Categories
SELANGOR

Rakan sekerja dorong Roslan terima APC PKNS

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 12 JUL: Sokongan dan dorongan kuat rakan sekerja menjadikan salah seorang kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Roslan Sekin, menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018.

Pengurus Keselamatan berusia 49 tahun itu berkata, anugerah diterima itu adalah kali kedua di sepanjang 17 tahun perkhidmatannya.

“Pencapaian saya ini bukan datang daripada usaha sendiri tetapi daripada rakan sekerja yang mendorong saya.

“Selain itu, ia juga adalah pencapaian daripada jabatan saya yang tidak pernah putus memberi suntikan semangat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis APC dan Jasamu Dikenang 2019 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Pada masa sama, Roslan berkata, PKNS adalah satu organisasi sangat istimewa daripada segi pembangunan modal insan dan setiap pekerjanya.

“Dengan adanya anugerah ini, ia dapat memberi satu dorongan serta suntikan semangat kepada pekerja.

“Selain itu, ia menjadikan kakitangan lebih berkredibiliti dan mampu membuka peluang kepada mereka untuk berjaya,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

MBSA perkenal Anugerah Khas Perkhidmatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan Anugerah Khas Perkhidmatan bagi menghargai sumbangan kakitangannya yang sudah lama berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Timbalan Dato’ Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, inisiatif memperkenalkan anugerah itu kerana kakitangan cemerlang harus diiktiraf walaupun bukan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

“MBSA sentiasa komited menghargai pengorbanan dan usaha warga kerjanya dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.

“Oleh itu, MBSA berbesar hati memberikan hadiah kepada 25 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan ini berupa sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium BSN RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis APC MBSA 2018, di sini, malam tadi.

Antara kriteria penerima Anugerah Khas Perkhidmatan adalah kakitangan perlu memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas, layak dipertimbangkan untuk APC namun tidak berpeluang kerana kuota sudah penuh.

Antara lain, kakitangan pernah menerima APC tetapi tempoh melebihi 10 tahun dan keutamaan diberikan kepada kakitangan akan bersara tempoh tiga tahun atau lima tahun akan datang.

Sementara itu, seramai 14 penerima Anugerah Pengkhidmat Setia 25 Tahun menerima wang tunai RM4,000 dan sijil penghargaan manakala lima kakitangan senior turut diraikan menerusi Anugerah Persaraan dengan menerima sijil penghargaan, wang tunai RM1,000 dan Sijil Simpanan Premium BSN RM500.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron.

Majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi legenda, Jamal Abdillah yang mendendangkan empat buah lagu antaranya Sepi Seorang Perindu, Kekasih Awal dan Akhir dan Gadis Melayu.

 

 

 

Categories
SELANGOR

152 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Seramai 152 penjawat awam dari tujuh buah jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, manakala 31 orang pula menerima Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2018, yang diraikan dalam satu majlis, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam ucapannya mahu pegawai dan anggota perkhidmatan awam menyebarkan ‘real news’ berhubung kejayaan dikecapi rakyat Selangor.

“Juga bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mengiktiraf peranan penting tuan-tuan dan puan-puan di Selangor.

“Dengan adanya pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited dan dedikasi seperti di Selangor, saya yakin, Malaysia mempunyai masa depan cerah.

“Pengalaman amat bernilai dalam perkhidmatan ini turut dikongsi bersama masyarakat agar budaya kerja cemerlang ini dapat terus dipertahankan oleh barisan muda perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, majlis diadakan kali kedua bermula tmahun lalu menggabungkan kedua majlis, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Katanya, ia sebagai sokongan dasar penjimatan Kerajaan Negeri yang mengamalkan konsep ‘value for money’.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah di atas prestasi cemerlang serta komitmen yang tinggi dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Juga kepada penerima AJD, jasa-jasa sepanjang berkhidmat akan dikenang dan dihargai,” katanya.

Tujuh buah jabatan itu membabitkan Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Selain itu, Pejabat Mufti Negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) pejabat SUK, Dato’ Mazlan Md Noor menerima APC.

Turut menerima APC, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib dan Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Selain itu, bagi AJD pula dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.