Categories
AGENDA NASIONAL

Kegiatan judi dikesan guna kedai kopi sebagai pusat operasi

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Setelah premis perjudian diserbu dan bekalan elektrik dipotong, mereka kini beralih ke kedai kopi pula untuk beroperasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis mengesan taktik baharu kegiatan perjudian dengan penganjur kegiatan itu menyamar sebagai pelanggan di kedai kopi sambil menggunakan peranti mudah alih untuk beroperasi, bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan.

“Penganjur kegiatan itu dipercayai beralih kepada kedai kopi kerana premis asal mereka telah dikenakan tindakan pemotongan elektrik yang banyak dilakukan polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak akhir-akhir ini.

“Mereka berbuat demikian kerana sedar jika mereka menyewa premis seperti dahulu, kita akan potong bekalan elektrik mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini.

Beliau berkata penggunaan kedai kopi sebagai tempat berjudi juga akan memudahkan mereka melarikan diri jika ada serbuan.

Mazlan berkata setakat ini 51 premis yang menjadi pusat kegiatan perjudian telah dipotong bekalan elektrik sekitar bandar raya manakala 24 premis lagi turut akan dikenakan tindakan sama dalam masa terdekat.

Sementara itu di Gombak, polis menahan seorang lelaki kerana mengugut dan melakukan khianat terhadap kakak tirinya, dipercayai selepas kakak tirinya itu enggan meminjamkan motosikal kepadanya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata suspek berusia 34 tahun yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah serta dadah itu ditahan di sebuah rumah di Taman Tasik Sri di sini tengah malam semalam susulan laporan yang dibuat oleh kakak tirinya.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang Ahad lepas, suspek dikatakan hendak meminjam motosikal namun tidak diberikan, menyebabkan dia tidak berpuas hati lalu mengugut untuk membunuh kakak tirinya itu.

“Pada keesokan hari kira-kira pukul 4.00 petang, pengadu berusia 39 tahun itu mendapati kerusi, meja dan sinki di rumahnya dipecahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anak perempuan VIP antara 29 ditahan langgar PKPP

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Anak perempuan seorang kenamaan antara 29 pengunjung yang ditahan oleh polis dalam serbuan ke atas sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail dekat sini awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam serbuan pada 1.20 pagi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, dipercayai pengurus pub serta seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki pekerja premis.

“Anak kenamaan itu antara 20 lelaki dan sembilan wanita tempatan yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya empat warga asing yang berumur antara 33 dan 52 tahun terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula 22 Ogos hingga 4 September ini bagi siasatan lanjut, manakala 29 warga Malaysia berusia 21 hingga 48 tahun berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 masing-masing.

“Polis Kuala Lumpur menegaskan tidak mengamalkan double standard dan tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana individu termasuklah anak VIP tersebut yang didapati melakukan kesalahan melanggar PKPP,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan anak perempuan seorang kenamaan ditahan di sebuah pub kerana melanggar PKPP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki tempatan ditahan, dadah lebih RM100,000 dirampas

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM100,000 di ibu negara pada Khamis lepas.

Dalam operasi 11.20 malam itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menahan lelaki berusia 37 tahun terbabit di Jalan Stesen Sentral, Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pemeriksaan terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan dua paket dadah jenis methamphetamine seberat 103.7 gram, dua akses kad dan satu rangkai kunci kereta.

“Hasil soal siasat, suspek kemudian membawa polis ke sebuah bilik hotel mewah di Jalan Stesen Sentral.

“Polis menemukan dadah jenis methamphetamine (2,242 gram), pil ekstasi (104.3 gram), pil erimin 5 (5.1 gram) dan ganja (8.4 gram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM112,720,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula 17 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lagi lelaki Bangladesh ditahan palsukan dokumen keputusan Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Polis menahan lima lagi lelaki Bangladesh yang disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 di Jalan Tengkat Tong Shin, di sini, Selasa, kira-kira empat hari selepas dua lelaki juga dari Bangladesh ditahan atas kesalahan yang sama dalam serbuan di Jalan Alor di sini minggu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek berumur di antara 26 – 30 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara itu ditahan pada pukul 11 malam, dan polis turut merampas antaranya lima telefon bimbit serta satu salinan surat saringan COVID-19.

