Categories
SELANGOR

Masyarakat digalak bantu mangsa bencana – Rodziah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 14 DIS : Masyarakat terutama rakyat Selangor digalak mengambil peluang membantu masyarakat di seluruh pelusuk negeri terutama yang ditimpa bencana alam seperti banjir, baru-baru ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha sesetengah pihak yang begitu proaktif terhadap isu kebajikan dan misi bantuan secara sukarela.

rodziah pc green 20 jul 01Beliau berkata, bantuan itu tidak semestinya berbentuk wang ringgit, tetapi ia juga boleh dilakukan melalui kerahan tenaga.

“Kerajaan negeri berbesar hati ada pihak terutama anak muda yang begitu proaktif dengan isu kebajikan dan misi bantuan tanpa menunggu arahan daripada atasan.

“Hal ini memang menjadi hasrat yang ingin kita bangunkan untuk rakyat Selangor membabitkan kebajikan. Kerajaan negeri seronok melihat kesanggupan mereka untuk membantu,” katanya ketika merasmikan Misi Bantuan Kemanusiaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri sudah menggerakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan sebagai persediaan jika berlaku banjir di Selangor.

“Kita pergiatkan pasukan keselamatan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir jika berlaku di negeri ini. Kiita turut menyediakan kemudahan peralatan dan menghantar sukarelawan di beberapa buah negeri untuk kerja pembersihan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

‘Workfare Information System’ bantu mangsa banjir

Oleh : Naeem Raffi

SHAH ALAM 12 DIS : Selangor akan memanfaatkan pembangunan sistem ‘Workfare Information System’ bagi memudahkan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata sistem itu juga membantu kerajaan negeri dan agensi terbabit untuk mengenalpasti mangsa banjir dengan lebih terperinci sebelum bantuan diturunkan.

rodziah pc green 20 jul 01“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, proses mengumpul maklumat berkenaan mangsa banjir mengambil masa lebih sehari. Dengan adanya sistem ini, agensi terbabit boleh mengemas kini maklumat dalam satu pangkalan data dan butiran lengkap boleh diperoleh dalam kadar lebih cepat.

“Dengan maklumat yang terkumpul itu, ia membantu mempercepatkan misi bantuan serta memastikan tidak ada mangsa banjir yang tercicir atau berlakunya pertindihan bantuan seperti yang berlaku di beberapa tempat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Penggal lalu, kerajaan negeri sudah membangunkan sistem ‘Workfare Information System’ selaras dengan dasar ‘daripada kebajikan kepada berdikari’ (Wellfare to workfare).

Sistem yang dilaksanakan secara ‘web-based’ itu memberi bantuan kepada rakyat Selangor dan boleh diakses oleh agensi, jabatan atau Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diberi kebenaran untuk mengakses maklumat kerajaan negeri seperti sistem Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Rodziah berkata, kerajaan negeri sudah bersemuka dengan pelbagai agensi dalam usaha memastikan semua pihak bersiap sedia dengan peranan masing-masing jika bencana banjir melanda Selangor.

“November lalu, kita sudah memanggil pengarah daripada semua jabatan terbabit termasuk Yang DiPertua dan Datuk Bandar bagi membincangkan persiapan menghadapi banjir.

“Kita akan memberi tumpuan khusus untuk mencegah banjir kerana dijangkakan antara bulan ini hingga Februari akan datang, Selangor akan menghadapai taburan hujan luar biasa dan keberangkalian berlaku banjir itu tinggi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

3 NGO dipilih agih dana RM100,000 kepada mangsa taufan Haiyan

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI
SHAH ALAM 6 DIS : Kerajaan Selangor mengumumkan tiga buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa Taufan Haiyan di Filipina, hari ini.

Tiga NGO berkenaan adalah Yayasan Buddha Tzu Chi yang diperuntukkan RM50,000, manakala Islamic Relief Malaysia RM30,000 dan Malaysia Relief Agency (MRA) RM20,000.

DSC_0103abExco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata keputusan memilih tiga NGO berkenaan dilakukan selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama mereka.

Katanya, semua NGO berkenaan sudah melakukan misi kemanusiaan di beberapa kawasan di Filipina yang teruk dilanda taufan berkenaan, sejak November lalu.

