Categories
ADN SELANGOR

Jalan rosak sepanjang Lebuhraya Pulau Indah dibaiki segera

SHAH ALAM, 27 NOV: Jalan rosak dan berlubang sepanjang Lebuhraya Pulau Indah susulan projek naik taraf akan dibaiki segera, kata wakil rakyat Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bersetuju menampal semula jalan yang rosak dan berjanji kerap membuat rondaan bagi menjamin keselamatan pengguna.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kerja penurapan jalan dilakukan terutama di hadapan stesen minyak Shell yang dijangka bermula awal Disember ini bergantung kepada faktor cuaca,” tulisnya di Facebook.

Azmizam berkata pengguna yang terjejas boleh membuat tuntutan ganti rugi akibat kecuaian pihak kontraktor tidak membaiki kerosakan jalan dengan segera.

Jelasnya, tuntutan boleh dibuat di pejabat JKR di Taman Teluk Gedung Indah Pelabuhan Klang dengan melengkapkan maklumat yang diperlukan.

 

Categories
ADN SELANGOR

Tukar penguat kuasa PBT, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 10 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menukar anggota penguat kuasa ke jabatan lain dalam tempoh tertentu bagi mengelak salah guna kuasa.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata kebanyakan kakitangan didapati bertugas di jabatan sama dalam tempoh yang lama antara 20 hingga 30 tahun.

“Kita bukan hendak tuduh sesiapa tetapi kita kena belajar daripada kes salah laku sebelum ini.

“Jadi Kerajaan Negeri wajar pertimbangkan langkah untuk pindahkan penguat kuasa ke jabatan lain, mungkin dalam tempoh tiga hingga empat tahun sekali,” kata Azmizam Zaman Huri.

Beliau bercakap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Pindaan 2020 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Sementara itu, Azmizam berkata penguat kuasa PBT memainkan peranan penting dalam usaha mencegah pencemaran air di negeri ini.

DNS semalam meluluskan pindaan enakmen Luas yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air dengan menaikkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara sebagai hukuman mandatori.

Categories
ADN SELANGOR

Kabel elektrik dicuri, JKR diarah baiki lampu isyarat di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 5 OKT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang membaiki kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Tengku Badar susulan kecurian kabel elektrik baru-baru ini.

Azmizam Zaman Huri berkata agensi itu menggantikan keseluruhan kabel elektrik yang hilang bagi memastikan lampu isyarat di kawasan berkenaan kembali berfungsi.

“Semasa pemeriksaan dibuat, JKR mendapati kabel di kotak ‘feederpillar’ (pencawang elektrik) hilang dicuri dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kecurian berlaku semula, JKR Klang menggali lubang yang lebih dalam di bawah tanah untuk menanam kabel baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat supaya melaporkan kepada polis jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan lampu dan perabot jalan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: JPS tambah baik struktur ban Kampung Telok Gong

SHAH ALAM, 2 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah baik dan memperkukuh struktur ban di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang sebagai persediaan berdepan air pasang besar kedua, dijangka pertengahan bulan ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata impak fenomena bulan lalu mengakibatkan air laut menembusi ban sekali gus menjejaskan kediaman berhampiran.

“Kita segera berbincang bersama JPS Klang dan penduduk kampung bagi mengenal pasti punca (rekahan ban). Siasatan mendapati terdapat beberapa kesan lubang dampak pukulan ombak yang menyebabkan air laut menembusinya,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berkaitan kerana peka terhadap masalah penduduk dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian jangka pendek serta panjang.

Sebelum ini, Azmizam meminta Majlis Perbandaran Klang dan JPS mengkaji semula beberapa saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan sekiranya fenomena air pasang berlaku antara bulan ini hingga November.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka fenomena itu melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Susulan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.

Categories
ADN SELANGOR

Azmizam berazam atasi masalah Pangsapuri Taman Seri Berembang

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang prihatin terhadap isu keretakan struktur Pangsapuri Taman Seri Berembang yang semakin serius.

Azmizam Zaman Huri berkata usaha dijalankan termasuk berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaik pulih kerosakan di kediaman kos rendah itu.

“Jika dibaiki struktur sahaja belum tentu selesai masalah ini kerana laporan Jabatan Kerja Raya mendapati ia tidak selamat dan akan ada kesan domino.

