmat dengan pihak swasta,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

DAP Mesyuarat Esok Bincang Pembatalan CEC

DAP logo 01

SHAH ALAM 30 JULAI : DAP akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan kes pembatalan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Pengaturan Anthony Loke Siew Fook ketika dihubungi TVSelangor hari ini enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut tetapi menyatakan keputusan akan dibuat dalam mesyuarat itu.

“Mesyuarat akan dibuat esok tetapi setakat ini kita belum menerima sebarang surat (mengenai pembatalan CEC dari ROS),” katanya.

Portal Malaysiakini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan keputusan ROS tersebut semalam.

Bagaimanapun perkara itu belum dimaklumkan kepada DAP secara bertulis.

Sebelum ini, ROS dilaporkan menyiasat pemilihan CEC parti pada Disember lalu atas dakwaan kesilapan dalam pengundian dan penjumlahan undi.

Categories
NASIONAL

Pakatan Tidak Yakin Dengan Siasatan SPRM Terhadap Taib Mahmud

taibmahmud 01

SHAH ALAM 30 JUN : Pemimpin Pakatan Rakyat tidak yakin dengan pengumuman terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan agensi itu terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana dakwaan bahawa Abdul Taib dan keluarganya terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa telah dibuat daripada dahulu lagi dengan pelbagai pendedahan media dan laporan polis.

Terbaru adalah video yang dibuat NGO Global Witness pada Mac lalu yang memaparkan saudara Abdul Taib yang cuba menjual tanah di Sarawak kepada aktivis NGO itu yang menyamar sebagai pelabur asing.

Malangnya, Ketua Menteri itu berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan SPRM apabila agensi itu mahu memanggilnya untuk siasatan.

Setiausaha Publisiti, Anthony Loke Siew Fook berkata sehingga kini Abdul Taib tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Tidak ada keyakinan terhadap SPRM dalam siasatan ke atas Taib kecuali ada tindakan pendakwaan dilakukan,” katanya melalui Sistem pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas isu itu.

Akhbar TheStar hari ini melaporkan bahawa SPRM sedang meneliti 400 fail dan merakamkan kenyataan daripada lebih 20 individu berkaitan kes terhadap Abdul Taib.

SPRM di dalam satu kenyataan berkata agensi itu tidak pernah berhenti menyiasat Abdul Taib dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi siasatan itu.

Siasatan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan yang dibuat di dalam video Global Witness itu.

Sementara itu, Angkatan Muda PKR Sarawak mendesak SPRM supaya memanggil Abdul Taib bagi membuktikan agensi itu betul-betul serius di dalam siasatannya.

“Kita mahu dia dipanggil untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak mahu hanya fail-fail yang disiasat.

Beliau turut mempersoalkan ‘kesukaran’ untuk memanggil Abdul Taib tetapi begitu mudah memanggil orang lain jika hanya rakyat biasa.

“Apakah negara ini mempunyai dua undang-undang? Kalau kita lihat apabila kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu SPRM sudah panggil, tetapi Taib tidak.

“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih dan perbuatannya sebagai sandiwara. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat,” katanya.