Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Jangan tunggu saat akhir isi bancian dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Orang ramai diminta tidak menunggu pada saat akhir untuk mengisi bancian bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian (e-Census), bagi mengelakkan kesesakan talian.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tempoh untuk mengisi bancian itu yang agak panjang menyebabkan ramai yang masih menangguh untuk melengkapkan data dan dibimbangi akan menimbulkan masalah apabila mereka mengisinya di saat akhir.

Katanya lebih 200,000 orang telah terlibat melakukan bancian secara e-Census sejak ia dilaksanakan 7 Julai lepas.

“Setakat ini, negeri yang tertinggi melaksanakan e-Census ialah Sabah dan Sarawak dan kini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memberi fokus untuk menggalakkan mereka di peringkat kementerian dan agensi serta premis perniagaan untuk mengisi e-Census ini,” katanya kepada Bernama.

Projek bancian yang memasuki tahun keenam itu melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman yang dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September dilakukan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 berkata penggunaan e-Census juga boleh dijadikan pengisian aktiviti kekeluargaan memandangkan soalan yang perlu diisi adalah melibatkan isi rumah.

“Selain itu, ia boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa masing-masing, jadi ia lebih praktikal dilakukan secara dalam talian selain ia dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kerana ada yang mengambil kesempatan menyamar sebagai pegawai banci datang rumah ke rumah.

“Kami juga telah mengedarkan hampir satu juta kad bagi pelaksanaan e-Census di peringkat lapangan, iaitu pada kad itu disediakan kod yang boleh digunakan orang ramai untuk melakukan bancian. Kami sasar edar tiga juta kad, dan kami jangkakan pada minggu ini dan seterusnya ia akan meningkat,” katanya.

Bagi yang tidak menerima kad untuk pelaksanaan e-Census, mereka juga masih boleh melakukannya secara sukarela dengan mendaftar di laman web ecensus.mysensus.gov.my

Sementara itu, beliau berkata kaedah temu ramah bersemuka dalam fasa kedua nanti akan dilakukan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) memandangkan negara masih bergelut dengan Covid-19.

Mohd Uzir berkata masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi bahawa dapatan data bancian itu akan mencorakkan struktur demografi, sosial dan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang sekali gus mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.

“Orang awam tidak perlu bimbang, kita tidak menggunakan data individu secara peribadi, mereka perlu mengisinya secara jujur, kalau maklumat tidak tepat, ia tidak mewakili keadaan sebenar. Saya yakin semua orang kena memahami, kerana pada akhirnya yang dapat manfaat adalah rakyat,” katanya dan menambah sistem yang diguna pakai tidak akan dibolosi sewenang-wenangnya.

Melalui tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian penduduk dan perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Hana Ali, 43, berkata penggunaan platform e-Census bagi proses pengisian maklumat untuk Banci 2020 mudah dan menjimatkan masa lebih-lebih lagi kepada golongan berkerjaya.

“Sekarang boleh buat dalam talian, jadi bila-bila masa sahaja boleh buat, ia juga dapat mengurangkan jarakan sosial, ini membolehkan risiko penularan Covid-19 diminimumkan kerana tidak melibatkan pertemuan secara fizikal sama ada dengan pembanci dan orang yang dibanci.

“Kalau temu duga bersua muka, tuan rumah mungkin ada perasaan ragu-ragu, takut kena scam. Jadi melalui e-Census ini dapat mengelakkan risiko jenayah, kita takut ada yang ambil kesempatan,” tambah Hana.

Pesara kerajaan, Abdul Rahman Talib, 58, pula berkata bancian itu dapat menjadi garis panduan kepada perancangan pembangunan sosioekonomi dan polisi kerajaan pada masa hadapan.

“Ini menunjukkan rakyat juga menjadi penyumbang walaupun nampak kecil tapi sebenarnya penting untuk memberi maklumat kepada kerajaan dalam membangunkan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Trend pekerjaan berubah, MBM seru masyarakat bantu kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak belia dan seluruh lapisan masyarakat untuk menyertai Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), dalam membantu kerajaan merancang arah perkembangan pembangunan yang ingin dilaksanakan.

