Categories
AGENSI SELANGOR

i-Lestari Hijrah bantu 25 usahawan pulih perniagaan pascawabak

SHAH ALAM, 1 DIS: Seramai 25 usahawan menerima Skim Pembiayaan i-Lestari Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi mengembang dan memulihkan perniagaan susulan Covid-19.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata jumlah berkenaan hanya suku daripada sasaran 100 usahawan dengan lebih RM2.3 juta dibelanjakan setakat November.

“Kita menyasarkan 100 usahawan jadi masih ada 75 orang lagi dan kita mengalu-alukan mereka yang ingin mengembangkan perniagaan menghubungi kita,” kata Normaiza Yahya kepada Selangorkini.

Jelasnya, skim diperkenal Oktober lalu menawarkan pembiayaan antara RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan terlibat dalam semua aktiviti ekonomi.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim bawah Hijrah berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan bagi membantu usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan pandemik dengan jumlah pinjaman ditingkatkan dari RM50,000 kepada RM100,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: 5.16 juta pencarum keluarkan RM18.1 bilion skim i-Lestari

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari, yang merupakan antara langkah awal yang diambil dalam situasi mencabar sepanjang 2020 ekoran pandemik Covid-19, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan pada Sabtu, dana persaraan itu menjelaskan ia bertindak balas dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 hingga 12 Mei 2020 dengan kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

“KWSP merupakan antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahli ketika pandemik Covid-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli,” menurutnya.

Ia menekankan langkah lain yang diambil termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuat kuasa April 2020 hingga Disember 2020.

Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang dikhususkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta, jelasnya.

“Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka,” menurut dana persaraan itu.

KWSP menjelaskan untuk memastikan keselamatan pekerja dan ahli, KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan operasi dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berlandaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan’ dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO).

Melalui JTO, KWSP memastikan langkah-langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan.

Jumlah ahli KWSP meningkat sebanyak dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

KWSP yang mencatatkan prestasi kukuh daripada aspek operasi dan kewangan bagi 2020 mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dana persaraan itu juga mengisytiharkan dividen sebanyak 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Dana persaraan itu memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen bagi Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengeluar i-Lestari, i-Sinar wajib bayar zakat jika pendapatan tidak terjejas

SHAH ALAM, 27 JAN: Inidividu muslim yang layak mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Lestari atau i-Sinar wajib mengeluarkan zakat sekiranya masih mempunyai sumber pendapatan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata tuntutan itu perlu disempurnakan kerana pengeluaran dibuat
atas pilihan dan bukannya disebabkan darurat.

“Berdasarkan fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Selangor 2013 (pindaan) berkaitan pengeluaran
KWSP sebelum berusia 55 tahun, zakat wajib ke atas jumlah dikeluarkan.

“Oleh itu tertakluk pada keputusan berkenaan, pengeluaran KWSP melalui dua skim itu, sekiranya
mencukupi syarat wajib mengeluarkan zakat,” kata agensi pada 26 Januari.

LZS bagaimanapun berkata individu yang terjejas pendapatan sehingga memberi kesan kepada keperluan dan tanggungan tidak diwajibkan berbuat demikian.

“Ini kerana pengeluaran simpanan itu dilakukan dalam keadaan terpaksa akibat ketiadaan pendapatan.
Jika pengeluaran dilakukan dalam keadaan begini ia tidak wajib,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bayaran BPN dilanjut sehingga 22 Mei

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Tempoh pembayaran bantuan prihatin nasional (BPN) fasa kedua yang dijadualkan berakhir pada hujung minggu lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 22 Mei, 2020, disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini, seramai 7.61 juta penerima BPN fasa kedua menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion, mewakili pencapaian 93 peratus daripada peruntukan untuk fasa tersebut.

“Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telahpun bermula pada 15 Mei, 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta,” katanya semasa membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana, hari ini.

Susulan lanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei, 2020,” katanya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan diterima manakala 3.9 juta permohonan diluluskan, peningkatan daripada 3.7 juta pada minggu sebelumnya dengan jumlah pembayaran melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

Sementara itu, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada 7.0 peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta.

Menurutnya, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20 peratus daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding 1.2 juta pencarum pada bulan April.

Di bawah Subsidi Upah pula, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM2.24 bilion diluluskan bagi 267,752 majikan sehingga 17 Mei, mewakili dua juta pekerja.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata setakat 17 Mei, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS.

Berkaitan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) beliau berkata permintaan terhadap dana itu sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

“Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan diluluskan ini,” katanya.

Daripada jumlah diluluskan ini, beliau berkata sejumlah RM5.75 bilion disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KWSP: Pengeluaran i-Lestari 3.5 juta pencarum babit RM1.66 bilion

KOTA KINABALU, 9 MEI: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) meluluskan pengeluaran Akaun 2 kepada 3.5 juta pencarum berjumlah RM1.66 bilion sejak pengeluaran i-Lestari dilancarkan April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata setiap pencarum yang mendapat kelulusan KWSP, amaun dipohon bagi pengeluaran i-Lestari dikreditkan ke akaun secara pindahan dana elektronik bermula dari 4 hingga 18 Mei.

“Inisiatif i-Lestari KWSP melibatkan peruntukan RM40 bilion menyediakan kecairan dalam ekonomi negara secara purata RM3.3 bilion sebulan.

Agregat kecairan ini diperlukan bukan sahaja bagi menolong rakyat mendapatkan pendapatan boleh guna, tetapi juga mewujudkan kecairan dalam pasaran yang diperlukan sektor peruncitan, wang bertukar tangan dan mewujudkan kesan berganda pada ekonomi negara,” katanya.

Abdul Rahim berkata sektor peruncitan terjejas teruk akibat kesan pandemik Covid-19.

Darurat kesihatan tidak pernah berlaku dahulu ini menguncupkan aliran tunai di pasaran akibat ramai rakyat tempatan kehilangan sumber pendapatan dan ditambah lagi dengan lenyapnya berbilion ringgit pendapatan dari pelancong luar negara akibat kemerosotan sektor perkhidmatan pelancongan, katanya.

Beliau berkata bagi membangunkan semula ekonomi, ia memerlukan masa kerana gelombang pandemik virus ini menjejaskan semua pihak di seluruh dunia dan diharap dapat diredakan dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun dan semua sektor dapat dipulihkan semula.

Menerusi i-Lestari, pencarum boleh mengeluarkan simpanan maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan dari Akaun 2 masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.5 juta permohonan i-Lestari KWSP diluluskan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Sehingga 17 April, 2020, sebanyak 1.5 juta daripada 2.8 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan, melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta bagi bulan Mei 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Melalui permohonan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi.

Dalam perkongsian laporan kedua Pencapaian Prihatin – Laksana di laman Facebook beliau, Zafrul berkata permohonan tersebut diharap dapat meringankan beban mereka semasa negara menghadapi kesulitan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.

Beliau berkata enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 bilion telah bermula, iaitu moratorium, i-Lestari, BPN dan subsidi upah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) di bawah KWSP akan dibuka untuk permohonan mulai 24 April 2020.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk PKS yang layak menangguhkan caruman majikan KWSP. Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 billion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa PKP dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.

Katanya di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus.

Namun, katanya pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau 8 peratus pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka.

“Manakala bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna kepada mereka pada April ini,” katanya.

– BERNAMA