Categories
NASIONAL

Umno dan Najib gagal laksana transformasi

umno-kekal

SHAH ALAM 20 OKTOBER : Pengekalan status quo bagi tiga penyandang Naib Presiden Umno membuktikan bahawa parti itu gagal melaksanakan transformasi seperti yang diuar-uarkan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata pengekalan itu bermakna Umno-BN menolak sebarang perubahan dan secara jelas, rakyat tidak dapat mengharapkan sebarang dasar baru yang akan dilakukan Umno-BN.

Seperti diramal, Menteri Dalam Negeri DatukĀ  Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam parti politik terbabit.

Tian Chua berkata, pengekalan itu juga membuktikan parti itu akan secara terus mengamalkan budaya rasuah yang ketika ini membimbangkan.

“Ini akan mengekalkan kegiatan rasuah berterusan. Rasuah kekal rasuah, curi lembu kekal curi lembu dan kaki pukul kekal kaki pukul.

“Pilihan Umno tetap sama, Umno tidak mahu berubah sebenarnya, oleh itu mereka masih kekal sama mahu teruskan cara hidup dan kepimpinan yang sama,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Selain itu, Tian Chua menyifatkan kekalahan Datuk Mukhriz Tun Mahathir dalam merebut jawatan Naib Presiden menyebabkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan hilang pengaruhnya dalam kepimpinan Umno.

“Secara implikasinya, beliau (Mahathir) akan hilang pengaruh. Boleh dikatakan beliau sudah ditewaskan dan beliau akan berundur dari pentas politik Umno, beliau tidak lagi berpengaruh utama dalam penentu arah tuju,” katanya.

Dalam pemilihan bagi jawatan itu, Ahmad Zahid mendapat 173 undi, Mohd Shafie 160 undi dan Hishammuddin 96 undi.

Manakala Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang memberi saingan hebat dalam pertandingan itu memperolehi 83 undi.

Dua lagi calon, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat lapan dan tujuh undi masing-masing.

Keputusan itu menyerupai pertandingan jawatan Ketua Pemuda dan Wanita Umno Sabtu lalu di mana penyandang Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengekalkan jawatan masing-masing.

Sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demokrasi ‘Mati’ dalam Umno

johari abdul-umno

SHAH ALAM, 19 OGOS – Kesediaan Umno untuk membuat perubahan dalam pemilihan agung parti Oktober ini dilihat tidak mampu diterjemahkan memandangkan masih ada permintaan ahli untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Keadaan ini nyata meletakkan Umno ditakuk lama meskipun melaungkan agenda perubahan parti agar terus kekal relevan dalam politik tanah air.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, peraturan baru pemilihan Umno yang menetapkan sesiapa ingin bertanding perlu mempunyai pengalaman menjawat jawatan tertinggi di dalam sekurang-kurangnya tiga penggal boleh menggagalkan usaha menaikkan calon berwibawa.

“(Keadaan ini) sekaligus mematikan proses demokrasi dalam parti tersebut kepada pendatang baru yang tidak boleh bertanding seperti anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir,” katanya kepada Tv Selangor.

Sebelum ini beberapa tokoh akademik membuat saranan agar dua jawatan tertinggi Umno tersebut dipertandingkan bagi membuktikan parti tersebut benar-benar demokrasi.

Namun isu tersebut cuba ditenggelamkan dengan kenyataan balas beberapa pemimpin Umno yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ini disebabkan bimbang berlakunya perpecahan dalam parti.

Menurut Johari, sikap pemimpin-pemimpin Umno yang tidak berani membawa perubahan dalam parti membuktikan parti tersebut semakin berundur kebelakang.

“Ini membuktikan Umno tidak mempunyai apa-apa agenda besar untuk membawa perubahan terhadap parti tersebut selain tidak memberi ruang kepada muka baru menerajui parti itu.” kata Johari

Umno dijangka akan mengadakan pemilihan pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi (MT) pada 19 Oktober ini.

Kali terakhir dua jawatan tinggi tersebut dipertandingkan ialah pada 2009 lalu.