Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Akta gangguan seksual, kerja sosial fokus Kementerian Wanita tahun ini

PUTRAJAYA, 29 JAN: Pengenalan akta berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial antara keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) pada 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita antara janji manifesto Pakatan Harapan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

Beliau berkata antara elemen dalam draf rang undang-undang tersebut adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kes aduan gangguan seksual.

“Pada masa ini terdapat kekangan dalam perundangan sedia ada seperti Akta Kerja 1955 dan Kanun Keseksaan.

“Sebagai contoh, Kanun Keseksaan tidak mendefinisikan gangguan seksual dengan terperinci dan meletakkan beban kepada mangsa untuk membuktikan melebihi keraguan munasabah yang memang amat sukar bagi kebanyakan kes gangguan seksual,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Bernama dan RTM mengenai hala tuju KPWKM di pejabatnya di sini.

Katanya, RUU itu juga terpakai kepada lelaki dengan mengambil kira gangguan seksual boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki, wanita terhadap lelaki atau wanita terhadap wanita.

Dr Wan Azizah menambah RUU tersebut yang mendapat input dan pandangan melalui platform sesi libat urus dengan pihak berkepentingan turut mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus untuk mendengar dan menangani kes gangguan seksual.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM menggubal RUU Profesion Kerja Sosial bagi mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

“Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan berfungsi mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia,” katanya menambah draf RUU itu kini dalam peringkat akhir di kementerian sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata KPWKM akan melancarkan Talian Kasih khas melalui WhatsApp esok (30 Januari) bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) bisu atau mempunyai kesukaran bercakap membuat aduan melalui aplikasi tersebut.

Tambahnya, Talian Kasih melalui aplikasi itu merupakan pilihan lebih murah berbanding membuat panggilan kerana pada ketika ini, hanya syarikat telekomunikasi DIGI yang menawarkan panggilan percuma kepada pelanggan mereka untuk menghubungi Talian Kasih.

Justeru, beliau menyeru supaya syarikat telekomunikasi yang lain dapat menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Malaysia dengan memberi talian percuma kepada pelanggan masing-masing untuk menghubungi Talian Kasih 15999.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata Pusat Talian Kasih menerima 25,868 panggilan pada 2019, meningkat 40 peratus berbanding 15,046 panggilan pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan masyarakat kini lebih sedar dan peka terhadap perkhidmatan disediakan KPWKM dalam membantu masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wan Azizah pengerusi mesyuarat bincang wabak koronavirus

PUTRAJAYA, 26 JAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat berkenaan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Mesyuarat yang diadakan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dr Dzulkefly difahamkan akan membentangkan mengenai data dan status terkini mengenai wabak yang dipercayai berasal dari Wuhan, China pada mesyuarat berkenaan.

Setakat ini, empat orang warganegara China yang melawat Malaysia disahkan telah dijangkiti virus berkenaan.

Yang turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud serta Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lancar pelan strategi tangani punca kahwin bawah umur

PUTRAJAYA, 16 JAN: Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan hari ini bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang melancarkannya di sini hari ini berkata, pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sidang media selepas melancarkan pelan itu berkata kerajaan telah mengenal pasti enam punca utama berlakunya perkahwinan bawah umur.

“Punca-punca ini akan ditangani melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program dan aktiviti kesedaran,” katanya, sambil menambah sebanyak 61 buah agensi terlibat sebagai agensi pelaksana bagi program jangka pendek, sederhana dan panjang.

Enam punca itu adalah kemiskinan; kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif; kekurangan akses kepada pendidikan; kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun; stigma masyarakat bahawa perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah dan kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan penceraian bawah umur.

Antara program yang terlibat adalah memperkukuh program sokongan sosio-ekonomi dan ‘outreach’ sedia ada, usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja, katanya.

Turut dirancang tawaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kemahiran kepada kanak-kanak atau belia yang tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian (orang Islam dan bukan Islam) termasuk bawah umur 18 tahun.

Dr Wan Azizah berkata jawatankuasa pemandu, yang dianggotai oleh semua agensi pelaksana, ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan perkembangan program dan tindakan yang dirancang pelan itu.

