Categories
PENDAPAT RENCANA

Kesan kontak rapat pesakit Covid-19 cabaran KKM tangani pandemik

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 18 JAN: Setiap kali berhadapan dengan kes positif Covid-19, antara perkara paling mencabar ialah mengesan kontak rapat pesakit, yang adakalanya mencecah ribuan orang bermula hanya dari seorang pesakit.

Bagaimanapun, menjadi tugas dan langkah awal yang penting untuk dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak itu daripada menjadi lebih teruk lagi.

Hakikat ini diakui sendiri oleh para petugas kesihatan yang terlibat dengan Kluster Batu 7 di sini, yang melibatkan lebih 400 pesakit yang dimasukkan ke hospital dan lebih 6,000 kontak menjalani saringan dalam proses kawalan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

BERNAMA baru-baru ini berpeluang melihat sendiri kesungguhan dan komitmen tinggi para petugas kesihatan ketika mengendalikan pengesanan dan kerja-kerja awal melibatkan Kluster Batu 7 ini.

Sentiasa Bersiap Siaga

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang juga Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat (PKDBP), Dr Shahril Azian Masrom berkata, lebih 100 anggota akan terlibat dalam sesuatu hari bagi menguruskan kes wabak Covid-19.

Ia bermula dengan anggota Bilik Gerakan menguruskan data, mengatur pergerakan pesakit dan kontak serta menyelaras pergerakan pasukan di lapangan seperti pasukan siasatan, penguatkuasaan, pengambilan sampel serta promosi kesihatan.

Menurut Dr Shahril lagi, umum tidak mengetahui apabila berlaku sesuatu wabak, secara tidak langsung anggota dan petugas KKM tidak akan dapat bercuti malah perlu sentiasa dalam keadaan siapsiaga andai kata perkhidmatan mereka diperlukan.

“Jika sebelum ini, memang ada pesakit yang disahkan menghidap wabak Covid-19 di daerah Batu Pahat ini, tetapi ia tidak melibatkan jumlah yang ramai sehingga bantuan pasukan lapangan dari luar daerah diperlukan seperti Kluang, Muar, Pontian, Kota Tinggi dan Segamat bertujuan membantu proses penyiasatan kes, menjejaki kontak rapat serta di dalam aktiviti pensampelan,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif baru-baru ini.

Bilik gerakan berkenaan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Epidemiologi PKDBP, Dr Akashah Abdullah, adalah unit yang paling sibuk kerana memerlukan mereka bekerja sehingga 24 jam bagi mencari kontak rapat setiap pesakit yang terdiri daripada isi rumah, rakan sekerja, penduduk berhampiran serta individu yang pernah bertemu dengan pesakit.

Kerja Siang Malam

Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Penyakit Berjangkit PKDBP, Dr Nur Akma Anis Tajuddin yang membantu Dr Akashah berkata, mereka perlu mencari kontak rapat bagi setiap pesakit yang adakalanya terdiri daripada puluhan malah mencecah ratusan individu bagi satu-satu pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Kakitangan PKDBP yang bertugas di unit berkenaan perlu menghubungi setiap kontak rapat terbabit untuk mereka menghadirkan diri ke Klinik Kesihatan Batu Pahat (KKBP) bagi menjalani ujian pensampelan dengan melakukan ‘swab test’ RT-PCR.

Menurut Dr Nur Akma, mereka terpaksa bekerja siang dan malam dan mengorbankan masa untuk keluarga demi memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.

“Pada waktu siang kami menyiasat, mencari dan menghubungi kontak rapat kepada pesakit, manakala pada waktu malam pula kami memasukkan setiap data dari hasil siasatan.

“Adakalanya pada waktu malam kami perlu menyemak data daripada rekod aplikasi MySejahtera bagi mengesan lokasi atau premis yang dikunjungi oleh setiap pesakit serta kontak rapat mereka,” katanya.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka adalah apabila sebahagian pesakit dan kontak rapat terbabit enggan melakukan ujian pensampelan serta merahsiakan gejala wabak Covid-19 yang dihidapi.

