Categories
ADN SELANGOR

Selcare dicadang bantu KKM pantau individu kuarantin di rumah

SHAH ALAM , 25 OGOS: Kerajaan Selangor dicadang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau tahap kesihatan individu positif Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Wakil rakyat Sementa berkata saranan itu susulan beberapa kes sebelum ini yang tidak mendapat panduan sewajarnya sehingga menyebabkan gejala semakin teruk dan mengundang risiko.

“Klinik Selcare boleh berperanan memberi nasihat selain menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan berdasarkan pemantauan secara dalam talian,” kata Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Daroyah berkata Kerajaan Selangor juga boleh melaksanakan khidmat kaunseling kepada penduduk negeri ini yang kehilangan ahli keluarga atau orang tersayang akibat Covid-19.

“Pimpinan kawasan perlu memainkan peranan masing-masing bagi bersama-sama membantu pihak yang memerlukan dalam keadaan mencabar ini.

“Kebajikan mereka perlu diberi perhatian oleh semua pihak sama ada wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung, ahli jawatankuasa masjid dan sebagainya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pejabat DNS belum terima surat letak jawatan timbalan speaker

SHAH ALAM, 14 JUN: Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa selaku timbalan speaker, kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata berkata surat itu mungkin diserahkan Dr Daroyah Alwi dalam masa terdekat selepas mengumumkan keluar KEADILAN semalam.

“Saya menghormati keputusannya dan merakamkan ucapan penghargaan kerana selama ini memberikan kerjasama serta komitmen yang baik bagi melicinkan perjalanan sidang dewan yang beliau kendalikan,” kata Speaker DNS kepada SelangorKini.

Katanya, pengganti kekosongan jawatan itu akan dilantik Kerajaan Negeri pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun.

Sidang DNS kali ini dijangka berlangsung selama dua minggu sehingga 24 Julai.

Sebelum itu, Pengerusi KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengecam keras tindakan Dr Daroyah keluar dari parti dan menganggapnya sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengecam Dr Daroyah kerana mengkhianati mandat rakyat dan menggesa beliau mengosongkan kerusi berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Amirudin kecam Dr Daroyah keluar parti, gesa kosongkan kerusi DUN Sementa

SHAH ALAM, 14 JUN: Pengerusi KEADILAN Selangor mengecam keras tindakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa keluar dari parti berkenaan dan dianggap sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

Susulan itu Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa supaya Dr Daroyah Alwi meletak jawatan sebagai ADN sekiranya masih bermaruah.

Beliau turut memaklumkan urusan peletakan jawatan Dr Daroyah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan diuruskan pejabat DNS melalui Speaker, Ng Suee Lim.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dr Daroyah mengumumkan keluar dari KEADILAN. Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mentadbir Selangor melalui Pilihan Raya Umum ke 14 yang lepas,” kata Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan.

Beliau menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Saya yakin ADN KEADILAN serta semua lapisan jentera parti terutamanya ketua-ketua cabang merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.

“KEADILAN dan PAKATAN Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Dr Daroyah sumbang keperluan asas kepada 120 penerima

SHAH ALAM, 15 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa memberi bantuan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasannya.

Bantuan itu yang berupa barangan asas dan basah diagihkan kepada 120 penerima di Flat Sri Sementa dari blok pertama hingga empat.

“Sumbangan ini diberikan kepada mereka yang terjejas pendapatan termasuk mempunyai tanggungan isi rumah yang ramai. Dengan pemberian dibuat dapat mengurangkan bebanan kos perbelanjaan barangan dapur,” kata Dr Daroyah Alwi di Facebook semalam.

Pengagihan bantuan dilakukan bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sementa, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Categories
ADN SELANGOR

Muka, tangan Ali XPDC melecur, DUN Sementa dapatkan bantuan LZS

SHAH ALAM, 2 APRIL: DUN Sementa akan membantu penyanyi kumpulan rock terkenal XPDC, Ali mendapatkan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas mengalami kemalangan minggu lalu, kata Ahli Dewan Negerinya.

Dr Daroyah Alwi berkata Ali, nama asal Mohd Ali Ismail, 52, melecur pada muka, tangan dan kaki ketika membakar sampah menggunakan petrol di rumahnya memerlukan sumbangan bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini beliau ada memohon bantuan kepada pihak LZS namun ditolak dan kita akan cuba membantu mendapatkannya sekali lagi kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini Ali tidak dapat bekerja tambahan selepas kemalangan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan bantuan kewangan dan barang keperluan kepada Ali yang tinggal bersama isteri serta lima anak di Kampung Rantau Panjang hari ini.

Dalam perkembangan sama, rakan baik Ali, Salimey Abu Bakar berkata kemalangan dialami Ali menangkis dakwaan beliau kini sakit akibat Covid-19.

