Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 50 kawasan di Kuala Lumpur pulih 80 peratus

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Pemulihan bekalan air di 50 kawasan sekitar ibu kota berikutan kebocoran paip pengepaman di Rumah Pam Segambut semalam mencapai tahap 80 peratus setakat 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kawasan yang belum pulih adalah Anjung Tiara, Bukit Prima Pelangi, Bukit Segambut, Dutamas dan Taman Bukit Sri Bintang.

Turut terlibat Taman Flora Impian, Taman Prima Impian, Taman Seri Bukit Segambut, Taman Sri Bintang dan Taman Sri Sinar.

Elina berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Pengguna yang telah mendapat bekalan air dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 dan sebarang pertanyaan serta aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com.

— BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor tumpu agih bekalan air untuk warga emas, penduduk PPR

SHAH ALAM, 10 OKT: Team Selangor menggerakkan sukarelawan bagi membantu penduduk di kawasan berkepadatan tinggi terutama warga emas mendapatkan bekalan air bersih.

Inisiatif susulan kerja naik taraf aset bekalan air mulai Rabu ini turut melibatkan agihan kepada warga projek perumahan rakyat (PPR), kata ketua sekretariatnya.

“Insya-Allah kami akan pergi ke semua Dewan Undangan Negeri namun keputusan hanya dimuktamadkan esok selepas mendapat jumlah sukarelawan terlibat.

“Sekarang kami masih mengumpul ahli selain orang awam yang berminat untuk sertai aktiviti edaran air pada Khamis hingga Sabtu depan,” kata Syahaizel Keman ketika dihubungi.

Beliau turut berbincang bersama pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) dan Penggerak Belia Selangor bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

“Ini memastikan semua penduduk terlibat mendapat manfaat dan kita dapat berbakti menerusi gerak kerja yang lancar di semua kawasan,” katanya.

Pada Khamis, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sedia menggerakkan sukarelawan sepanjang kerja penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1.

Kerja dikendalikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan http://hentitugas.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penduduk lega notis awal selenggara loji, mula beli tong air

SHAH ALAM, 8 OKT: Pemberitahuan awal kerja penyelenggaraan aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 memudahkan penduduk membuat persediaan menyimpan bekalan air.

Suri rumah Noor Fazmira Zulkifli, 29, berkata kerja naik taraf yang tertangguh sejak dua tahun lalu ekoran pencemaran air wajar dibuat segera bagi mengelakkan masalah lebih buruk.

Noor Fazmira Zulkifli

Turut membeli tong tambahan bagi menyimpan bekalan, beliau yang menetap di Bandar Baru Selayang berharap isu air berkurangan selepas kerja baik pulih selesai.

“Ia (penyelenggaraan) bagus dan satu langkah positif kerana akan memudahkan kita semua. Siapa tahu kalau tidak dijalankan sekarang, mungkin jadi lebih teruk pada masa depan.

“Jadi, saya minta penduduk bersabar sementara menunggu kerja baik pulih siap selain simpan air secukupnya untuk diri sendiri serta keluarga,” katanya.

Penduduk Seksyen 19 di sini, Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor, 25, juga berharap kerja naik taraf loji tersebut dapat mengelak masalah penyaluran air pada masa depan.

Muhammad Mustaqim Mohamad Mansor

“Ada alasan munasabah. Saya percaya mereka kena jalankan tanggungjawab (selenggara aset). Kalau tidak perkara ini (isu bekalan) boleh berterusan,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk buat persiapan awal pastikan bekalan air cukup

SHAH ALAM, 6 OKT: Orang ramai membuat persiapan awal menyimpan bekalan air susulan penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 minggu depan.

Kerja naik taraf pada 13 Oktober yang mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dijalankan selepas tertangguh sejak 2019 berikutan pencemaran air ketika itu.

Jurutera lapangan Md Fadhly Dwiphayana Nor Salim, 39, yang mengetahui maklumat itu melalui media sosial memaklumkan membeli tong bagi menyimpan bekalan dalam tempoh berkenaan.

Dia yang ditemui di kediamannya di Taman Universiti Utama, Seksyen 30 di sini turut menyimpan air dalam bekas kecil bagi menampung keperluan keluarga terutama anak-anaknya.

“Saya bersetuju loji rawatan ini diselenggara kerana peralatannya mempunyai tempoh tertentu dan perlu dinaik taraf bagi mendapatkan air bersih,” katanya kepada Selangorkini.

Md Fadhly Dwiphayana Nor Salim,39, mengisi air dalam tong sebagai persediaan berikutan naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan di Jalan Kebun, Shah Alam pada 6 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pesara Ahmad Jamal Arbee juga mula menyimpan bekalan air bagi kegunaan isteri, anak dan cucu yang tinggal bersamanya sejurus mengetahui loji rawatan akan diselenggara.

Warga emas berusia 74 tahun itu memandang positif kerja pembaikan aset tersebut demi manfaat pengguna sekali gus mengelakkan situasi lebih serius pada masa depan.

“Sekiranya air disimpan habis, saya akan mengambil bekalan di surau sementara mendapat semula bekalan di pili-pili awam atau lori tangki,” katanya yang tinggal di Pangsapuri Seksyen 17(2).

