Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan siapkan draf pindaan umur minimum perkahwinan

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan sedang menyediakan draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) untuk meminda umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Undang-Undang Keluarga Islam termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua-Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya setakat ini hanya Selangor sudah meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, lima negeri bersetuju sementara tujuh negeri tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

“Beberapa sesi libat urus dilaksanakan kerajaan untuk tujuan penyeragaman umur minimum kepada 18 tahun dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, Undang-Undang Adat dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan lain-lain bentuk tatacara, kaedah dan garis panduan.

“Draf pindaan sedang dimuktamad Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM manakala Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda jika negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut.

“Hanya Selangor meminda enakmen ini manakala Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PAKATAN-Ledang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Lima negeri yang bersetuju untuk meminda akta itu adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak manakala Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah serta Kelantan masing-masing tidak bersetuju.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bagi bukan Islam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tiada keperluan untuk meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Katanya ini kerana undang-undang sedia ada diperuntuk dengan jelas had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

“Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Menteri atau Menteri Besar.

“Pengecualian ini bagaimanapun, ditangani melalui mekanisme kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik bagi permohonan perkahwinan bawah umur dan mula berkuat kuasa pada 22 Ogos 2019,” katanya.

Dalam jawapan sama Wan Azizah memaklumkan, kementerian dalam peringkat akhir menyiapkan Draf Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Pelan itu mengandungi program atau tindakan membabitkan 61 buah agensi peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta dijangka akan dibentangkan melalui Memorandum Jemaah Menteri hujung tahun ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Tegak aspek akauntabiliti dalam urus dana sumbangan

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, organisasi dan yayasan yang menerima sumbangan orang ramai atau pihak lain perlu menegakkan prinsip akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendekatan sedemikian pastinya akan memberi satu tahap keyakinan yang tinggi kepada penyumbang dan menggalakkan mereka untuk memberi bantuan berterusan.

“Ini termasuklah menyediakan laporan tahunan penerimaan dan perbelanjaan seperti pemberian kepada kumpulan sasar dan dipaparkan dalam laman sesawang masing-masing.

“Ambillah langkah-langkah perlu bagi memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan dana yang diperoleh. Laksanakan pemantauan dan audit berterusan bagi mengelak sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Bantuan Metro Prihatin di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, setiap sen yang disumbang sampai kepada penerima yang layak dan benar-benar digunakan untuk tujuan bermanfaat.

Bagi menggalakkan sektor swasta menderma dan meningkatkan tanggungawab sosial, beliau berkata, jumlah nilai ambang pelaporan derma akan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 mulai tahun hadapan.

Nilai ambang pelaporan derma dikuatkuasakan pada 5 September lepas di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, Bantuan Metro Prihatin yang bernaung di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP membolehkan masyarakat menyumbang dengan lebih mudah dan konsisten, dengan penyeliaan dana lebih terkawal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Program Sinergi Sosial tingkat kualiti perkhidmatan PERKESO

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Program Sinergi Sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal mewujudkan horizon baharu dalam kualiti sistem penyampaian perkhidmatan ditawarkan agensi yang menyediakan manfaat keselamatan sosial di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertemakan ‘Sinergi Perkasa, Rakyat Sejahtera’ itu juga adalah formula terbaik bagi mengatasi permasalahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia khususnya golongan B40.

“Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pendapatan sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

“Melalui sistem jaringan keselamatan sosial yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam negara, kerajaan akan memastikan tiada rakyat khasnya daripada kumpulan B40 yang benar-benar memerlukan pertolongan tercicir daripada senarai bantuan,” katanya ketika merasmikan Program Sinergi Sosial dan pelancaran Sistem MySynergy di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Program Sinergi Sosial adalah inisiatif bagi mewujudkan ekosistem keselamatan sosial dalam negara dengan pembabitan 17 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Kesemua agensi itu akan bergabung di bawah satu landasan yang membentuk satu jaringan keselamatan sosial holistik dan penyelesaian menyeluruh bagi rakyat Malaysia.

Ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat dan menjadikan mereka berpengetahuan berkenaan pengurusan kewangan sistematik.

Antara agensi terlibat adalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.

Menurut Dr Wan Azizah, program itu juga dibina atas jaminan bahawa ia tidak akan mengganggu akta, peraturan dan dasar bagi agensi yang menyertai.

Beliau berkata program itu juga telah didaftarkan dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan mendapat pengesahan hakcipta daripada Perbadanan Pengurusan Harta Intelek.

