Categories
ADN SELANGOR

Lebih 600 pelajar susah sekitar Pandamaran terima bantuan RM100, beg sekolah

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 300 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima bantuan RM100 menerusi Program Kembali ke Sekolah.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata inisiatif disumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu merupakan langkah meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan.

“Saya turun ke 10 sekolah bagi mengagihkan bantuan ini. Dalam masa sama saya dapat melihat sendiri pelajar berkenaan di samping mengetahui bentuk bantuan diperlukan sekolah.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga pelajar terbabit. Kita harap sumbangan ini menaikkan semangat pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Sementara itu Leong berkata sebanyak 350 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) turut diagih kepada pelajar berkelayakan awal bulan ini sebagai usaha melengkapkan keperluan sekolah pelajar.

Categories
ADN SELANGOR

Sumbangan persekolahan untuk 381 kanak-kanak DUN Sementa

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 381 kanak-kanak di bawah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menerima sumbangan peralatan persekolahan, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan itu bagi membantu kanak-kanak berkenaan mempersiapkan diri untuk kemasukan ke Tahun Satu sesi persekolahan.

“Tahniah kepada peserta terlibat dan semoga bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa sekali gus memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

“Namun, kepada penerima yang belum sempat mengambil sumbangan ini anda boleh hadir ke pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sementa untuk menebus,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Daroyah Alwi.

Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, orang ramai boleh berkunjung ke PKM DUN Sementa minggu hadapan dari Isnin hingga Jumaat pada waktu bekerja dengan membawa MyKid peserta.

Sumbangan itu disampaikan pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran PKM DUN Sementa bersama Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Program basmi kemiskinan bandar MPSJ berjaya tingkat pendapatan peserta

MB MPSJ 01

SUBANG JAYA 21 OKT: Langkah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PKB) menunjukkan perkembangan positif apabila hasil kajian mendapati pendapatan purata peserta program terbabit meningkat.

Hasil kajian MPSJ terhadap peserta program terbabit mendapati jumlah purata pendapatan bulanan mereka meningkat kepada RM1,153 berbanding kira-kira RM793 sebulan sebelum menyertai program berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata program itu wajar diteruskan dan dicontohi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta pendidikan keluarga peserta program.

MB MPSJ 02

“Usaha ini wajar dicontohi PBT lain kerana kita mesti cari jalan bagi membantu mereka tingkatkan pendapatan seperti ibu tunggal. Anak setiap peserta PBT pula, perlu kita pantau supaya mereka mendapat pendidikan sempurna,” kata Abdul Khalid dalam Majlis Anugerah Kesejahteraan Masyarakat Bandar MPSJ 2013 di Hotel Sunway Resort & SPA, di sini, semalam.

Program PKB membabitkan kelas bimbingan dan latihan kemahiran bagi membantu penduduk kawasan pentadbiran PBT terbabit meningkatkan pendapatan sampingan keluarga dengan menjual barangan yang mampu diusahakan secara kecil-kecilan tetapi memberi impak positif kepada mereka.

Antara latihan yang disediakan termasuk bengkel jahitan, jahitan manik, membuat tudung saji berhias, membaiki komputer, usahawan jambu, penyediaan kek cawan, penyediaan kek dan roti serta Program Kembali Ke Sekolah.

MB MPSJ 04

Pada 2009, MPSJ menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan program terbabit dan jumlahnya ditambah kepada RM300,000 sejak 2010 sehingga sekarang.

Pada majlis sama, pengusaha perniagaan jahitan manik, Noor Ashikin Ramli dan pengusaha tudung saji berhias, Rabitah Yusuf dianugerahkan Peserta Kesejahteraan Masyarakat Bandar MPSJ 2013.

Noor Ashikin berkata, bengkel jahitan manik itu memberi manfaat dalam mempelbagaikan rekaan jahitan yang menarik, sekali gus menarik minat pelanggan untuk membeli.

Sementara itu, Rabitah pula berkata, dia tidak menyangka perniagaan tudung saji berhias yang diusahakan secara kecil-kecilan mampu menjana pendapatan yang memuaskan untuk keluarganya.

Penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan harian yang bernilai RM100 kepada 20 anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan turut diadakan pada majlis berkenaan.

-NFN-