Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia awal hadapi kemarau panjang menjelang 2026

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap merangka persediaan awal bagi berdepan kemarau panjang yang dijangka pada 2026, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perancangan teliti perlu dimulakan sekarang bagi mengelak masalah meskipun ramalan tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Persiapan tidak boleh saat akhir. Kita akan lihat sumber air mentah kebanyakan milik persendirian. Kita kena bincang termasuk pemasangan paip supaya bila sampai masa kita terus guna.

“Air empangan sekarang memang tidak cukup, hanya separuh daripada keperluan sahaja,” katanya selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Wakil rakyat Pandan turut berharap dana besar bagi menaik taraf jalan raya negeri yang uzur demi kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Selain itu, Ir Izham berkata rangkaian internet perlu diperluas ke seluruh negeri dan dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Semalam terima banyak aduan tentang syarikat telco. Banyak kawasan terputus internet, tidak boleh berhubung. Kita negeri maju jadi kena tumpu bagaimana untuk tingkat isyarat komunikasi,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.

Categories
AGENDA NASIONAL

Benih padi jenis NMR152 mampu hasilkan sehingga 10 tan sehektar

ROMPIN, 18 MAC: Agensi Nuklear Malaysia optimis pengeluaran hasil padi negara ini dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesawah menggunakan benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan agensi itu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti A’iasiah Hashim berkata benih padi itu berupaya menghasilkan lapan hingga 10 tan beras sehektar berbanding dua hingga tiga tan sehektar jika menggunakan benih padi biasa.

Beliau berharap dapat meningkatkan hasil padi negara dengan mengubah cara penanaman dan penggunaan benih padi berkeberhasilan tinggi seperti benih padi nuklear NMR152 dan beberapa variasi benih padi lain yang sedang dibangunkan.

“Usaha ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan pada negara luar seperti Thailand dan Vietnam untuk memenuhi permintaan beras dalam negara yang masih belum mencukupi.

“Saya percaya ini akan berjaya dicapai jika para penanam padi di negara ini bersedia menggunakan benih padi mutasi tersebut, apatah lagi benih berkenaan telah diiktiraf Jabatan Pertanian dan akan dijual pada harga subsidi kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti A’iasiah sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Abdul Rahim Harun dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin Mohd Faizul Miran.

Pada majlis itu, Nuklear Malaysia memberi sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu, sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.

Siti A’iasiah berkata selain boleh meningkatkan hasil pengeluaran padi, benih padi nuklear NMR152 dilihat berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan penyakit karah.

“Kelebihan benih padi NMR152 ialah boleh hidup walaupun air kurang atau banyak ketika musim hujan atau kemarau selain boleh menangani angin ribut kerana batangnya lebih kuat dan dapat bertahan jika terkena penyakit karah,” katanya.

Beliau berkata walaupun menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan benih padi berkenaan, orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakannya kerana teknologi itu terbukti selamat dan tidak memberikan kesan sampingan.

“Kita tidak mengubah benih padi dari segi genetik tetapi hanya mempercepatkan proses mutasi menggunakan sinaran gamma untuk menjadikannya lebih baik daripada induknya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan status gelombang haba di portal rasmi MetMalaysia hari ini mendapati, kawasan terbabit melibatkan empat daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak, manakala tiga di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Status gelombang haba yang sama turut dikesan di Tampin, Negeri Sembilan serta Tangkak dan Kluang di Johor.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Bagi status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lima juta penduduk Indonesia terjejas akibat kemarau

JAKARTA 8 SEPT: Hampir lima juta penduduk di 11 wilayah di Indonesia kini menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih berikutan musim kemarau sejak akhir Julai lalu.

Setakat ini, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) telah memperuntukkan dana sebanyak 50 bilion rupiah (RM13.9 juta) bagi membekalkan air bersih di kawasan terbabit.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, antara wilayah yang teruk terjejas ialah di Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Yogyakarta, Jawa Timur, Nusa Tenggara Barat, Nusa Tenggara Timur dan Lampung.

“Di Pulau Lombok dan Pulau Sumbawa, bekalan air bersih amat meruncing berikutan berlakunya kejadian gempa bumi yang telah merosakkan sistem paip air,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), musim kemarau dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Catuan air diteruskan, kemarau dijangka berakhir awal April

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pelan catuan air yang sedang dilaksanakan di Selangor akan diteruskan sehingga peratusan takungan air di empangan negeri itu mencapai paras 65 hingga 70 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata langkah itu diambil bagi memastikan bekalan air di Selangor mampu bertahan sehingga berakhirnya musim kemarau yang sedang melanda negara ketika ini.

“Sebenarnya kita jangka hujan turun dalam minggu ini tetapi Jabatan Meteorologi mengesahkan ia akan berlaku pada minggu pertama bulan April.

IMG_3855 copyOleh sebab itu, kita tidak akan mengubah keputusan dalam program catuan air sehingga hujan turun dan peratus takungan air di empangan melebihi 65 hingga 70 peratus,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Sejak awal Mac lalu, bekalan air seluruh Selangor dicatu berikutan paras air di empangan di negeri itu semakin merosot disebabkan musim kemarau yang sedang melanda negara ketika ini.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_3Selain Selangor, beberapa negeri lain seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah turut melaksanakan program catuan air masing-masing.

Walaupun terdapat hujan selama beberapa hari minggu lalu tetapi masih tidak mencapai paras memuaskan bagi memberhentikan pelan catuan berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tragedi Mesir: Masjid, surau di Selangor adakan Qunut Nazilah

04

KUALA LUMPUR 18 OGOS: Masjid dan surau di Selangor disaran mengadakan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Mesir yang kini berdepan kekejaman tentera negara mereka sendiri.

Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi mengesyor masjid dan surau mengadakan solat hajat agar pembunuhan beramai-ramai tentera Mesir dihenti, sekaligus meredakan pergolakan di negara itu.

Katanya, nazir masjid juga boleh mewujudkan tabung kutipan derma untuk disalur kepada Ikatan Lepasan Universiti Al-Azhar, sebuah alumni mahasiswa sebelum diagih rakyat Mesir.

“Kita terpanggil untuk membantu rakyat Mesir menuntut hak mereka memiliki sebuah negara yang aman dan kerajaan yang adil terhadap rakyatnya sendiri.

“Pembunuhan yang dilakukan tentera Mesir menyebabkan ramai kehilangan tempat bergantung, suami, anak, ibu dan sebagainya,” katanya kepada TV Selangor.

Qunut Nazilah sunat dibaca ketika umat Islam ditimpa bencana atau musibah seperti peperangan, wabak, kemarau dan sebagainya. Ia boleh dibaca setiap kali solat lima waktu.

Sallehen antara pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai Perhimpuan Munajat Perdana Untuk Mesir di Padang Merbok yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Solat hajat, solat jenazah ghaib dan pidato pemimpin Pakatan dan badan bukan kerajaan (NGO), antara pengisian program perhimpunan itu.

Ia turut dihadiri antaranya, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Perhimpunan itu juga disertai 25 NGO termasuk Tamil Foundation, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMA-BKHST) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Dewan perhimpunan dan pertubuhan Cina dari beberapa negeri, antaranya Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Negeri Sembilan (NSCAH), Bandar Cina Pulau Pinang (PGCTH), juga hadir.