Categories
EXCO SELANGOR

Malaysia perlu pendakwah seperti Zakir Naik – BERSATU Selangor

PULAU KETAM, 25 OGOS: Malaysia memerlukan pendakwah yang bijak dan handal seperti Dr Zakir Naik untuk berkongsi ilmu berkaitan agama, tegas Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Katanya, pendakwah itu mempunyai kemahiran tersendiri termasuk handal dalam ilmu perbandingan agama yang dilihat amat diperlukan masyarakat hari ini.

“Ilmu yang ada pada Dr Zakir Naik perlu dimanfaatkan oleh kita sebaiknya. Pada saya Ustaz Zakir sebelum ini lebih banyak diprovok terutama ketika sesi soal jawab dan melalui sesi sedemikianlah ramai yang salah anggap padanya.

“Pada saya, Malaysia cukup bertuah kerana mendapat tetamu seperti Ustaz Zakir dan jika beliau dihantar balik ke India, sudah tentu ia menjadi satu kerugian.

“Oleh itu, saya menentang cadangan yang menggesanya pulang ke India,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 22 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan Zakir tidak akan dihantar pulang jika beliau tidak membuat sebarang masalah.

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu selain beliau sudah diberikan taraf penduduk tetap di negara ini.

Penceramah itu kini sedang disiasat polis ekoran kenyataannya semasa berucap di Kelantan, baru-baru ini yang dikatakan berbaur perkauman.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak hantar pulang Dr Zakir keputusan bersama

TASEK GELUGOR, 24 OGOS: Keputusan Kerajaan untuk tidak menghantar pulang pendakwah Islam, Dr Zakir Naik ke negara asalnya dibuat secara bersama dan mendapat persetujuan dalam kabinet, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata keputusan itu bukanlah keputusan peribadi oleh mana-mana pihak sebaliknya ia adalah keputusan kabinet.

“Kita tetap dengan keputusan kita sebab ini adalah keputusan kabinet. Jadi saya rasa tidak ada apa yang perlu kita bincangkan. Kepada pihak yang tidak berpuas hati rujuklah kepada pihak yang berkenaan. Nak protest ni nak protest untuk apa.

“Lagi pula, Dr Zakir ni adalah seorang pendakwah dan dia juga bukan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun sebagai sebuah negara yang merasakan perlu untuk kita memberi jaminan tentang soal keselamatan, maka itulah tindakan yang diambil oleh menteri kabinet dan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar dia pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Marzuki Yahya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai segelintir pihak yang masih mahu kerajaan mengusir penceramah bebas dari India itu dengan menganjurkan demonstrasi sebagai tanda bantahan.

Ditanya sekiranya masih ada pihak yang tetap membantah keputusan itu, Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata itu adalah hak mereka.

“Kalau kita nak puaskan hati semua pihak, kita tak dapat puaskan hati semua orang. Saya rasa ini mungkin ada juga sebahagian daripada pihak-pihak yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.

Sebeum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Zakir didakwa kononnya membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asalnya.

Selasa lalu, polis mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Zakir tidak dibenar ceramah di semua medium – KPN

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Penceramah bebas Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk di media sosial, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

“Satu arahan telah dikeluarkan polis yang melarang Zakir memberikan ceramah selanjutnya selepas episod di Kelantan baru-baru ini, yang bertujuan untuk memberikan waktu kepada kami untuk melengkapkan siasatan berhubung laporan pihak yang berkaitan dengan episod ceramah itu.

“Apabila keluarnya arahan ini, semua Ketua Polis Negeri akan bertanggungjawab menasihati pihak yang mempunyai perancangan, bagi menjemput Zakir untuk beri ceramah terbuka, supaya menolaknya,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata ceramah Zakir di Kelantan telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.

“Kami akan dapatkan fakta-fakta yang sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

“Itu adalah arahan yang memang adil untuk mententeramkan keadaan, ia hanya bersifat sementara dan jika keadaan masih lagi berserabut, arahan tersebut akan kekal.

“Ia jelas bahawa kita tidak mahu forum-forum ceramah agama ini diselitkan dengan isu berkaitan dengan politik. Amat tidak sesuai sekali dalam ceramah-ceramah agama yang membabitkan isu-isu politik, baik dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Abdul Hamid berkata dengan arahan yang dikeluarkan itu, polis berharap tidak timbul isu bantahan sehingga keputusan muktamad diperolehi.

