Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin puji kepimpinan cemerlang MB tadbir negeri

SHAH ALAM, 29 JUN: Prestasi cemerlang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mentadbir negeri dipuji menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.

Memetik portal The Star, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gembira Selangor dipimpin pasukan yang kuat untuk meneruskan dasar peduli rakyat.

“Selangor sangat penting bagi kerajaan Persekutuan dan menyumbang lebih 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar nasional, justeru kita harus pastikan tiada gangguan.

“Saya sekarang mewakili kerajaan tetapi Selangor sangat dekat di hati saya dan saya gembira negeri ini mempunyai pasukan yang kuat di bawah (pimpinan) Amirudin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor di sini yang turut disertai Amirudin.

Mantan Dato’ Menteri Besar itu turut memberi jaminan keadilan kepada semua negeri dalam usaha menjana semula ekonomi negara susulan pandemik Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor dapat kebenaran boleh operasi tanpa sekatan mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Sektor ekonomi yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahap satu, dua dan tiga boleh beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing bermula esok.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat dalam sektor yang dibenarkan wajib mematuhi syarat tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sebelum ini tidak lagi perlu memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri untuk mendapatkan kebenaran.

Menurutnya, inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik serta luar negara, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan “kebiasaan baharu” dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital suntik dinamisme baharu bina ekonomi

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital berperanan besar dalam menyuntik dinamisme baharu ke arah membina ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sektor berkenaan turut mampu mencipta peluang pekerjaan yang lebih luas dan menyediakan taraf hidup yang lebih baik bagi setiap rakyat seterusnya mendepani cabaran era Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

“Seramai 21 pakar industri daripada bidang pertanian pintar, aeroangkasa dan ekonomi digital telah mengutarakan input-input untuk diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan dalam usaha meneroka dan menggembleng potensi ekonomi yang besar dalam ketiga-tiga bidang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menegaskan sesi libat urus dengan pakar industri yang merupakan penggerak utama dalam sektor masing-masing adalah amat penting.

Beliau hari ini mempengerusikan sesi libat urus bersama pakar industri tersebut bagi membincangkan dengan mendalam keperluan dan keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang sedang rancak dijalankan.

Menurutnya, usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan pandangan semua pihak diambil kira dan perincian menyeluruh dilaksana dalam menentukan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

RMK-12 yang dijangka dibentangkan pada Ogos 2020 di Dewan Rakyat merupakan fasa pertama bagi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Penyediaan RMK-12 akan berasaskan kepada tiga objektif WKB 2030 iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Sesi libat urus hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi senator Dr Radzi Jidin, Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, pegawai-pegawai kanan kementerian dan pasukan penggubal RMK-12.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Azmin seru pengundi tolak BN

KIMANIS, 17 JAN: Pengundi bagi Parlimen Kimanis diseru supaya menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian 18 April ni, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden Keadilan itu berkata pengundi tidak perlu membuat keputusan sukar, sebaliknya memilih calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Bukan sukar untuk (pengundi) membuat keputusan, kita ada dua pilihan (pertama) parti Warisan yang peduli rakyat dan komited membangunkan Sabah, jadi kita perlu sokong Warisan.

“(Atau) Nak pilih BN yang mana (kebanyakan) pimpinan mereka kini sedang menunggu giliran untuk masuk ke penjara (berdepan pelbagai kes mahkamah),” katanya semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Kimanis di Kampung Pimping, Membakut, malam tadi.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

WKB 2030 mercu pencapaian, tingkat usaha penuhi komitmen PAKATAN

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Penyediaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) merupakan mercu tanda pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi tahun lepas, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, bagi merealisasikan matlamat dan objektif WKB 2030, MEA telah melaksanakan 390 sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“2019 merupakan tahun yang produktif bagi MEA untuk terus membingkai muafakat yang utuh atas asas yang kukuh bagi pelaksanaan agenda pembangunan negara.

“Saya bersama seluruh pimpinan dan anggota Kementerian akan terus mempertingkatkan lagi usaha bagi memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada rakyat,” katanya dalam Laporan Pencapaian 2019 MEA yang dikeluarkan hari ini.

