Categories
ADN SELANGOR

ADN agih 500 kilogram ikan kepada penduduk Kampung Pendamar

SHAH ALAM, 12 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang mengagihkan 500 kilogram ikan pelaling kepada golongan memerlukan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasannya.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan yang disumbangkan peniaga Ah Huat Ikan Pasar Pagi itu diedarkan ke setiap rumah di Kampung Pendamar.

“Kami amat menghargai sumbangan ini yang telah mengurangkan sedikit beban masyarakat di Kampung Pendamar,” katanya di Facebook.

Pengagihan dilakukan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pendamar Mohd Shah Haron serta ahli jawatankuasanya.

Categories
ADN SELANGOR

49 jalan ke Pelabuhan Klang diselenggara enam bulan

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 49 jalan ke Pelabuhan Klang diselenggara secara berperingkat sejak semalam oleh Jabatan Kerja Raya, kata Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata kerja tersebut dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan bergantung kepada tahap operasi.

“Diharap semua pengguna berhati-hati dan ikut arahan penjaga lalu lintas. Rancang perjalanan bagi mengurangkan kesesakan trafik sewaktu kerja pembaikan dan penyelenggaraan dilaksanakan.

“Kerja pembaikan ini menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan, dan diharapkan ia memberi manfaat kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara jalan terlibat ialah Jalan Pelabuhan Utara-Barat, Lebuhraya Pulau Indah, Jalan Pintasan Selat Klang Utara, Batu Unjur, Jalan Lingkaran Pulau Indah dan Persiaran Raja Muda Musa.

Jalan lain ialah Jalan Susur Selari, Jalan Pelabuhan Klang-Berkeley, Jalan Pandamaran, Jalan Parang dan Lingkaran Pulau Indah.

Categories
ADN SELANGOR

Bina projek: Jangan ganggu nelayan

KLANG, 27 JAN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang mahu nelayan di perairan Westport di sini tidak ‘diganggu’ ketika projek pembangunan Westport fasa 2 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Azmizam Zaman Huri berkata pihaknya tidak mahu perkembangan sosio ekonomi penduduk sekitar terbantut dan nelayan yang menggunakan kawasan berkenaan hilang punca pendapatan.

“Saya menyambut baik projek kerana ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada masa akan datang kepada penduduk sekitar khususnya.

“Tetapi kita juga perlu ambil cakna tentang isu dan permasalahan sekitar disebabkan pembangunan ini yang secara langsung akan mendatangkan pelbagai kesan pada masa akan datang,” kata beliau selepas mendengar taklimat penilaian impak sosial projek berkenaan.

Isu infrastruktur jalan raya yang bakal menjadi akses utama kenderaan berat keluar masuk ke Westport menggunakan Lebuhraya Pulau Indah turut dibangkitkan dalam taklimat sama.

Categories
ADN SELANGOR

Jalan rosak selepas hujan lebat

SHAH ALAM, 18 DIS: Cuaca hujan serta ribut petir yang berterusan sejak akhir-akhir ini menyebabkan beberapa jalan raya di sekitar Pelabuhan Klang mengalami kerosakan teruk.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata masalah itu di jalan Persiaran Raja Muda Musa itu menyebabkan air bertakung, selain jalan mendap akibat kenderaan berat di sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah Pelabuhan Klang.

“Kebanyakan isu dan masalah berkenaan menyebabkan banyak kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa orang awam,” katanya ketika meninjau masalah jalan raya di sekitar DUN Pelabuhan Klang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pegawai Roadcare, baru-baru ini.

Turut sama Ahli Majlis Perbandaran Klang, Hashim Mat Piah dan Norazah Said serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Kembong, Ahmad Faiz Mustapa Kamal.

Azmizam berkata beliau turut mengemukakan masalah jalan tidak diturap dengan sempurna selepas kerosakan dibaiki oleh syarikat utiliti seperti Syarikat Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain.

