Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam sedia bantu pelanggan selepas moratorium tamat

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan para pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 supaya menghubunginya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada September.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata pihaknya prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.

Bank Islam telah memberi moratorium selama enam bulan untuk membantu pelanggan yang terjejas dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut, katanya.

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” katanya.

Bagi mengemukakan sebarang pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan berkunjung ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Bank Islam perkenal ‘SnapNPay’ bagi sumbangan kepada Sadaqa House

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan aplikasi mudah alih, SnapNPay, untuk memudahkan pengguna menyalurkan sumbangan kepada Sadaqa House, iaitu inisiatif kewangan sosial yang telah dilancarkan oleh bank itu pada awal tahun ini.

Dalam kenyataan, Bank Islam berkata SnapNPay adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan SnapNPay LLP, bagi membolehkan orang ramai membuat bayaran menggunakan enjin FPX dengan mengguna pakai maklumat atau data yang disenaraikan pelanggan (penerima) dalam mod kod QR atau kod Bar.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dari Playstore (Android – sudah tersedia) atau Appstore (Apple – tersedia menjelang Januari 2019) secara percuma tanpa sebarang pendaftaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata ciri yang terbaik adalah sesiapa sahaja boleh membuat urus niaga ini kerana satu kod QR boleh menampung kesemua 17 bank FPX di Malaysia, lantas ia menghapuskan keperluan untuk menghasilkan pelbagai kod QR dari bank individu dan bayaran adalah berdasarkan masa nyata.

“Hari ini, kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memastikan keselesaan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah,” katanya.

Perkhidmatan SnapNPay juga akan diperluas kepada platform iSadaqah untuk pelanggan atau orang ramai membuat sumbangan kepada masjid dan surau yang terlibat serta platform iPBT bagi pihak berkuasa tempatan agar pengguna boleh melakukan pembayaran seperti cukai tanah dan cukai pintu secara mudah.

Bagi iPBT, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mula menggunakan SnapNPay sebagai antara satu daripada medium pungutan bayaran sejak Ogos 2018.

Sadaqa House adalah platform pendanaan awam Islam pertama seumpamanya yang telah dilancarkan oleh Bank Islam pada 19 Jan, 2018.

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan bagi merealisasikan projek kewangan sosial untuk sektor yang kurang mendapat perhatian seperti kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi serta alam sekitar.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bank Islam bantu pelajar asnaf UNISEL

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyalurkan kutipan zakat sebanyak RM20,000 kepada Universiti Selangor (UNISEL) bagi membantu pelajar dari golongan asnaf fakir dan miskin.

Menurut laman rasmi UNISEL, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu dalam membantu masyarakat.

Kampus UNISELIa juga merupakan program tahunan dalam membantu institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Majlis penyerahan tersebut dijalankan di Kampus Shah Alam pada 30 Mei lalu.

Cek disampaikan kepada Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Abdul Khalid jawab kontroversi Bank Islam

Oleh: AZRUL AZWAR AHMAD TAJUDIN

ISU penyelesaian luar mahkamah (PLM) antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merupakan antara “kontroversi” utama yang dikatakan pencetus bagi keraguan munasabah mengenai integriti dan kredibiliti TSKI.

Sebarang rumusan yang cuba mengaitkan PLM dengan unsur penyelewengan atau salah guna kuasa bagi mana-mana transaksi atau keputusan diambil Kerajaan Selangor merupakan fitnah dan tuduhan liar yang tidak berasas, bercanggah dengan fakta dan berniat jahat.

islamic-bankPertama, fitnah bahawa TSKI tidak mampu dan/atau enggan membayar hutang dengan BIMB sehingga terpaksa diseret ke mahkamah.

Hakikatnya, TSKI merupakan pihak yang mula mengambil tindakan undang-undang terhadap BIMB pada 10 Mei 2007 dengan menamakan BIMB sebagai defendan dan bukan BIMB yang pertama menyeret TSKI ke mahkamah. Pelbagai kes mahkamah yang berkaitan kemudiannya menyusul dan berlarutan sehingga 2014.

