Categories
AGENDA NASIONAL

Makan di kedai kekal kepada individu lengkap vaksin – menteri

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan masih mengekalkan peraturan individu yang ingin makan di kedai atau restoran mesti lengkap dua dos vaksin bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mnteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berkata kekeliruan yang timbul sebelum ini disebabkan peraturan yang dikeluar Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dikemas kini.

Bermula hari ini, Lembah Klang dan Melaka memasuki fasa ketiga PPN, bersama Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Negeri Sembilan dan Labuan  berada dalam fasa keempat.

Categories
SELANGOR

Segelintir individu lengkap vaksin belum sedia makan di restoran

AMPANG, 22 OGOS: Segelintir individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di negeri ini belum bersedia untuk makan di restoran meskipun dibenarkan berbuat demikian.

Hassan Basri Ainik, 56, berkata dia menyambut baik kemudahan tambahan itu namun perasaan bimbang masih ada kerana jangkitan Covid-19 di Selangor meningkat sejak kebelakangan ini.

Hassan Basri Ainik, 56

“Alhamdulillah, saya rasa lega selepas terima suntikan kedua tetapi tidak boleh terlalu selesa kerana Covid-19 ada di mana-mana dan tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipatuhi bagi mengelak menjadi mangsa.

“Mungkin beberapa kelonggaran diberikan kerajaan menggembirakan banyak pihak termasuk saya dan buat masa ini biarlah dulu, perasaan takut masih ada sebab kes belum turun,” katanya kepada Selangorkini.

Bapa tujuh anak itu antara ribuan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti yang menerima dos kedua di Dewan Serbaguna AU2, Ampang di sini hari ini.

Sementara itu, ibu tunggal, Norzila Hussin, 53, berkata dirinya belum yakin untuk makan di restoran dalam tempoh terdekat dan memilih membeli makanan secara bungkus di restoran.

“Ikutkan memang saya tak berani, lebih baik beli sahaja makanan atau masak sendiri di rumah. Mungkin kalau ingin sekalipun saya akan tunggu sebulan selepas dos kedua.

Norzila Hussin, 53

“Bagaimanapun, saya rasa senang hati dan bersyukur sebab sudah lengkap terima vaksin. Sekurang-kurangnya boleh keluar ke mana-mana dan tidak hanya terperuk di rumah,” katanya.

Kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima vaksinasi lengkap bagi negeri fasa pertama Pelan Pemulihan Negara dibenarkan untuk melakukan aktiviti makan restoran bermula kelmarin.

Ia merupakan salah satu daripada kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi di negeri berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Sila makan dua orang satu meja, SOP tanggungjawab bersama

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Jangan degil dan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) bagi sektor makanan iaitu ‘dine in’ atau makan di restoran atau kedai makan adalah terhad kepada dua orang satu meja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini hingga 27 Oktober depan.

PKPB sektor makanan kali ini berbeza kerana masyarakat dibenarkan untuk ‘dine in.’ Dua minggu sahaja, jangan sia-siakan peluang yang diberikan atau mengambil mudah kerana masing-masing mempunyai peranan dalam melandaikan lengkuk kes Covid-19 negara.

Mengikut Majlis Keselamatan Negara, SOP PKPB bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan kerajaan membenarkan restoran, kedai/ gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/ pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/ kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran atau bawa pulang sahaja. ‘Dine in’ dibenarkan namun terhad kepada dua orang satu meja.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi sekitar ibu kota mendapati pematuhan SOP sektor pemakanan adalah pada tahap memuaskan dan majoriti masyarakat patuh.

Di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Ishak Kasim, 69, yang menjual nasi campur berkata beliau mengambil inisiatif untuk mengingatkan diri sendiri dan orang awam agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Saya gembira kerajaan benarkan ‘dine in’, ini adalah kali kedua untuk kita mengingatkan orang awam bahawa penyakit ini sentiasa ada dan bahaya. Pagi memang ramai yang datang makan di sini tetapi tengah hari dan petang, ramai yang bungkus.

“Mereka yang datang berkumpulan saya nasihatkan untuk berpecah dan asingkan mereka kepada dua orang satu meja. Tadi ada pelanggan saya 15 orang sekali datang, Alhamdulillah mereka tetap duduk dua orang satu meja.

“Mereka yang tidak mahu dengar nasihat, saya cakap ‘awak bayarlah, makanan RM5 sahaja tetapi sekali dengan denda, bayarlah RM1,005,” kata pemilik kedai Asam Pedas Pak Aji itu

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Eksekutif Restoran Ali Maju Sdn Bhd Datuk Jawahar Ali berkata kebenaran ‘dine in’ secara keseluruhan dapat membantu pelbagai pihak dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana pertimbangkan nasib peniaga dan penjaja untuk terus beroperasi. Kami juga memberi keutamaan kepada SOP dan tidak berkompromi dengan mereka yang tidak patuh.

“Misalnya ada yang ingkar, tidak mahu imbas kod QR MySejahtera, kami tidak benarkan mereka untuk masuk ke dalam premis. Setakat ini, pelanggan beri kerjasama penuh dan patuh.

“Restoran ini boleh memuatkan 40 meja dengan kapasiti 80 orang. Ada yang datang ‘dine in’, mereka makan dan sesudah habis makan, mereka terus beredar, tiada lagi budaya lepak. Banyak juga yang pilih untuk bungkus,” katanya.

Norliatul Asma, 34, yang menjamu selera di Restoran Ali Maju di Rampai Business Park, Wangsa Maju dengan dua rakannya, pula berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Memang dah tetap dua orang satu meja, jadi kalau keluar ramai-ramai kenalah pandai ‘adjust’. Sama-sama kita cegah dan perangi Covid-19, kalau bukan kita siapa lagi. Saman sahaja mereka yang tidak patuh, menyusahkan orang dan tindakan mereka ini membuatkan kita yang patuh SOP berasa tidak puas hati,” katanya.

-BERNAMA