Dalam pada itu, beliau berkata Sistem MySynergy yang diguna pakai dalam program itu pula mengadaptasi teknologi lejar digital terbuka atau blockchain yang dibina, ditadbir, diselia dan diselenggara sepenuhnya oleh Perkeso.

“Akses telah diberikan kepada semua agensi terlibat secara percuma dan sistem itu berupaya menjana dan menyimpan data keselamatan sosial yang terbesar di Malaysia.

“Justeru, saya menggesa lebih banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut serta dalam program ini yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Ia juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menyediakan taraf hidup wajar kepada semua,” katanya.

Terdahulu, Kula Segaran dalam ucapannya berkata program itu telah bermula pada 7 Ogos 2018 dan sehingga Oktober 2019, sejumlah 1,167 orang daripada pelbagai latar belakang telah didaftarkan menerusi program itu.

“Dengan terlaksananya program usaha sama ini, secara tidak langsung ia bakal melahirkan pekerja berkebolehan sebagai pengamal keselamatan sosial dengan memiliki kemahiran bukan sahaja dalam aspek perlindungan pekerjaan malah meliputi bidang kewangan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita, Kula Segaran berkata beliau akan menyarankan agar semua kementerian turut serta dalam Program Sinergi Sosial itu agar semua lapisan masyarakat dapat menerima manfaatnya.

“TPM (Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat) juga memberi respons positif dengan mengatakan akan membincangkannya dengan warga kementerian itu mengenai program ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Penguatkuasaan, pengawasan pusat tahfiz perlu ditangani secara holistik

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penguatkuasaan dan pengawasan operasi pusat tahfiz di negara ini perlu ditangani secara holistik kerana ia melibatkan pelbagai pihak.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, untuk menangani perkara itu secara berkesan, undang-undang berkaitan perlu diperketatkan, termasuk pendaftaran pusat tahfiz serta peranan ibu bapa untuk mengenal pasti tahfiz yang dipilih untuk anak mereka adalah berdaftar.

“Kami akan melihat bagaimana kami dapat menanganinya secara holistik. Pengawasan ini akan dilihat secara keseluruhannya kerana ia melibatkan penguatkuasaan yang berlainan.

“Pemantauan ini mesti kita tingkatkan. Bukan sahaja pihak berkuasa tetapi mereka yang di sekeliling yang nak hantar anak ke tahfiz mestilah sekurang-kurangnya ‘check’ dulu boleh ke tak boleh, elok atau tidak (pusat tahfiz yang dipilih), adakah ia berdaftar supaya kita boleh menangani secara berkesan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang insiden kematian seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun di sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh di Pahang yang dikesan mempunyai lebam pada badan.

Dalam kejadian Khamis lepas, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, laporan mengenai hasil bedah siasat akan diketahui dalam waktu terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Sambut Maulidur Rasul dengan majlis ilmu

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis ilmu serta melakukan amalan kebaikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu beramah mesra bersama golongan kurang bernasib baik, serta mendekati mereka yang masih belum mengenali Islam dan baginda Rasulullah SAW.

“Amalan ini perlu dilakukan agar kehadiran Rasulullah SAW sebagai Rahmatan lil Alamin itu terus dirasai oleh umat sejagat.

“Justeru marilah kita mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah SAW dan meneladani kisah perjuangan baginda dalam mencakupi pelbagai aspek kehidupan kita hari ini,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam bahawa sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar memperingati kisah perjuangan baginda sebagai satu retorika sejarah sebaliknya untuk menginsafi kesukaran laluan perjuangan sebelum menggenggam segunung kejayaan.

Dr Wan Azizah berkata, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam dinasihati untuk merenungi sifat kemanusiaan baginda yang tiada tolok bandingan kerana amat prihatin dengan keperluan serta kelemahan seorang manusia.

“Baginda banyak membimbing berbanding menghukum. Baginda lebih banyak bersimpati berbanding mengkritik atau memarahi. Baginda lebih kerap berdoa kepada Allah SWT demi kesejahteraan umat baginda berbanding doa untuk diri baginda sendiri,” katanya.

Mengakhiri perutusan itu, Dr Wan Azizah mengucapkan, “Salam Maulidur Rasul 1441H”.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kemanusiaan perlu dihayati tanpa mengira sempadan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Isu kemanusiaan perlu difahami dan dihayati tanpa mengira sempadan sebagaimana yang dilakukan agensi bantuan kemanusiaan seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, GPM dan sebelum itu ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) telah banyak melaksanakan gerak kerja kemanusiaan, antaranya dalam isu Bosnia-Herzegovina, Vietnam, Rohingya dan kini berterusan dalam menyantuni isu Syria, Yaman, Uighur dan Kashmir.