Kedua, tohmahan TSKI diberi layanan istimewa sehingga baki hutang tertunggak beliau dengan BIMB bernilai US$18,521,806.12  dilupuskan atau dimaafkan kerana tindakan BIMB bersetuju menggugurkan semua saman berkaitan didakwa “keputusan luar biasa yang sangat jarang berlaku kepada rakyat biasa” sedangkan “peguam BIMB berpendapat BIMB mempunyai kes yang kuat terhadap lawan” atau “TSKI sudah hampir kalah di mahkamah”.

Hakikatnya, tiada layanan istimewa diberi kepada TSKI kerana PLM bukanlah sesuatu di luar kebiasaan memandangkan PLM merupakan salah satu daripada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian selain daripada litigasi dan timbang tara.

Tambahan pula, BIMB yang mula menawarkan pilihan PLM ini dalam siri rundingan pusingan pertama pada pertengahan 2008 sekaligus menyaksikan semua kes mahkamah terhenti buat seketika.

Malangnya, rundingan PLM pusingan pertama menemui jalan buntu kerana TSKI tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat yang ditawarkan pada masa itu.

Selepas beberapa kes difailkan oleh kedua-dua pihak dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sejak 2009, akhirnya kata sepakat dicapai pada Februari 2014 untuk menyelesaikan di luar mahkamah dalam siri rundingan peringkat kedua.

Sebenarnya, PLM ini dilihat lebih memberi manfaat kepada BIMB kerana sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada TSKI, ia akan menjadi kes “precedent” yang mengakibatkan risiko “letusan” kes mahkamah serupa, mempersoalkan kesahihan kontrak Bai’ Bithaman Ajil dan Bai’ Al-Inah malah keabsahan Akta Bank Negara 2009.

Persetujuan TSKI menerima PLM ini sebenarnya boleh disifatkan sebagai sumbangan TSKI kepada industri kewangan Islam di Malaysia demi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Ketiga, dakwaan bahawa TSKI gagal atau enggan memberi penjelasan yang boleh diterima akal secara telus dan terbuka segala terma dan syarat PLM  tersebut untuk menghentikan spekulasi.

Hakikatnya, TSKI telah memberi penerangan serba-sedikit tentang PLM dan sebarang isu berbangkit kepada Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat khas pada 6 Mac 2014 meskipun sebenarnya TSKI terikat dengan “non-disclosure agreement” (NDA) yang lazimnya disertakan dalam sebarang PLM untuk melindungi hak dan kepentingan semua pihak terbabit. Wajib patuh dengan NDA tersebut, TSKI tiada kebebasan atau keperluan untuk mendedahkan perincian spesifik PLM tersebut terutama jumlah “haircut” bagi hutang tertunggak, kaedah pembayaran dan jadual pembayaran.

Butiran bagi sebarang PLM tidak perlu didedahkan kepada awam selagi mana ia melibatkan perkara-perkara bersifat peribadi seperti hutang peribadi TSKI dengan BIMB sejak 1997 yang kemudiannya menjadi kes mahkamah sejak 2007, lama sebelum TSKI dipertanggungjawabkan dengan jawatan awam.

Malah, YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berpendapat bahawa semua yang hadir pada mesyuarat khas tersebut berpuas hati dan bersetuju dengan hujah dan jawapan TSKI. TSKI juga hanya menerima surat pengesahan muktamadnya PLM ini daripada BIMB pada hujung Julai 2014.

