KUALA LUMPUR 18 OGOS: Masjid dan surau di Selangor disaran mengadakan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Mesir yang kini berdepan kekejaman tentera negara mereka sendiri.
Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi mengesyor masjid dan surau mengadakan solat hajat agar pembunuhan beramai-ramai tentera Mesir dihenti, sekaligus meredakan pergolakan di negara itu.
Katanya, nazir masjid juga boleh mewujudkan tabung kutipan derma untuk disalur kepada Ikatan Lepasan Universiti Al-Azhar, sebuah alumni mahasiswa sebelum diagih rakyat Mesir.
“Kita terpanggil untuk membantu rakyat Mesir menuntut hak mereka memiliki sebuah negara yang aman dan kerajaan yang adil terhadap rakyatnya sendiri.
“Pembunuhan yang dilakukan tentera Mesir menyebabkan ramai kehilangan tempat bergantung, suami, anak, ibu dan sebagainya,” katanya kepada TV Selangor.
Qunut Nazilah sunat dibaca ketika umat Islam ditimpa bencana atau musibah seperti peperangan, wabak, kemarau dan sebagainya. Ia boleh dibaca setiap kali solat lima waktu.
Sallehen antara pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai Perhimpuan Munajat Perdana Untuk Mesir di Padang Merbok yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.
Solat hajat, solat jenazah ghaib dan pidato pemimpin Pakatan dan badan bukan kerajaan (NGO), antara pengisian program perhimpunan itu.
Ia turut dihadiri antaranya, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.
Perhimpunan itu juga disertai 25 NGO termasuk Tamil Foundation, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMA-BKHST) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Dewan perhimpunan dan pertubuhan Cina dari beberapa negeri, antaranya Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Negeri Sembilan (NSCAH), Bandar Cina Pulau Pinang (PGCTH), juga hadir.