“Semua NGO ini sudah berada di sana dan mula melakukan tugas. Kita harap dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa Taufan Haiyan yang berlaku, awal November lalu,” katanya.

Rodziah berkata demikian selepas menyerahkan cek kepada tiga wakil NGO berkenaan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Yayasan Buddha Tzu Chi diwakili Sio Kee Hong, manakala Islamic Relief Malaysia diwakili pengarahnya, Zairul Shahfuddin Zainal Abidin dan Mohd Sharulazilan Said mewakili Malaysia Relief Agency (MRA).

Sumbangan dana itu susulan kunjungan delegasi dari Kedutaan Filipina yang diketuai Medardo G. Macaraig ke pejabat Rodziah bagi membincangkan keadaan negara itu yang dilanda bencana sehingga menyebabkan lebih dua juta rakyatnya terkesan daripada bencana berkenaan.

Pada masa sama, tiga NGO berkenaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap misi kemanusiaan yang sedang giat dijalankan di negara itu.

-NFN-

 

 

Categories
SELANGOR

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa banjir di Pahang

Oleh : Siraj Mohd Zaini

SHAH ALAM 4 DIS : Kerajaan Selangor mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa kawasan di Pahang, hari ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban ditanggung ribuan mangsa yang terbabit dalam kejadian banjir yang berlaku, dua hari lalu.

rodziah“Bantuan yang kita berikan adalah barangan, makanan dan peralatan sewaktu berada di pusat pemindahan banjir serta beberapa keperluan lain seperti peralatan sembahyang,” katanya.

Rodziah ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis PErhimpunan Penghulu, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang berlaku di negeri lain seperti Johor dan Terengganu dalam masa terdekat.

“Kita juga mendapat tahu selepas banjir di Pahang yang bermula di Kuantan sudah menjangkau ke Rompin dan saya dapati keadaan lebih teruk di Johor serta Kemaman, Terengganu. Jadi di bawah misi bantuan Selangor, kerajaan negeri tidak menafikan bahawa kita akan membantu mereka,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa bencana ribut taufan di Haiyan, Filipina serta RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Pada masa sama, Rodziah berkata, bantuan daripada pelbagai pihak seperti anak syarikat kerajaan negeri serta kilang di Selangor turut diharapkan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana berkenaan.

“Kita sudah menulis surat kepada pihak berkenaan dan setakat ini, maklum balas yang diberikan mereka positif untuk membantu mangsa banjir yang berlaku di Pahang,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bengkel Penilaian Interaktif PWD Selangor

Bengkel Penilaian Interaktif Pusat Wanita Berdaya Negeri Selangor telah diadakan pada 8 hingga 9 November 2013 di Hotel Laman Seri, Seksyen 13, Shah Alam.

Ia telah disertai oleh 40 orang penyelia PWB dan telah menjalani proses penialian program, sumber manusia dan keupayaan pengurusan PWB masing-masing.

Bengkel itu telah dirasmikan dan dirumuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail.

Ia bertujuan untuk merangka pelan tindakan PWB 2013-2018 agar ia lebih dinamik dan memenuhi keperluan wanita setempat dengan dilandasi prinsip-prinsip tata-kelola baik, musyawarah, kefahaman gender yang baik, dan disertai asas bahawa hampir seluruh rakyat Malaysia hidup beragama.

Di antara perkara lain yang telah diutarakan ialah pengurusan stres dan menilai tahap stres para penyelia PWB dan perkongsian untuk mengatasinya.

Dapatan di bengkel tersebut, laporan-laporan serta dapatan berterusan dari PWB sejak ia dijenamakan semula (dahulu digelar Pusat Komuniti Wanita) pada November 2011 akan digunakan bagi merangka perancangan dan pelan tindakan PWB Negeri Selangor.

“Tugasan sebagai penyelia PWB adalah sesuatu yang fokus dan wajar diberi tumpuan. Para penyelia bukan sahaja melaksanakan usaha advokasi, menganjur berbagai program dan kelas kemahiran.

“Tetapi juga melayani penduduk wanita setempat yang memerlukan tempat rujukan yang boleh membantu atau menunjukkan jalan-jalan ke arah penyelesaian permasalahan yang mereka hadapi.

Kadangkala wanita perlu kepada perkhdimatan seperti guaman dan kaunseling.”