Keempat, fitnah bahawa PLM telah dirunding menerusi atau dengan bantuan Tan Sri Rashid Manaf (TSRM), seorang tokoh korporat UMNO dan bekas peguam Tun Daim Zainuddin semata-mata kerana:

1. Pengesahan oleh salah seorang Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor bahawa TSKI bertemu dengan TSRM “beberapa kali”

2. PLM dibuat di luar pengetahuan pihak peguam BIMB, Tetuan Tommy Thomas yang mendakwa diberitahu keputusan tersebut pada saat-saat akhir menjelang pertengahan Februari 2014

3. Penjualan pada 19 Mac 2014 308.72 ekar tanah milik Tropicana Corporation Berhad (sebahagian tanah pembangunan keseluruhan seluas 1,172 ekar yang dibeli daripada Kerajaan Selangor pada bulan April 2013) kepada Eco World Development Group Berhad (Eco World) di mana TSRM merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah dan pemegang saham utama Eko World

4. Penganugerahan projek pembinaan 2,496 unit perumahan mampu milik (PMM) di Sungai Sering, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak  dianggarkan bernilai RM520 juta kepada Eko World menerusi MoU yang termeterai pada 25 Mac 2014

Hakikatnya, sebagai bekas tokoh korporat tersohor yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, tidak mustahil malah satu kelaziman bagi TSKI untuk mengenali dan pernah berurusan dengan ribuan tokoh lain daripada dunia korporat dan kewangan domestik dan antarabangsa.

Ada di kalangan mereka kekal sebagai kenalan rapat TSKI meskipun pendirian politik berbeza.

Namun, dari situasi sebegitu untuk seterusnya dituduh menjadi orang tengah atau dalang bagi PLM agak keterlaluan malah simplistik.

Dalam Surat Akuan Berkanun bertarikh 4 September 2014, Encik Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar menafikan butiran perbualan telefon pada 29 Julai 2014 seperti yang didakwa dalam dossier setebal 91 halaman terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menerangkan sebenarnya apa yang berlaku.

Bukanlah sesuatu yang aneh sekiranya peguam yang mewakili mana-mana pihak dalam litigasi di mahkamah tiba-tiba diketepikan dalam sebarang rundingan PLM memandangkan antara manfaat PLM adalah penjimatan kos guaman serta mengelakkan pembaziran masa dan tenaga di mahkamah.

Walaubagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa peguam mewakili TSKI telah memberi nasihat dan terlibat sepenuhnya daripada peringkat awal kes pada Mei 2007 sehingga muktamadnya PLM ini pada hujung Julai 2014.

Untuk penjelasan lanjut mengenai isu Tropicana dan Eco World dalam projek Canal City serta penganugerahan projek PMM Selangorku di Sungai Sering kepada Eco World, rujuk kepada pautan berikut: http://bm.selangorku.com/58631/isu-tropicana-dan-eco-world-dalam-projek-canal-city-diperjelas/ danhttp://bm.selangorku.com/58634/isu-pembinaan-perumahan-mampu-milik-selangorku-di-sungai-sering-oleh-eco-world-diperjelas/.

Kelima, fitnah bahawa terdapat timbal balas atau pertukaran bagi menyelesaikan kes TSKI-BIMB ini yang terbukti antara lain dalam bentuk kenyataan dan kemunculan TSKI dalam media Barisan Nasional serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang kononnya memberi ruang menyerang PKR dan Pakatan Rakyat; beberapa tindakan lain yang didakwa terburu-buru dan menimbulkan syak wasangka; penstrukturan semula industri air Selangor didakwa secara tergesa-gesa termasuk menyegerakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari 2014 dan Perjanjian Induk (HoA) pada 1 Ogos 2014 tanpa merujuk kepada pimpinan Keadilan atau Pakatan Rakyat serta Projek Langat 2.

Hakikatnya, hubungan baik dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat dialu-alukan malah dituntut demi kebaikan atau menyelesaikan permasalahan rakyat apatah lagi memandangkan senarai persekutuan, negeri atau bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa dan prerogatif masing-masing.

Agak lucu dan tidak matang sekiranya kenyataan atau kemunculan berkaitan rakyat dan hal-ehwal negeri dalam media nasional yang sememangnya condong malah milik entiti Barisan Nasional sekian lama dikatakan serong dan menimbulkan kesangsian.

