Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Tuduhan bodoh: Rafizi cabar Nazri debat

rafizi nazriPETALING JAYA, 4 SEPT: Kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa saranan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli adalah bodoh berhubung isu kenaikan harga minyak dijawab oleh Ahli Parlimen Pandan tersebut hari ini.

Ikuti kenyataan penuh Rafizi hari ini.

TUDUHAN BODOH OLEH NAZRI AZIZ: SAYA SEDIA BELAJAR DARINYA MELALUI DEBAT ATAU FORUM

Saya tidak mengambil hati dengan kata-kata kasar yang dikeluarkan oleh Dato? Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa saya seorang budak yang bodoh seperti yang dilaporkan oleh laman-laman media.

Cadangan yang saya ajukan adalah ikhlas dan selari juga dengan kenyataan yang dibuat oleh rakan cabinet Dato? Seri Nazri Aziz iaitu Saudara Khairy Jamaluddin, yang mengaku kononnya kementerian di bawahnya sedang menjalankan program penjimatan untuk mengurangkan belanja.

Salah satu cara termudah untuk menjimatkan perbelanjaan dana awam ialah dengan membatalkan keistimewaan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat yang kini dinikmati oleh menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan mereka. Ini akan mengajar mereka supaya lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan dan program mereka.

Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri. Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka.

Mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Dato? Seri Nazri Aziz semalam, saya sudi untuk berdebat atau bersemuka dengan beliau di dalam satu forum untuk belajar dari beliau apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak. Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
4 SEPTEMBER 2013

Categories
NASIONAL

‘Kepakaran’ dipertikai, anak Nazri Aziz terpalit kontroversi kes jenayah

nazri aziz i city

SHAH ALAM 15 OGOS: Kewibawaan dan keupayaan Nedim Nazri yang dilantik sebagai pegawai khas di pejabat bapanya, dipertikai berikutan anak kepada Datuk Seri Nazri Aziz itu terpalit banyak kontroversi.

“Satu perkara pelik Nedim dilantik jawatan itu. Nazri perlu menjelaskan mengapa Nedim dilantik. Apakah keupayaan dan kepakaran yang dimiliki Nedim?” kata Tian Chua.

Bercakap kepada TV Selangor, Naib Presiden PKR itu, berkata Nedim memberi imej buruk kepada kementerian terbabit disebabkan banyak kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Beliau berkata, pelantikan itu boleh dianggap tidak berasaskan kroni hanya jika Nedim memiliki kebolehan memegang jawatan itu tetapi ia tidak pernah dibuktikan.

“Saya bukan mahu kata bapa tidak boleh lantik anaknya sendiri untuk menjadi pegawai atau tidak tetapi kredibilitinya masih belum dibuktikan,” katanya.

Sebaliknya, Nedim pernah menjadi suspek kes bunuh beberapa tahun lalu manakala pengawal peribadinya didakwa terbabit dalam kejadian memukul pengawal keselamatan, kira-kira setahun lalu.

Tian Chua turut meragui niat sebenar perlantikan itu sedangkan Nedim sendiri dikatakan menguasai beberapa perniagaan yang memperoleh pendapatan jauh lebih baik.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Negeri PR Sedia Beri Kerjasama Jayakan Tahun Melawat Malaysia

visit malaysia

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan program Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kerjasama tersebut adalah bagi mempromosikan dan kemajuan bidang pelancongan di negara ini.

“Kita menyatakan sokongan bagi kerjasama ini dan berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz.

“Ini adah kepentingan nasional dalam mempromosikan pelancongan di mana juga di Malaysia, tidak kira Pulau Pinang, Selangor atau Kelantan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Guan Eng juga berharap kementerian menyalurkan lebih peruntukan kepada pelancongan di peringkat negeri.

Dalam sidang media sama, Nazri berkata, Kementerian Pelancongan memerlukan kerjasama semua negeri di Malaysia bagi menjayakan TMM2014.

Menurutnya, kerjasama semua negeri penting termasuk negeri ditadbir PR untuk mencapai sasaran jumlah pelancong yang ramai.

“Kita tidak akan anaktirikan Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor kerana tanpa kerjasama mereka mungkin sasaran ditetapkan tidak akan dicapai,” katanya.

Katanya, satu badan khas akan diwujudkan di peringkat negeri bagi mengurus dan memantau projek pelancong berkenaan.

Categories
NASIONAL

Anwar: PR Mara Lebih Dahsyat Daripada PRU 2008

anwar ibrahim parliament 2

PETALING JAYA, 7 FEB : Pakatan Rakyat (PR) bersama kekuatan jentera parti siap sepenuhnya menghadapi pilihan raya tahun ini dan hanya menunggu tiupan wisel pembubaran parlimen daripada Perdana Menteri.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjangkakan kemaraan gagasan pembangkang jauh lebih dahsyat daripada pilihan raya 2008 yang lalu.

“Ura-ura pilihan raya ini sering diperkata hampir setiap bulan sejak kebelakangan ini, bagi kami, PRĀ  lama bersedia dari segi muafakat untuk menjejak Putrajaya,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kesediaan PR menghadapi pilihan raya, Anwar yakin PRU kali ini memberi tamparan yang begitu kuat buat Umno-BN untuk terus mempertahankan tampok pemerintahannya yang sudah menjangkau usia 55 tahun mentadbir negara.

“Mutakhir ini, kegiatan Umno-BN itu lebih terdesak dan lebih kasar dan media hanya mampu memfitnah.

