Categories
EKONOMI NASIONAL

Pelabur asing lihat asas ekonomi, kestabilan negara tarikan utama

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Asas ekonomi dan kestabilan politik Malaysia menjadi pertimbangan utama untuk pelabur asing melabur di negara ini kerana mereka boleh kembali menjalankan perniagaan seperti biasa jika berlaku sedikit ketegangan.

Bagi mereka, perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia adalah kukuh dan dianggap penting untuk memastikan negara stabil serta ekonomi berkembang maju.

Kepada soalan yang diajukan Bernama mengenai faktor yang relevan bagi perniagaan untuk maju, Naib Presiden Pertama Dewan Perniagaan Malaysia-China, (MCCC) Loo Kok Seong berkata, pelabur asing sentiasa melihat perpaduan kaum, keharmonian dan kestabilan politik Malaysia sebagai antara tarikan utama untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan kita sangat terkenal sebagai model kewujudan kedamaian di kalangan penduduk yang berlainan bangsa dan agama.

“Jadi, saya percaya kejadian di tokong Hindu Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini tidak akan mengubah persepsi pelabur dan menjauhkan mereka, kerana ia adalah isu tempatan yang kecil yang boleh berlaku di mana-mana negara di dunia,” katanya.

Loo berkata, pelabur akan menilai sesebuah negara berdasarkan keselamatan dan asas ekonomi keseluruhannya sebelum membuat pelaburan.

Sependapat dengan Loo, Setiausaha Agung MCCC Kevin Siah berkata, insiden kuil itu bukanlah isu perkauman yang boleh menjejaskan reputasi negara.

“Ini adalah kes yang sangat kecil yang pastinya tidak akan menjejaskan keharmonian kaum yang telah kita nikmati selama ini.

“Bagi saya, ia hanya pertikaian tanah yang ditangani secara tidak wajar antara pemaju dan pengurusan kuil. Pelabur tetap akan melihat asas ekonomi Malaysia yang kukuh untuk menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Sementara itu, pemimpin perniagaan lain berkata, komuniti perniagaan tempatan melihat kejadian itu sebagai sementara dan tidak akan menghalang pelabur daripada terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan mereka.

Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din yang baru dipilih berkata, isu tersebut tidak akan berpanjangan.

“Pada pendapat saya secara keseluruhannya, ahli perniagaan mahukan suasana negara yang harmoni untuk mereka teruskan aktiviti perniagaan mereka. Mereka lebih mementingkan faktor asas sesebuah negara yang mampan dan kukuh,” katanya.

Ditanya mengenai proses peralihan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata, pentadbiran semasa masih baru, dengan ahli Kabinet masih mencari kekuatan dan keyakinan mereka dalam membuat keputusan.

”Ini menyebabkan segala keputusan yang dibuat mengambil masa yang lebih. Tetapi bagi aktiviti-aktiviti perniagaan yang tidak melibatkan polisi atau keputusan baru, saya rasa tidak menjejaskan apa-apa. “Seperti biasa… cuma mereka menanti inisiatif yang baru,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan dijangka terbit bil perbendaharaan tambahan RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan dijangka menerbitkan bil perbendaharaan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi tujuan pengurusan aliran tunai, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Jumlah pinjaman kasar kerajaan dianggarkan mencecah RM112.9 bilion atau 7.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, iaitu RM53.3 bilion untuk membiayai defisit manakala baki RM61.2 bilion untuk pembiayaan semula hutang.

“Pinjaman dalam negeri kekal sebagai sumber utama pinjaman iaitu 99.9 peratus daripada jumlah pinjaman kasar manakala pinjaman luar pesisir kekal minimum 0.1 peratus,” menurut laporan itu.

Pasaran bon Malaysia yang maju dan kukuh telah mewujudkan kecairan yang mencukupi dalam pasaran kewangan domestik, dan ini membolehkan kerajaan mendapatkan keperluan pinjaman dalam mata wang tempatan.

Kelebihan ini dapat mengurangkan pendedahan langsung Malaysia terhadap risiko tukaran mata wang asing dan kadar faedah, menurut laporan itu.

Bagi pinjaman dalam negeri, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dijangka lebih tinggi iaitu RM63.8 bilion (56.5 peratus) daripada jumlah pinjaman kasar (2017: RM53.5 bilion, 46.9 peratus).

Peningkatan trend penerbitan kertas patuh syariah menunjukkan komitmen berterusan untuk mempromosikan instrumen Islam di samping menyediakan kepelbagaian platform bagi portfolio dan risiko pelabur.

Menurut laporan itu, terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia dijangka merangkumi 43.4 peratus daripada jumlah pinjaman kasar atau RM49 bilion pada 2018.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka cecah RM261.8 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Hasil Kerajaan Persekutuan termasuk dividen khas PETRONAS dijangka lebih tinggi sebanyak RM261.8 bilion atau 17.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, berbanding RM236.5 bilion atau 16.5 peratus kepada KDNK yang diunjurkan bagi 2018.

Dari jumlah itu, hasil cukai menjadi komponen utama dengan jangkaan kutipan RM176.2 bilion berbanding sasaran RM174.7 bilion yang disemak bagi 2018.