WKB 2030 merupakan hala tuju baharu pembangunan negara yang melibatkan penstrukturan semula ke arah ekonomi yang bernilai tinggi selain mengurangkan jurang perbezaan antara kelas pendapatan, kaum, wilayah dan rantaian nilai.

Dokumen WKB 2030 yang cukup menyeluruh dan komprehensif telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober 2019.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata MEA juga telah berjaya memenuhi lima janji daripada empat teras secara keseluruhan dan tiga iltizam khusus untuk warga FELDA dalam Buku Harapan yang telah dipertanggungjawabkan kepada kementerian itu yang bertindak selaku peneraju perancangan pembangunan sosioekonomi negara yang mampan, maju dan inklusif.

Kementerian itu juga telah membentangkan Kertas Putih FELDA bagi menyuntik dinamisme baru dan mengatasi kesulitan semasa demi masa depan sebanyak 112,635 peneroka dan keluarga mereka.

Malah, sejajar usaha membela nasib peneroka, bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan telah disediakan di bawah Pelan Pemulihan Felda bagi tempoh 2019-2025, kata beliau.

Menurut laporan itu, baki pinjaman FELDA dengan institusi kewangan telah berkurangan kepada RM6.89 bilion sehingga 31 Disember 2019 berbanding RM7.8 bilion pada 2017.

Baki hutang dengan vendor turut berkurangan sebanyak 60 peratus kepada RM445 juta berbanding RM1.12 bilion pada 2017.

Selain itu, pencapaian lain MEA sepanjang 2019 bagi memacu ekonomi negara termasuk menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM13.05 bilion untuk pembangunan enam negeri kurang membangun – Perlis (RM299 juta), Kedah (RM1.26 bilion), Kelantan (RM1.6 bilion), Terengganu (RM1.13 bilion), Sarawak (RM4.18 bilion) dan ​​​​​​​Sabah (RM4.59 bilion).

Kementerian itu juga berjaya memperkasa pembangunan industri halal negara menerusi kerjasama ekonomi Malaysia-Korea Selatan yang berpaksikan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 serta penstrukturan semula agenda pembangunan industri halal negara melalui Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH).

MEA turut memperkasa aktiviti pertanian dan pembangunan pekebun kecil serta tanah berkelompok negara menerusi bantuan peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang berjumlah RM43.78 juta.

Bagi pembangunan inklusif dalam menangani kemiskinan, MEA telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Sasar Khusus dalam kalangan isi rumah B40 melibatkan kira-kira 20,000 orang penerima manfaat tersebut.

Selain itu, lebih RM7.64 juta telah dibelanjakan oleh penerima Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan rawatan kesihatan di klinik swasta bernilai RM500 setahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tingkat ekonomi berasaskan kekuatan dan keunikan kawasan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kerajaan akan memastikan pembangunan ekonomi tidak ‘tertumpu mengikut geografi’, sebaliknya meningkatkan aktiviti ekonomi di lokasi terpilih berdasarkan kekuatan dan keunikan setiap kawasan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata untuk itu, 15 kawasan pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan baharu.

Katanya, ia antara lain termasuk Hab Kewangan Islam 2.0, Komoditi Malaysia 2.0, peladangan pintar dan bernilai tinggi, industri kandungan, animasi dan digital, serta pembuatan, bekalan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan Revolusi Perindustrian Keempat.

“Bagi meningkatkan keseimbangan serantau, sejumlah RM1.1 bilion diperuntuk dalam Belanjawan 2020 untuk meningkatkan pembangunan koridor ekonomi wilayah, termasuk di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis (RM50 juta), Pelabuhan Kuantan, Pahang (RM69.5 juta ), Loji Rawatan Pembetungan Berpusat Sungai Segget di Johor (RM42 juta), Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak (RM55 juta) dan Presint AgroIndustri Sabah (RM20 juta).

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pelaburan swasta juga akan disegarkan semula menerusi insentif yang lebih berkesan, strategi promosi yang diselaraskan dengan lebih baik dan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 1 Januari 2020, gaji minimum bulanan akan dinaikkan kepada RM1,200 di 57 bandar dan perbandaran di seluruh Malaysia.

Katanya ia termasuk program pemindahan tunai, bayaran balik cukai pendapatan dan kos pinjaman lebih rendah, yang dijangka memberi dorongan tambahan kepada perbelanjaan isi rumah.