Beliau berkata, inisiatif oleh agensi kemanusiaan seperi ini harus disambut baik oleh semua pihak termasuk kerajaan kerana tuntutan tanggungjawab membela golongan tertindas bukan sahaja tergalas kepada gerakan Islam.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bicara Tokoh dan Majlis Makan Malam #Sebangsa2019, anjuran ABIM, di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Bangi, dekat sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah turut melancarkan Tabung Bantuan Kemanusian #GMP2020.

Tabung bantuan tersebut menyasarkan dana berjumlah RM20 juta untuk diagihkan di bawah enam teras utamanya, antaranya Bantuan Kemanusiaan, Advokasi, Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Untuk Semua.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj plastik diperluas ke semua premis mulai 2022

SUBANG JAYA, 26 OKT: Pengenaan caj ke atas beg plastik, yang ketika ini telah dilaksanakan di premis perniagaan tetap, akan diperluas ke semua jenis premis perniagaan mulai 2022, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sebelum berakhirnya 2021, pengenaan caj ke atas beg plastik akan dilaksanakan di semua premis perniagaan tetap dan (kemudian) ia akan (dilaksanakan) kepada semua premis perniagaan bermula pada tahun 2022,” katanya selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran Ecobio Pack Sdn Bhd dan NGO Pawana di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, langkah itu adalah antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang termasuk amalan tiada penggunaan straw yang menggalakkan pengguna untuk minum terus dari cawan atau gelas.

“Pengenaan caj ke atas beg plastik dan tiada penggunaan straw adalah inisiatif kerajaan dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna dan sekali gus dapat mendorong pengguna untuk membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli-belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Beliau turut memuji usaha yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan hasil caj penggunaan beg plastik untuk tujuan program pemuliharaan alam sekitar serta menyeru negeri-negeri lain supaya menjadikannya contoh untuk dilaksanakan di negeri masing-masing.

Kerajaan sebelum ini telah pun memperkenalkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik sejak 1 Januari 2011 pada setiap hari Sabtu.

Susulan itu, beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perlis, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sarawak telah mula mengambil langkah yang sama.

Di Wilayah Persekutuan pula, peruncit hanya dibenarkan untuk menyediakan beg plastik dari kategori biodegradasi dan compostable. Bermula Mac lalu peruncit mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg daripada jenis itu kepada pelanggan.

Selain itu, beberapa negeri telah memulakan kempen pemberian straw atas permintaan, iaitu di Wilayah Persekutuan (bermula Januari 2019), Kedah dan Pulau Pinang (bermula April 2019) dan Selangor (bermula 1 Julai 2019).

Wilayah Persekutuan turut mengenakan larangan penggunaan straw plastik, dengan penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020.

Mengulas kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr Wan Azizah berkata, isu mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri telah pun dipersetujui semua pemimpin komponen PAKATAN sebelum ini.

“Boleh juga kita jumpa (bincang), tetapi macam Tan Sri katalah, dia juga telah tandatangani (setuju),” katanya ringkas.

Mengenai kenyataan penganalisis dasar awam, Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah kerajaan PAKATAN sebagai ‘bencana tidak terkawal’, beliau menggesa penganalisis itu membuat perbandingan yang lebih adil.

“Jika BN (Barisan Nasional) terus (memerintah), (isu) 1MDB tidak terbongkar, macam-macam (penyelewengan) lagi tidak terbongkar…analisis yang itu juga. Nak kritik memang senang, tetapi perlu adil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PAKATAN sedang melaksanakan mandat rakyat iaitu memperbaiki kepincangan yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

Semalam sewaktu Forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’, Lim mendakwa kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang dan menyifatkan pemerintahan PAKATAN sebagai satu ‘bencana yang tidak terkawal’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Cahaya Deepavali kukuh hubungan, penyatuan rakyat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap cahaya Deepavali akan menyinari nilai-nilai yang mengukuhkan hubungan dan penyatuan rakyat di negara ini.

Katanya, semangat kekitaan serta nilai-nilai murni seperti sikap bertolak ansur, hormat-menghormati, tolong-menolong, memahami perasaan dan sensitiviti kaum lain termasuk amalan kunjung-mengunjung dapat menjadi teladan di mata dunia malah perlu sentiasa dipertahankan.