Proses penyusunan semula industri Selangor bermula hampir sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran negeri pada 2008 kerana mengembalikan aset air kepada rakyat merupakan antara agenda utama. Maka, menuduh pemuktamadan satu proses yang telah memakan masa lebih enam tahun sebagai tergesa-gesa jelas satu cubaan memesong fakta dan berniat jahat. Untuk penjelasan lanjut mengenai isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor, rujuk kepada pautan berikut:http://bm.selangorku.com/57790/isu-penstrukturan-air-selangor-siri-1/,http://bm.selangorku.com/57888/penstrukturan-air-selangor-siri-2/,http://bm.selangorku.com/58217/isu-penstrukturan-semula-air-diperjelas-siri-3/,http://bm.selangorku.com/58626/penstrukturan-semula-air-siri-4/ danhttp://bm.selangorku.com/58628/penstrukturan-isu-air-selangor-siri-5/.

Keenam, dakwaan bahawa TSKI memberi penjelasan tidak masuk akal apabila menyatakan antara sebab BIMB bersetuju dengan PLM ada kaitan dengan tuntutan saman bernilai RM300 juta terhadap Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang TSKI yakin akan menang dalam tempoh satu hingga tiga bulan selepas sesi penerangan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 6 Mac 2014 tetapi tiada khabar berita sehingga kini.

Hakikatnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan sekiranya sebarang tindakan mahkamah mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan. Menurut salah seorang peguam pihak TSKI, Encik Mathew Thomas Philips, “case management” bagi kes saman menentang PNB ini dijadualkan bermula 1 Oktober 2014.

Tuntutan “general damages and loss of profits” yang ditaksirkan bernilai RM300 juta merujuk kepada kes asal difailkan pada 2010 di mana PNB dan BIMB dinamakan sebagai defendan atas dasar hak TSKI memiliki saham Guthrie yang selebihnya dinafikan. Namun, BIMB digugurkan daripada senarai defendan sebagai salah satu daripada syarat PLM dan sudah pasti taksiran nilai tuntutan juga turun kepada satu paras yang lebih rendah.

 

Categories
SELANGOR

Peguam: “Abdul Khalid mula saman Bank Islam bukan sebaliknya”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mula mengambil tindakan undang-undang terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan bukan sebaliknya.

Perkara itu disahkan peguam Menteri Besar itu, Matthew Thomas Philip dalam satu kenyataan media malam tadi.

islamic-bankPhilip berkata beliau terpaksa membuat penjelasan selepas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengeluarkan maklumat berkenaan penyelesaian itu yang sepatutnya tidak didedahkan.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bukan BIMB yang pertama sekali mengambil tindakan berhubung penjualan yang salah saham Guthrie miliknya oleh BIMB.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah plaintif sementara BIMB ialah defendan dalam kes itu,” jelas Philip.

Pada pertengahan bulan lepas, Abdul Khalid meminta Khalid Samad berjumpa kedua peguamnya, Philip dan Derek Fernandez bagi mendapatkan penjelasan berhubung penyelesaian luar mahkamah pinjaman BIMB.

10672338_10154604814165430_6328284949898023354_nArahan itu dilakukan Menteri Besar selepas diminta Khalid Samad bagi menjelaskan penyelesaian berkenaan yang didakwa meragukan oleh bekas parti Abdul Khalid iaitu PKR.

“Sejak awal 2007 lagi, ia menjadi sebahagian rancangan keseluruhannya untuk melihat sebarang kemungkinan penyelesaian luar mahkamah. Ini bukan sesuatu yang baru.

“Kami sudah memberi nasihat yang kami fikir merupakan terma munasabah untuk penyelesaian luar mahkamah dan terma akhir penyelesaian luar mahkamah itu lebih kurang sama seperti yang kami nasihatkan kepada Khalid Ibrahim,” kata Philip lagi.

