Categories
ADN SELANGOR

36 pasukan berentap rebut piala kejohanan boling wakil rakyat Seri Setia

SHAH ALAM, 18 JAN: Sebanyak 36 pasukan berentap pada Kejohanan Boling Piala Yang Berhormat Halimey Ahli Dewan Negeri Seri Setia pada Ahad.

Pemenang tempat pertama membawa pulang trofi dan wang tunai RM300 diikuti tempat kedua (RM250 dan trofi) dan tempat ketiga (RM150 dan trofi).

Halimey Abu Bakar berkata seramai 108 peserta terlibat dalam pertandingan yang diadakan di Wangsa Bowl One Utama itu.

Halimey Abu Bakar bersama pemenang Kejohanan Boling Piala Yang Berhormat Halimey Ahli Dewan Negeri Seri Setia,

Menurut beliau acara diadakan bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat dan wakil rakyat di kawasan terbabit.

“Dengan adanya aktiviti ini kita dapat bersama mengeratkan silaturahim dan membina semangat kesukanan di samping mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala pemenang cabutan bertuah pula membawa pulang hadiah lumayan antaranya LED Sony TV 40″, Sharp Microwave 35 L, Philips Air Fryers, dan Elba Stand Mixer.

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKPB: Jaguh tenpin boling rangka latihan sendiri, pastikan prestasi terbaik

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Akur terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang membataskan latihan di gelanggang, jaguh tenpin boling negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman sudah membuat perancangan latihan sendiri, bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata, pengalaman menjalani latihan sendiri selama lebih tiga bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, menjadikan beliau lebih bersedia menjalani latihan dalam situasi sama ketika PKPB kali ini.

Menurut beliau, cabaran bagi pemain boling yang ‘meninggalkan’ latihan bagi tempoh yang lama pada kebiasaannya, akan mengalami kesakitan pada bahagian jari dan pergelangan tangan.

“Jari saya kalau kecut sebab kurang latihan akan senang luka dan susah untuk membuat balingan terbaik nanti, apabila kembali jalani latihan di gelanggang. Jadi kena banyakkan menghayun bola boling semasa buat latihan di rumah.

“Maksudnya, masih ada rasa cengkaman. Itu salah satu latihan supaya pergelangan tangan tidak lembik apabila kembali di gelanggang,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Skuad tenpin boling sebelum ini sudah menjalani kuarantin 14 hari bermula 27 September lalu, selepas peningkatan kes Covid-19 termasuk yang dikesan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, yang menjadi venue latihan pasukan kebangsaan.

Mereka hanya sempat menjalani latihan sehari iaitu pada 12 Oktober sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa dari 14 hingga 27 Oktober.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad boling negara hadapi 2020 tanpa sebarang kejohanan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) memutuskan untuk membatalkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antara negeri, sekali gus menyebabkan atlet boling negara tidak menyertai sebarang kejohanan besar sehingga tahun 2021.

Perkara itu disahkan oleh Presiden MTBC Datuk Dr P.S Nathan kerana mengambil kira bajet serta keadaan penonton susulan pandemik Covid-19.

“Pertamanya, ia agak sukar untuk mendapatkan penaja, selain agaks ukar menarik minat penyertaan pemain daripada 14 buah negeri khususnya daripada Sabah dan Sarawak.

“Dari segi penonton pula, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan agar tiada penonton sama ada ketika kejohanan atau pun latihan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Kejohanan lain yang turut terjejas berikutan Covid-19 adalah Kejohanan Asia di Hong Kong pada 4 hingga 14 Julai, Piala Dunia Boling AMF di Kuwait (November) dan Terbuka Malaysia (22-28 November).

Bagaimanapun, Nathan berkata pemain boling negara sentiasa dipantau dan menjalani latihan dalam tempoh empat bulan ini bagi mengekalkan kecergasan sebelum menghadapi jadual padat tahun depan, dengan tiga kejohanan besar dijadualkan berlangsung pada tahun 2021.

Musim baharu bermula dengan Kejohanan Asia pada 15-25 Januari, diikuti Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Thailand pada 21-30 Mei dan Kejohanan Belia Dunia di Helsingborg, Sweden pada 26 Jun hingga 4 Julai.

