Categories
AGENDA SUKANKINI

Asia Challenge 2020: Persiapan Selangor jadi kelab unggul di Asia

SHAH ALAM, 14 DIS: Penganjuran kejohanan Asia Challenge 2020 bulan hadapan disifatkan sebagai ‘atur gerak’ pasukan Selangor dalam menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau berkata, kejohanan yang julung kali diadakan di Stadium Shah Alam pada 18 dan 19 Januari itu melibatkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

“Kejohanan selama dua hari itu bertujuan untuk memberi ‘isyarat’ dan aspirasi bahawa kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Liga-M dan menjadi antara kelab bola sepak terunggul di Asia suatu hari nanti.

“Kita bawa pasukan terbaik dari negara jiran untuk bersaing di sini dengan kita. Untuk edisi pertama ini, kita anjurkan perlawanan dengan pasukan dari negara Asean. Selepas ini, mungkin negara Asia lain pula,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi kejohanan edisi Asean itu juga, skuad Merah Kuning akan menyusun strategi supaya dapat memperbaiki kelemahan pasukan demi mencapai hasrat untuk melayakkan diri bersaing di peringkat Asia pada tahun 2021.

Mengulas mengenai tahap keselamatan semasa kejohanan itu, beliau berkata, FAS juga memberi jaminan keselamatan terbaik kepada penyokong yang hadir ke stadium hasil kerjasama erat dengan polis.

Katanya, penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan tersebut menerusi laman web FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 bagi pemegang kad Red Giants dan RM30 bagi bukan pemegang kad manakala untuk kanak-kanak adalah RM5.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga M 2020: Selangor sasar saingan peringkat Asia

SHAH ALAM, 14 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk layak ke saingan peringkat Asia pada 2021 menerusi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang dijangka bermula hujung Februari depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sasaran itu berikutan skuad Red Giants telah mengatur beberapa strategi dianggap ‘strategik’ tahun ini bagi mengatasi kelemahan untuk menghadapi saingan tahun depan.

Tambah beliau, berbekalkan barisan pemain utama yang dikekalkan dan ditambah penyertaan enam pemain baharu untuk saingan Liga-M 2020, pasukan Merah Kuning kini lebih bersedia untuk ‘menyahut’ sebarang perlawanan yang mampu melayakkan mereka hingga ke saingan peringkat Asia.

“Tahun ini kita ‘signed’ pemain yang strategik untuk mengatasi aspek kelemahan pasukan. Kita sahut cabaran penyokong (untuk mencapai peringkat yang lebih membanggakan).

“Dengan kekuatan pasukan sedia ada ditambah enam pemain baharu yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, kita lihat skuad Selangor kini lebih lengkap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain Selangor 2020 di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis pengenalan pemain itu ialah Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Enam pemain baharu FAS yang diperkenalkan hari ini ialah Nor Hakim Hassan, Safuwan Baharudin, Nicholas Swirad, Brendan Gan, Rodney Celvin dan Tauffiq Ar Rasyid.

Pasukan Selangor menduduki tangga ketiga Liga-M bagi musim 2019 dengan mengumpul 37 mata di belakang Pahang dan Johor Darul Takzim.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan melihat sasaran pengurusan FAS untuk pasukan layak ke saingan peringkat Asia adalah realistik memandangkan barisan pemain untuk musim 2020 mempunyai kaliber tersendiri.

“Sebagai jurulatih, saya sahut sasaran itu. Ia dilihat realistik di bawah pengurusan (FAS) yang baharu. Daripada pengalaman saya pada musim lepas, tiada pasukan yang dikatakan lemah. Prestasi sama dan saya rasa sasaran itu tepat pada masanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Sasar futsal Selangor julang Piala Juara Asia menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MAC: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memasang tekad untuk membawa pasukan futsal negeri ke Piala Juara-Juara Asia menjelang 2020.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, justeru itu, pihaknya akan merealisasikan hasrat berkenaan menerusi pengurusan pasukan yang lebih teratur.

Katanya, FAS juga sedang dalam usaha untuk mendapatkan Perlesenan Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat sukan futsal, tahun ini.

“Lesen ini sebagai langkah memastikan pengurusan futsal mencapai piawaian antarabangsa sekali gus membolehkan Selangor beraksi di peringkat kejohanan Juara-Juara Asia 2020,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kontrak Pasukan Futsal Selangor bertempat di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Pada acara itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan kontrak kepada 25 ahli Pasukan Futsal Lelaki Selangor dan 18 ahli Pasukan Futsal Wanita.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan dan Presiden Kelab Futsal M.A.C merangkap Pengurus Pasukan Futsal Lelaki Selangor, Mimi Afzan Afza.

Johan berkata, beliau yakin futsal Selangor bakal menempa nama apabila MPSJ bersama Kelab Futsal M.A.C sudi memberi kerjasama bagi memantapkan lagi sukan berkenaan.

