Categories
AGENDA NASIONAL

Daging ternakan dijangkiti penyakit kulit tidak bahaya, boleh makan

PUTRAJAYA, 27 JUN: Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada  secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, daging ternakan yang dijangkiti  boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Celcius selama 30 minit.

DVS berkata semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.

“Sekiranya terdapat lesi nodular pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” kata DVS.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

DVS berkata ia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah jabatan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia gantung import lembu dan kerbau Thailand, elak rebak penyakit

PUTRAJAYA, 8 JUN:  Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar ketetapan tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri seperti pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar negeri serta daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

“Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit,” katanya.

Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula akan mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand, katanya.

Pada 2 Jun lepas, Pengarah Maqis Kedah P. Lily Rosalind dilaporkan berkata pihaknya telah mengesan penyakit LSD pada 42 ekor lembu yang diimport dari Thailand di stesen kuarantin dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, kesemua lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor lembu yang diimport pada 26 April lepas dan menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Veterinar siasat ladang susulan tarik balik telur dari pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan terhadap ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) pada telur.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah membuat daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

“Telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperolehi. Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

“DVS juga menjalankan siasatan dan ujian SE terhadap semua ladang milik syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladangnya adalah bebas SE. DVS tidak membenarkan kemasukan semula telur ‘recall’ CES 008 ke Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, DVS memaklumkan penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan bekalan telur dari lain-lain ladang ke negara itu dan bekalan untuk pasaran tempatan.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS memaklumkan terdapat lebih 2000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam. Namun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Terdahulu, DVS memaklumkan jabatan itu telah membuat sesi libat urus bersama pihak pengurusan Lay Hong hari ini.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” demikian menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Veterinar: Kerbau mati mengejut bukan kejadian pertama tahun ini

KUALA TERENGGANU, 14 SEPT: Kejadian kerbau mati secara mengejut seperti yang menimpa keluarga ‘Kampong Boy’ bukanlah yang pertama di Terengganu tahun ini, malah penternak lain turut menerima nasib hampir sama.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Tarmizi Ghazali berkata pada 9 hingga 28 Ogos lepas, seramai 13 penternak turut diuji dengan musibah itu, melibatkan kematian 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu, di Kampung Tuman Jerong, Marang.

Beliau berkata pihaknya mengesan terdapat jangkitan penyakit hawar berdarah atau ‘hemorrhagic septicemia’ pada haiwan berkenaan dan susulan itu, operasi penvaksinan dilakukan bermula 30 Ogos di 12 kampung, ke atas 675 ekor lembu dan 58 kerbau, milik 106 penternak.

Namun, Dr Mohd Tarmizi berkata bagi kes kematian 36 ekor kerbau milik keluarga ‘Kampong Boy’ atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 15, ia masih terlalu awal untuk diputuskan kerana pihaknya sedang menunggu keputusan ujian sampel haiwan berkenaan daripada pihak makmal.

“Daripada bedah siasat yang dibuat didapati terdapat radang paru-paru dan jantung bengkak pada kerbau milik Khamis Jusoh (bapa Muhammad Syukur). Ia mempunyai ciri-ciri hawar berdarah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Penyakit ini dikatakan berpunca daripada bakteria ‘pasteurella multocida’ yang boleh menyebabkan kematian serta-merta pada haiwan dan mudah berjangkit manakala tanda-tanda awal penyakit ialah demam, panas dan sakit pada bahagian leher, tiada selera makan, sugul, pernafasan menjadi kencang, sakit mata dan air liur keluar dengan banyak.

Dr Mohd Tarmizi berkata pemilik haiwan ternakan perlu mengasingkan haiwan yang dijangkiti dan memaklumkan kepada JPV untuk diberi suntikan vaksin kepada haiwan yang berada di kawasan dijangkiti bagi mencegah penularan.

-BERNAMA