“Kedudukan pangsapuri ini sangat rapat antara satu sama lain selain terdapat beberapa tangki industri di situ,” katanya ketika dihubungi.

Azmizam Zaman Huri (baju merah) meninjau bumbung surau Pangsapuri Taman Seri Berembang yang bocor pada 23 April 2020. Foto ihsan Azmizam Zaman Huri

Azmizam memaklumkan kedudukan pangsapuri itu semakin condong dan membahayakan penduduk berdasarkan beberapa lawatannya sejak tahun lalu.

Beliau berkata surat permohonan baik pulih diserahkan kepada KPKT pada 8 Mac 2019 dan kini dalam perhatian Jabatan Perumahan Negara untuk tindakan lanjut.

“Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Perumahan Negara kini dalam proses akhir bagi membanci kediaman lain yang terjejas berikutan kerosakan struktur bangunan pangsapuri berkenaan,” katanya.

Pada 23 April lalu, Azmizam menyerahkan RM10,000 untuk membaik pulih struktur bumbung surau pangsapuri yang bocor.

Semalam, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin dalam lawatannya berkata satu daripada lima blok pangsapuri berusia 22 tahun retak dan pecah serta tidak lagi selamat didiami.

Justeru, beliau meminta kerjasama Kerajaan Negeri dengan memberi sebidang tanah untuk menempatkan semula kira-kira 3,000 penduduk di situ.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Pelabuhan Klang diminta salur maklumat ban pecah, rosak

SHAH ALAM, 15 SEPT: Orang awam mempunyai maklumat berhubung ban rosak atau pecah sekitar Pelabuhan Klang diminta menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ahli Dewan Negeri kawasan berkenaan, Azmizam Zaman Huri berkata tindakan itu membolehkan ban dibaiki segera sebelum air pasang besar dijangka bermula esok.

“Langkah ini mengelakkan air laut melimpah masuk ke kawasan kampung hingga menyebabkan banjir berlaku.

“Kita bersama JPS, Majlis Perbandaran Klang, Pejabat Daerah Klang dan agensi lain akan bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar ini,” katanya menerusi Facebook.

Pada Ahad, beliau bersama ahli Jeti Nelayan Perajurit membuat pantauan ban sekitar Kampung Telok Gong.

Pada 3 September lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) mengarahkan persediaan bencana tahap tinggi dilaksanakan di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Dijangka ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

 

Categories
ADN SELANGOR

Baik pulih jalan Persiaran Raja Lumu bermula November

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerja baik pulih jalan di Persiaran Raja Lumu, Pelabuhan Klang bermula November dan kini dalam proses sebut harga, kata Ahli Dewan Negerinya.

Azmizam Zaman Huri berkata jalan terbabit perlu dibaiki segera kerana terdapat pembahagi jalan yang mengeliru dan membahayakan pengguna.

“Jalan ini rosak lebih setahun lalu dan kewujudan pembahagi jalan yang mengelirukan mengakibatkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan kereta terutama di sebelah malam.

“Selain itu, lori turut diletakkan di bahu jalan dan saya berharap semua pengguna berhati-hati di kawasan ini dan bersabar kerana masalah ini bakal diselesaikan sedikit masa lagi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang melawat kawasan berkenaan pada 14 Julai lalu berkata permukaan jalan tidak rata juga menyebabkan air bertakung ketika hujan kerana masalah sistem perparitan.

Azmizam menambah Majlis Perbandaran Klang memperuntuk RM1 juta bagi membaiki jalan empat lorong sepanjang 500 meter itu dan pembaikan lampu isyarat telah dibuat sebelum ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat sumbang 74 alat pengimbas suhu badan kepada sekolah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Sebanyak 74 alat pengimbas suhu badan diedarkan kepada 37 sekolah sekitar Pelabuhan Klang hari ini sebagai persediaan pembukaan semula sekolah minggu hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata inisiatif bersama ADN Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee itu merupakan langkah mengekang penularan Covid-19.

“Pelajar juga termasuk golongan berisiko. Selepas ada sekolah membuat permohonan, kita cuba bantu. Memandangkan banyak program dirancang tidak dapat dijalankan akibat Covid-19, kita gunakan peruntukan itu.

