Categories
NASIONAL

Tinggalkan zaman jahilliah Umno

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Ahli Umno disarankan meninggalkan parti yang disifatkan sebagai parti zaman jahilliah dan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ahli Umno peringkat akar umbi wajar mencontohi pemimpin vateran Umno yang semakin ramai memberikan sokongan terbuka kepada PAKATAN.

“Kalau Tun Mahathir (Mohamad) sokong, Tan Sri Rafidah (Aziz) dah sokong, Tun Daim (Zainuddin) sokong, Tan Sri Rais (Yatim) dah sokong, yang Ketua Umno Cawangan Bukit Melawati tunggu apa lagi? Nak tunggu kain pelikat? Nak tunggu kain batik?

“Ketua wanita kamu, ‘iron lady’ pun dah mengatakan Umno itu rosak, setakat Ketua Wanita Umno Cawangan itu buat apa lagi? Cukuplah, tinggalkanlah zaman jahilliah Umno itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Umum Pakatan Harapan di Kampung Assam Jawa, di sini malam tadi.

Jelasnya, tindakan terbaru Umno memecat Daim, Rais dan Rafidah itu membuktikan Umno semakin tertekan melihat sokongan ketiga-tiga tokoh itu terhadap PAKATAN.

Katanya, selain memecat keanggotaan tiga tokoh terbabit, tindakan menghalang poster Mahathir dipasang di kawasan awam pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 membuktikan sikap penakut Umno di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

“Kalaulah saya ada presiden begini memang memalukan saya kerana penakut dengan gambar lelaki berusia 93 tahun,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

“Rizab negeri RM8 bilion kalau tak laksana IPR tapi apa gunanya”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Rizab Kerajaan Negeri dijangka mencecah RM8 bilion sekiranya program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) tidak dilaksanakan di negeri termaju itu.

Bagaimanapun Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, namun apa gunanya jika Kerajaan Negeri mempunyai rizab yang besar tetapi rakyat terbanyak tidak dapat pembelaan sewajarnya.

“Rizab kita dah hampir RM4 bilion, bukan rupiah tetapi ringgit. Saya tak tahu nak buat apa sebab duit dah banyak dah. Saya tak beli kapal layar, cincin tetapi setiap sen khazanah negeri dipulangkan kepada rakyat.

“Saya tak payah nak kongsi cerita IPR. Tuan-tuan tahukah air percuma RM180 juta setahun, skim peduli sihat RM125 juta, KISS RM100 juta, HIJRAH membantu peniaga kecil RM300 juta, Bas Smart Selangor RM50 juta dan ini belum lagi termasuk biasiswa anak-anak kita masuk UNISEL dan di Timur Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Umum di Dewan Orang Ramai Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.

Jelasnya, aspirasi beliau mahukan Selangor membangun sebagai sebuah negeri penyayang dan peduli rakyat kepada semua golongan termasuk petani, nelayan, vateran angkatan tentera dan lain-lain.

Katanya, rakyat Selangor harus mempertahankan apa yang dibina Kerajaan Negeri selama 10 tahun mentadbir negeri.

Katanya lagi, rakyat Selangor juga boleh berbangga apabila Selangor menyumbang 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Maknanya setiap RM1 dalam poket rakyat Malaysia sama ada dia orang Pekan, orang Bagan Datuk ingat 23 sen dalam poket kamu adalah sumbangan orang Selangor yang bekerja kuat menyumbang ekonomi. Tahniah orang Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ng Suee Lim pilihan terbaik demi kemajuan Sekinchan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 6 MEI: Calon N004 Sekinchan, Ng Suee Lim adalah calon terbaik yang diletakkan Pakatan Harapan (PAKATAN) buat pengundi Sekinchan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rekod peribadi Suee Lim tidak perlu dipertikaikan berikutan seringkali mendapat kepercayaan pengundi sejak 2008.

“Saya yakin pemimpin yang boleh memartbatkan Sekinchan ialah Suee Lim, beliau diantara pemimpin yang kerapkali bertemu dengan saya mengadu masalah penduduk.

“Ini termasuk masalah Bagan Sekinchan yang mana penduduknya menetap di atas tanah rizab Melayu hampir 50 tahun lamanya.

“Atas usaha yang tidak berputus asa akhirnya masalah tersebut dapat diselesaikan pada 2015, bukannya pada waktu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sudah selesai sejak lama dulu lagi,” katanya di hadapan lebih 2,000 penduduk Pekan Sekinchan malam tadi.

Suee Lim berjaya menawan Sekinchan sejak PRU12 dengan majoriti undi kecil sebanyak 190, namun kepercayaan pengundi semakin meningkat terhadap beliau dan terbukti pada PRU13 apabila undi majoriti naik kepada 2,239.