“(Justeru) saya berharap JKR akan lebih proaktif pada 2020 dan menasihatkan semua pemandu kenderaan serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta berhati-hati terutama ketika musim hujan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kerja baik pulih jalan FT 180 Pelabuhan Utara giat dilaksana

KLANG, 31 OKT: Kerja membaik pulih permukaan jalan di FT 180 Seksyen 3.00-4.50, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang yang didakwa kerap mengalami kerosakan sudah mula dilaksanakan melalui kaedah ‘Cold In Place Recycling’ (CIPR), malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata pembaikan jalan terbabit bermula dari Stesen Minyak Shell Kota Pendamar menghala ke Pelabuhan Utara hingga Stesen Minyak Petronas Kota Pendamar.

Katanya kerja baik pulih yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 November ini dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang melalui konsesi Roadcare Sdn Bhd.

“Lebuh raya di kawasan ini sentiasa mengalami kerosakan struktur ekoran aliran trafik yang sangat tinggi pada setiap masa dan banyak digunakan kenderaan berat seperti lori kontena.

“Kaedah CIPR digunakan bagi membaiki pavemen lama yang mengalami kerosakan struktur dengan menggunakan semua bahan pavemen asal yang dipecah dan dihancurkan sebelum digaul bersama simen serta akan dihampar dan dimampatkan semula.

“Bahan simen digunakan bagi membantu menguatkan struktur dan secara tidak langsung menyerap tekanan atau bebanan di atas jalan, selain permukaan lapisan ‘road base’ yang baharu itu akan diturap dengan ‘Asphalt’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Azmizam berkata bagi memastikan kelancaran proses baik pulih jalan berkenaan, JKR Klang akan menutup jalan membabitkan sebelah lorong secara berperingkat pada setiap hari bermula 10 malam sehingga 5 pagi.

“Ini kerana kaedah CIPR tidak seperti kaedah biasa yang akan mengambil masa agak panjang untuk dilaksanakan dan menyebabkan aliran trafik terganggu serta tidak lancar.

“Saya berharap semua pihak yang menggunakan jalan raya di kawasan ini supaya dapat bersabar dan memberikan kerjasama sebaiknya semasa kerja membaik pulih sedang dijalankan.

“Pemandu juga diingatkan supaya mematuhi peraturan had laju, papan tanda amaran dan lalu lintas serta merancang perjalanan untuk menuju ke destinasi masing-masing, terutama pada waktu puncak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kilang simpan ammonia nyaris terbakar, PBT perlu tegas

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 11 JUL: Pihak berwajib khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas dan memantau operasi kilang berlesen atau haram supaya tidak menyimpan bahan terlarang sehingga boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini berlaku.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, hal itu kerana terdapat sebuah kilang yang menyimpan gas ammonia seberat 1,500 kilogram (kg) bersebelah salah sebuah kilang yang terbakar baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila diberitahu bomba bahawa kilang berkenaan menyimpan gas ammonia dengan jumlah yang banyak.

“Cuba bayangkan sekiranya bomba lambat mengetahui dan kebakaran merebak ke kilang berkenaan, apa akan terjadi kepada penduduk sekitar?,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan dan sumbangan kepada anggota bomba yang cedera dalam kejadian itu di Balai Bomba Pelabuhan Klang, di sini.

Azmizam berkata, penduduk beradius 25 hingga 30 kilometer akan terkesan dan lebih-lebih lagi 10,000 penduduk kampung tradisi Pulau Indah, Armada Putera dan Laguna Park.

“Saya juga difahamkan ini kejadian kedua berlaku di kawasan sama, malah pemilik kilang juga menjalankan operasi bukan dalam zon sepatutnya.

“Sepatutnya pihak berkaitan tidak boleh menjalankan operasi itu kerana walaupun kawasan industri tetapi ia bukan untuk industri berat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pihak terbabit mewujudkan zon penampan selain garis panduan lebih ketat.

Baru-baru ini, tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah.

Selain memadam kebakaran, anggota berkenaan turut berusaha memindahkan gas ammonia itu selama dua jam.

Manakala operasi memadam kebakaran kilang berkeluasan 60,000 kaki persegi itu mengambil masa lebih kurang tujuh jam dengan kekuatan 60 anggota.