“Bagi memastikan pemain sentiasa bersedia, kita menganjurkan kejohanan dan latihan kejohanan secara dalaman. Pemain dibahagikan kepada dua kumpulan bagi mewujudkan suasana pertandingan. Kami sentiasa memantau perkembangan mereka menerusi kejohanan dalaman itu.

“Mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak diserap ke skuad elit tapi dimasukkan dalam pasukan pelapis. Peruntukan skuad pelapis adalah rendah berbanding skuad senior. Dengan ini, menjadikan semua pemain bersaing bagi merebut tempat mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nathan mengakui pusat boling di Malaysia terjejas susulan Covid-19 tapi menunjukkan tanda pemulihan selepas pemain dan orang ramai mula kembali bermain boling sebagai aktiviti rekreasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Ratu boling tidak kekok ke gelanggang lepas ‘rehat’ lama

PETALING JAYA, 10 JULAI: Cabaran hebat sentiasa menanti kebanyakan atlet profesional yang kembali beraksi selepas berbulan-bulan dilalui tanpa latihan rutin mahupun sebarang kejohanan untuk disertai dan pengalaman inilah yang terpaksa dilalui atlet di seluruh dunia ketika ini susulan kemunculan pandemik Covid-19.

Namun segala perit jerih, serta kecederaan yang pernah dialami oleh bekas juara dunia Shalin Zulkifli sepanjang tiga dekad kariernya dalam bidang sukan boling, banyak membantu beliau untuk kembali beraksi di gelanggang, selepas “berehat” selama tiga bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Di usia 42 tahun, ibu kepada seorang anak itu jelas masih gagah dalam arena boling, walaupun pernah menjalani tempoh pemulihan dan melakukan sedikit perubahan dalam rutin latihan untuk disesuaikan dengan faktor usia dan kecederaan terbarunya di pergelangan tangan, pergelangan kaki, dan kedua lutut.

“Sudah hampir sebulan kami memulakan kembali latihan, tapi ini bukanlah sesuatu yang amat sukar bagi saya. Saya pernah mengalami kecederaan beberapa kali sejak beberapa tahun lepas, jadi sudah menjadi perkara biasa bagi saya untuk berehat beberapa bulan, kemudian kembali berlatih.

“Secara tidak langsung kecederaan-kecederaan ini menyediakan saya untuk berhadapan dengan situasi sekarang. Walaupun beberapa kecederaan ini tidak begitu serius, namun ia tidak akan pulih sepenuhnya sehingga saya berhenti untuk seketika. Kita ada doktor yang baik di ISN (Institut Sukan Negara), mereka banyak membantu.

“Saya selalu buat pemeriksaan, jika saya ada apa-apa masalah kesihatan, saya berlatih dengan bimbingan pelatih untuk mengubah suai latihan untuk sesuai dengan fizikal saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan di Sunway Mega Lanes di sini semalam.

Dengan ketiadaan kejohanan besar sehingga Kejuaraan Asia di Hong Kong, yang ditangguhkan daripada 4 hingga 14 Julai lepas kepada 15 hingga 25 Januari tahun depan, juara dunia tiga kali itu berkata pandemik memberikan para pemain boling masa untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan fizikal, selain masa rehat dan masa bersama keluarga, yang sememangnya amat diperlukan.

Ditanya bagaimana dia menguruskan banyak pertanyaan yang sering diajukan mengenai persaraannya, terutama dari pihak media, pemenang anugerah Olahragawati Negara sebanyak lima kali itu berkata ia adalah perkara yang biasa di Asia.

“Mungkin disebabkan umur saya.. dalam persekitaran kita, ia soalan yang sering ditanya, kerana mereka mahukan atlet yang lebih muda, tapi adakalanya atlet muda tidak semestinya baik… bergantung kepada keupayaan individu dan keadaan persekitaran.

“Ia bukan bermakna apabila anda telah berumur, anda perlu bersara – tidak semestinya, namun malangnya ini adalah persepsi biasa di negara-negara Asia, tapi di negara Eropah, mereka amat menyanjung pengalaman,” katanya.