Sementara itu, suri rumah Maimunah Mohd Ali, 63, memaklumkan akan segera membuat persiapan setelah dimaklumkan mengenai perkara tersebut hari ini.

Maimunah Mohd Ali

“Apabila mengetahui perkara ini saya akan membuat persiapan awal supaya tidak perlu mengangkat air kerana rumah di tingkat tiga,” kata penghuni Pangsapuri Fasa 1 Seksyen 17 itu.

Orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang 14 Oktober, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman web hentitugas.airselangor.com.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 18 pili awam dan 105 lori tangki disediakan ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 41 kawasan di Gombak pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 26 SEPT: Bekalan air 41 kawasan di Gombak yang terjejas akibat pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point, Jalan Ampang pulih sepenuhnya jam 8 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan sebentar tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor ingin turut memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Air Selangor juga menasihatkan pengguna merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Semalam, 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di Gombak pulih 63 peratus, 15 kawasan dalam proses pembaikan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemulihan bekalan air di 41 kawasan terjejas di Gombak akibat kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point mencapai 63 peratus setakat jam 10 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata 15 kawasan masih belum pulih dan tempoh pemulihan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, sebanyak 41 kawasan di wilayah Gombak berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor. Pengguna juga boleh merujuk
aplikasi Air Selangor, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.

15 kawasan yang belum pulih bekalan air:

1. Kampung Muhibah Ampang
2. Kampung Tasik Permai
3. Kampung Ampang Indah
4. Kampung Indah Permai
5. Kampung Ampang Campuran
6. Taman Bukit Indah
7. Taman TTDI Jaya Bukit Indah Ampang
8. Taman Halaman Kesuma
9. Taman Dagang Permai
10. Taman Bukit Ampang
11. Taman Fairuza Ampang
12. Taman Permai Jaya Ampang
13. Taman / Kampung Tasek Tambahan
14. Taman Sri Bayu Ampang
15. Taman Sri Baru Ampang

Categories
AGENDA NASIONAL

Baiki paip pecah, gangguan air di enam seksyen pulih pagi esok

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 yang akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di enam kawasan di sini bermula 10 malam ini dijangka pulih pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air kawasan terjejas meliputi Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25 akan disalurkan secara berperingkat sebaik kerja pembaikan siap jam 6 pagi dengan pemulihan sepenuhnya bekalan pada jam 12 tengah hari esok.

“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna terjejas untuk menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakannya secara berhemat sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Pengurusan itu berkata lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki ini,” tambahnya.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di pusat bantuan melalui laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air bersih di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan lima wilayah yang terjejas iaitu Kuala Langat, Sepang, Putrajaya, Hulu Langat dan Petaling telah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus pada jam 12 tengah hari.

“Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di Sepang, Putrajaya, Kuala Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air bersih di wilayah Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih pulih sepenuhnya setakat jam 7 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pemulihan di dua lagi kawasan terjejas iaitu Hulu Langat pada kadar 92.6 peratus manakala Petaling (81.4 peratus).

Menurutnya pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 92.2 peratus.

“Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan di Facebook.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air semakin pulih, cecah 74 peratus setakat 10 malam

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kadar pemulihan bekalan air di 463 kawasan di lima wilayah yang terjejas akibat pencemaran bau telah mencapai tahap 74 peratus.

Berdasarkan makluman terkini Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Facebook, bekalan air bersih di wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 10 malam tadi.

“Untuk makluman, proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat, bergantung kepada tekanan air dan jarak lokasi kediaman pengguna dalam sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Menerusi perkongsian jadual, Air Selangor memaklumkan dua wilayah telah melepasi 90 peratus pulih iaitu Sepang dengan 95.9 peratus dan Putrajaya sebanyak 91.3 peratus.

Dua lagi wilayah iaitu Kuala Langat mencatat 85 peratus dan Petaling sebanyak 37.8 peratus.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air (LRA)Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Hulu Langat, Putrajaya, Sepang hampir pulih

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bekalan air bersih di tiga wilayah terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA)Sungai Semenyih mencapai 80 hingga 90 peratus setakat jam 7 malam tadi

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tiga wilayah iaitu Hulu Langat dengan kadar pulih 90.7 peratus, Putrajaya (82.6 peratus) dan Sepang (81.4 peratus).

“Sehingga jam 7 malam, pemulihan bekalan air di 463 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 66 peratus,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi perkongsian info di Facebook, dua lagi wilayah yang turut terjejas iaitu Kuala Langat merekodkan 75 peratus, manakala Petaling 37.2 peratus.

“Air Selangor ingin menyarankan agar pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

“Pengguna yang telah mendapat bekalan air dinasihat menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Lembah Klang pulih 66 peratus

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bekalan air bersih ke 463 kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencapai 66 peratus setakat jam 6 petang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Hulu Langat mencatat pemulihan tertinggi dengan 90.7 peratus diikuti Putrajaya (82.6 peratus) dan Sepang (81.4 peratus), Kuala Langat (75 peratus) dan Petaling (37.2 peratus).

Ketua komunikasi korporatnya menyarankan pengguna yang mendapat bekalan membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki digerakkan kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan-kawasan terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang telah dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi semalam.