Categories
NASIONAL

Ahmad Yakob: Hubungan Kelantan-Persekutuan baik

KOTA BHARU, 11 MEI: Hubungan kerajaan Kelantan dan Persekutuan adalah baik sepanjang setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata, walaupun terdapat kelemahan dalam beberapa perkara namun beliau gembira dengan aspek keterbukaan media yang ditonjolkan PH selain hubungan kepegawaian yang bertambah baik.

“Kita ada hubungan baik kerajaan dengan kerajaan walaupun parti berlainan, fahaman berlainan, tapi dari segi hubungan kerajaan adalah baik.

“Kami menghormati kerajaan (Persekutuan) yang dipilih oleh rakyat,” katanya selepas merasmikan Program Madinah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

PAKATAN menyambut ulang tahun kemenangan pertama mereka pada Khamis lalu, selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya apakah harapan pada tahun kedua pemerintahan PAKATAN, Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata beliau berharap agar kerajaan menumpukan usaha untuk menyempurnakan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat pada PRU14 yang lalu.

“Politik dan pilihan raya ini sebenarnya untuk rakyat memilih pemimpin dan pemimpin pula telah membuat janji dalam manifesto.

“Jadi kita mahu melihat mana-mana parti yang memerintah (Persekutuan mahupun negeri) hendaklah menumpukan kepada (penunaian janji). Kami (Kelantan) juga sedang berusaha (untuk menunaikan manifesto) terutama apabila kami dapat royalti minyak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2019: Kerajaan Persekutuan dijangka sedia insentif pikat pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 SEPT: Usaha menarik pelabur baru domestik dan asing dijangka bakal menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam belanjawan 2019 nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, ini kerana ekonomi negara dapat dipertingkatkan dengan peningkatan kemasukan pelabur dalam dan luar negara.

“Belanjawan kali ini akan beri tumpuan kepada usaha menggalakkan pelaburan domestik dan asing dengan menyediakan insentif pelaburan yang lebih menarik.

“Memberi insentif pelaburan yang menarik kepada pelabur adalah penting dan kritikal bagi menentukan ekonomi kita terus berkembang pada kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat melebihi enam hingga tujuh peratus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, kerajaan juga disaran meningkatkan sumber pendapatan negara dengan tidak membabitkan pengenalan cukai baru.

Katanya, antara langkah yang boleh diberi perhatian adalah dengan meningkatkan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, selain menumpukan usaha meningkatkan keuntungan syarikat GLC yang telah dikenal pasti berpotensi, kerajaan juga perlu mengambil langkah berani dengan menjual GLC yang sudah tidak mampu memberi keuntungan kepada kerajaan.

“Kerajaan berusaha meningkatkan hasil dengan ketiadaan GST di mana kerajaan telah gantikan dengan SST tetapi SST tidak mencukupi untuk menjana pendapatan yang cukup untuk kita sasarkan belanjawan berimbang.

“Kita kena lihat dalam segi belanjawan kerajaan, kena cari ruang mana belanja yang kita boleh potong kita kurangkan, mana kementerian dan jabatan yang kita boleh jimatkan perbelanjaan pengurusan tanpa melibatkan kebajikan kakitangan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama erat Persekutuan dan Negeri bawa Selangor lebih maju

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata hubungan baik serta kerjasama erat diantara Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan lebih memudahkan perjalanan urus tadbir sekaligus lebih memajukan Selangor.

Katanya ia berikutan Kerajaan Persekutuan senada dengan pentadbiran Kerajaan Selangor kini sejak Pakatan Harapan (Pakatan) menerajui Putrajaya.

“Saya telahpun mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan berbincang mengenai hala tuju serta pergerakan kerja yang akan dilakukan antara Persekutuan dan juga Negeri.

“Pertemuan ini penting memandangkan Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sudah tentu fokus saya adalah untuk mengekalkan kecemerlangan Selangor yang membuat sumbangan besar terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Wan Azizah di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya, hadir sama Exco Kerajaan Selangor termasuk Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Haniza Talha, Rodziah Ismail dan Hee Loy Sian.

Pertemuan yang berlangsung selama satu jam diantara Amirudin dan juga Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN itu adalah pertama kali selepas beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Amirudin berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas cadangan namanya yang dikemukakan sebagai calon Dato’ Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Terima kasih kepada Presiden KEADILAN yang yakin dengan saya, juga telah menyelesaikan pemberian nama Rodziah Ismail sebagai exco baru mengantikan portfolio saya sebelum ini.

“Tanggungjawab ini adalah besar buat saya dan sudah tentunya mandat untuk rakyat paling penting untuk dilaksanakan segera,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

MB: Persekutuan digesa segera muktamadkan penstrukturan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa memuktamadkan isu penstrukturan air negeri secepat mungkin tanpa perlu bersikap prejudis dengan tujuan untuk memburuk-burukkan imej pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu kepentingan rakyat perlu diutamakan tanpa perlu mengambil sebarang sentimen politik tertentu.

“Jangan politikkan lagi isu air di Selangor, dan sebab itu Kerajaan Negeri menggesa supaya Kerajaan Persekutuan segera memuktamadkan isu ini.

“Kita lihat isu ini sudah menjadi polemik politik dan ini sebenarnya budaya yang tidak sihat. Justeru saya mahu perkara ini diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Anugerah Cemerlang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Hotel Flamingo, malam tadi.

Isu pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) gagal dimuktamadkan susulan kelewatan Kerajaan Persekutuan menyatakan nilai sebenar pengambililah ekuiti berkenaan.

Bagaimanapun di peringkat Kerajaan Negeri, nilai pengambilalihan sudah dibuat menerusi lantikan panel penilai pentadbiran Selangor.