Categories
SELANGOR

RM60,000 peruntukan Jom Shopping Aidilfitri DUN Pelabuhan Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 22 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk penerima yang layak bagi Program Jom Shopping Aidilfitri dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, pada tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, seramai 600 penerima terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin meliputi tiga zon kawasan ahli majlis termasuk tujuh kampung layak menerima bantuan berkenaan.

Katanya, inisiatif itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut perayaan.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menawarkan pemberian baucar Jom Shopping untuk sambutan Tahun Baharu Cina meringankan beban penerimanya.

“Semuanya menerima RM100 seorang dan kita berharap mereka gembira dengan pemberian ini yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan barangan keperluan bagi meraikan lebaran yang bakal kunjung tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berkenaan yang turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, di Pasaraya Giant Bukit Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Azmizam berkata, inisiatif mengekalkan pemberian Jom Shopping setiap perayaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan terbabit.

“Ia juga harus dipuji kerana menunjukkan betapa prihatinnya Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya berharap penerima gembira dengan inisiatif diterima dan sedikit sebanyak dapat membantu membeli barangan keperluan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN serah bukti, gesa segera baik pulih Lebuhraya Pulau Indah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC : Gara-gara geram dengan peningkatan jumlah kemalangan di Lebuhraya Pulau Indah, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyerahkan bukti bergambar.

Bukti itu diserahkan kepada EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Azmizam berkata, beliau kesal apabila keadaan lebuhraya di situ masih lagi sama sejak ia dibina 23 tahun lalu.

“Jika diikutkan ketika awal pembinaannya pada 1996, lebuhraya itu hanya boleh menampung kira-kira 22,000 kenderaan sahaja sehari.

“Kemudiannya pada 2013, kajian menunjukkan jumlah kenderaan sehari di lebuhraya sama meningkat kepada 57,000, kini dipercayai jumlah kenderaan sekitar 62,400 sehari yang melalui Lebuhraya Pulau Indah,” katanya.

Azmizam berkata, jumlah kemalangan di lebuh raya itu juga bertambah akibat keadaan lebuhraya yang gelap pada waktu malam.

“Sekarang saya akan serahkan kesemua bukti bergambar mengenai kejadian kemalangan di situ.

“Saya amat berharap supaya selepas ini saya tidak akan lagi bercakap mengenai Lebuhraya Pulau Indah pada sidang akan datang, semoga Kerajaan Negeri bertindak segera kerana perkembangan sangat pesat di Pulau Indah,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN gesa tindakan tegas kilang haram cemar bau dan sungai

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 MAC: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tegas ke atas kilang haram di Telok Gong yang menyebabkan pencemaran bau dan sungai ekoran aktiviti pembakaran tayar terpakai secara terbuka.

Beliau mendakwa, aktiviti tidak bertanggungjawab itu berlaku hampir setiap malam sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dan kacau ganggu penduduk setempat.

“Saya dan penduduk sudah banyak kali membuat aduan kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas dan menutup kilang itu.

“Bagaimanapun, kilang haram berkenaan masih terus beroperasi sehingga kini tanpa menghiraukan kesihatan dan keselamatan penduduk,” katanya.

Azmizam berkata, sekiranya masalah itu terus berlarutan, tidak mustahil insiden seperti di Pasir Gudang, Johor akan berlaku di Kampung Telok Gong, di sini.

Katanya, pencemaran sungai berdekatan turut berlaku kesan daripada aktiviti haram itu sehingga menyebabkan ikan mati sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

“Adakah pihak Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Daerah dan Tanah hanya akan mengambil tindakan sekiranya berlaku kematian dalam kalangan penduduk setempat?

“Saya berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan kerana bimbang sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM5 juta baik pulih pencawang elektrik akibat vandalisme

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 3 FEB: Hampir RM5 juta terpaksa dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membaik pulih pencawang elektrik (feeder pillar) ekoran kegiatan vandalisme dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, sebanyak RM15,000 perlu dibelanjakan bagi membaiki setiap unit pencawang elektrik yang rosak dan dicuri wayarnya.