Tambahnya lagi, tugas mereka tidak berakhir begitu sahaja, malah dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka akan memantau setiap kontak rapat yang diarah menjalani proses kuarantin di rumah.

Cabaran Ambil Sampel Covid-19

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKDBP, Mohd Ubaidilah Shamsuddin, yang bertugas membuat pensampelan, beliau berkata, sejak kerja mengesan kluster berkenaan bermula, beliau diwajibkan memakai pakaian lengkap khas apabila bekerja iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi melindungi diri daripada terdedah kepada virus itu.

Katanya, beliau perlu memakai PPE yang meliputi keseluruhan tubuhnya hampir tujuh hingga lapan jam setiap hari, selain perlu bertugas di lapangan bertemu dengan individu yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 ini.

“Antara cabaran di dalam menguruskan proses persampelan apabila mengenakan sut PPE ini adalah bermula daripada awal pemakaian dan ketika menanggalkannya di mana ia perlu mengikut prosedur ketat (SOP) yang ditetapkan.

“Dengan peluh ‘lencun’ di tubuh masing-masing, kami perlu menahannya sehingga tugasan kami ini selesai, yang mana perlu menguruskan proses pensampelan yang mencecah 600 orang setiap hari,” katanya.

Menurut Ubaidillah, beliau perlu membersihkan diri dahulu selepas selesai menjalankan tugas pensampelan, sebelum pulang ke rumah atau singgah ke mana-mana.

Keperluan Uar-uarkan SOP

Dalam pada itu, unit yang berperanan sama penting dalam usaha PKDBP memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini adalah Unit Promosi Kesihatan yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan Irene Faridah Ismail.

Menurut Irene, pihaknya berperanan untuk menghebahkan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, Unit Bergerak Promosi Kesihatan Daerah Batu Pahat akan menyampaikan maklumat pencegahan apabila turun ke lapangan di kawasan PKPB.

“Unit ini mempunyai risiko tersendiri terutamanya semasa anggota menggantungkan bahan pameran seperti banner dan bunting serta mengedarkan poster serta risalah kepada umum. Namun, anggota dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas.

“Kami turut mendapat kerjasama dari Unit Bergerak Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Batu Pahat dalam menyalurkan hebahan siaraya akan keadaan semasa dan menguar-uarkan pematuhan SOP, amalan normal baharu dan minda sihat bagi mengurangkan tekanan emosi semasa PKP di kawasan yang mempunyai risiko penularan wabak Covid-19,” katanya.

Selain Unit Bergerak, infografik dan saluran maklumat disebarkan melalui saluran media sosial iaitu di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Johor Health Promotion (JOHEP) dan Pejabat Kesihatan Batu Pahat sebagai saluran rasmi.

Sepanjang dua hari bersama petugas KKM di daerah Batu Pahat ini, wartawan BERNAMA turut berpeluang merasai sendiri bagaimana rasanya tugasan yang dilakukan oleh mereka termasuklah memakai sut khas PPE selama kira-kira 1 jam.

Ternyata, tugas mereka sangat mencabar dan setiap hari mereka melakukannya dengan ikhlas demi mengekang penularan wabak ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,271

JOHOR BAHRU, 14 JULAI: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 707 orang daripada 164 keluarga malam tadi, dengan Batu Pahat merupakan daerah terbaru dilanda bencana alam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampurna menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Punggor, Kampung Sungai Punggor Kecil dan Kampung Parit Mengkudu.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah membabitkan 267 orang daripada 63 keluarga di tiga PPS di Tangkak, Muar (lapan PPS membabitkan 818 mangsa daripada 215 keluarga); dan Pontian (tiga PPS dengan 171 mangsa daripada 49 keluarga).