Sementara itu, Azmin berkata kerajaan menyediakan insentif pakej pelaburan khas berjumlah RM1 bilion setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha strategik untuk menarik syarikat Fortune 500 yang disasarkan dan syarikat unicorn dalam sektor teknologi tinggi.

Untuk melayakkan diri, katanya syarikat itu mesti melabur sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia, yang akan menghasilkan aktiviti ekonomi tambahan, mewujudkan 150,000 pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang dan mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan negara.

Beliau berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, pelaburan asing dan domestik yang besar diluluskan berjumlah RM149 bilion.

Menyedari pentingnya projek infrastruktur untuk memudahkan rantaian bekalan dan mobiliti barangan dan manusia, beberapa projek strategik akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 seperti Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Pantai Timur, Bandar Malaysia dan Gemas-Johor Bahru Elektrik Projek Landasan Berkembar.

“Bagi mempercepat ekonomi digital dan meningkatkan daya saing, kerajaan berjaya menurunkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan akan melaksanakan Pelan Sambungan dan Fiber Negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Insentif cukai juga akan disediakan bagi menggalakkan lagi aktiviti tambah nilai tinggi dan meningkatkan produktiviti dalam peralihan ke dalam ekonomi digital 5G dan Industri 4.0.

Selain itu, pakej insentif komprehensif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi dan memudahkan akses kepada pembiayaan, akan disediakan.

Ini termasuk tambahan RM50 juta bagi Dana Pelaburan Bersama Saya yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk memanfaatkan platform inovasi kewangan digital dalam membantu membiayai PKS yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Kerajaan akan menyediakan geran sepadan 50 peratus sehingga RM5,000 setiap syarikat untuk mengaplikasi pendigitalan dalam perniagaan mereka, termasuk sistem terminal jualan elektronik, perancangan sumber perusahaan dan sistem pembayaran elektronik.

“Geran sepadan ini akan bernilai RM500 juta dalam tempoh lima tahun, terhad kepada 100,000 PKS yang pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Malaysia kekal dasar pelaburan dan perdagangan terbuka

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Malaysia akan terus mengamalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dasar tersebut berperanan penting dalam usaha negara ke arah penyepaduan lebih kukuh dengan ASEAN selain memanfaatkan saiz penduduk di rantau ini yang berjumlah lebih 600 juta orang.

“Dalam konteks ekonomi global yang semakin terhubung, Malaysia juga akan terus memanfaatkan budaya pembiayaan untuk melonjakkan lagi kelebihan daya saing kita.

“Dalam aspek ini, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang menyaksikan 18 perjanjian berjaya dimeterai, manakala pemimpin dari dunia Islam bersetuju menyalurkan lebih banyak pelaburan langsung untuk tujuan pembangunan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika sesi pleno bertajuk ‘Pengagihan Semula Kekayaan – Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 20 Disember 2019. Foto BERNAMA

Mohamed Azmin berkata kerjasama yang ditempa semasa sidang kemuncak itu adalah dalam bidang media, pusat kecemerlangan, pertukaran belia, pertahanan dan keselamatan, serta jaminan makanan.

“Antara lain, satu perjanjian telah ditandatangani antara Felcra Bhd dengan satu daripada pemilik ladang ternakan dan tenusu terbesar Qatar, Baladna Food Industries, untuk usaha sama tenusu berskala besar bagi meningkatkan lagi jaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata pertukaran dokumen melibatkan pembuat komponen aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Turkish Aerospace Industries (TAI) turut diadakan di luar acara sidang kemuncak tersebut.

“Semua inisiatif ini dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan daya tahan dan memajukan sumber pertumbuhan endogen, seiring dengan harga komoditi lebih baik dan ringgit yang lebih stabil, akan mengorak laluan ke arah peningkatan prospek ekonomi Malaysia,” katanya.

Mohamed Azmin berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, khususnya bagi industri pelancongan.

“Justeru, inisiatif dasar yang berterusan akan memperkukuh lagi asas ekonomi Malaysia selain terus menyokong ringgit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan usaha bersepadu dijalankan untuk mendorong Malaysia ke arah mencapai pertumbuhan lebih mampan dan saksama sejajar agenda kemakmuran bersama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azmin pertahan PNB walau dividen ASB rendah

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang dikritik selepas mengumumkan pembayaran dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang terendah sejak ia dilancarkan pada 1990.