Presidennya Jufitri Joha berkata trend belia dari segi pekerjaan sudah berubah berbanding sedekad lalu lebih-lebih rentetan kesan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai belia di Malaysia, dibuang kerja.

“Penglibatan mereka dalam ekonomi gig dan freelance (bebas) bakal membentuk sebuah perubahan dalam corak sosioekonomi negara. Data banci yang dilakukan 10 tahun sekali itu dapat menjadi garis panduan kepada perancangan pembangunan sosioekonomi serta dasar dan polisi kerajaan.

“Hal ini bakal memperlihatkan beberapa dasar kerajaan bakal digubal dalam melindungi golongan yang terjejas dari segi ekonomi,“ katanya dalam kenyataan.

Banci 2020, yang bermula kelmarin, adalah satu pengumpulan data komprehensif bagi membantu negara dalam menyusun keperluan dan merencana masa hadapan rakyat Malaysia yang lebih baik.

Pelaksanaan yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia itu akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula semalam hingga 30 September secara dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober dengan kaedah temu ramah bersemuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Lebih 30 peratus penduduk dijangka guna e-Census

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Lebih 30 peratus penduduk Malaysia dijangka mengisi borang soal selidik secara dalam talian bagi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020), kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Pada Banci 2020 kali ini, kita melaksanakan sistem bancian secara dalam talian melalui e-Census dan kejayaan bancian bergantung pada seluruh penduduk Malaysia yang akan menjawab soal selidik itu nanti,” katanya pada Bernama hari ini.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 ditemui selepas menjadi moderator sesi webinar “Counting Everyone for a Better Tomorrow” yang diadakan di sini sempena pelancaran Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Banci 2020 melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman yang dijalankan dalam dua fasa.

Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober (7-24 Oktober) menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Mohd Uzir berkata kerja awal persediaan bagi pelaksanaan Banci 2020 telah dimulakan sejak 2016 dan ia tidak akan terjejas walaupun negara berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan turut berbesar hari apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi responden pertama Banci 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banci 2020: Agong responden pertama, titah rakyat tunai tanggungjawab

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi responden pertama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020).

Dalam sebuah video ringkas yang ditayangkan pada majlis pelancaran Banci 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Seri Paduka bertitah supaya rakyat turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab tersebut.

“Hari ini, beta telah mengisi e-Census (portal Banci 2020). Bersamalah kita menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ditemui media selepas majlis berkenaan, merakamkan penghargaan bagi pihak Jabatan Perangkaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas dorongan yang diberikan terhadap Banci 2020.

“Ini adalah kali pertama sebenarnya, tak pernah lagi kita mendapat Ketua Negara memberi sokongan yang begitu kuat,” katanya.

Mustapa berkata walaupun negara berhadapan dengan cabaran ketika ini, adalah penting Banci 2020 diteruskan dan berharap rakyat di seluruh negara akan memberi kerjasama sepenuhnya.

Katanya 108 soalan dalam Banci 2020 telah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk dari kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

“Hari ini landskap pekerjaan di dalam negara sudah berubah, dulu pekerjaan formal, sekarang banyak pekerjaan tidak formal, jadi kita telah dapat banyak pandangan daripada pelbagai pihak dan pandangan Kabinet,” katanya.

Mustapa berkata data yang tepat amat penting untuk kerajaan membuat perancangan termasuk untuk penyediaan belanjawan tahunan, Rancangan Malaysia ke-12, dasar pendidikan, perumahan, kesihatan dan insfrastruktur.

-BERNAMA

https://www.instagram.com/p/CCU7YEmDLSa/

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banci 2020: Mesra teknologi, tumpu lokasi capaian internet tinggi

PUTRAJAYA, 6 JULAI: Fasa pertama pelaksanaan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census bermula Selasa ini sehingga 30 September bersifat mesra teknologi dan bertepatan dengan keadaan semasa negara yang masih berdepan ancaman Covid-19.

Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kira-kira tiga juta isi rumah dipilih bagi mengisi bancian melalui e-Census, merangkumi mereka yang tinggal di kawasan ketersambungan tinggi dan mempunyai capaian internet, memandangkan kemudahan itu penting bagi mengisi maklumat.

“Banci dilakukan setiap 10 tahun jadi pastinya elemen yang berbeza daripada tahun 2010 ialah tahap literasi dan juga kesediaan rakyat Malaysia hendak menerima kaedah e-Census ini.

“Kawasan luar bandar kita akan fokus pada bulan Oktober nanti (fasa kedua secara bersemuka). Sebab itu kita tak boleh jalankan e-Census sepenuhnya.

“Ia tertumpu kepada kawasan yang ketersambungan tinggi seperti bandar dan luar bandar yang ada kemudahan internet,” katanya yang menjelaskan persediaan Banci 2020 termasuk e-Census sudah bermula seawal 2017 lagi.

Beliau berkata demikian dalam temu bual di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Malaysia di sini baru-baru ini sempena Hari Banci Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Foto Facebook DOSM Selangor

Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata setelah mendapat kelulusan kerajaan pada 2017 bagi melaksanakan Banci 2020 dan memenuhi Akta Banci 1960 (disemak 1969), penyenaraian dan gerak kerja oleh anggota Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilakukan di setiap negeri bagi mengemas kini senarai rumah di seluruh Malaysia, termasuk kawasan kediaman baharu.

Katanya, hasil daripada gerak kerja itu, sejumlah sembilan juta kediaman disenaraikan, termasuk tiga juta isi rumah yang akan mengisi maklumat bancian menerusi kaedah e-Census.

“Mereka (anggota DOSM) akan kemas kini atau dalam bahasa statistik dipanggil ‘listing’. Dan kita lihat juga kawasan perumahan baharu, sama ada akan siap pada 2020, tidak kira sama ada perumahan itu diduduki atau tidak.

“Jadi (untuk) perhubungan kita telah berjaya menyenaraikan lebih kurang sembilan juta rumah yang ada di Malaysia ini. Kita dah selesai, jadi bila kita laksanakan e-Census, senarai semua rumah itu sudah ada dalam sistem,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran pelaksanaan e-Census, Mohd Uzir menasihatkan penduduk yang terpilih mengisi maklumat secara dalam talian itu memanfaatkan tempoh tiga bulan yang diperuntukkan bagi mengisi borang berkenaan dengan jujur dan telus.

Katanya, mereka juga boleh menyimpan maklumat jawapan tanpa perlu menjawab kesemua 106 soalan secara terus pada satu-satu masa dan hanya menghantar borang bancian apabila sudah pasti dan selesai menjawab kesemua soalan.

“Kita minta supaya bila melaksanakan e-Census mereka tidak (mengisi soal selidik) pada saat akhir (kerana) akan ada kesesakan, sistem tergendala dan sebagainya. Apabila melaksanakan e-Census ini mungkin ada kekurangan contohnya sesetengah kawasan itu kepadatan tinggi, internet akan (menjadi) sedikit perlahanlah.

“Sebab itu kita beri masa panjang, tiga bulan. Bagusnya e-Census, kita boleh simpan dulu dan boleh kembali semula untuk sambung (mengisi borang). Bila dah puas hati, lega dan fikir ini adalah masa depan diri dan anak-anak barulah tekan ‘hantar’. Kita selalu ingatkan ‘data anda adalah masa depan kita’,” katanya.

Setiap isi rumah yang bakal mengisi e-Census akan menerima poskad yang disertakan nombor identiti masing-masing dan dikehendaki memasukkan nombor tersebut apabila mendaftar masuk e-Census.

Tarikh penghantaran poskad kepada isi rumah yang akan mengisi e-Census adalah pada Isnin ini hingga 24 Julai dan bagi mereka yang ingin memohon untuk mengisi e-Census dikehendaki membuat prapendaftaran bermula Isnin ini hingga 23 Sept.