Katanya, persetujuan untuk menjalinkan kerjasama itu selari dengan prinsip Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

“Baginda percaya bahawa pembangunan bola sepak di Selangor bukan tanggungjawab FAS sahaja tetapi sepatutnya menjadi tanggungjawab semua peminat dan pengamal tegar sukan futsal demi memartabatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Pembabitan FAS di dalam kejohanan liga futsal anjuran FAM pada tahun ini turut meningkatkan jumlah pasukan di bawah pengelolaan iaitu pasukan bola sepak utama, presiden, belia, bawah 17 tahun, bola sepak wanita, futsal lelaki dan futsal wanita.

“Ini adalah jumlah yang sangat besar untuk sebuah pengurusan yang sedang menjalankan usaha transformasi yang lain dan kami akui kerjasama ini mempunyai cabaran tersendiri dari masa ke semasa,” katanya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

FAS galak remaja bina kerjaya selaku pengadil

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggalakkan remaja membina kerjaya dengan memilih pengadil bola sepak sebagai kerjaya.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia bertujuan mengelakkan golongan berkenaan daripada terjebak dengan gejala kurang sihat.

“Bidang pengadil bola sepak juga adalah kemahiran yang menyediakan platform kerjaya sekali gus mampu menjana pendapatan munasabah kepada golongan remaja.

“Apabila mereka menceburi bidang ini, ia secara tidak langsung dapat menyelamatkan remaja daripada terjebak dengan aktiviti kurang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019 di Kompleks Akademi Bolasepak Merah Kuning, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, FAS komited meneruskan usaha melahirkan pengadil kebangsaan yang berkualiti.

“Hanya dengan melahirkan pengadil ke peringkat FAM, Selangor sekali gus dapat melahirkan calon Pengadil FIFA yang berpeluang ke peringkat Piala Dunia,” katanya.

Terdahulu, FAS turut merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita menjelang tahun depan.

Categories
SUKANKINI

Sasar lahir pengadil wanita menjelang tahun depan – FAS

OLEH SHEEDA FATHIL

PUNCAK ALAM, 6 JAN : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bercadang mahu melahirkan pengadil wanita menjelang tahun depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya sedang merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita.

“Jika kita lihat di negara luar, golongan wanita aktif membabitkan diri selaku pengadil dalam sukan bola sepak namun di Malaysia agak kurang.

“Oleh itu, FAS komited untuk menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam kerjaya selaku pengadil,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019, di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Johan berkata, terdapat banyak liga dalam FAS daripada peringkat akar umbi sehingga veteran.

“Latihan kecergasan akan diadakan kepada calon pengadil wanita, manakala pelaksanaan untuk meletakkan mereka dalam mana-mana liga dilakukan secara berperingkat.

“Mungkin untuk permulaan kita akan letakkan mereka dalam perlawanan bola sepak kanak-kanak seperti bawah 12 tahun dan seterusnya,” katanya.

 

Categories
SUKANKINI

FAS komited lahir pengadil berkualiti, antarabangsa

OLEH SHEEDA FATHIL

PUNCAK ALAM, 6 JAN : Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) komited mahu melahirkan pengadil berkualiti sekali gus mampu melangkah jauh sehingga ke peringkat antarabangsa dan mengadili Piala Dunia.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sehubungan itu pelbagai program dan seminar dijalankan FAS demi pembangunan dan peningkatan kualiti pengadilan bola sepak di negeri itu.

“Seminar ini adalah agenda tahunan FAS bagi memastikan pembangunan pengadil terutama di Selangor berterusan.

“Hanya dengan melahirkan pengadil berkualiti ke peringkat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor dapat melahirkan calon pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang berpeluang ke peringkat Piala Dunia,” katanya dalam Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019 di Kompleks Akademi Bolasepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Seminar terbabit disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Pengadil FAS, R Sekar Chandran.

Setakat ini, Selangor berjaya melahirkan beberapa pengadil bertaraf antarabangsa seperti Razlan Jofri Ali selaku pengadil FIFA, Mohd Muazzi Zainal Abidin (penolong pengadil FIFA), Helday Idang (Pengadil futsal FIFA) dan Wan Mohd Tarmizi Mohd Ibrahim (pengadil bola sepak FIFA) selain 20 pengadil kebangsaan FAM.

Difahamkan, Mohd Muazzi kini sedang bertugas selaku Penolong Pengadil FIFA di Piala Asia Doha 2019.

Ia adalah noktah kejayaan keluarga Pengadil Selangor yang sentiasa melahirkan Pengadil berkualiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Dr Johan berkata, seminar terbabit memberi penekanan kepada kefahaman undang-undang bola sepak dan cara aplikasinya di padang selain memastikan hanya pengadil cergas sahaja didaftarkan untuk mengendalikan Liga FAS tahun ini.

“Pengadil dan penilai pengadil turut didedahkan dengan teknik pengadilan terkini di guna pakai FIFA dan Persatuan Bolasepak Asia (AFC),” katanya. menambah seraamai 130 pengadil bakal mengendalikan Liga FAS tahun ini.

Katanya, FAS optimis semua pengadil di Selangor dapat memberi persembahan berkualiti dan membanggakan ketika mengendalikan liga.

