Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Gesa Najib Henti Tekanan Politik Terhadap Sektor Korporat

azmin bank islam 01

DAMANSARA 17 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menghentikan campurtangan mahupun tekanan politik dalam sektor korporat negara.

Bercakap dalam sidang media di sini pagi tadi, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menentang keras tindakan penggantungan tugas Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Tajudin susulan pembentangan kertas kerja ekonomi di Singapura baru-baru ini.

“Tindakan tergesa-gesa dan tergopoh-gapah oleh pengurusan Bank Islam bukan sahaja meninggalkan kesan buruk kepada profesionalisme sektor korporat tetapi ia juga membayangkan adanya tekanan politik agar keputusan itu diambil,” tegas Azmin.

Azrul juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan simpati terhadap ketuanya yang didakwa terpaksa berhadapan dengan tekanan politik.

Pengakuan Azrul itu, menurut Azmin secara tidak langsung mengesahkan wujudnya campur tangan politik di dalam pengurusan Bank Islam dan Government Linked Company (GLC) yang lain.

Sehubungan itu, Azmin menyeru Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan supaya membiarkan pengurusan Bank Islam mahupun institusi korporat yang lain berkhidmat secara profesional serta bebas daripada tekanan politik.

Beliau juga menyarankan agar pengurusan Bank Islam membatalkan penggantungan tugas Azrul.

“Saudara Azrul sekadar membentangkan analisa beberapa senario kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 secara profesional.

“Sewajarnya sektor korporat Malaysia menggalakkan pengurusan tertingginya supaya bertindak secara objektif dan bebas,” katanya lagi.

Azrul sebelum ini didakwa bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13 dengan perolehan kerusi antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Susulan pembentangan tersebut, beliau dikenakan tindakan penggantungan tugasnya untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan atas dakwaan ?salah laku yang serius?.