“Di Muar, satu lagi PPS iaitu di SK Ismail Satu dibuka pada 11 malam tadi bagi menempatkan penduduk dari Kampung Kelantan dan Kampung Dato’ Sri Amar Diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko dilanda banjir berikutan cuaca mendung ketika ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Batu Pahat antara lokasi tertinggi kemalangan

SEREMBAN, 28 MEI: Daerah Batu Pahat, Johor merupakan antara daerah yang mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi bagi tempoh 2015-2017, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kementerian akan berbincang dengan Majlis Daerah Batu Pahat, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari punca mengapa kemalangan jalan raya kerap terjadi di daerah itu khususnya di jalan Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Kluang.

“Kita tahu ada beberapa daerah yang saban tahun mencapai tempat lima tertinggi kadar kemalangan jalan raya. Umpamanya salah satu daerah yang hampir setiap tahun dia top five ialah di Batu Pahat. Ini satu daerah yang saya tahu bahawa memang kadar kemalangannya tinggi walaupun dia punya penduduk tak ramai.

“Di Kuala Lumpur (dan) di bandar-bandar besar, kita tahu ramai orang, (dan) sebenarnya di Kuala Lumpur kadar kemalangan tak setinggi mana berbanding bandar-bandar lain walaupun kenderaan banyak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Yamaha yang ke-21 anjuran Hong Leong Yamaha Motor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dan Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Datuk Jim Khor.

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi membendung kemalangan jalan raya, corak penguatkuasaan tidak lagi boleh dijalankan secara konvensional termasuk melibatkan soal saman kepada pemandu dan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

“Sudah sampai masanya untuk kita melihat bagaimana kita menggunakan teknologi untuk menguatkuasakan undang-undang dan sekarang ini kita banyak bekerjasama dengan pihak pengeluar kereta dan motosikal untuk lihat bagaimana kita boleh serap ciri-ciri keselamatan,” katanya.

Dalam soal keselamatan penunggang motosikal yang menyumbang sebanyak 65 peratus terhadap keseluruhan kemalangan maut, Loke yang menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan bercadang untuk menaikan had umur memiliki lesen motosikal, berkata kerajaan setakat ini belum lagi membuat keputusan berkenaan perkara itu.

“Kita juga bimbang sekiranya kita menaikkan had umur, ramai pula menunggang tanpa lesen walaupun sekarang ini kita tetapkan pada umur 16 tahun. Kita tahu di kampung-kampung, estet, luar bandar, ada budak-budak umur 12 hingga 15 tahun membawa motosikal (tanpa lesen). Ini sesuatu yang amat sukar kita kawal walaupun apa pun bentuk peraturan (diperkenalkan), tetapi masyarakat terutama ibu bapa tidak mainkan peranan ini juga menyusahkan sebarang penguatkuasaan.

“Jadi saya tak fikir dengan menaikkan had umur bagi mendapatkan lesen akan dapat menyelesaikan semua masalah. Kita memerlukan kerjasama semua orang dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan pesanan yang betul sampai kepada anak-anak dan mendidik anak-anak. Ini sesuatu yang sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Siti Zaharah ketika ditemui pemberita berkata Selangor, Johor dan Perak adalah antara negeri yang telah mencatatkan bilangan kematian tertinggi setiap tahun.

“Bagi negeri Selangor, jumlah kematian tertinggi bagi tempoh 2015-2017 adalah dengan daerah Kajang merekodkan jumlah yang tinggi iaitu 347, diikuti Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260) manakala bilangan kematian tertinggi mengikut daerah di Johor bagi tempoh 2015-2017 adalah Batu Pahat (554) diikuti Johor Bahru Selatan (315) dan Kluang (296).

“Bagi negeri Perak pula, bagi tempoh 2015-2017, tiga daerah yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi adalah Ipoh (402), diikuti dengan Manjong (261) dan daerah Hilir Perak (232),” katanya.

Mengulas mengenai daerah Batu Pahat itu, beliau berkata antara faktor terjadinya kemalangan adalah berikutan faktor manusia di samping kecenderungan untuk memandu laju kenderaan dalam keadaan jalan lurus.

Beliau berkata, kebanyakan kemalangan juga berlaku di jalan persekutuan berbanding jalan-jalan lain.

– BERNAMA