Categories
SELANGOR

Lebih 14,000 Telah Mendapat Manfaat Jom Shopping Bonus Selangorku

Bonus Selangorku Puncak Alam 02

PUNCAK ALAM 15 DIS : Sejak diperkenalkan pada April lalu, lebih 14,000 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2008 di Selangor sudah menikmati manfaat program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’.

Program tersebut dikhususkan kepada peserta Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang menerima baucer membeli-belah bernilai RM 100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran mereka.

Sehingga kini, RM 1.4 juta telah dibelanjakan untuk menjayakan inisiatif ini di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Petang tadi, bertempat di Econsave Alam Jaya di sini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyempurnakan upacara penutupan program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ yang disertai 181 peserta TAWAS dari DUN Ijok dan DUN Jeram.

“Ini bukanlah bermakna program ini akan tamat terus sebaliknya kita menutup program untuk tahun ini sahaja.

“‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ tetap akan diteruskan lagi selagi Pakatan Rakyat memerintah untuk memberi manfaat kepada anak-anak Selangor,” kata Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.Bonus Selangorku Puncak Alam 01

Dalam pada itu, beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 66 semalam turut dikejutkan dengan hadiah kek harijadi dari kakitangan Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS).

Sejurus selesai upacara memotong kek, Abdul Khalid juga berkesempatan menemani para peserta Tawas yang hadir untuk membeli belah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, Pengurus Besar YAWAS, Mohd Nor Mohd Zin serta Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan.

Categories
SELANGOR

Econsave Alam Jaya Diceriakan Dengan “Bonus Selangorku”

KUALA SELANGOR 6 MEI : Rata-rata penerima ‘Bonus Selangorku’ di Econsave, Alam Jaya, di sini tiada kata-kata selain mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengadakan program tersebut.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana dengan adanya bantuan ini saya dapat membeli barangan keperluan untuk anak saya,” kata penerima Bonus Selangorku, Rozaini Harun, 35.

Beliau amat terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri kerana bantuan RM100 kepada anaknya itu dianggap amat besar.

Seorang lagi penerima, Abdul Karim, berpuas hati seratus peratus dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu membeli barangan keperluan anaknya, Aizat Azwan, 4.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira keturunan mereka,” katanya.

Penerima lain, Izuddin, 35, berkata walaupun jumlah itu tidak seberapa banyak tetapi ia membantu keluarga membeli keperluan anak masing-masing.

“Sebagai rakyat negeri ini, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini dan saya gembira dengan hadiah hari lahir untuk anak saya, Danish Aqiff, 4, daripada Menteri Besar ini.

Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program tersebut.

Bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diperuntukan kepada peserta Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir selepas 2008 yang belum mendaftar supaya mendapat manfaat program itu.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mempelbagaikan program untuk anak-anak yang berdaftar dari masa ke semasa.

Salah satunya program penanaman pokok dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasaraya Econsave, Giant dan Tesco.

Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 1 juta pokok akan ditanam mengikut setiap kawasan yang dibahagikan.

“Program itu akan berkonsepkan kekeluargaan. Kita mahu anak-anak Tawas menikmati kehijauan suasana pada masa akan datang bagi mengantikan banyak pokok-pokok yang ditebang akibat projek perumahan dan sebagainya,” katanya di majlis itu.

ends