 

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

ATF taja Red Giants, bekal pita sukan

SHAH ALAM, 4 JAN: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus menerima suntikan positif untuk menghadapi Liga Malaysia 2019 dengan mengikat perjanjian bersama penaja terbaharu, ATF Sport Taping (ATF).

Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya , Dr Johan Kamal Hamidon berkata, FAS teruja dan menghargai kerjasama ATF yang membuktikan pihak korporat dan teknikal ingin bersama dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

“Kita yakin ATF akan membekalkan produk berkualiti kepada pasukan dan peminat Red Giants.

“Peminat boleh mendapatkan pita sukan eksklusif Red Giants daripada ATF dalam masa terdekat,” katanya.

Melalui penajaan itu, ATF akan membekalkan pita sukan kepada pemain Selangor selain jenama itu akan diperlihatkan di platform komunikasi digital FAS, di dalam Stadium Shah Alam dan kawasan latihan pasukan.

Pengasas ATF, Azmir Zed berkata, pembabitan mereka dalam arena bola sepak bermula tahun lalu, hasil kerjasama dengan pasukan bola sepak lain.

“Dengan kerjasama termeterai dengan FAS, sudah pasti peminat bola sepak negara akan lebih mengenali ATF.

“Kita bersyukur atas kesudian FAS untuk bekerjasama dan berharap hubungan ini akan memanfaatkan semua pihak berkaitan,” katanya.

ATF adalah hasil titik peluh Azmir selaku pemain ragbi negara, untuk memberi akses kepada pita sukan berkualiti terbaik pada harga berpatutan.

Sebagai atlet antarabangsa, beliau sedar akan keperluan pita sukan jenama tempatan bagi memenuhi keperluan industri sukan di Malaysia.

Hasil penyelidikan teliti, beliau mengasaskan ATF pada 2016 di mana kini pita sukan ATF dijual dan diedar dalam jumlah besar di Malaysia dan luar negara.

ATF berharap untuk mengembangkan lagi perniagaan dan jenama mereka pada tahun ini serta yakin kerjasama dengan FAS mampu membantu bagi mencapai matlamat berkenaan.

 

Categories
SUKANKINI

FAS senarai pendek 8 jurulatih kendali Red Giants

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyenarai pendek lapan individu berpotensi menjadi ketua jurulatih pasukan Selangor.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia terdiri daripada seorang jurulatih tempatan dan tujuh jurulatih asing.

Katanya, kelebihan akan diberikan jurulatih yang pernah berada dalam Liga Malaysia.

“Kita tidak mahu menandatangani pemain atau pengurusan tanpa mendapat persetujuan ketua jurulatih, sebab itu pentingnya pelantikan ketua jurulatih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran SAY IGNITE 2018 di Hotel Sunway Putra, di sini.

Katanya, barisan kepimpinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bertungkus-lumus menjalankan temu duga mencari ketua jurulatih baharu.

Pada masa sama, katanya, baginda turut menghormati keputusan Mehmet Durakovic menarik diri sebagai jurulatih Selangor, beberapa hari lalu.

“Tidak dinafikan, persiapan sedikit tergugat kerana kita sudah menandatangani beliau dua bulan lalu, namun kita menghormati keputusan itu,” katanya.

Pada September lalu, Durakovic menandatangani kontrak dengan FAS sebagai pengendali skuad Gergasi Merah, bagi musim 2019.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, beliau menghadap Tengku Amir yang juga Presiden FAS, menyatakan hasratnya untuk terus bersama pasukan Perak FA.

Baginda mempertimbangkan perkara itu dan bersetuju membatalkan kontrak berkenaan memandangkan Durakovic banyak berjasa kepada pasukan Selangor sepanjang kerjaya bola sepaknya.

Categories
SELANGOR

RMS gembira pembangunan bola sepak rancak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyambut baik inisiatif Football Selangor dalam merancakkan lagi agenda pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

Perkara itu disampaikan Pengurus Kanan, Selangor Youth Community, Dr Johan Kamal Hamidon, menerusi lawatan baginda ke penganjuran Selangor Grassroots League 2018 (SFL2018), di Stadium Mini Shah Alam, semalam.

“SGL 2018 adalah sebuah kejohanan bola sepak di bawah kelolaan Football Selangor yang diilhamkan Raja Muda.

“Ia bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan pemain bola sepak, dan juga memberi peluang kepada anak-anak Selangor mewakili kelab dan pasukan sekolah masing-masing.

“Kami dimaklumkan, Raja Muda berasa sangat gembira kerana program pembangunan bola sepak akar umbi ini mendapat sambutan dan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

SFL2018 menyaksikan penyertaan 255 pasukan sukan bola sepak tempatan dalam usaha mencungkil bakat muda untuk diketengahkan dalam sukan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SFL2018 turut menyaksikan penampilan khas bekas jurulatih serta pemain kebangsaan, Datuk K Rajagobal dan Safee Sali.

Selain itu, Pasukan PKNS FC, turut mengadakan sesi pemantauan khas bagi mengenalpasti prestasi-prestasi pemain yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Football Selangor dan SAY sangat yakin kejohanan ini mencapai objektif pelaksanaannya,” kata Dr Johan.