10653684_10154604814260430_3501185267899536367_nTambah Philip, sebagai peguam, pihaknya maklum akan kesemua terma yang terkandung dalam penyelesaian itu tetapi tidak dapat didedahkan kepada umum tanpa kebenaran pihak BIMB.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: “Isu Bank Islam penyelesaian telus, tak puas hati Bank Negara boleh audit”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 OGOS : Menteri Besar, Tan Sr Abdul Khalid Ibrahim menegaskan tiada sebarang perkara mencurigakan berhubung penyelesaian luar mahkamah berhubung kes pinjaman peribadinya bersama Bank Islam.

Bercakap di hadapan kakitangan awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor hari ini, beliau berkata semua penyelesaian berkenaan dibuat dengan telus tanpa sebarang manfaat diberikan kepada mana-mana individu.

bimbBeliau berkata tindakan undang-undang juga sudah diambil terhadap mereka yang didapati terlibat terhadap penyebaran maklumat tidak benar berhubung kes berkenaan.

“Terlalu banyak tohmahan yang dilemparkan termasuk isu pinjaman peribadi saya, walaupun saya tidak suka mencampuri urusan peribadi dengan kerja, tohmahan ke atas saya ini turut mencalar corak gerak kerja kerajaan Selangor.

“Saya telah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat di mana saya rasa biarlah proses undang-undang berjalan untuk membersihkan nama baik saya,” katanya di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

mb3728a543b477098a4848e499317bdbbd_XLMengulas lanjut, Abdul Khalid berkata urusan perbankan adalah termaktub di bawah jagaan Bank Negara, justeru beliau mencadangkan supaya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan urusniaga terbabit boleh menulis surat serta meminta Bank Negara membuat audit.

Katanya butiran mengenai pinjaman terbabit tidak boleh didedahkan berikutan institusi perbankan terikat dengan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

“Mereka yang pernah bekerja dalam industri pelaburan dan kewangan perlu ada sifat disiplin di mana rahsia perbankan tidak boleh diberikan kepada umum.

“Bank ada undang-undang BAFIA yang memberikan kuasa untuk perbankanan atau Bank Negara menyaman dan tangkap mereka yang menyebarkan berita rahsia.

“Sama seperti jika kita simpan duit dalam bank, ia mestilah rahsia kerana kalau tidak rahsia akan  menyebabkan orang tidak percaya kepada bank,” katanya lagi.

EZY

Penjelasan kontroversi pinjaman Bank Islam

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

Bank Islam mulakan tawaran penyelesaian luar mahkamah

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Bank Islam dilaporkan terlebih dahulu memulakan tawaran supaya urusan hutang membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama perbankan itu diselesaikan di luar mahkamah ekoran rundingan pertama tidak membuahkan hasil.

Bekas Ketua Ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata dirinya terbabit secara langsung dalam rundingan penyelesaian itu selepas diarahkan bekas majikannya pada tahun 2008 iaitu sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) menang di Selangor.

Katanya, disebabkan rundingan itu tidak berjaya, maka kes itu dibawa sehingga ke Mahkamah Tinggi dan Persekutuan untuk dibicarakan.

islamic-bank“Selepas menghubungi pihak menteri besar, beliau datang ke ibu pejabat Bank Islam di Bukit Damansara dan ada beberapa siri perbincangan serta rundingan tetapi nampaknya Tan Sri Abdul Khalid tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan pada masa itu.

“Sebab itu ia dibawa sehingga ke Mahkamah Tinggi dan Persekutuan selepas rundingan pertama untuk capai kesepakatan itu gagal.

“Sehingga awal tahun ini, kes berkenaan tidak lagi disebut di mahkamah disebabkan dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata demikian pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, baru-baru ini.

Azrul berkata, selepas beberapa kali kes itu dibawah ke mahkamah, akhirnya Bank Islam bersetuju supaya kes berkenaan diselesaikan melalui tawaran skim perjanjian jual beli (BBA) yang dihidupkan kembali sebuah institut perbankan Islam dari Timur Tengah.