“Seperti perayaan utama lain, rakyat Malaysia yang bukan beragama Hindu akan berkumpul dan berkongsi hari yang istimewa ini dengan melawat dan menjamu selera di rumah kawan-kawan yang menyambut perayaan ini.

“Ramai yang akur hubungan antara kaum pada masa dulu dan kini berbeza tetapi saya yakin hubungan ini akan dipereratkan di dalam era Malaysia Baharu ini,” katanya dalam perutusan Deepavali, yang akan disambut pada 27 Oktober ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Deepavali turut memberi sinar hidup kepada mereka yang kurang bernasib baik agar tidak ada kumpulan dipinggirkan.

“Keprihatinan adalah ‘trademark’ kita. Kita adalah rakyat Malaysia dan itu adalah perkara yang patut dibanggakan,” katanya.

Wan Azizah turut mengingatkan agar ibu bapa dan keluarga tersayang terus disanjung selain sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Dengan jamuan enak yang dihidangkan, jangan lupa untuk kurangkan makanan dan minuman yang manis. Deepavali ini, marilah kita menghapuskan kegelapan dan membawa cahaya ke dalam kehidupan kami. Selamat Hari Deepavali. (Vaalvil irul niinggi Oli peruga, iniya deepavali nal vaalthugal),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: CRS terap budaya keselamatan dalam masyarakat

MELAKA, 23 OKT: Usaha kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) mulai 1 Januari tahun depan diharap dapat menerap budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu dilihat akan mendapat perhatian dan sokongan ibu bapa serta penjaga kerana keselamatan kanak-kanak sepatutnya menjadi keutamaan setiap masa.

“Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab melindungi anak-anak kita terutamanya ketika berada di jalan raya. Menerusi program seperti ini, saya percaya usaha kerajaan mengurangkan kadar nahas di jalan raya dapat mencapai objektifnya,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran mewajibkan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Makmal Ujian Perlanggaran Miros PC3, di sini, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kanak-kanak juga terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap kecederaan sekiranya terbabit dalam nahas jalan raya kerana fizikal kanak-kanak tidak sama seperti orang dewasa.

Beliau berkata, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana kehilangan nyawa merupakan kerugian kepada negara, apatah lagi daripada golongan yang merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan.

Sementara itu, Lokem ketika ditemui pemberita, berkata buat masa ini kerajaan belum memutuskan penalti yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal memasang kerusi itu dan penguatkuasaan bermula Januari depan hanya bertujuan mendidik bukan menghukum.

“Kita ingin pupuk kesedaran orang ramai betapa pentingnya penggunaan kerusi ini bagi tujuaan keselamatan, Saya tidak mahu memberikan satu gambaran bahawa kita hendak menghukum sahaja tetapi sebaliknya untuk mendidik rakyat serta memberi kesedaran kepada umum,” katanya.

Katanya, kesedaran ibu bapa tentang kepentingan penggunan kerusi keselamatan kanak-kanak di negara ini masih berada pada tahap rendah iaitu sekitar 36 peratus sahaja.

“Saya telah meminta Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) untuk meningkatkan hebahan agar orang lebih memahami kepentingan penggunan kerusi ini sebagai keselamatan kepada anak-anak mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: PH bentuk kerajaan tanpa BERSATU hanya pendapat peribadi

MELAKA, 23 OKT: Kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah pandangan peribadi beliau, kata Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata gabungan itu masih berpegang kepada janji bersama empat parti – KEADILAN, BERSATU, DAP dan AMANAH, dalam membentuk kerajaan.

“Apa yang diperkatakan oleh Ronnie (Liu) adalah beliau cuma memberi pendapat sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Mewajibkan Penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Makmal Ujian Perlanggaran MIros PC3, di sini, hari ini.

Semalam, Liu, yang merupakan Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa BERSATU serta mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengejar model Barisan Nasional yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Hari ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilaporkan berkat,a DAP akan merujuk Liu kepada Majlis Presiden PH dan Jawatankuasa Disiplin DAP berhubung kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Taksub gajet hingga jarang bercakap dengan keluarga

ALOR GAJAH, 19 OKT: Rakyat di negara ini dilihat sering bersama gajet sehingga jarang bercakap dengan anggota keluarga terutama anak-anak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata rakyat Malaysia disaran supaya menghadkan masa dengan gajet dan memperuntukkan waktu secukupnya dengan anggota keluarga dalam membentuk masyarakat yang kukuh.