Mohamed Azmin berkata, PNB telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pendeposit dan pemegang saham mendapat pulangan mereka walaupun iklim ekonomi yang lemah.

“Selain daripada pasaran global dan juga isu tadbir urus sebelum ini, pasukan pengurusan PNB yang baharu telah mencuba yang terbaik untuk memastikan tadbir urus dan kebertanggungjawaban menjadi tonggak dalam pasukan baharu,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan memastikan PNB diurus dengan baik, dengan integriti dan kebertanggungjawaban.

“Kami mahu memastikan PNB diurus dengan telus dan kebertanggungjawaban, dan PNB akan menjelaskannya. Ia melibatkan lebih RM9 bilion dan ia bukan jumlah wang yang kecil,” katanya.

Pada Rabu, PNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit kepada pemegang unit ASB, terdiri daripada pengagihan sebanyak lima sen dan bonus 0.5 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pengagihan pendapatan bagi tahun ini lebih rendah daripada jumlah pengagihan pada tahun lepas sebanyak tujuh sen seunit.

Jumlah pembayaran bagi pengagihan pendapatan sebanyak RM9 bilion, memberi manfaat kepada 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit, menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dana itu dan bonus kepada RM152 bilion sejak penubuhannya pada 1990.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata lebih banyak perbincangan diperlukan untuk mencari rakan strategik bagi Malaysia Airlines Bhd berikutan kerajaan telah menerima beberapa cadangan daripada penggiat serantau dan antarabangsa.

“Kami baru sahaja mengadakan mesyuarat lembaga pengarah kami pada 17 Disember dan perkara ini dibincangkan, tetapi cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah itu tidak cukup menarik untuk kami membuat keputusan.

“Oleh itu, Perdana Menteri, Pengerusi dan Lembaga Pengarah bersetuju bahawa kami perlu melihat pilihan lain sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FELCRA agih keuntungan interim RM50.54 juta kepada 67,000 peserta

KUALA LUMPUR, 10 DIS: FELCRA Bhd akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 berjumlah RM50.54 juta kepada 67,000 pesertanya di seluruh negara bermula 15 Disember ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi agihan keuntungan interim 2/2019, FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 berjumlah RM72.20 juta, kepada peserta yang terlibat.

“Baki 30 peratus akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira, sekiranya ada.

“Keuntungan yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh FELCRA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi perbandingan dengan bayaran agihan interim yang sama bagi tahun 2018, Azmin berkata bayaran interim 2/2019 ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM25.27 juta atau 50 peratus.

“Penambahan ini disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta, sebagai tambahan bayaran sekali gus bagi meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi peserta,” katanya.

Di samping itu, Azmin berkata FELCRA telah melaksanakan transformasi menyeluruh dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti, yang seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17 peratus pada 2018 kepada 18.31 peratus pada 2019,” katanya.

Beliau juga berkata, pembangunan sektor pertanian merupakan antara tumpuan kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjana pertumbuhan baharu dan mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara.

“Usaha ini merangkumi pengurusan ladang yang lebih efisien dan efektif supaya produktiviti tanah dapat ditingkatkan bagi meningkatkan pendapatan dan menjamin keuntungan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengkujuh: Pekebun kecil, penoreh getah terima bantuan RM164 juta

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sejumlah RM164 juta diperuntuk kepada 274,639 pekebun kecil getah terdiri daripada 255,997 pemilik pengusaha dan 18,642 penoreh bukan pemilik melalui Bantuan Musim Tengkujuh 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kadar bantuan RM600 seorang akan disalurkan dalam dua peringkat terus ke akaun pekebun kecil, iaitu RM300 pada Disember 2019 dan RM300 pada Januari 2020 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sehubungan itu, pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA dan mengusahakan kebun getah tidak lebih 2.5 hektar digalak untuk segera membuat permohonan dan mengemaskini maklumat mereka sebelum 15 Disember 2019 di Pejabat RISDA seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh akan diteruskan dalam Belanjawan 2020 dengan RM200 juta disalur kepada pekebun kecil RISDA dan pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah bagi membantu mereka mengharungi cabaran musim tengkujuh.