“Ia berfungsi sebagai platform untuk agensi pelaksana melaporkan status tindakan, isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan terhadap setiap program atau tindakan yang dilaksanakan yang akan berkuatkuasa dari tempoh pelaksanaan pelan ini sehingga program dan tindakan yang dirancang dalam pelan ini tamat pada 2025,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata isu perkahwinan bawah umur perlu ditangani secara holistik dan pelan strategi itu amat diperlukan sementara menunggu perubahan dari aspek perundangan.

“Kita percaya jika punca-punca ini dapat ditangani, maka pada masa akan datang masalah perkahwinan bawah umur dapat dibendung.

“Kanak-kanak terutamanya perempuan akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menempuh alam pendidikan dan mengembangkan potensi diri mereka,” katanya.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Sementara itu, Fuziah berkata Jabatan Kehakiman Syariah telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan perkahwinan bawah umur yang lebih ketat dan mewajibkan permohonan itu didengar di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Kerana kita dapati hakim-hakim (Mahkamah Tinggi Syariah) lebih berpengalaman untuk mengendalikan permohonan itu.

“Dalam SOP itu, hakim akan menilai sama ada permohonan itu puncanya kerana kemiskinan atau apakah keadaan kesihatan reproduktif kanak-kanak itu, adakah kanak-kanak itu bersedia terima tanggungjawab dari segi mental age dan emosi mereka,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata di bawah pelan itu, empat peruntukan undang-undang berkaitan perlu dipertimbangkan.

Undang-undang itu adalah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri; Seksyen 10 Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) Akta 1976; Undang-undang Adat Sabah dan Sarawak serta Hal Ehwal berhubung pentadbiran adat Orang Asli di bawah Aka Orang Asli 1994.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tonton Ejen Ali The Movie, TPM puji kualiti animasi tempatan

PETALING JAYA, 11 JAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang berupaya melahirkan karya berkualiti setanding negara luar.

“Saya bangga potensi perfileman terutama di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita digilapkan dan dibawa ke tahap sebegini hebat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem animasi ‘Ejen Ali The Movie’ bersama 50 orang kurang upaya (OKU) yang merupakan penghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Cheras yang turut disertai suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tayangan khas filem yang berlangsung di mmCineplexes, e-Curve Damansara adalah inisiatif dan cadangan Dr Wan Azizah untuk meluangkan masa dengan penghuni TSH, institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menjaga, melindungi dan memulihkan anak-anak OKU.

Dr Wan Azizah berkata filem animasi Ejen Ali misalnya, mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita yang menarik.

“Dalam filem itu, isu sosial dan mesej penting diketengahkan termasuk pelajaran kehidupan dan jangan putus asa walaupun susah,” katanya.

Filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu meraih kutipan RM30 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh enam minggu tayangan, yang mengisahkan Ali direkrut sebagai penyiasat di agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet lulus penghantaran misi bantuan ke Australia

PUTRAJAYA, 8 JAN: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan penghantaran misi bantuan melibatkan 65 orang ke Australia yang kini berhadapan dengan kebakaran hutan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Misi, yang akan diselaraskan oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), terdiri daripada 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 22 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), katanya.

“Misi ini akan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan anggaran kos berjumlah RM2.1 juta bagi jangkaan tempoh dua minggu,” katanya dalam kenyataan oleh NADMA hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi NADMA berkata misi itu hanya akan dilaksanakan setelah mendapat persetujuan daripada kerajaan Australia dan nasihat keselamatan daripada Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Australia.

Beliau berkata, misi itu dijangka berhadapan dengan risiko keselamatan berikutan kebakaran yang meluas di negara itu.

“Anggota yang terlibat akan dinasihat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Pasukan ini juga akan dilindungi oleh perlindungan insurans dan perubatan,” katanya.

Dr Wan Azizah pada Ahad lepas menyatakan hasrat Malaysia untuk turut membantu dalam usaha pemadaman kebakaran hutan itu, yang menurutnya memperlihatkan keprihatinan Malaysia dengan masalah kebakaran hutan Australia berdasarkan kepada hubungan baik dua hala yang terjalin.

Katanya, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti dari segi keupayaan dan pengalaman dalam operasi pemadaman hutan di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia pernah terlibat dalam misi bantuan ke Indonesia bagi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan pada 1997 dan Riau pada 2005.

Australia sedang berhadapan dengan kebakaran hutan yang buruk sejak akhir September 2019 terutamanya di wilayah New South Wales.