Tahun lalu, Malaysia Kini melaporkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berikrar akan menjatuhkan Suee Lim pada PRU14.

Suee Lim turut mencabar Jamal bertanding dengannya bagi merebut kerusi berkenaan, namun Jamal memberikan alasan Suee Lim bukanlah lawannya yang kuat, dan dia hanya ingin bertanding dengan Mohamed Azmin di Bukit Antarabangsa.

Namun kenyataan Jamal itu hanyalah cakap kosong apabila beliau dilihat tidak dicalonkan bagi kedua-dua kerusi, Sekinchan mahupun Bukit Antarabangsa.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Angka keramat, nombor 3 untuk Bukit Antarabangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Calon N16, Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk memangkah calon nombor tiga pada kertas undi DUN berkenaan pada, Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14), 9 Mei ini.

Beliau berkata, pemilik angka keramat itu telah melaksanakan mandat pentadbiran negeri dengan cukup baik dan wajar dikekalkan.

“Saya mohon jasa pengundi untuk memilih calon nombor tiga itu. Calon-calon nombor lain dengan logo-logo mereka itu tidak perlulah kita pandang pun.

“Sekarang ini ada banyak calon dan parti. Rakyat pula terpaksa tengok setiap seorang calon di atas kertas undi nanti. Jadi saya bimbang takyat membuang masa tengok nombor calon-calon lain itu.

“Jadi, saya nasihatkan, tengok sahaja nombor tiga itu dan pangkahlah beliau.

“Tak perlu pandang nombor dan calon lain. Jangan tengok dacing karat, jangan pandang bulan malap, jangan pula tengok parti gajah,” seloroh Mohamed Azmin mengundang tawa lebih 7,000 warga Lembah Jaya yang hadir pada Program Ceramah DUN berkenaan, di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Calon nombor tiga merujuk kepada kedudukan turutan Mohamed Azmin pada kertas undi, N16 Bukit Antarabangsa.

Mohamed Azmin diletakkan sebagai calon kerusi berkenaan bagi mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya pada pilihanraya lalu dengan 16,502 undian.

Kerusi N16 Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan empat pencabarnya dalam usaha mengekalkan kerusi Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Salah seorangnya ialah adiknya sendiri iaitu selebriti tanahair, Mohamed Azwan Ali yang bertanding atas tiket Bebas dengan menggunakan logo Gajah.

Manakala tiga calon lain, Salwa Yunus (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamaruddin (PRM) yang melengkapkan saingan lima penjuru di kawasan itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Umno… 60 tahun pun tak cukup?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Umno Barisan Nasional sudah diberi peluang selama 60 tahun mengurus pentadbiran negara, sejak kemerdekaan lalu.

Justeru kata, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, tempoh lama itu memerlukan perubahan pentadbiran baru yang lebih jelas dan telus, di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Naib Presiden PAKATAN itu berkata, pentadbiran Umno kini lebih memburukkan imej negara di mata dunia berkait skandal kewangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Rakyat sudah tidak tahan lagi apabila melihat pengurusan ekonomi negara semakin parah. Maruah kita sebagai rakyat Malaysia di luar negara sangat buruk dan memalukan.

“Lihat sahaja akhbar luar negara, semua melaporkan penyelewengan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Tapi Malaysia? Banyak skandal ditutup. Apa nak jadi Malaysia sekarang?

“Justeru kita perlu bulatkan tekad untuk selamatkan negara dengan membuat perubahan. Cukuplah, sudah 60 tahun kita beri peluang mereka memerintah.

“Beri peluang kepada PAKATAN. Cukup-cukuplah Umno,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Sebelum ini, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui Umno sudah terlalu lama mentadbir negara.

Lebih memburukkan katanya, parti itu juga sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya di bawah urus tadbir Najib Razak.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bidas BN Kedah, ciplak dasar PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Kerajaan Selangor membidas Umno Barisan Nasional Kedah yang melancarkan manifesto serupa sebagaimana dasar yang sudah dilaksanakan pentadbiran negeri, sejak dua penggal lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, idea ‘menciplak’ dasar negeri itu membuktikan kelemahan parti itu untuk mentadbir Kedah dan Putrajaya, amnya.

“Di Selangor kita laksanakan IPR (Inisiatif Peduli Rakyat. Tetapi minggu lepas di Kedah, Menteri Besar Kedah lancar manifesto Barisan Nasional Kedah yang bertemakan Agenda Peduli Rakyat.

“Kalau Kedah nak ikut cara Selangor, baik serah sahaja kepada Kedah dan Putrajaya kepada Pakatan. Biar kita urus dan selesai semuanya,” seloroh Mohamad Azmin.