Sebelum ini, penangguhan dibuat menerusi dua surat yang dihantar Putrajaya kepada Kerajaan Negeri susulan kegagalan panel penilai lantikan Kementerian Pusat.

Untuk rekod, tempoh proses pengambilalihan itu sepatutnya berakhir pada 5 Oktober lalu, dengan nilai pengambilalihan itu didedahkan kepada umum.

Susulan keputusan itu kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri kecewa berhubung hasil dapatan penilaian yang dibuat oleh panel penilai lantikan peringkat Persekutuan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan perlu beri peruntukan besar untuk Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 DIS : Kerajaan Persekutuan perlu memperuntukkan sejumlah perbelanjaan lebih tinggi kepada Selangor dalam Belanjawan Persekutuan akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu adalah relevan memandangkan sumbangan Selangor dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita beri (hasil) kepada Kerajaan Persekutuan lebih kurang RM250 bilion, tetapi pulangan yang diterima Selangor adalah sangat kecil.

“Ia tidak seimbang langsung dengan apa yang diberikan Selangor. Saya tahu tidak perlu bagi saya untuk meminta terlalu lebih kerana keperluan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri lain.

“Tetapi sepatutnya peruntukan diberikan kepada Selangor pada kadar 10 peratus dan bukannya satu peratus seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Peduli Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, di Pangsapuri PKNS Seksyen 7, hari ini.

Terdahulu, Selangor kekal mendahului pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan perolehan peratusan melebihi 20 peratus jauh meninggalkan negeri-negeri lain.

Mohamed Azmin sebelum ini percaya, kejayaan itu didorong hasil komitmen dan gerak kerja pentadbiran negeri dan peluang pelaburan luar yang semakin bertambah positif.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, kejayaan itu akan terus menjadi landasan kepada Selangor untuk terus memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kami terhutang budi, namun tak dapat beri ‘bonus’ penjawat awam Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri sentiasa menghargai komitmen anggota perkhidmatan awam termasuk yang bertugas di bawah payung Kerajaan Persekutuan, yang bertugas di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk anggota Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kumpulan lain termasuk mereka yang bekerja di kamar penasihat undang-undang negeri, hospital dan penjara.

“Kerajaan Negeri dan rakyat terhutang budi kepada semua penjawat awam di atas khidmat cemerlang mereka.

“Namun saya minta maaf tidak dapat memberikan bonus kepada mereka di jabatan persekutuan untuk ketika ini.

“Saya percaya dan yakin senario itu akan berubah dalam masa terdekat, pada ketika itu pegawai negeri dan persekutuan dapat pembelaan adil dan saksama,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Hasil dan Belanjawan Negeri Selangor, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2018, Mohamed Azmin mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan bagi penjawat awam berupa tiga bulan gaji, dengan peruntukan RM94.65 juta.

Pembayaran dua bulan sudahpun dilakukan pada pertengahan Jun lalu sempena Eidul Fitr sementara baki sebulan akan dibayar pada 21 Disember ini.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan ketika Bajet 2018 mengumumkan bayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam.

Ia akan disalurkan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 lagi menjelang sambutan Eidul Fitr tahun hadapan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: Persekutuan perlu bincang dulu sebelum lulus pembangunan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Selangor mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk berunding terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang aktiviti pembangunan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peringatan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 20 (A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menuntut rundingan antara kedua-dua pihak sebelum sebarang kelulusan diberikan.

IMG_2973 aKatanya, hal itu kerana Kerajaan Negeri proaktif menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat dalam setiap pembangunan yang dilaksanaan selaras konsep peduli rakyat.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dengan rakyat dalam sesi dialog dan pendengaran awam. Kita mahu ia memberi faedah yang banyak kepada rakyat,” katanya di Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Seksyen 7, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affandi Aminuddin; Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nordin Sulaiman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amin Ahya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata pembukaan persimpangan bertingkat itu mampu memberikan nilai hartanah dan alam sekitar ekoran pembangunan yang rancak di Shah Alam.

IMG_2956 aKatanya, ia juga mampu menarik minat pelabur asing dan tempatan untuk mengembangkan perniagaan di Selangor selari dengan gagasan Smart Selangor yang lestari dan berpaksikan rakyat bagi menjamin kesejahteraan yang rencam.

“Persimpangan ini adalah mercu tanda untuk meningkatkan lagi ‘connectivity dan monility’ jalan raya di Shah Alam. Kita sedia maklum pembangunan yang pesat di Shah Alam dan Petaling melebihi kemampuan kapasiti pengangkutan sedia ada.

“Kita menegaskan pembangunan persimpangan ini bukan untuk kepentingan mana-mana individu atau pihak tertentu tetapi pasti memberi nilai tambah kepada pertumbuhan sosial ekonomi yang rancak berlangsung di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited menaikkan ‘inter connectivity’ pengangkutan awam ke semua lingkaran Selangor dan Lembah Klang.

“Kerajaan Negeri yakin dengan penambahbaikan pengangkutan awam dan jajaran jalan raya yang mampan akan membantu sistem penghuraian trafik termasuk merealisasikan nisbah pengangkutan kepada persendirian 60:40,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM373 juta bagi 2016 kepada Jabatan Kerajaan Negeri (JKR) bagi membiayai pembangunan projek infrastuktur dan kemudahan awam.

Daripada jumlah itu, RM199.2 juta disediakan bagi membina dan menaiktaraf jaringan jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari dengan kos pembangunan RM157 juta selain membina jaringan kota warisan di Sepang dengan kos RM109 juta.

-NFN-