Sehingga 8 Januari (2020), sebanyak 2,000 kediaman musnah dan 25 kematian dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi berkembang tanpa kenaikan mendadak harga barang, perkhidmatan

PUTRAJAYA, 28 DIS: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada 4.6 peratus setakat September dan ini dicapai tanpa membabitkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan kuasa beli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.

Menurutnya, setakat Oktober lalu, kadar inflasi negara berada pada tahap yang rendah dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 1.1 peratus berbanding Oktober 2018.

“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, purata inflasi hanyalah pada kadar 0.6 peratus berbanding 10 bulan pertama pada 2018.

“Ini berbanding 1.0 peratus bagi 10 bulan pertama tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2017,” kata beliau ketika merasmikan Festival LIFT (Literasi Teknologi Kewangan) Putrajaya 2019 di sini, hari ini.

Untuk rekod, IHP bagi tempoh Januari-Oktober 2017 mencatat kenaikan 4.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Dr Wan Azizah berkata, perkembangan itu turut menjadi satu manifestasi bahawa kerajaan berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan tahun ini sebagai amat mencabar bagi ekonomi dunia sehinggakan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia, sejak Januari lepas telah beberapa kali membuat unjuran semula pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.

“Malaysia juga tidak dapat lari daripada tempias kelembapan ekonomi dunia ini, ditambah pula dengan peruntukan yang perlu dibuat bagi membayar faedah ke atas hutang-hutang negara seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan dua bulan lepas, telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini mencecah 4.7 peratus.

Katanya, kerajaan juga kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan institusi selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan dengan mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3 atau A-.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Wan Azizah: Ingat Deklarasi Permatang Pauh, elak bermusuh

AYER KEROH, 6 DIS: Semua pemimpin dan ahli KEADILAN diingatkan supaya kembali kepada asas kerangka perjuangan asal seperti yang disebutkan dalam Deklarasi Permatang Pauh ketika parti mula ditubuhkan 20 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hasil perjuangan berliku dilalui dahulu, berjaya melahirkan barisan kepemimpinan dan tokoh besar yang kini menerajui negara dengan aspirasi baharu.

Deklarasi Permatang Pauh itu dibacakan sendiri oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 ketika memulakan gerakan reformasi.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha (dua, kiri) dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Nasir (dua, kanan) ketika Majlis Penutup Kongres Bersama sempena Kongres Nasional KEADILAN berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Antara intipati deklarasi berkenaan menyebut iltizam untuk menentang kezaliman, menegakkan keadilan buat semua, membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta membentuk jati diri budaya.

Dalam ucapan Majlis Penutup Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan semua untuk kembali merapatkan saf kepimpinan dan menghentikan pergeseran kerana ia tidak menguntungkan sesiapa.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam bersama perwakilan selepas beliau merasmikan Majlis Penutup Kongres Bersama sempena Kongres Nasional KEADILAN berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita tidak boleh selamanya hidup dalam konflik dan pergolakan, kapal yang berlayar sehebat mana pun kalau berterusan dibadai ombak tanpa usaha untuk berlabuh di pengkalan, pasti akan musnah jua akhirnya.

“Kita perlu mencari titik pertemuan itu untuk berlabuh dan merancang agenda besar membela rakyat.

“Berhentilah daripada bergolak dan bergeseran sesama sendiri kerana ianya tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan timbang bina tebatan banjir di Kelantan, Terengganu

JERTEH, 3 DIS: Kerajaan sedia menimbang untuk membina tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu walaupun memerlukan peruntukan besar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata berdasarkan penilaian beberapa pihak, tebatan banjir di Sungai Golok memerlukan kos berjumlah RM700 juta manakala Besut RM400 juta.

“Kita nak ringankan bab tu (banjir) kalau boleh kita nak buat tebatan banjir. Kita akan tengok secara keseluruhan… kita tahu bahawa perbelanjaan yang diperlukan itu tinggi.

“Dianggarkan kalau di Sungai Golok tu RM700 juta dan kat sini (Besut) sahaja dah RM400 juta. Jadi ini bukan sesuatu yang senang dan mudah untuk ditangani. Tapi kerajaan akan cuba ke arah itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Payong di sini, hari ini.

PPS itu menempatkan 162 mangsa daripada 36 keluarga sejak lima hari lalu.