“Wanita berdaya lagi memberdayakan wanita lain…itu adalah misi pemberdayaan wanita Selangor,”

– Rodziah Ismail

Categories
SELANGOR

Belanja RM1.5 Juta Untuk Skim Kesihatan Wanita

SHAH ALAM 24 NOV : Sehingga kini, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM1.5 juta bagi memberi manfaat kepada 17, 582 wanita di Selangor untuk menikmati program Kesihatan Wanita.

Menurut Exco Wanita, Dr Rodziah Ismail, sejak mula program ini diperkenalkan pada tahun 2010,  kaum wanita mula sedar bahawa mereka perlu mengambil peluang ini untuk memeriksa kesihatan mereka.

“Jumlah penyertaan ini saya kira sangat memberansangkan kerana wanita kini lebih mengerti keperluan mereka untuk menjaga kesihatan bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk keluarga.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 115 daripada mereka disyaki menghidap kanser,” jelas Rodziah menjawab soalan lisan daripada Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib.

Tambahnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 5.2 juta untuk menjayakan program kesihatan wanita iaitu peruntukan RM1 juta bagi setiap tahun.

“Saya harap para YB di dalam dewan dapat meuar-uarkan mengenai program ini supaya rakyat di luar khususnya wanita beroleh manfaat,” katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga turut menjelaskan, program kesihatan bukan ditamatkan seperti didakwa pihak tertentu sebaliknya melalui proses penilaian untuk penambahbaikan.

“Bukan tiada lagi, tetapi kita perlu memberi ruang untuk Kerajaan Negeri meneliti dan menambah baik program sedia ada.

“Malah, kita juga akan mengadakan skim kesihatan lain seperti urutan refleksologi dan juga program kesedaran mengawal tekanan hidup wanita,” jelas beliau sambil menambah tender baru kini sudah dibuka untuk sesi program baru yang akan dimulakan sedikit masa lagi.

Mangsa Siksa Bekas Suami Dapat Khidmat OSCC

PUCHONG : Golongan wanita negeri ini yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga diseru untuk segera menghubungi Pusat Khidmat Krisis Sehenti atau One Stop Crisis Centre (OSCC).

Seruan itu dibuat Exco Wanita, Dr. Rodziah Ismail ketika membuat lawatan ke atas mangsa kekejaman bekas suami di sebuah flat kos rendah di sini petang tadi.

“OSCC menyediakan khidmat bantuan professional menyeluruh kepada mangsa-mangsa keganasan.

“Yang penting, mangsa jangan takut dan malu untuk mendapatkan bantuan di OSCC kerana kita wujud untuk membantu mereka,” jelas Rodziah.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu akan menyediakan pelan jangka panjang bagi membantu mangsa yang dikunjungi hari ini, Rasidah Mohamed, 38.

“Kita akan membantu beliau menjana pendapatan bagi menampung kehidupannya bersama lima anak.

“Memang beliau ada menerima bantuan setiap bulan namun itu masih tidak mencukupi,” ujar beliau.

Selain itu, demi keselamatan mangsa dan anak-anak, Rodziah meminta agar satu Interim Protection Order (IPO) dapat dikeluarkan bagi menghalang bekas suami mendekati mangsa.

Difahamkan, selewat-lewatnya Isnin ini mangsa akan memperolehi IPO tersebut.

Sementara itu, Rasidah yang kelihatan sebak sepanjang lawatan menyatakan rasa terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Exco Wanita tersebut.

“Saya sangat terharu kerana sebelum ini tiada siapa yang peduli apa yang kami anak beranak alami.

“Saya akan ambil semangat yang YB (Rodziah) berikan untuk besarkan anak-anak saya dengan baik kerana merekalah harta saya,” ujar Rasidah sebak.

Ibu beranak lima ini diserang malam Ahad lalu oleh bekas suami kerana enggan memberikan wang yang diminta lelaki tersebut.

Akibatnya, beliau ditumbuk serta diseret bekas suami dengan disaksikan anak-anak yang berusia lingkungan 15 tahun hingga dua tahun.

“Anak saya yang sulung dengan yang 12 tahun juga terkena tumbukan semasa menahan bekas suami dari terus mengasari saya, itu yang saya paling takut,” jelasnya.

Dengan bantuan jiran-jiran, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bandar Puteri Ahad lalu.