Bagaimanapun, peratusan kepada KDNK dijangka menyusut sedikit kepada 11.5 peratus daripada 12.2 peratus pada 2018, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Secara keseluruhan, kutipan cukai langsung dijangka menyumbang 76.7 peratus kepada hasil cukai kepada RM135.1 bilion pada 2019, peningkatan 1.2 peratus berbanding RM133.5 bilion yang diunjurkan pada 2018.

Peningkatan ini diunjur akan disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) yang lebih tinggi sebanyak RM18.1 bilion berbanding RM16.8 bilion yang dianggarkan pada 2018 di tengah-tengah andaian harga minyak mentah yang sederhana.

Sementara itu, cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) dijangka berjumlah RM35 bilion (2018: RM34.8 bilion) dan RM70.2 bilion (2018: RM70.5 bilion) pada 2019.

Hasil daripada duti setem (2019: RM6.3 bilion), Cukai Keuntungan Harta Tanah (2019: RM1.8 bilion) dan cukai langsung lain pula, dijangka meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM8.2 bilion tahun depan.

“Pada masa sama, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai untuk melakukan kajian menyeluruh sistem percukaian bertujuan memperluaskan asas cukai dan mengurangkan jurang cukai,” kata laporan itu.

Bagi cukai tidak langsung, kutipan dijangka menurun sedikit kepada RM41.1 bilion (2018: RM41.2 bilion) dengan RM22 bilion dianggarkan disumbangkan oleh pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kutipan duti eksais pada 2019 pula dijangka akan meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM11.4 bilion berikutan permintaan yang lebih tinggi ke atas kenderaan bermotor.

“Berdasarkan kajian separuh pertama 2018 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan dijangka meningkat dua peratus pada 2019 sejajar permintaan berterusan untuk model kenderaan baharu dan promosi agresif oleh syarikat automotif,” tambah laporan itu.

Sementara itu, duti eksport dijangka kekal pada RM1.6 bilion dan duti import meningkat lima peratus kepada RM2.9 bilion (2018: RM2.8 bilion).

Bagi hasil bukan cukai, kutipan disasarkan melonjak kepada RM85.7 bilion pada 2019 daripada jangkaan RM61.8 bilion bagi 2018 disumbang oleh kutipan faedah dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

Sebahagian besar pulangan pelaburan meliputi dividen daripada PETRONAS berjumlah RM54 bilion tahun ini berbanding anggaran RM26 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada RM54 bilion, RM30 bilion adalah dividen khas yang akan digunakan untuk membayar balik tunggakan bayaran balik cukai.

“Pembayaran bayaran balik cukai akan meningkatkan aliran tunai perniagaan dan isi rumah, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi,” jelas laporan itu.

Sementara itu, kutipan hasil lesen dan permit disasarkan berkembang enam peratus kepada RM15.6 bilion, disumbang oleh kutipan royalti petroleum sebanyak RM5.6 bilion, lesen kenderaan bermotor sebanyak RM3.5 bilion dan levi pekerja asing.

Peratusan pendapatan berkaitan petroleum kepada jumlah hasil tidak termasuk dividen khas PETRONAS dianggarkan meningkat sedikit kepada 19.5 peratus pada 2019 daripada 21.7 peratus, tahun lepas.

“Walaupun cukai berasaskan kepenggunaan berkurang, peratusan hasil berkaitan petroleum masih rendah daripada purata tahunan sebanyak 34.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh 2009-2014.

“Ini menunjukan bahawa sumber hasil kerajaan kekal pelbagai. Kerajaan dijangka dapat meningkatkan asas pendapatan bukan petroleum terutamanya dari inisiatif pembaharuan cukai,” kata laporan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Bank Dunia: Malaysia dijangka kekalkan pertumbuhan, capai status pendapatan tinggi 2024

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 4.7 peratus pada 2019 dan 4.6 peratus pada 2020 meskipun berdepan cabaran dan negara dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024, kata Bank Dunia.

Bagi 2018, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat ini, berkembang 4.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta.

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus berdepan risiko berikutan ketidakpastian dalam persekitaran luaran,” kata Bank Dunia dalam laporan ekonomi terbaharunya bagi rantau ini.

Dalam laporan “Navigating Uncertainty”, East Asia and Pacific Economic Update edisi Oktober 2018, Bank Dunia berkata, keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, yang berpunca sama ada daripada jangkaan peralihan dasar monetari di ekonomi maju atau krisis di rantau lain, boleh menular ke ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, menerusi aliran keluar modal dan tekanan terhadap kadar pertukaran.

“Risiko utama lain berkait dengan peningkatan kecenderungan melindungi perdagangan di beberapa ekonomi utama yang boleh membawa kesan negatif ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi tingginya dengan pasaran global dan kebergantungannya terhadap rantaian nilai global sebagai sumber pertumbuhan,” kata bank itu.

SUMBER: BERNAMA

Pasar Agro Smart Selangor sasar ‘satu pasar, satu daerah’

Pasar Agro #SmartSelangor platform terbaik memacu pertumbuhan ekonomi peniaga setempat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

FORUM Pekerja Asing : Keperluan atau permintaan – Bahagian 1

Isu kemasukan 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh, apakah kepentingannya terhadap Malaysia dari sudut ekonomi dan apakah pula kesan sosialnya?