Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Datang CAC Stadium Melawati sebelah pagi, elak sesak

SHAH ALAM, 9 JULAI: Individu positif Covid-19 dinasihat hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Melawati di sini pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan berlaku sedikit kekeliruan berhubung situasi sebenar di CAC tersebut menerusi gambar yang dimuat naik semalam.

Dalam Facebook hari ini, kementerian itu menjelaskan situasi pada sebelah pagi terkawal dan lengang, namun mula sesak pada tengah hari dengan kehadiran pesakit Covid-19 untuk penilaian lanjut.

“Sebahagian besar pesakit Covid-19 pada hari berkenaan dari kategori 1 dan 2. Sehubungan itu, individu positif dinasihatkan datang sebelah pagi bagi mengelak kesesakan kerana proses penilaian juga mengambil sedikit masa,” katanya.

KKM memohon maaf atas kekeliruan sehingga menimbulkan salah faham orang ramai terutama petugas kesihatan di lapangan.

Kategori 1 pesakit Covid-19 adalah tidak bergejala manakala kategori 2 bergejala tanpa radang paru-paru.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menasihatkan orang ramai berkunjung ke CAC daerah masing-masing. Berikut senarai CAC di Selangor:

1.Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling
– Stadium Melawati Shah Alam

2.PKD Klang
-Klinik Kesihatan (KK) Pulau Indah
-KK Sungai Bertik
-KK Bukit Kuda
-KK Meru
-KK Bandar Botanik

3.PKD Gombak
-KK Kuang
-KK Batu 8
-KK Taman Ehsan
-KK Batu Arang
-KK AU2
-KK Hulu Klang
-KK Sungai Buloh
-KK Selayang Baru
-KK Rawang
-KK Gombak Setia

4.PKD Hulu Selangor
-Klinik Desa Ulu Yam Lama

5.PKD Kuala Langat
-Dewan AIM Point, Bandar Sungai Emas, Banting

6.PKD Sepang
-Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi
-Dewan Orang Ramai Dengkil

7.PKD Kuala Selangor
-KK Bestari Jaya

8.PKD Sabak Bernam
-KK Sg Besar
-KK Sg Lima
-KK Sekinchan
-KK Sabak Bernam
-KK Parit Baru
-KK Sungai Air Tawar
-KK Bagan Terap
-KK Merbau Berdarah

9. PKD Hulu Langat
-Dewan Komuniti Taman Kajang Utama
-Dewan Komuniti Bandar Mahkota Cheras

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan makanan lebih RM26,000 untuk petugas, pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang 8,000 pek makanan kepada Pusat Kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) serta Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati.

Setiusahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan berupa roti dan air itu sebagai menghargai pengorbanan petugas selain memberi semangat kepada pesakit wabak itu.

“Sejumlah RM26,850 diperuntukkan bagi menjayakan program ini. Ia juga merupakan tanda keprihatinan Mais terhadap maslahah ummah, katanya menerusi kenyataan semalam.

Penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Setiausaha Mais (Operasi) Nurhani Salwa Jamaluddin dan Ketua Audit Dalam Mais, Zaharuddin Salim.

Ahmad Makhtar berkata sumbangan menggunakan peruntukan Baitumal Mais dan dilaksana dengan kerjasama anak syarikat Mais, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Mais juga menzahirkan salam takziah kepada keluarga individu yang meninggal  dunia akibat Covid-19. Semoga wabak ini berjaya ditangani segera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB nafi video tular, CAC Stadium Malawati bukan pusat kuarantin

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar memaklumkan video tular mengenai dakwaan suasana terkini di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati adalah tidak benar.

Dato’Seri Amirudin Shari berkata CAC itu adalah pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti yang didakwa.

“CAC Stadium Malawati adalah sebagai pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia).

“Pesakit Covid-19 juga tidak dibenarkan bermalam di CAC Stadium Malawati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi contoh gambar aktiviti di CAC berkenaan.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp audio selama lebih dua minit berserta video TikTok selama 14 saat mendakwa suasana di satu lokasi pusat kuarantin.

Berdasarkan audio berkenaan individu itu mendakwa suasana terkini di CAC Stadium Malawati yang jumlahnya terlalu ramai pesakit Covid-19.

Awal Februari lalu, Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat itu memainkan peranan untuk menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarah menjalani kuarantin di rumah.