“Berhubung kes ini, saya tidak mahu mengatakan pihak sana salah pihak sini betul (menuding jari) sebab beberapa tindakan diambil oleh kedua-dua pihak…oleh Zakir dan juga pihak yang tidak berpuas hati dengan kandungan ceramah beliau,” katanya.

Jumaat lepas, Zakir yang telah mendapat status pemastautin tetap di Malaysia telah diambil keterangan buat kali pertama di Bukit Aman selama lima jam. Semalam, Zakir telah memberikan keterangan buat kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam.

Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke India.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Ditanya mengenai kemungkinan Zakir akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut, Abdul Hamid berkata: “Setakat ini belum, cukup memadai dengan keterangan yang diberikan sebelum ini. Polis juga telah mempertimbangkan jawapan yang telah disoal oleh pegawai penyiasat bahawa beliau menafikan mempunyai agenda atau mahu mencetuskan hura-hara”

Abdul Hamid menggesa supaya arahan polis yang melarang mana-mana pihak membenarkan penceramah bebas itu daripada mengadakan sebarang ceramah di mana-mana negeri supaya dihormati.

“Saya menyeru semua pihak untuk akur kepada arahan polis kerana untuk menentukan keselamatan, keharmonian dan keamanan dalam negara ini pihak polis memikul tanggungjawab yang amat berat.

“ Polis membuat keputusan tersebut dengan fakta-fakta dan bukan kita buat secara semborono sahaja mahupun untuk mengikut telunjuk sesiapa pun,” katanya.

Katanya beliau memberi ruang yang secukupnya kepada pegawainya untuk mengambil tindakan dan tidak ada jangka masa yang ditetapkan.

“Jadi tidak ada tempoh masa yang saya kenakan, semua siasatan pada hakikatnya mesti dilakukan dengan tertib serta mengikut prosedur. Sudah pasti kita hendak sesuatu itu berjalan dengan cepat,” katanya.

Ditanya sama ada pihak berkuasa India ada membuat sebarang permohonan bagi menyerahkan Zakir kepada mereka, Abdul Hamid berkata tiada sebarang permintaan daripada pihak berkuasa negara itu dan pihaknya juga belum mengetahui fakta tentang kesalahan serta perkara yang berkaitan dengan Zakir dan apa yang berlaku di India.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zakir Naik beri keterangan 10 jam di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selama 10 jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini sehingga lewat malam tadi.

Pendakwah kontroversi berusia 54 tahun itu dilihat meninggalkan Bukit Aman dengan menaiki kereta jenis Toyota Innova, pada 1.30 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ketika dihubungi berkata Zakir tiba di Bukit Aman pada 3.15 petang diiringi peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir.

Beliau berkata, Zakir sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Polis merakamkan kenyataan penceramah bebas dari India itu, yang mendapat status pemastautin tetap di Malaysia, buat kali pertama selama lima jam Jumaat lalu.

Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu, sekali gus mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Terdahulu, polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Zakir Naik dipanggil Bukit Aman kali kedua petang ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik akan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya bagi kali kedua, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Zakir dipanggil ke Bukit Aman pada 3 petang untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam, katanya ketika dihubungi.

Pada Jumaat lalu (16 Ogos), Zakir memberi keterangan di Bukit Aman buat kali pertama untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bahru, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi berhubung penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respon kepada desakan supaya beliau diusir dari Malaysia.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Zakir Naik bebas ceramah tentang Islam, tapi bukan politik perkauman

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini pendakwah Islam Dr Zakir Naik bebas mengajar dan bercakap tentang Islam, tetapi tidak mengenai politik perkauman yang boleh mengganggu dan merosakkan kebajikan dan ketenteraman rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu menyekatnya daripada bercakap mengenai agama dan perkara yang benar, … tetapi agak jelas beliau ingin berperanan dalam politik perkauman di Malaysia.

“Pertama sekali, saya tak tahu siapa yang memberikan beliau status Penduduk Tetap (PR), tetapi sebagai penduduk tetap, beliau tidak boleh menyertai politik.