“Memandangkan kawasan Pelabuhan Klang ini besar, jadi keseluruhan kawasan terbabit dan terjejas akibat vendalisme ialah RM4.7 juta kos baik pulih dan mengganti semua wayar yang hilang.

“Kos untuk membaik pulih lebih tinggi dibandingkan kos membina pencawang elektrik baharu kerana kalau baik pulih kita kena korek balik, pasang balik, kenal pasti dan buka balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan susulan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Balai Polis Daerah Klang Selatan bagi menyelesaikan isu vandalisme di beberapa pencawang elektrik jalan raya serta lampu isyarat di sekitar Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Kawasan terjejas teruk ialah di Laguna Park, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Telok Gong, Jalan Kem dan kawasan berhampiran.

Difahamkan, aktiviti vandalisme itu dikesan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan menyebabkan seluruh kawasan berkenaan gelap sehingga membahayakan keselamatan orang awam khususnya penduduk setempat.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan dibuat di lokasi kritikal sebagai langkah pemantauan membanteras salah laku vandalisme.

Katanya, buat masa ini kemudahan CCTV itu hanya terdapat di sesetengah kawasan sahaja di bandar Klang tetapi bukan di Pelabuhan Klang.

“Kita akan cadangkan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan supaya di setiap kawasan pencawang elektrik atau kawasan kritikal yang tidak dilalui oleh orang awam mungkin dipasang CCTV bagi memudahkan pemantauan dijalankan pihak berkuasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Terjah kawasan ‘hotspot’ cegah denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 26 JAN: Ekoran wabak denggi yang semakin meningkat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang akn menerjah kawasan yang disyaki punca penularan penyakit itu.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, operasi itu akan dijalankan di sekitar premis persendirian terutama yang beroperasi tanpa lesen dan kawasan perumahan bertujuan memantau kebersihan.

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kesihatan Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Jabatan Alam Sekitar.

“Kita sedang giat membanteras masalah denggi kerana DUN Pelabuhan Klang adalah kawasan paling serius mencatatkan kes denggi sehingga meragut tiga nyawa.

“Jadi, saya ambil inisiatif ini supaya masyarakat memandang serius isu denggi selain menjalankan kerja pembersihan kawasan persekitaran bagi mengelakkan wabak itu terus menular,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan banteras denggi bersama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di Flat Sri Bahtera, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau meminta jasa baik daripada semua penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga kebersihan persekitaran.

“Saya optimis penduduk memandang serius isu denggi, sekali gus mengambil langkah pencegahan mulai hari ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Curi kabel berleluasa di DUN Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 17 JAN: Kejadian kes curi kabel dan vandalisme pada ‘Feeder Pillar’ pencawang elektrik semakin berleluasa, di kawasan Pelabuhan Klang.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata, kes curi itu dikenal pasti sebagai punca utama yang menyebabkan tahap pencahayaan lampu jalan awam terjejas.

“Pencawang kepunyaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini sering kali menjadi tumpuan kegiatan mencuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Walaupun sudah beberapa kali dibaiki, namun masalah sama sering berlaku,” katanya yang melakukan tinjauan bersama Jabatan Kejuruteraan MPK dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik JKR Klang.

Hadir sama, Ahli Majlis MPK N46C Norazah Said, Ahli Majlis MPK N46B Puspavali dan Setiausaha Ahli Majlis, MPK N46A Shaiful Iman Shahbudin.

Azmizam berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan ‘hot spot’ antaranya Jalan kem, Lebuharaya Pulau Indah dan Laguna Park.

Justeru, katanya, satu tindakan susulan akan dibincangkan bersama agensi kerajaan terbabit untuk membincangkan cara bagi mengatasi masalah kecurian kabel daripada terus berlaku.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang melihat aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan supaya menghubungi pihak polis.

“Ia supaya siasatan dapat dibuat untuk memastikan sama ada mereka ini merupakan pekerja sahih yang melakukan kerja baik pulih ataupun sindiket mencuri kabel,” katanya.