Katanya, Ali tidak menghadiri perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling seperti didakwa segelintir pihak kerana ketika itu beliau mengerjakan umrah.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk DUN Sementa diminta manfaatkan Bantuan Sihat Rakyat

KLANG, 26 FEB: Penduduk berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa diminta memanfaatkan Bantuan Sihat Selangor yang dibuka mulai Rabu lalu, kata Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata insentif itu menawarkan bantuan kewangan dialisis buah pinggang, katarak mata, pembedahan kecil, kaki palsu, peralatan dan pelbagai rawatan lain di hospital kerajaan.

“Program ini adalah tanda prihatin Kerajaan Negeri terhadap golongan kurang bernasib baik yang mungkin gagal mendapat rawatan lanjut disebabkan pelbagai kekangan.

“Kita bantu rakyat mendapatkan akses rawatan yang lebih mudah dan inisiatif ini perlu dimanfaat sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri ‘Jelajah Majlis Perbandaran Klang (MPK) Care’ di sini hari ini.

Bantuan Sihat Selangor dibuka kepada penduduk berpendapatan isi rumah RM3,000 sebulan ke bawah serta pemastautin tinggal lebih 10 tahun di negeri ini.

Categories
PBT SELANGOR

Jawatankuasa pilihan PBT Selangor bentang penyata selesai isu sampah haram

KLANG, 4 FEB: Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) Selangor akan membentangkan satu penyata kepada Kerajaan Negeri tahun ini dalam usaha menyelesaikan masalah pengurusan sampah haram daripada kilang di negeri ini.

Pengerusinya Dr Daroyah Alwi berkata penyata itu akan mengandungi tatacara pelaksanaan yang perlu dilakukan Kerajaan Negeri dalam menguruskan sampah termasuk sampah domestik seperti sampah kilang, sampah berjadual dan sampah binaan.

Mengambil contoh Klang, beliau berkata banyak pencemaran berlaku akibat pembuangan sisa plastik oleh kilang plastik di daerah itu melibatkan kawasan Sementa, Pelabuhan Klang dan Telok Gong.

“Jika dilihat, terlalu banyak aktiviti pelupusan sampah haram berlaku di tempat tersembunyi dan kita tidak mahu perkara ini berterusan. Jadi kita adakan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan KDEB Waste Management untuk mengumpul maklumat bagi menyelesaikan masalah ini.

“Klang adalah antara lokasi yang mampu menarik minat pelabur tetapi masalahnya di sini adalah sampah daripada kilang tidak diurus dengan betul. Menerusi perbincangan dengan pihak terlibat, kami sasarkan penyata tersebut dapat disiapkan tahun ini,” katanya selepas menghadiri sesi pendengaran tertutup JP-PBT mengenai pengurusan sampah haram di sini, hari ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata penyata tersebut perlu dibuat lebih teliti dengan merujuk semua maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan, JAS dan PTD di setiap daerah.

“Setiap kerja ini (pengurusan sampah) juga melibatkan kos kerana apabila ada sampah mesti ada punca. Jadi, kita perlu melihat garis panduan pengurusan sisa pepejal, sisa domestik dan sisa pembinaan ini dalam konteks yang lebih luas,” katanya menambah ramai pihak akan dipanggil untuk mendapatkan solusi berhubung perkara itu.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

100 murid DUN Sementa terima sumbangan Kembali Ke Sekolah

KAPAR, 25 DIS: Kira-kira 100 murid sekolah rendah kurang berkemampuan dirai dalam program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di Pusat Pakaian Hari-Hari di sini hari ini.

Program tajaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) itu membabitkan sumbangan baucar RM100 bagi membeli pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata sumbangan fasa kedua itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat Kerajaan Negeri, sekali gus mengurangkan keciciran pelajar di kawasan terbabit.

Peserta menunjukkan baucar pada Program Back To School PEKAWANIS ADN Sementa di Pusat Pakaian Hari Hari di Pekan Kapar, Klang pada 25 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program seperti ini antara yang paling ditunggu-tunggu rakyat DUN Sementa dan akan menyusul bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Saya yakin anak-anak ini memiliki harapan dan semangat ke sekolah dengan memakai pakaian baharu, justeru saya memohon mereka (murid) menuntut ilmu sebaik mungkin seterusnya menjadi modal insan kepada Selangor,” katanya ketika ditemui.

Daroyah berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan sumbangan daripada beberapa syarikat yang menjalankan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi melaksanakan program seumpama itu pada masa akan datang.

Sementara itu, suri rumah, Saripah Salim, 40, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Saripah Salim

“Saya bersyukur kerana sesi persekolahan sudah dekat, jadi bantuan ini memang diharap memandangkan pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan hanya cukup-cukup makan,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi Johari Jalil, 42, dia berharap Kerajaan Negeri mempelbagaikan bantuan terutama kepada penerima yang layak.

Pekerja kilang yang menetap di Kampung Sungai Serdang di sini itu turut berterima kasih atas sumbangan kelengkapan persekolahan yang diterima anaknya.