Shalin, yang merupakan antara ikon sukan terkemuka negara, memenangi banyak kejohanan antarabangsa dan serantau untuk Malaysia, termasuk 20 pingat emas Sukan SEA sejak penampilan pertama pada edisi 1993 di Singapura; hanya dua pingat di belakang bekas perenang handalan negara, Nurul Huda Abdullah yang berjaya merangkul 22 pingat emas, menjadi pemenang pingat paling banyak Malaysia dalam temasya sukan dwitahunan itu.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

22 pasukan sertai Kejohanan Boling MDHS

OLEH ALIFF HAIKAL

PETALING JAYA, 14 DIS: Sebanyak 22 pasukan menyertai Kejohanan Boling Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Bersama Media 2019 di Wangsa Bowl @ One Utama di sini, malam tadi.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata kejohanan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kumpulan media dan kakitangan jabatan dari daerah Hulu Selangor.

Katanya antara media yang menyertai ialah Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor, Selangor FM dan Media Prima.

“Manakala peserta dari kumpulan jabatan di daerah Hulu Selangor pula ialah Pejabat Daerah dan Tanah, Air Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Kesihatan Daerah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Kejohanan itu dimenangi Media Prima yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan trofi, naib johan diungguli Bernama (RM300) manakala tempat ketiga dimenangi Harian Metro (RM100).

Pada masa sama, Shukri berkata program itu akan dijadikan acara tahunan bagi mengukuhkan kerjasama media serta menaikkan nama daerah Hulu Selangor ke tahap yang lebih tinggi.

Categories
SELANGOR

Boling MBSB erat hubungan dengan media

PETALING JAYA, 23 SEPT: Kejohanan Boling MBSB Bank bersama Media di Wangsa Bowl, One Utama, semalam, berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 60 pengamal media dari pelbagai agensi.

Ia dianjurkan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) bertujuan mengukuhkan hubungan mesra yang sedia terjalin antara kedua pihak.

Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dalam ucapannya berkata, pertandingan diadakan adalah penghargaan kepada media yang banyak membantu MBSB Bank dari segi publisiti kepada pihak awam.

“Hubungan antara kedua pihak perlu terus dipereratkan dan semoga kejohanan ini berterusan serta dapat diadakan lagi pada masa depan,” katanya.

Antara agensi media terbabit dalam pertandingan itu ialah Bernama, TV3, NTV7, TV9, Radio Televisyen Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, Sinar Harian dan Media Selangor.

Categories
SUKANKINI

Mohd Rizal waspada saingat atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Atlet Tempin Boling Negeri Selangor, Mohd Rizal Hassan, 38, bersedia untuk memberikan persembahan terbaik sekaligus menyumbang pingat pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak 2018.

Beraksi dalam Kategori B3 (Cacat Penglihatan), beliau menyifatkan cabaran sengit bakal dihadapi daripada atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana pengalaman dalam kejohanan besar di samping tampil dengan status bekas atlet kebangsaan.

Mensasarkan dua pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasangan, ini merupakan kejohanan Para SUKMA pertama yang disertai Mohd Rizal.

“Di atas kertas saya melihat cabaran adalah 60:40. Atlet Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam sukan tempin boling sementara saya baru sahaja menceburi sukan ini sejak tiga tahun lalu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan memberikan laluan mudah dan akan tetap memberikan saingan terbaik serta mengutip pingat buat Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Untuk rekod, Mohd Rizal pernah menyumbang tiga pingat emas dan satu perak buat Malaysia pada kejohanan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Pada temasya Pada Asia Indonesia 2018, beliau berjaya menyumbang dua pingat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasangan.

Categories
SUKANKINI

Nur Syazwani raih emas Kejohanan Boling Remaja Dunia

KUALA LUMPUR 2 OGOS: Pemain boling muda negara, Nur Syazwani Sahar menamatkan kemarau Malaysia dengan memenangi pingat emas dalam acara All-Events wanita Kejohanan Boling Remaja Dunia 2018 di Michigan, Amerika Syarikat pada Rabu (awal Khamis di Malaysia).

Remaja berusia 19 tahun itu mengumpul 3,937 jatuhan pin dalam tiga acara – perseorangan, beregu dan empat sepasukan untuk meraih pingat pertama Malaysia dalam kejohanan tahun ini.