Beliau berkara demikian ketika berucap ada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memperkenalkan dasar baru Agenda Peduli Rakyat yang dilihat signifikan dengan pelaksanaan IPR Selangor.

Pelaksanaannya meliputi agenda berkebajikan hampir serupa sebagaimana yang sudah dilaksanakan pentadbiran Pakatan yang diterajui kepimpinan Mohamed Azmin.

Untuk rekod, IPR dilaksanakan di Selangor dengan memberi keutamaan kepada jaminan kebajikan rakyat yang lebih baik di bawah urus tadbir PAKATAN.

Antara keberkesanan dasar IPR termasuklah inisiatif pemberian air percuma, Bas Smart Selangor Percuma, akses kesihatan terbaik, wifi percuma dan banyak lagi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pejuang Umno pegang berus gigi bukan keris

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 3 MEI: “Pejuang Melayu ketika zaman dahulu, cabut keris. Tetapi pejuang Melayu yang diasaskan Umno kini pegang berus gigi,” sindir Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan pimpinan UMNO itu merupakan politik lapuk dan tidak relevan masa kini.

Katanya, berbeza dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang membawa politik baru dan mengangkat rakyat tanpa mengira kaum.

“Dulu belajar sejarah, Malaysia mempunyai 14 negeri. Tetapi sekarang sudah jadi dua negeri sahaja iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

“Setiap malam kena hentam. Selangor tidak ada air, rakyat tak mandi sebulan. Bila tak mandi datang pejuang Umno, pakai tuala dan bawa berus gigi untuk mandi di pejabat saya.

“Gila. Mat Sabu pun tak mandi di pejabat saya. Saya nak bagi ke? Itu politik lama. Kami semua sudah tidak bawa politik seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Terdahulu, Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan memakai tuala sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berkaitan isu gangguan bekalan air.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Malam 9 Mei, Azmin tunggu di KLIA

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: “Tutup pusat mengundi, saya tunggu Najib di KLIA. Kalau nampak orang itu lari saya tangkap, jika nampak perempuan itu lari, saya tangkap,” kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja melampau tetapi hampir membuatkan Malaysia muflis ekoran kerakusan pemimpin itu menggunakan wang negara.

“Saya mengajak rakyat pastikan 9 Mei ini bukan sahaja kena pertahankan Selangor tetapi mesti menang ke Putrajaya.

“Selangor bersendiri tidak cukup. Mari kita bekerjasama satu Malaysia. Lawan Barisan Nasional (BN), Najib sudah panik, Rosmah panik. Kalau kita kerja kuat, 9 Mei ini tutup pusat undi, saya tunggu di KLIA.

“Kalau saya nampak orang itu lari, saya tangkap. Saya nampak perempuan itu lari, saya tangkap. Sebab mereka ini sudah melampau,” katanya ketika berucap di program Jelajah Harapan Rakyat, di Taman Sri Andalas, di sini.

Dato’ Menteri Besar itu mendakwa PAKATAN tidak membenci dan memarahi parti dacing itu tetapi keterlibatan Najib dalam merompak hasil negara.

“Saya mahu lawan Najib dan Rosmah kerana mencuri serta merompak. Negara kita hampir muflis dan ekonomi teruk. Tidak perlu tunjuk pasport untuk pergi ke negara Eropah. Cukup pergi Indonesia, malu.

“Bapak dari Malaysia? Tak nak mengaku tapi cop Malaysia. Bagaimana pak, Perdana Menteri ada RM2.6 bilion. Tentu kita malu kan?

“Tetapi mereka tidak ada malu. Curi wang rakyat, kalau dulu orang curi ayam malam, sekarang siang-siang pun curi. Masuk akaun peribadi, ini cerita benar bukan cerita palsu,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan wang AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib menyatakan ia adalah derma dari keluarga diraja Saudi dan diberikan tanpa mengharapkan balasan.

Mohamed Apandi sekali gus menutup kes tersebut dan menyatakan Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Optimis Selangor kekal di bawah PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali optimis Selangor kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) selepas melihat sentimen sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi.

Beliau berkata, kehadiran penduduk di program yang dianjurkan PAKATAN menunjukkan kemaraan rakyat walaupun di kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Semalam di Teluk Gong, ada lima buah kampung. Kita kalah hampir 2,000 di kawasan itu, minta kita datang kubu kuat BN. Tapi apa yang saya lihat, bukan lagi kubu tapi sudah jadi ‘kubur’ BN.

“Ramai rakyat hadir dari pelbagai lapisan. Saya juga terkejut bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin datang bersama isteri dan anak-anak dan menyokong PAKATAN.

“Jadi, kalau Tun Daim datang sokong. Ini Ketua Bahagian Umno di sini tunggu apa lagi? Tunggu dedak?,” soalnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin mengajak rakyat untuk keluar mengundi pada 9 Mei ini.