Katanya, kaedah yang dianggap sebagai kontroversi daripada sudut kontrak perbankan Islam itu hanya diterima di beberapa buah negara di rantau Asia iaitu Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

azrul_bimb“Syarikat perbankan Islam itu berjumpa dengan pihak terbabit dan menawarkan satu kertas kerja, yang mana mereka akan membayar jumlah dihutangkan Tan Sri Abdul Khalid kepada Bank Islam bagi mengelakkan impak besar kepada industri perbankan Malaysia dan BBA jika kes itu gagal menang.

“Institusi ini cuba hidupkan BBA, jadi masing-masing setuju dan Tan Sri Abdul Khalid hanya perlu bayar sedikit sahaja nilai hutang itu,” katanya.

Azrul berkata, melalui kaedah itu kes hutang berkenaan selesai sepenuhnya pada 24 Julai lalu.

Mengulas dakwaan bahawa peguam kedua-dua pihak tidak dimaklumkan berkenaan penyelesaian luar mahkamah itu, beliau berkata, ia adalah normal bagi sebarang kes.

Katanya, adalah menjadi hak pihak terbabit untuk menyingkirkan peguam yang dilantik jika mereka berpendapat ia boleh diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

“Ia adalah perkara normal bagi sebarang kes penyelesaian luar mahkamah tidak diketahui pihak peguam atau tidak dimaklumkan.

“Itu adalah hak kepada pihak berkenaan untuk singkirkan peguam mereka atau menggunakannya, jadi bukan sesuatu yang tidak normal untuk peguam tidak terbabit,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Isu Bank Islam: ‘Saya tiada hubungan langsung dengan Daim’

SHAH ALAM 21 FEB: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim langsung tidak ada hubungan dengan tokoh korporat Umno Tun Daim Zainuddin.

Dipetik Malaysia Kini, beliau sebaliknya mahu pihak yang mendakwa demikian supaya bertanya sendiri kepada orang berkenaan.

“Orang yang kata saya dipergunakan Tun Daim itu kena tanyalah sendiri kepada Tun Daim sama ada saya dipergunakan. Saya tidak ada hubungan langsung dengan beliau,” katanya kepada wartawan selepas majlis penerangan mengenai isu air di Shah Alam hari ini.

daim27833e07bc50ed0a1f41624f47b8980dAhli Parlimen Kapar G Manivanan, dalam satu kenyataan hari ini, mendesak Khalid menjelaskan mengenai individu yang dikatakan terlibat dalam rundingan penyelesaian luar mahkamah hutang dengan Bank Islam.

Manivanan meminta Khalid menjelaskan sama ada individu berkenaan seorang individu yang rapat dengan Daim.

Khalid dilaporkan menanggung hutang semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd bagi pembelian 20 peratus saham syarikat itu.

Bank Islam Malaysia membawa perkara itu ke mahkamah pada 2007, setahun sebelum Khalid dinamakan sebagai menteri besar Selangor.

Bank Islam Malaysia dimiliki 100 peratus oleh BIMB Holdings Bhd (BHB), di mana pemegang saham majoritinya merupakan Lembaga Urusan Tabung Haji yang menguasai 54 peratus. Pemegang saham lain adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd dan Amanah Saham Bumiputera.

Mahkamah Rayuan memutuskan pada Mac 2010 bahawa Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengenepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu.

Pada 21 Ogos 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bank untuk untuk mengemukakan penghakiman terus terhadap beliau dan memerintahkannya membayar RM66.67 juta.

Bagaimanapun Khalid berkata beliau masih tidak boleh mendedahkan cara penyelesaian itu kerana ia masih dalam rundingan bersama peguam beliau.

“Saya ada hubungan dengan bank dan kita guna khidmat peguam, jadi perkara ini masih dalam perundingan dan saya tak boleh dedahkan,” katanya.