“Dengan pandemik Covid-19, kita buat penyesuaian dengan memanjangkan tempoh e-Census sehingga 30 Sept, kemudian baru kita pergi (mengikut cara) konvensional iaitu (banci) bersemuka, dengan harapan semasa konvensional itu, pandemik yang berlaku ini dah semakin berkurangan, terkawal dan diatasi dengan baik,” katanya.

Pelaksanaan Banci 2020 yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Selasa ini hingga 30 Sept menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Okt dengan kaedah temu ramah bersemuka.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Banci 1960 (pindaan 2006) sekiranya seseorang yang dibanci enggan menjawab dengan benar, memberikan jawapan palsu, menyerahkan pernyataan atau penyata palsu dan mengabaikan peraturan di bawah akta itu.

Sabit kesalahan di bawah akta berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 32.6 juta penduduk dibanci mulai 7 Julai

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan 32.6 juta penduduk akan dihitung melalui Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula Selasa ini.

Bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian tersebut adalah kali keenam dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 dan kali ini ia merangkumi sembilan juta kediaman bagi mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan maklumat laman web mycensus.gov.my, aktiviti banci akan dilaksanakan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia dalam dua fasa, iaitu fasa pertama secara dalam talian bermula 7 Julai hingga 30 September ini, manakala fasa kedua bermula 7 Oktober hingga 24 Oktober secara bersemuka.

Pembancian dijalankan ke atas semua orang di tempat tinggal biasa mereka pada hari bancian, termasuk bukan warganegara yang telah atau akan tinggal selama enam bulan atau lebih di Malaysia dalam tahun ini.

Namun, bayi yang lahir selepas Hari Banci, orang yang meninggal dunia sebelum Hari Banci, serta bagi mereka yang tinggal di luar negara ataupun akan keluar negara bagi tempoh enam bulan atau lebih untuk bekerja atau belajar, mereka dikecualikan daripada kiraan banci.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini, pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu pada 7 Julai.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” memetik kenyataan itu.

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian mula diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih pada Banci 2020.

Bagi melengkapkan borang e-Banci (e-Census), poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan e-Census di Portal Banci akan dihantar ke tempat kediaman setiap penduduk, selain aplikasi mudah alih untuk kegunaan pembanci mengisi maklumat semasa sesi temu ramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.

Selain kaedah pengisian dalam talian menerusi pautan https://ecensus.mycensus.gov.my, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menghubungi penduduk yang terpilih bagi kaedah telefon.

Mohd Uzir dalam perutusan khasnya di portal DOSM berkata Banci 2020 akan menggunakan pendekatan ‘de jure’ iaitu maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa pada Hari Banci.

“Sistem banci berpusat dan komprehensif ini, dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census), menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.

“Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.

“Soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam Banci 2020 bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, DOSM juga telah mengadaptasi pendekatan baru dengan memperkenalkan portal MyCensus 2020 (www.mycensus.gov.my) sebagai gerbang maklumat yang membekalkan banyak maklumat banci dalam bentuk infografik, visualisasi interaktif dan pelbagai aplikasi atas talian berkaitan banci.

Penghasilan profil yang terperinci ini juga akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam.

Namun, berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969), Banci 2020 turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banci 2020: SPR-Jabatan Perangkaan jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dalam melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula 7 Julai ini.

Foto Facebook MyCensus2020

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataaan hari ini berkata banci itu akan melalui proses modenisasi membabitkan pembangunan ‘Malaysia Statistical Address Register’ di bawah Sistem Populasi Census Bersepadu oleh Jabatan Perangkaan.

“Ia dilihat amat bermanfaat untuk negara dan membuka ruang serta peluang kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Perkara itu, katanya dicapai hasil lawatan dan perbincangan bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Khamis lalu, yang merupakan kesinambungan kepada usaha serta kerjasama baik antara kedua-dua pihak demi faedah dan kepentingan negara.

Azhar berkata SPR amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan bagi menjayakan pelaksanaan banci itu kerana ia merupakan aktiviti yang sangat penting dan signifikan untuk memberikan gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia.

Katanya, ia juga akan menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

-BERNAMA