“Peningkatan peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh dari tahun lalu pastinya mengurangkan beban pekebun kecil dalam mengimbangi kos sara hidup harian ketika berlaku penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tidak pernah campuri urusan mahkamah – Azmin

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berpegang kepada prinsip peraturan undang-undang di mana pihak eksekutif tidak pernah mencampuri urusan serta persidangan mahkamah.

Oleh itu tidak tidak timbul soal ada pihak kerajaan campurtangan dalam kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika menegaskan hal itu, beliau berkata keputusan mahkamah haruslah dihormati semua pihak dan sesiapa pun yang dipanggil untuk membela diri, masih memiliki ruang kerana ia adalah proses yang mesti dilalui semua pihak.

“Saya melalui proses yang sama puluhan tahun tapi biarlah mahkamah yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir campur tangan dalam kes membabitkan Najib.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang memerintahkan Najib membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran royalti 10 telaga minyak selepas isu sempadan perairan selesai

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Bayaran royalti melibatkan 10 lapangan pengeluaran minyak dan gas kepada Kelantan dan Pahang hanya akan dilakukan selepas isu persempadanan perairan diselesaikan mengikut perundangan sedia ada.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana sebelum ini tidak pernah wujud persempadanan laut antara negeri-negeri di Malaysia.

“Oleh kerana itu, bayaran hasil daripada 10 lapangan pengeluaran ini tidak dibayar kepada mana-mana negeri sehingga persempadanan perairan ditentukan tertakluk kepada perundangan yang sedia ada.

“Selagi isu persempadanan perairan ini tidak diselesaikan, selagi itu ia akan berpanjangan. Baik kita selesaikan sekarang. Bila ia dimulakan, kita boleh tahu lapangan itu milik negeri mana,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, daripada 12 telaga minyak dan gas di kawasan perairan Pantai Timur, hanya dua telaga iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan, yang jelas berada di dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan.

Sepuluh lapangan lain, yang mengeluarkan hasil secara berperingkat mulai 2013, berada di luar kawasan tiga batu nautika dari kesemua negeri terlibat.

Mohamed Azmin, yang menjawab isu bayaran royalti minyak dan gas untuk Kelantan secara terperinci, menjelaskan bayaran tunai oleh Petronas untuk 10 lapangan gas dan minyak telah disalurkan kepada Akaun Terimaan Tidak Diperuntukkan (ATTD) yang berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019.

Katanya, keputusan ini dibuat oleh Kerajaan BN dahulu.

“Kerajaan PH tidak akan letak wang ini sebagai ATTD, sebaliknya, akan dianggap bayaran tunai, akan dibayar kepada Kelantan dan Pahang setelah ditentukan sempadan lautan antara Kelantan dan Terengganu serta Pahang dengan Terengganu,” katanya.

Memberi jaminan bahawa Petronas tidak akan mengabaikan semangat perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA1974), beliau berkata bayaran itu akan diterima mulai tahun depan selepas urusan persempadan lautan selesai.

Menurut Seksyen 3 (2) Akta Kemajuan Petroleum 1974, Mohamed Azmin berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari semasa ke semasa boleh mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

“Dalam konteks ini, Perdana Menteri bersetuju supaya bayaran tunai kepada kerajaan negeri dibayar terus oleh Petronas mulai tahun 2020 seperti amalan yang dilaksanakan Petronas kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri telah maklumkan untuk bayaran Jun 2018 hingga 2019, walaupun ia telah dimasukkan ke ATTD, namun sebaik diputuskan, kita akan bayar kepada negeri yang berhak mendapatnya bermakna tunggakan dari Jun 2018 hingga seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Petronas telah membuat pembayaran tunai kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM387.7 juta mulai 2009 hingga Ogos 2019, hasil pengeluaran dua telaga minyak di perairan Kelantan iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan.

“Untuk makluman pembayaran bagi Ogos lepas, sejumlah RM16.79 juta telahpun dilunaskan oleh Petronas kepada Kementerian Kewangan untuk maksud ini dan pihak Kementerian Kewangan telah menyalurkan sebanyak 50 peratus daripada bayaran tunai itu kepada kerajaan negeri Kelantan manakala 50 peratus lagi disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya.

– BERNAMA