“Pemberian alat pengimbas suhu badan ini diteruskan kepada 36 sekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sekitar Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmizam berkata sekiranya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tambahan dana pada Sidang Dewan Negeri Selangor minggu depan, kemungkinan sumbangan alat itu diperluas ke sekolah lain.

“Alat pengimbas suhu ini antara barangan penting. Jadi kita harap bantuan ini dapat membantu sekolah dan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dibuat,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lori, treler punca jalan Pelabuhan Klang rosak

SHAH ALAM, 24 JUN: Lambakan kenderaan berat yang berulang alik ke Pelabuhan Klang setiap hari menyebabkan jalan raya di kawasan sekitar rosak teruk.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata terdapat 363 syarikat kontena beroperasi di kawasan industri dan membabitkan pengangkutan berat.

“Lori dan treler banyak digunakan serta melalui jalan utama menyebabkan lubang, tidak rata dan beralun. Lebih memburukkan keadaan apabila hujan, tar rosak hingga mengundang bahaya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelas Azmizam tindakan syarikat utiliti yang mengganti dan membaiki paip serta kabel elektrik turut menyebabkan jalan raya rosak.

Beliau berkata meskipun RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan di situ, namun tidak mencukupi untuk menampung kerosakan.

“Setiap jalan diuruskan pihak berbeza, jadi peruntukan dikeluarkan juga berbeza. Kerajaan perlu fikir langkah jangka panjang antaranya buat jalan simen seperti di Lebuh Raya Utara Selatan untuk pastikan jalan tidak rosak,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pasang lampu LED elak wayar dicuri, vandalisme – Azmizam

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemasangan sistem lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di Persiaran Pulau Lumut (Laguna Park) dijangka mengatasi masalah kecurian wayar dan vandalisme yang sering berlaku.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata ia kerana sistem terbabit menggunakan teknologi terkini iaitu tanpa wayar bagi membekalkan sumber tenaga elektrik.

“Terima kasih Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana meluluskan peruntukan kewangan untuk tujuan pemasangan lampu yang dijangka siap akhir Julai ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pada peringkat permulaan sebanyak 200 tiang lampu dipasang bermula dari Persimpangan Lebuhraya Pulau Indah hingga ke Jambatan Sungai Pinang.

Azmizam berkata semua unit kuasa seperti bateri dan panel solar akan berada pada ketinggian 10 meter atas lampu bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Justeru, pengguna jalan raya tidak perlu lagi melalui kawasan tersebut dalam keadaan gelap kerana lampu akan menyala selama 12 jam sehari dengan kecerahan akan dikurangkan selepas jam 12 tengah malam bagi menjimatkan kuasa bateri,” katanya.

Difahamkan sebelum ini sering berlaku kes kecurian wayar dan kabel di kawasan tersebut melibatkan individu tidak bertanggungjawab.

Categories
ADN SELANGOR

120 ibu terima bantuan lampin pakai buang, susu formula bayi

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 120 ibu golongan B40 yang mempunyai anak kecil menerima bantuan lampin pakai buang dan susu formula bayi minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata inisiatif Pusat Wanita Berdaya (PWB) itu dilaksanakan selepas melihat golongan berkenaan terkesan susulan penularan Covid-19.

“Ada antara mereka berniaga kecil-kecilan dan ada yang tidak boleh bekerja lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebab itu kita bantu meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam berkata bantuan itu akan diteruskan lagi memandangkan masih ramai lagi yang terkesan akibat pandemik itu.

“Terima kasih Kerajaan Negeri terutama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud yang prihatin nasib golongan ini,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat tinjau kerja baik pulih jalan di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 19 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang malam tadi mengambil kesempatan meninjau kerja baik pulih permukaan jalan raya di sekitar kawasannya.

Azmizam Zaman Huri melalui hantaran di Facebook berkata jalan terbabit ialah FT 103 (Jalan Pelabuhan Klang), FT 3218 (Jalan Kim Chuan) dan FT 02 (Jalan Susur Selari).

“Masalah jalan raya berlubang dan tidak rata antara perkara tidak asing yang perlu dihadapi penguna di dalam kawasan Pelabuhan Klang,” katanya yang turun padang bersama ADN Pandamaran Leong Tuck Chee.

Beliau juga komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan masalah jalan raya di kawasan tersebut diatasi dengan sebaiknya.