Tambah Dr Wan Azizah, sudah sampai masanya kerajaan mengambil inisiatif agar perkara sama tidak berulang dan kajian terperinci akan dilakukan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bentuk muka bumi serta persekitaran.

Beliau turut menyatakan bahawa mangsa banjir yang ditempatkan di PPS bakal menikmati kemudahan yang lebih baik bagi memberi keselesaan dan menjaga kebersihan.

Tambahnya, sebagai permulaan tandas bergerak akan diletakkan di PPS dan tindakan itu bagi mengelak kerosakan tandas yang perlu ditanggung pihak sekolah, malah jumlah mangsa yang ramai juga akan menyebabkan tahap kebersihan sukar dikawal.

Beliau turut menekankan supaya kebajikan golongan wanita dijaga terutama bagi yang masih dalam pantang dan perlu menyusu bayi dengan menyediakan ruang tertentu.

Mengenai pengurusan mangsa banjir di kedua-dua negeri, beliau berkata kesemua petugas menunjukkan dedikasi tinggi malah melakukan tugasan dengan tertib dan tersusun.

Walaupun berlaku beberapa masalah kecil seperti barang keperluan yang tidak mencukupi di Kelantan, ia telahpun diatasi oleh pihak terbabit.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah mengucapkan takziah kepada keluarga dua mangsa banjir yang maut di Kelantan semalam.

“Saya ingin ambil kesempatan ucap takziah kepada keluarga kanak-kanak yang berusia tujuh tahun yang lemas dan tergelincir ketika memasang pukat bersama bapa saudaranya di Felcra Teratak Batu dekat Pasir Putih, Kelantan.

“Dimaklumkan ada satu lagi kes lemas di sawah yang ditenggelami banjir di Tumpat, Kelantan… memang ajal di tangan Allah cuma kalau boleh kita cuba elakkan… selain itu, sentiasa dapatkan maklumat banjir dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Mayat Eh Phong Areang, 49, ditemui pada 11.30 pagi semalam oleh penduduk kampung selepas tergelincir ketika mengangkat pukat di Kampung Jubakar, Tumpat.

Sebelum itu, mayat Muhammad Eilham Hasmadi juga ditemui pukul 8 pagi semalam, kira kira 400 meter dari lokasi dia terjatuh di Felcra Teratak Batu, Pasir Putih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Prasarana sedia tambang percuma untuk OKU Sabtu, Ahad ini

PUTRAJAYA, 3 DIS: Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang pengiring akan menikmati tambang percuma bagi kemudahan perkhidmatan pengangkutan kendalian Prasarana Malaysia Bhd pada Sabtu (7 Disember) dan Ahad (8 Disember) ini sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019.

Mengumumkan perkara itu pada program Santai Bersama OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tambang percuma itu akan melibatkan perkhidmatan MRT, monorel dan LRT.

“Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad OKU mereka untuk pengesahan bagi menikmati kemudahan ini,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya, Hannah Yeoh yang mewakili beliau merasmikan program itu.

Dr Wan Azizah mengadakan lawatan kerja ke negeri di Pantai Timur hari ini bagi melawat mangsa dan pusat pemindahan banjir.

Menurut Dr Wan Azizah, Prasarana telah menyediakan insentif untuk pengguna OKU di mana OKU berdaftar dan mempunyai kad konsesi mendapat potongan tambang 50 peratus apabila menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan yang disediakan Prasarana.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, data sehingga Jun 2019 menunjukkan terdapat 549,554 OKU telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita mengharapkan lebih ramai OKU berdaftar dengan JKM dan seterusnya mengambil bahagian dalam inisiatif atau program yang bersesuaian,” katanya.

Yeoh, yang ditemui pemberita selepas majlis itu, berkata golongan OKU sempena sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019 boleh memasuki Muzium Negara dan Balai Seni Negara secara percuma dan menikmati diskaun 20 peratus untuk penginapan di Hotel Seri Malaysia mulai hari ini hingga 8 Disember.

“Golongan OKU juga boleh masuk secara percuma ke Pusat Sains Negara tanpa had masa,” katanya.

Yeoh berkata pada tahun hadapan, kad OKU dijangka dapat dikeluarkan dalam masa yang lebih singkat iaitu 30 hari apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima peruntukan untuk menambah satu mesin pencetak kad berkenaan di setiap negeri.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, KPWKM telah menubuhkan Special Project Team (SPT) untuk meneliti, menggubal dan menyediakan draf bagi pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 bagi memperkasa golongan itu.

