Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Zulkifli sah pulih daripada Covid-19

KUALA LUMPUR 14 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Zulkifli dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini berkata beliau dibenarkan keluar dari wad pada petang ini selepas disahkan positif wabak itu pada 5 Oktober lepas.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

“Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan…Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatinya untuk berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Okt depan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Zulkifli berkata buat masa ini beliau disaran untuk tidak bertemu sesiapa namun memberitahu pihak yang mahu berhubung dengannya boleh berbuat demikian melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah…Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.

Memandangkan PKPB baharu sahaja bermula, Zulkifli seterusnya berkata fokus utamanya pada masa ini adalah untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada kelompok sasar khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau selain menghargai setiap doa dititipkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.

“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Selain itu, beliau juga berdoa kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 agar segera sembuh seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta….Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara…Sentiasa ingat pepatah lama, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama positif Covid-19, sedang jalani rawatan

SHAH ALAM, 5 OKT: Menteri hal ehwal agama kini menjalani rawatan Covid-19 selepas disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata keadaannya bertambah baik dan berterima kasih kepada petugas kesihatan yang prihatin terhadap dirinya.

“Saya berdoa semoga Allah SWT selamatkan dan sembuhkan rakyat Malaysia yang menghidap Covid-19 termasuk diri saya. Saya sayang anda semua.

“Patuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara di mana jua anda berada,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya antara 24 September hingga 4 Oktober supaya membuat saringan dengan segera.

Dr Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan seorang individu disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober.

Ketua pengarah kesihatan berkata individu berkenaan tidak mengalami sebarang gejala ketika itu dan kini dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian serta rawatan mengikut protokol sedia ada.

“Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan calitan bagi pengesanan jangkitan Covid-19.

“Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

SOP solat Jumaat, berjemaah dibentang

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini membentangkan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

Menterinya Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata prosedur itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada minggu hadapan.

“Ramai yang merindukan masjid dan surau sebagaimana juga saya. Ini adalah tempoh penting bagi sektor sosial (aktiviti masjid dan surau) untuk memasuki fasa strategi keluar (sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat),” katanya dalam status yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau hari ini.⁣

Beliau membentangkan SOP Perluasan Kapasiti Jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Berjemaah itu pada mesyuarat hari ini yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zulkifli berkata bermula 15 Mei, pendekatan strategi keluar pembukaan masjid dan surau bagi perluasan kapasiti jemaah secara bertahap dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya pihak berkuasa agama atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata perkara itu adalah wajar bagi memastikan kesejahteraan umat Islam secara amnya dan juga imej institusi masjid serta surau di Malaysia terus dicontohi dan disegani di peringkat dalam dan luar negara.

Ketika ini, solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dengan bilangan jemaah minimum tiga orang, tidak termasuk imam, dan tidak melebihi 30 orang.

Bagaimanapun SOP solat jemaah di masjid untuk setiap negeri adalah berbeza dan bergantung kepada perkenan sultan masing-masing.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

“Diskusi Khas Muslimat” Diperluaskan Seluruh Selangor

diskusi muslimat rodziah 20 ju 01

SHAH ALAM 21 JULAI : Program Diskusi Khas Muslimat sempena Ramadan peringkat negeri akan diperluaskan lagi ke surau-surau di kawasan perumahan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang menggalakkan sejak ia dilancarkan dua tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberdayakan wanita, program wanita dan agama seperti ini perlu diperluaskan lagi.

Katanya, ia bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan menerusi penyampaian ilmu Quran dan Sunnah bagi diaplikasikan dalam kehidupan.

“Sambutan program ini tidak kurang dari 350 orang yang hadir. Seperti di Masjid Negeri ini, seramai 1,500 wanita hadir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program terbabit di Masjid Negeri, di sini.

diskusi muslimat rodziah 20 ju 04Beliau berkata tahun ini, sembilan masjid di sembilan daerah akan melaksanakan program tersebut dengan gabungan program-program lain antaranya wanita dan kebajikan, wanita dan keselamatan, wanita dan kesihatan.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 khas untuk program wanita dan agama tahun ini.

“Kali ini, kita juga mencetak buku-buku ilmiah untuk diedarkan kepada peserta. Kerajaan Negeri melihat, kita perlu mengadakan program wanita bukan sahaja kebajikan tetapi juga perihal agama untuk menangani isu wanita.

“Kita jadikannya sebagai program tahunan. Kita memilih masjid-masjid yang kurang imarahnya untuk diadakan program ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu wanita-wanita hadir untuk mendengar dan memahami pengisian yang disampaikan oleh penceramah bukannya hadir hanya disebabkan siapa penceramah yang dijemput tetapi tajuk yang akan disampaikan.

diskusi muslimat rodziah 20 ju 03Program yang diberi nama ?Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam? itu antara lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat.

Ia bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) .

Antara barisan penceramah itu, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ustazah Zawiyah Hassan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jais, Zaki Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jais, Mazlan Abdullah dan Adun Seri Serdang, Nurhanim Ismail.