“Ini tahun kedua anak saya menerima bantuan dan ia sudah tentu boleh mengurangkan beban kami sekeluarga. Pekerjaan seperti saya perlu mengharapkan kerja lebih masa baru dapat wang tambahan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Sumbangan persekolahan untuk 381 kanak-kanak DUN Sementa

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 381 kanak-kanak di bawah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menerima sumbangan peralatan persekolahan, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan itu bagi membantu kanak-kanak berkenaan mempersiapkan diri untuk kemasukan ke Tahun Satu sesi persekolahan.

“Tahniah kepada peserta terlibat dan semoga bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

“Namun, kepada penerima yang belum sempat mengambil sumbangan ini anda boleh hadir ke pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sementa untuk menebus,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Daroyah Alwi.

Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, orang ramai boleh berkunjung ke PKM DUN Sementa minggu hadapan dari Isnin hingga Jumaat pada waktu bekerja dengan membawa MyKid peserta.

Sumbangan itu disampaikan pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran PKM DUN Sementa bersama Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Categories
ADN SELANGOR

100 kanak-kanak sertai Sunathon Sementa

KAPAR, 1 DIS: Seramai 100 kanak-kanak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa terpilih menyertai Program Sunathon Sementa 2019 secara percuma, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dijayakan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN bertujuan membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, ia dilaksanakan sebagai fardhu kifayah dan memberi peluang serta meringankan beban menjalani ibadah berkaitan.

“Semua peserta memberikan kerjasama amat baik dan tiada adegan kejar-mengejar sepanjang program itu berlangsung,” katanya.

Dr Daroyah turut mendoakan peserta cepat sembuh dan menjadi insan yang akan berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor turut menzahirkan rasa terima kasih atas penganjuran program yang disifatkan mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara penduduk.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak terbabit menjayakan program ini terutama kepada kakitangan PKM DUN Sementa, ibu bapa peserta, Kilinik Hanafi serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang,” katanya.

Program Sunathon 2019 DUN Sementa bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengahari di Klinik Hanafi, Rantau Panjang, di sini.

Turut dimeriahkan dengan semburan air BBP Sungai Pinang kepada kanak-kanak terbabit bagi menenangkan kegusaran selain mewujudkan keseronokan dalam acara berkhatan beramai-ramai itu.

Categories
ADN SELANGOR

Cadangan jual hartanah kepada pembeli luar wajar disokong

SHAH ALAM, 16 SEPT: Cadangan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin supaya menjual hartanah kepada pembeli luar negara menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) wajar disokong.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kerisauan berhubung cadangan itu dinasihatkan supaya membuat kajian berkaitan skim terbabit terlebih dahulu.

Katanya, cadangan itu dijelmakan kerajaan sebagai pendekatan mengatasi lambakan rumah mewah yang sudah siap dibina selama ini tetapi masih tidak terjual kerana di luar kemampuan rakyat.

“Lambakan projek gajah putih tinggalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu mencalar imej dan merencatkan ekonomi negara.

“Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) merekodkan lambakan rumah mewah di Malaysia dianggarkan bernilai RM100 bilion yang setiap satunya berharga RM1 juta ke atas,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, cadangan itu juga membuka banyak ruang dan peluang terutama dalam merancakkan aktiviti ekonomi serta pelancongan selain membawa aliran tunai masuk ke dalam negara.

“Skim ini juga dilindungi dengan syarat ketat dikawal selia Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan.

“Ia juga bakal menyelesaikan masalah sosial yang kebiasaannya timbul di kediaman kosong tidak berpenghuni,” katanya.

Katanya, skim MM2H diperkenalkan di Malaysia pada 2002 kini hanya mencecah tiga peratus dan masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Zuraida mencadangkan supaya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) digerakkan bagi menarik pembeli dari luar negara seperti China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat reaksi negatif daripada netizen termasuk Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dengan menyifatkan tindakan menjual rumah mewah kepada pembeli asing hanya akan menggalakkan pemaju untuk membina lebih banyak hartanah mewah, sekali gus tidak memikirkan pembinaan rumah mampu milik.

Categories
ADN SELANGOR

Mesyuarat Agung Wanita Cabang KEADILAN, 25 Ogos ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) KEADILAN Selangor bakal diadakan pada 25 Ogos ini, bermula jam 3 petang di Hotel Carlton, Seksyen 13, di sini.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, mesyuarat itu diadakan secara tahunan membabitkan 22 cabang di seluruh negeri.

Katanya, MATWC juga membabitkan wanita lantikan baharu dan lama untuk bertemu serta pada masa sama saling bertukar pendapat.

“Kita anggarkan kehadiran wanita dari semua cabang seramai 250 orang untuk menjayakan mesyuarat tahunan ini.

“Malah, kita juga gembira apabila Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin bakal meluangkan masa untuk menyertainya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Daroyah memaklumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, akan turut bersama menyertai mesyuarat terbabit.

Beliau juga optimis MATWC kali ini lebih bermakna dan berharap amanat yang disampaikan kelak bakal dijadikan contoh buat ahli baharu.

“Memandangkan kita sudah menang di peringkat negara dan negeri, saya minta semua orang jangan terlalu selesa sebaliknya terus berjuang ke arah memperkukuhkan parti,” katanya.