Beliau merupakan pemain kedua Malaysia yang memenangi emas dalam acara itu selepas Esther Cheah pada 2006.

Juliana Botero dari Colombia dan Hong Sun-hwa dari Korea Selatan berkongsi pingat perak selepas masing-masing mencatatkan 3,903 jatuhan pin, menurut laman sesawang www.2018wyc.worldbowling.org.

Nur Syazwani dan tiga lagi wakil negara – Gillian Lim, Nur Amirah Auni Azman dan Nurameera Husna Aznel – akan meneruskan misi memburu pingat dengan berdepan Amerika Syarikat dalam separuh akhir acara wanita berpasukan, lewat hari ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Selangor muncul juara Boling Piala KPN 2018

JOHOR BAHRU, 28 JUL: Polis kontinjen Selangor merangkul gelaran juara keseluruhan Kejohanan Tenping Boling Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2018 selepas menewaskan 19 kontinjen lain di Daiman Bowl, semalam.

Kontinjen Selangor mencatatkan keseluruhan 24,464 jatuhan pin untuk mengatasi pencabar terdekat, kontinjen Bukit Aman, yang muncul naib juara, dengan jumlah 24,338 jatuhan pin.

Kontinjen Kedah menduduki tempat ketiga dengan jumlah catatan 24,158 jatuhan pin.

Bagi kategori keseluruhan lelaki, kontinjen Bukit Aman muncul juara diikuti Kedah dan tempat ketiga disandang oleh Selangor manakala gelaran juara kategori wanita pula dimenangi oleh Selangor diikuti Kuala Lumpur dan kontinjen Perak di tempat ketiga.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pertandingan boling antara agensi agama dan media perkukuh jalinan ukhwah

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 4 FEB: Pertandingan Bowling Antara Media 2018 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Agensi Agama berlangsung meriah dengan penyertaan 100 peserta yang dibahagikan kepada 25 kumpulan.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, agensi agama Islam Negeri Selangor mahu menjalinkan hubungan baik bersama petugas media dan agensi media sosial yang kini dilihat menjauh dan terpisah.

“Jika ada permasalahan agama di Negeri Selangor, media dan blogger dapat memberikan tumpuan untuk merujuk kepada pihak sepatutnya sebelum mempamerkan isu tersebut kepada orang awam,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung di Wangsa Bowl, Setia City Mall menyaksikan pasukan Berita Harian 2 menjadi juara keseluruhan kejohanan dengan kutipan 1,914 jatuhan pin.

RTM Selamat Pagi Malaysia dan Berita TV RTM masing-masing mengungguli tempat kedua dan ketiga dengan kutipan 1,881 serta 1,848 jatuhan pin.

Bagi kategori Jatuhan Pin Terbanyak Lelaki diungguli Mohd Affandi Husni Fendi, daripada pasukan Puchong Insider dengan kutipan 573 pin.

Nur Washifaiha Radzuan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pula menguasai kategori jatuhan pin terbanyak wanita dengan 502 markah.

Hadiah disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim sambil disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Salehan Yatim.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Sukan Boling erat hubungan Worldwide dan media

Oleh : Afeeqa Afeera

KLANG, 21 DIS : Pertandingan boling bagi meraikan kerjasama erat bersama pihak media dianjurkan Kumpulan Worldwide Holdings Berhad hari ini di Wangsa Bowl, Setia City Mall di Setia Alam sekaligus melengkapkan program penutup tirai tahun 2013.

DSC_0071aKetua Komunikasi Korporatnya, Ami Nardin Ishak, berkata pertandingan ini adalah salah satu acara untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak media yang banyak membuat liputan bagi penganjuran program Worldwide Holdings sepanjang tahun ini.

“Komunikasi melalui media banyak memainkan peranan penting bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan sesebuah organisasi, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kestabilan negara.

Sukan Bowling“Pertandingan ini adalah sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kami kepada pihak media yang selama ini banyak membantu dan memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Sebanyak 25 pasukan media menyertai kejohanan itu, antaranya Media Selangorku, Kumpulan Karangkraf, News Strait Times, Berita Harian, The Malay Mail dan sebagainya.

Juara pertandingan dimenangi Utusan Melayu yang membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM2,000.

EZY