Beliau berkata, SPT dengan 25 anggota itu mewakili pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, badan profesional, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berpengetahuan dan berpengalaman berkenaan OKU.

Dr Wan Azizah berkata, SPT itu akan mula bersidang pada Januari 2020 selama enam bulan untuk menghasilkan draf Pindaan Akta OKU yang komprehensif, dengan sasaran untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat adalah pada Disember 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Tribunal khas tangani kes gangguan seksual bakal ditubuh

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Satu tribunal khas untuk mendengar dan menangani kes-kes gangguan seksual akan ditubuhkan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah antara perancangan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melakukan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada bagi isu berkenaan.

“Ia akan termasuk dalam Akta Gangguan Seksual yang kini masih dalam peringkat perbincangan Kementerian bersama agensi, NGO dan AGC (Jabatan Peguam Negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Khatan Perdana Parlimen Pandan di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri KPKWM berkata, rang undang-undang (RUU) yang sepatutnya dibentang di Parlimen tahun ini dijangka dibentangkan tahun depan.

Ini kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diputuskan dan dipersetujui bersama seperti remedi, beban pembuktian dan sebagainya.

Tegasnya, semua perkara itu adalah penting bagi memastikan kekangan perundangan sedia ada dapat diselesaikan dan RUU ini benar-benar dapat menangani isu ini serta memberi perlindungan kepada mangsa gangguan seksual.

“Mekanisme pengaduan juga perlu dipermudahkan agar lebih ramai mangsa tampil ke hadapan manakala elemen remedi dan penalti turut diberi perhatian.

“RUU ini masih merupakan keutamaan kementerian dan akan dibentang secepat mungkin, pastinya tahun hadapan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Jangan biar isu perkauman jadi barah dalam kalangan rakyat

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, nilai-nilai murni perpaduan perlu sentiasa dipupuk dan jangan biarkan isu perkauman menjadi kanser atau barah yang akan memakan perpaduan masyarakat.

Katanya, rakyat di negara ini telah berkongsi kemakmuran bersama, serta mengamalkan kesaksamaan dan keterbukaan, dalam meneruskan arus pembangunan negara.

“Kita kongsi kemakmuran, supaya tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara.

“Kita boleh hidup bersama, tidak perlu katakan Melayu, Cina atau India, kita semua rakyat Malaysia. Ini penting dan perlu diteruskan…inilah masa depan kita bersama,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Parlimen Pandan, yang dihadiri kira-kira 500 penduduk pelbagai kaum sekitar Pandan Indah.

Dr Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, jika ada jurang dan perbezaan, ia perlu segera diperbetulkan agar setiap rakyat dapat merasai kemakmuran bersama dan meneruskan pembangunan negara.

Katanya, rakyat juga perlu mengamalkan sikap toleransi dan menerima perbezaan antara kaum dan agama serta mengutamakan muhibbah dan perpaduan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Teknologi asas pembinaan bandar pintar

SHAH ALAM, 27 NOV: Penggunaan teknologi adalah perkara asas paling penting kepada pembinaan bandar pintar dengan dilengkapi infrastruktur mampan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata inisiatif bandar pintar hanya mampu dijayakan apabila adanya penerimaan rakyat dan kerangka perundangan yang bersesuaian merentasi lapisan hierarki kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Terdapat beberapa inisiatif utama bandar pintar yang saya kira harus diimplementasikan sesegera mungkin di peringkat kerajaan tempatan.

” Antaranya inisiatif bandar selamat di mana persekitaran awam dan jalan raya boleh dijadikan tempat lebih selamat dengan penggunaan teknologi serta keperluan mengurangkan kesesakan lalulintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata insiden gangguan sistem operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lepas, turut membuktikan betapa pentingnya penggunaan teknologi pintar kepada negara.

“Teknologi pintar bukan untuk tujuan pemantuan semata-mata, malah untuk tujuan pengumpulan data bagi memahami punca permasalahan dan kaedah penyelesaian lebih baik.

“Terdapat juga keperluan untuk memperkasakan aspek keselamatan data dan sistem menerusi pembangunan dalam bidang ‘Cybersecurity’, ‘Encryption Technology’ dan ‘Secure Cloud Computing,” tambahnya.

-BERNAMA