Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM1.499 bilion pastikan bekalan air bersih 2016-2020 terurus

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 23 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukan kira-kira RM1.499 bilion bagi tempoh 2016 hingga 2020 dalam memastikan perkhidmatan bekalan air bersih di Selangor diuruskan dengan baik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan besar itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap keperluan membekalkan air bersih kepada seluruh masyarakat di Lembah Klang termasuk masyarakat pelabur di Selangor.

“Memandangkan besarnya tanggungjawab dan peranan Kerajaan Negeri menyediakan bekalan air mencukupi baik dari segi kualiti dan kuantiti bagi menampung permintaan dari pengguna, Kerajaan Negeri komited menjadikan perkhidmatan bekalan air sebagai agenda tetap serta komitmen ini diterjemahkan melalui peruntukan besar melalui belanjawan tahunan.

“Nilai diperuntukkan Kerajaan Negeri dari rizab negeri untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan memastikan kelestarian bekalan air bukanlah sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan RM800 juta untuk membangunkan dua loji rawatan air, iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

Katanya, demi menunaikan amanah dan kepentingan rakyat dan negara, ia sesuatu yang perlu dipikul oleh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, forum sehari itu dihadiri wakil kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan profesional, persatuan pengguna, persatuan bukan kerajaan, ahli akademik pelbagai pusat pengajian tinggi dan pihak industri berkepentingan.

Antara panelis yang membentangkan kertas kerja pada forum dihadiri EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Industri Asas Tani, IR Izham Hashim itu adalah Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Dato’ IR Hashim Othman dan Ahli Lembaga Pengarah LUAS, Syed Muhammad Shahabudin Syed Hassan Shahabudin.

Forum anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu ditutup dengan ucapan Pengarah UPEN, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan rakyat beri tumpuan pembangunan rakyat luar bandar

anwar belanjawan PR

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) akan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang, mampan dan inklusif.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan penyambungan membabitkan perhubungan internet atau fiskal seperti lebuh raya amat penting bagi mencapai keseimbangan ekonomi.

Katanya, pembinaan lebuh raya Pan-Borneo yang menyambungkan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf serta disegerakan, menjelang awal 2014.

“Lokasi kemalangan akan dikenalpasti dan dibaiki, selain pelaksanaan sistem penyelenggaraan berkala untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

“PR juga akan mengkaji semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Kita akan berusaha menurunkan harga kargo dan barangan yang masuk atau keluar dari negeri berkenaan yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan memastikan penjurusan pembekalan air dan elektrik dapat dicapai 100 peratus untuk kawasan luar bandar dan bandar terutama di negeri wilayah timur berkenaan.

“Usaha ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik diperbaiki melalui penggunaan teknologi solar, ladang angin serta mikro hidro,” katanya lagi.

-NFN-