“Saya yakin dan optimis semua rakyat akan mengundi PAKATAN. Kalau peratus keluar mengundi kurang, BN akan melakukan penipuan.

“Kalau tak tipu bukan Umno. Jadi, saya mengajak semua rakyat keluar mengundi 9 Mei ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Junjung titah DYMM Sultan, larangan berpolitik di masjid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Pimpinan politik di negeri ini diingatkan untuk kekal menjujung tinggi titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap larangan berpolitik di masjid dan surau seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketetapan itu sebagai jaminan keharmonian dan penyatuan institusi agama Islam di Selangor.

“Saya cukup tekun mendengar pencerahan daripada Pengarah MAIS (MAIS Agama Islam Selangor) yang memetik titah DYMM Sultan Selangor terhadap larangan berpolitik di Masjid dan Surau, lebih-lebih lagi ketika musim pilihanraya ini.

“Namun di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri, kita tidak perlu bimbang kerana saya yakin pimpinan negeri cukup berlapang dada menjunjung titah Sultan itu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada satu majlis di Taman Melawati Gombak, hari ini ini.

Sebelumnya, Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim dalam ucapannya di majlis berkenaan turut menyarankan supaya parti politik di negeri itu tidak menggunakan masjid dan surau sebagai medium berpolitik.

Ia susulan kebimbangan awam terhadap peningkatan jumlah aduan dan laporan berterusan daripada pengurusan masjid yang mendakwa terdapat calon-calon bertanding berkempen politik di kawasan pusat ibadat umat Islam itu.

“Susulan aduan berkenaan, JAIS telah mengeluarkan perkeliling kepada masjid-masjid dan surau seluruh negeri terhadap larangan berkenaan,” katanya.

Larangan berkenaan turut diyatakan dalam Peraturan 18 (1) dan Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kunjungan Tun Daim, sokongan moral PAKATAN tawan Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 MEI: Kunjungan Tun Daim Zainuddin ke sebuah program ceramah Pakatan Harapan (PAKATAN) dianggap sebagai sokongan moral bekas Menteri Umno itu, kepada komponen Pembangkang.

Naib Presiden gabungn itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia menjadi batu loncatan terpenting kepada gabungan itu untuk terus melawan kepimpinan rasuah, di Putrajaya.

“Saya tidak tahu pun kemunculan Tun Daim malam itu (semalam), dan hanya pada saat akhir baru saya bertemu beliau.

“Tentunya saya gembira kerana beliau merupakan tokoh besar dalam negara yang pernah duduk di jawatan terpenting dalam Kerajaan juga pernah dalam Umno sekian lama.

“Kini beliau sanggup terjun bersama PAKATAN dan memberikan sokongan moral walaupun tidak secara langsung dalam parti-parti pembangkang.

“Kehadiran beliau sangat memberi sokongan kuat kepada perjuangan kami dan saya amat gembira kerana ini akan memberikan dokongan kepada saya untuk bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada Program Kebajikan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Gombak, petang ini.

Tun Daim dilapor hadir ke ceramah umum Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) di Telok Gong Pelabuhan Klang, Kampung Bukit Kapar, Sementa, semalam.

Kehadiran Tun Daim turut dikongsikan Mohamed Azmin menerusi catatan di Twitternya, lewat malam tadi.

Ia turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial, dan mencetuskan spekulasi dalam kalangan penganalisis politik kini.

Tun Daim pernah dilantik sebagai Menteri Kabinet Umno oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad pada 1984.

Pada 1991, beliau berundur daripada kabinet selepas merasakan ekonomi Malaysia benar-benar teguh ketika itu.

Tidak lama selepas itu, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 31 Mei 2001.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: Perhebatkan program CSR, bantu asnaf seluruh negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim memerlukan di seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri mendukung sepenuhnya sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir menyerahkan bantuan dan keperluan sumbangan daripada Tautan Mahabbah Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad, di Seri Gombak, hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan bantuan kewangan RM30,000 disalurkan Badan Koperasi itu kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan penyerahan bantuan bukan disalurkan daripada peruntukan Kerajaan Negeri.

“Bantuan ini merupakan hasil inisiatif daripada badan kpperoasi ini dan ia bukan daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Saya tidak mahu ada dakwaan daripada pihak tertentu yang mengaitkan bantuan ini diserahkan berkait kempen pilihan raya.

“Saya cuma bertindak untuk menyampaikan bantuan ini bagi pihak mereka dan menggalakkan penglibatan sama daripada pertubuhan lain untuk melaksanakan dasar berkebajikan ini,” katanya.

=EZY=