“Saya sering menasihatkan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat untuk terus menumpukan perhatian kepada agenda dengan menunjukkan kecurangan yang mereka (Kerajaan Pusat) lakukan kerana semua itu dipadamkan oleh media perdana daripada pengetahuan rakyat,” jelas Anwar.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Penilaian Pilihan Raya Muslim Eropah memaklumkan pengakuan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa media perdana di negara ini sememangnya menjadi alat kepada kerajaan.

Menerusi temubual secara ekslusif bersama TVSelangor, Anwar turut menjelaskan walaupun berdepan dengan permainan kotor Umno-BN, PR yakin akan menang besar berdasarkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap gagasan itu.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi di antara komponen PR, Anwar menjelaskan ia telahpun siap 95 peratus.

Categories
NASIONAL

Rafizi Terus Bongkar Skandal RM40 Juta Umno Sabah

PUTRAJAYA 5 NOV: Walau berdepan dengan kemungkinan disaman,Pengarah Stretegi PKR, Rafizi Ramli bersedia untuk terus membongkar skandal RM40 juta yang didakwa Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia.

Rafizi berkata, beliau akan terus mencari bukti bagi mengaitkan penglibatan ketiga-tiga individu ini walaupun laporan mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

“Saya sedar bahawa SPRM akan menuntut saya supaya berhenti membuat sebarang kenyataan sementara siasatan sedang dilakukan namun jika saya menemui beberapa bukti baru saya akan terus mendedahkannya.

“Saya bersedia berdepan sebarang kemungkinan walaupun laporan sudah dibuat kepada SPRM saya fikir jika kedua-dua pihak bekerjasama adalah lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan laporan mengenai ketiga-tiga individu terbabit di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, kandungan laporan itu meminta SPRM supaya membuka fail siasatan di bawah Akta SPRM 2009, Bahagian IV (Kesalahan dan Penalti)Seksyen 16(a) iaitu perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati orang lain.

Terdahulu, Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap SPRM, Parlimen dan undang-undang membuat kenyataan bahawa tiada sebarang unsur rasuah bagi mengaitkan wang RM40 juta melibatkan jutawan balak Michael Chia kepada Umno Sabah.

Nazri dikaitkan memiliki hubungan rapat dengan Michael Chia kerana anaknya Nedim Nazri menggunakan sebuah kereta mewah jenis Hummer yang didakwa dimiliki oleh jutawan balak itu.

Menurut Rafizi, kenyataan Nazri menimbulkan tanda tanya kerana bersungguh-sungguh mempertahankan Musa Aman yang juga Ketua Menteri Sabah dan membersihkan nama Michael Chia daripada sebarang dakwaan.

Selain itu, Rafizi akan mencari bukti-bukti berkaitan skandal itu dengan menemui beberapa pihak berkaitan di Hongkong termasuk mengadakan perjumpaan bersama Independent Commission Against Corruption Hong Kong (ICAC) pada minggu hadapan.

“Saya tidak mahu hanya membuat laporan kepada SPRM dan berharap kita dapat menemui beberapa fakta berkaitan apabila perbincangan lanjut diadakan kelak,” katanya lagi.

Pada 2008, Michael Chia pernah ditahan di Lapangan Antarabangsa Hongkong oleh ICAC kerana membawa wang tunai berjumlah RM40 juta yang didakwa hendak diberikan kepada Musa Aman.

 

Industri Terburuk Didunia, Pemandu Teksi Mahu Jumpa Menteri

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi mencari jalan penyelesaian pengurusan industri teksi Malaysia yang disifatkan terburuk di dunia.

Pengerusinya, Amran Jan berkata, pihaknya amat kesal kerana pihak pengusaha gagal memperbaiki pelbagai kelemahan yang diketengahkan warga pemandu teksi.

Lebih mengecewakan, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha dilihat bersungguh-sungguh menidakkan tuntutan berkaitan kebajikan dan hak pemandu teksi.

“BBPTB ingin menarik perhatian umum bahawa warga pemandu teksi bukanlah punca utama perkara ini berlaku.

“Jika dilihat secara menyeluruh, ia adalah disebabkan oleh kegagalan sistem industri itu sendiri berfungsi,” katanya pada satu sidang media di Lobi Parlimen.

Antara keluhan yang dibangkitkan adalah kewujudan sistem kupon yang mengenakan caj 10 peratus ke atas tambang yang ditetapkan oleh operator kaunter namun dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulis Nazri kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh di Dewan Rakyat menyatakan, sistem baru yang diwartakan di bawah Peraturan 311 LPKP adalah sistem beresit iaitu operator kaunter dibenarkan mengenakan caj tidak melebihi RM2 dan teksi diwajibkan menggunakan meter.

Menurut Amran, kaunter kupon berkenaan berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur Seperti Hentian Duta, Times Square, Pudu Sentral dan KL Sentral.

“Bagaimana aktiviti ‘haram’ di sisi undang-undang ini bebeas beroperasi tanpa gangguan menteri dan SPAD?

“Mengapa hendak menipu masyarakat umum terutamanya pemandu teksi?” soalnya lagi.

Justeru, BBPTB mendesak Tan Sri Syed Hamid Albar meletakkan jawatan selaku Pengerusi SPAD ekoran kegagalan beliau memenuhi tuntutan mereka.

Pada Selasa lalu, satu lagi persatuan pemandu teksi, Gerakan Prihatin Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) mengadakan satu sidang media bagi menuntut pemberian permit teksi individu kepada semua pemandu teksi memandangkan sistem sedia ada hanya menguntungkan pengusaha dan kroni.