“Kita ini banyak sangat dengan gajet, jarang bercakap dengan keluarga terutama anak-anak, terlalu asyik dengan Whatsapp periksa apa status Facebook. Selalulah bercakap dengan adik beradik, keluarga semuanya.

“Keluarga ini penting kerana ia adalah asas masyarakat, jika runtuh keluarga kesannya akan meleret hingga beri kesan kepada masyarakat itu sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta lebih 100 penduduk DUN kawasan itu dan dalam majlis sama, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada 49 penerima bantuan kebajikan di kawasan itu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan telah, sedang dan akan melaksanakan banyak inisiatif bagi memperkasa rakyat khususnya kumpulan B40 antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH), PEKA B40 dan MySalam.

Beliau berkata kementeriannya juga bertanggungjawab melaksanakan program pembangunan keluarga dan masyarakat melibatkan kumpulan sasar antaranya adalah kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya, yang mana Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan bantuan yang diberikan kepada yang layak dikalangan kumpulan sasar ini.

“Peruntukan yang digunakan untuk menampung kos pemberian bantuan ini tinggi, justeru, kita berhasrat untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat supaya lebih ramai penerima bantuan dapat dikeluarkan daripada belenggu kesusahan dan dapat berdikari, dan lebih baik lagi, mereka pula menyumbang untuk orang lain memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi Belanjawan 2020 sejumlah RM6.5 bilion diperuntukan untuk mencipta 350,000 peluang pekerjaan pada tahun depan dan ini adalah berita gembira untuk semua terutama anak muda.

“Selain itu, Kerajaan turut berhasrat memperkasa sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sangat dekat dengan para belia dengan menyediakan tambahan peruntukan RM200 juta,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit terima bantuan JKM tidak perlu bayar pembedahan katarak

PUTRAJAYA, 10 OKT: Pesakit yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dikecualikan daripada membuat sebarang pembayaran untuk pembedahan katarak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pula, lensa untuk pembedahan katarak adalah percuma, manakala kos pembedahan yang terlibat sangat minimum iaitu RM103.

Ketika melancarkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini, Dr Wan Azizah yang juga pakar oftalmologi berkata, kesedaran di kalangan orang ramai untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian sekiranya mempunyai masalah penglihatan perlu ditanamkan.

“Stigma negatif mengenai pembedahan mata harus diatasi supaya pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya secepat mungkin untuk mengelakkan keadaan mata menjadi semakin teruk disebabkan takut untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Menurutnya, penyebab utama kebutaan di kalangan rakyat Malaysia adalah katarak pada 58 peratus, retinopati diabetik pada 10 peratus dan glaukoma tujuh peratus.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, program ‘Cataract Finder’ yang dijalankan di Rumah Seri Kenangan pada 16 Julai lepas telah merujuk 21 penghuni institusi warga emas itu untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital.

Daripada jumlah itu, seramai 18 orang didapati menghadapi masalah katarak dan akan menjalani pembedahan dalam waktu yang terdekat, katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

‘Cataract Finder’ adalah program yang melibatkan petugas kesihatan melatih orang awam yang terdiri daripada pengamal optometri swasta, pakar optik, ahli farmasi komuniti dan petugas-petugas institusi tentang teknik-teknik asas mengesan masalah penglihatan.

Semasa menggesa program Cataract Finder itu diperluaskan ke lebih banyak institusi dan pusat jagaan warga emas, Dr Wan Azizah turut mencadangkan supaya program kesedaran mengenai kesihatan mata dilaksanakan di institusi dan pusat jagaan kanak-kanak bagi menerapkan kesedaran penjagaan mata sejak kecil.

Dalam sidang media kemudiannya, Dr Wan Azizah berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan kajian mengenai kesan aktiviti bermain gajet dan bersukan ke atas peningkatan kes myopia (rabun jauh) di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun pada tahun depan.

“Kajian itu bertujuan untuk melihat ada atau tidak perbezaan refrective error atau masalah rabun penglihatan dalam kalangan kanak-kanak dari aktiviti dalam dan luar rumah,” katanya, yang menjelaskan aktiviti dalam rumah merujuk kepada bermain gajet manakala aktiviti luar rumah ialah bersukan.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengehadkan masa penggunaan gajet anak-anak kepada kurang dua jam sehari.

“Bahaya kalau banyak sangat (tengok) skrin untuk kanak-kanak. Retina paling sensitif, kalau retina rosak, tiadalah penglihatan,” katanya.

– BERNAMA