“Beliau boleh berdakwah tetapi beliau tidak berbuat begitu… beliau bercakap mengenai soal menghantar orang Cina pulang ke China, orang India pulang ke India, itu bagi saya adalah satu langkah politik,” kata Dr Mahathir kepada pemberita pada Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata sudah menjadi budaya rakyat negara ini yang begitu berhati-hati bila mereka bercakap mengenai perkara yang sensitif pada komuniti lain.

“Saya tak pernah sebut perkara sebegitu… tidak pernah meminta orang Cina pulang, tetapi beliau (Zakir) datang ke sini dan meminta mereka pulang (ke China).

Beliau berkata Zakir tersilap langkah, mengganggu perasaan perkauman, kerana itu polis perlu menyiasat beliau.

“Jadi apa juga tindakan yang kita ambil mestilah selaras dengan undang-undang … kerajaan ini menghormati kedaulatan undang-undang,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sambung rakam percakapan Dr Zakir Naik Isnin ini

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambung semula prosedur merakam percakapan penceramah bebas, Dr Zakir Naik pada Isnin ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia susulan permohonan penangguhan prosedur berkenaan oleh individu tersebut yang dibuat semalam kerana mahu berbuka puasa.

“Dr Zakir meminta prosedur rakaman percakapannya yang dibuat semalam supaya ditangguhkan kerana ingin berbuka puasa.

“Beliau bagaimanapun akan kembali hadir memberi keterangan Isnin ini pada 3 petang,” menurutnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Semalam, Dr Zakir Naik memberi keterangan polis di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Penceramah bebas tersebut hadir di Bukit Aman selepas solat Jumaat dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada 8.15 malam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, polis turut memaklumkan akan memanggil ahli perniagaan, Tan Sri Khoo Yew Yin juga pada Isnin ini sementara Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

Masing-masing dipanggil berhubung kenyataan dikeluarkan yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan satu lagi kenyataan mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Zakir Naik tokoh besar tonjol ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik disifatkan sebagai tokoh besar sangat dikenali dalam mempersembahkan kesucian ajaran Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Walaupun terpalit dengan dakwaan sebagai seorang pengganas di negara kelahirannya namun beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya mendengar tuduhan dilemparkan terhadap penceramah itu sewenang-wenangnya kerana tiada maklumat betul dan sahih, bahkan tidak tepat.

Bercakap ketika ditemui pada program Iftar Ramadan dan Ceramah Khas, katanya, kepakaran penceramah tersohor dari India itu mempersembahkan Islam bukan sahaja daripada segi praktiknya kita beramal, malahan dalam komunikasi.

“Kita berbangga kerana dapat menghadirkan tokoh besar iaitu tokoh antarabangsa dan kita merasakan ketokohan beliau dalam mengupas Islam sangat mudah serta jelas, itu menyebabkannya tokoh antarabangsa yang sangat dikenali.

“Apabila dia (Dr Zakir) menerangkan topik sangat jelas, kita rasa bahawa tidak ada sebab untuk orang curiga dan menerima dakwaan bahawa beliau memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Dr Zakir mengupas isu ‘Offering Peace And Justice In Islam To The World – Challenging The Islamophobia Narratives’ yang antara lain membincangkan berkaitan tuntutan keamanan dan keadilan dalam masyarakat Islam di dunia selain cabaran prasangka serta diskriminasi pada Muslim.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, beberapa perkara disentuh Dr Zakir sangat menarik, seterusnya memberi peranan kepada pendengar bahawa mereka juga bertanggungjawab untuk menjelaskan Islam kepada sesiapa sahaja dengan tidak merasakan hubungan akan terjejas.

“Jadi, kita harus pandai menggunakan cara dan teknik dengan baik. Tajuknya juga sangat sesuai Ramadan dan kita dapat mendengar sendiri penjelasan beliau terhadap beberapa isu ditanyakan.

“Kami bercadang untuk mengadakan lagi program sebegini bersama beliau sebagai tetamu dan mahu mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk datang serta berinteraksi dengannya daripada mendengar tuduhan tidak sahih,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 300 peserta hadir dalam majlis berlangsung di Carlton Holiday Hotel & Suites, di sini, malam ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada kumpulan INTEAM dan bacaan ayat suci al-Quran.