Beliau turut mengesahkan polis menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 pada Selasa dan Rabu lepas, yang menyatakan pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur menerima panggilan serta emel daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan Covid-19.

“Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal itu mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan itu tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital atau makmal berkenaan. Malah doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan majikan supaya sentiasa membuat semakan keputusan ujian yang diserahkan oleh pekerja, dengan pihak pengeluar laporan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemalsuan laporan itu boleh membantu pihak berkuasa dengan menelefon Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu di Rembau, polis telah mengenal pasti lokasi pendaratan di sepanjang Sungai Linggi dan Sungai Timun di daerah ini menerusi Ops Benteng di sepanjang 20 kilometer persisiran sungai itu bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

“Berdasarkan pemerhatian memang ada aktiviti pendaratan, kami akan menguatkan kekuatan anggota di kawasan itu,” kata Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta menyalurkan maklumat berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau dengan menelefon 06-6851999.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis tahan 11 lelaki memandu ketika mabuk

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Sebelas lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula dari 9 malam sehingga 12 tengah malam ini, kira-kira 150 kenderaan diperiksa.

“Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu.

Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang dilaksanakan pada operasi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai beberapa pub dan bar yang dibuka sekitar ibu negara, Mazlan berkata ada antara premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan restoran makanan.

Bagaimanapun, Mazlan berkata 150 pasukan telah ditubuhkan bagi memantau premis terbabit dan kawasan menjadi tumpuan orang ramai supaya tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ada antara pub ini mempunyai lesen restoran yang juga menjual minuman arak tetapi kita pastikan mereka mematuhi penjarakan sosial serta menutup operasi pada 10 malam.

Sebanyak 463 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 19 Mei hingga semalam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu mabuk rempuh pekerja kontrak hingga maut ditahan

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Pemandu mabuk yang merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi ini ditahan di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata hasil ujian saringan menggunakan mesin evedential breath analyzer mendapati nafas suspek mengandungi alkohol melebihi had.

Beliau berkata suspek akan direman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000, jika sabit kesalahan.

“Polis memandang serius isu pemandu mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Bagi membanteras isu ini, polis akan menjalankan lebih banyak operasi.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri dengan cara mengelakkan diri daripada memandu kenderaan jika mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Dalam kejadian pada kira-kira 1.30 pagi ini, Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta, dipercayai dipandu lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ibu negara.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis teliti cctv kondo simpan beg ‘Birkin’ Rosmah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Polis sedang menjalankan siasatan rapi dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium yang dipercayai menyimpan beg berjenama mewah dipercayai milik isteri bekas Perdana Menteri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan itu selepas menerima laporan daripada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tengah hari, semalam.

Bagaimanapun pihaknya menafikan laporan beberapa portal berita yang mendakwa pasukan polis sudahpun menyerbu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, petang semalam.

“Pihak polis telah ke lokasi kejadian dan bukannya melakukan serbuan,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mazlan berkata pihaknya juga telah merakam keterangan beberapa anggota polis bantuan di apartmen itu bagi membantu siasatan mengenai dakwaan terdapat maklumat dan rakaman video menunjukkan kira-kira 50 tas tangan Birkin dipindahkan daripada sebuah van ke beberapa unit apartmen itu.

Terdahulu, Pemuda PPBM mengutuk cubaan menyembunyikan beg tangan berjenama milik isteri bekas pemimpin negara.

Exco Pemuda PPBM Nasional, Ben Ali berkata, pihaknya menerima maklumat dan rakaman video menunjukkan lebih 50 beg tangan jenama ‘Birkin’ sedang dipindahkan secara rahsia daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke kondominium di Kuala Lumpur.

Katanya, dipercayai setiap satu beg berkenaan dianggarkan bernilai RM200,000.